Selamat Datang
Selasa, 23 Mac 2010
GEJALA SOSIAL: TANGGUNGJAWAB SIAPA
Gejala sosial seperti kejadian membuang anak yang berlaku kelmarin nampaknya semakin berleluasa. Makin ia dipaparkan di media masa makin bertambah kejadian seperti ini. Barangkali benarlah kata-kata seorang pensyarah di sebuah institusi pengajian tinggi dalam satu kuliahnya yang menyebut jika sesuatu keburukan itu dihebah-hebahkan samada oleh akhbar, televisyen dan sebagainya nescaya akan banyak lagi kejadian tersebut yang akan ditemui. Ia akan menjadi suatu kebiasaan oleh mereka yang terlibat kerana mereka akan beranggapan bahawa bukan dia sahaja yang sanggup melakukan perbuatan terkutuk itu bahkan ramai lagi yang sama-sama berani melakukannya. Dengan kata lain bukan dia seorang saja yang berani dan sanggup buang anak, malah orang lain juga banyak yang buang anak.
Akhirnya mereka ini langsung tidak berasa bersalah di atas perbuatan tersebut kerana merasakan ada orang lain yang juga turut melakukannya. Seoalah-olah tiada dosa yang dilakukan olehnya sedangkan sebenarnya dia telah melakukan beberapa dosa. Sudahlah dosa kerana berzina yang telah dilakukan , dosa membuangkan bayi pula di tambah. Tak mungkin boleh mengandung dan melahirkan anak tanpa melakukan hubungan seks terlebih dahulu. Jika hubungan itu sah mengapa bayi itu perlu dibuang atau ditinggalkan dalam keadaan cuaca hujan. Tidak terfikirkah siksanya bagaimana anak itu kedinginan dalam basah kuyup?
Inilah perbuatan terkutuk yang dicela oleh Allah kepada mereka yang melakukannya. Keadaan ini berlaku akibat daripada kejahilan manusia dalam beragama. Allah telah menurunkan Al-Quran sebagai pedoman dan panduan hidup manusia. Disamping itu juga Nabi Muhammad diutuskan sebagai pembimbing umat Islam melalui hadis yang dijadikan sumber rujukan hidup manusia di atas muka bumi ini. Malangnya umat Islam pada hari ini tidak mengambilnya sebagai panduan hidup yang menyebabkan mereka semakin jahil dalam kehidupannya.
Tidak keterlaluan jika dikatakan umat Islam kini mula kemabali ke zaman jahilliyah. Suatu zaman sebelum kedatangan Rasulullah yang mana masyarakat manusia ketika itu sangat jahil dari segi aqidah, syariat dan akhlak. Ketiga-tiga asas penting dalam kehidupan manusia ini tidak ada pada masyarakat tersebut. Hidup mereka penuh dengan pergaduhan, pembunuhan, tiada ikatan persaudaraan, hidup berpuak-puak, yang kaya menindas yang miskin, hawa nafsu bermaharaja lela dan sebagainya. Lahirnya Rasulullah telah membawa rahmat ke seluruh alam semesta.
Rasulullah telah menanamkan aqidah yang mentauhidkan Allah. Keimanan kepada Allah telah dipupuk dengan yakin dalam diri setiap umat Islam sehinggakan perasaan takut kepada Allah wujud dengan sebenar-benarnya. Kemantapan aqidah yang sohih dalam diri umat Islam itu menyebabkan mereka meninggalkan semua larangan Allah dan melaksanakan perintah Allah dengan bersungguh-sungguh. Kejayaan Rasulullah membina aqidah yang mantap kepada para sahabat dan umat Islam telah menghapuskan kehidupan jahilliyan mereka. Meraka menjadi umat yang bersatu dari segi aqidahnya. Wujud ikatan persaudaraan sesama Islam yang kental di hati mereka. Tidak ada lagi pergaduhan antara mereka dan semua puak-puak berjaya disatukan.
Akhirnya syariat Islam dapat dibina dan ditegakkan dalam kehidupan. Segala hukum Allah dapat dilaksanakan dalam kehidupan. Tidak ada orang yang berani melanggar syariat Islam. Masing-masing patuh dengan peraturan-peraturan hidup yang dibawa oleh Rasulullah. Kehidupan menjadi aman dan tenteram. Kehidupan berkeluarga dan bermasyarakat diamalkan dengan sempurna. Malahan kehidupan bernegara juga dapat ditegakkan dengan dengan gemilang. Inilah bimbingan yang dibawa oleh junjungan besar nabi Muhammad.
Begitu juga baginda membawa bimbingan akhlak dalam kehidupan masyarakat jahiliyyah ketika itu. Rasulullah telah menunjukkan contoh tauladan yang baik sebagai ikutan umat Islam. Keindahan akhlak baginda cukup memukau masyarakat dan menjadi pegangan hidup mereka. Tiada lagi pembunuhan anak-anak perempuan, tiada lagi pergaduhan sesama sendiri, hidup saling bantu-membantu antara satu sama lain. Ini yang telah berlaku apabila akhlak wujud pada semua umat Islam ketika itu. Oleh itu tidak ada masalah gejala sosial dan perbuatan sumbang apabila kita kembali kepada perintah Allah.
Hari ini didapati keadaan gejala sosial berleluasa adalah kerana peranan institusi-institusi yang ada tidak berfungsi dengan baik. Antaranya ialah institusi keluarga yang tidak berjalan sebagaimana diperintahkan oleh Allah dan Rasul dalam kehidupan. Ibu-bapa kini rata-rata tidak seperti ibu-bapa di zaman dahulu yang berpegang teguh kepada ajaran Islam. Anak-anak didik dengan pelajaran agama, mengaji al-quran, ilmu-ilmu fardu A'in dan sebagainya. Oleh itu pegangan agama sangat dititikberatkan dalam kehidupan anak-anak.
Bukan sekadar memberi pendidikan agama, malahan dipastikan semua anak-anaknya mengerjakan sembahyang, puasa dan ibadat yang lainnya sejak dari kecil lagi. Disamping itu tingkah laku dan akhlak anak-anak sentiasa dikawal dan diawasi samada di rumah atau diluar rumah oleh ibu-bapa mereka. Keadaan ini berterusan sehinggalah anak mereka itu berumahtangga. Oleh itu jarang sekali kedengaran berita perlakuan sumbang dan sebagainya di zaman tersebut. Kebebasan anak-anak sentiasa diawasi agar tidak menjatuhkan air muka atau maruah ibu-bapa. Malangnya kini ibu-bapa sudah tidak ambil peduli tingkah laku dan kebebasan anak-anak mereka. Kononnya kehidupan global kini menyebabkan mereka dikatakan sebagai tidak bertamadun jika menghalang kebebasan anak-anak. Pergaulan bebas antara lelaki dan perempuan dibiarkan. Malah ada ibu-bapa yang tidak menghiraukan jika anak perempuannya menaiki motor bersama teman lelaki atau tunangnya keluar bersiar-siar sehingga jauh malam.
Sudah tentulah institusi keluarga sebegini merupakan punca berlakunya kejadian gejala sosial pada hari ini. Oleh itu tidak hairanlah kalau institusi keluarga ini mendapat kemukaan dari Allah kerana bukan sahaja tidak takut kepada peraturan dan undang-undang manusia malah tidak takut kepada Allah yang menciptakannya.
Selain itu, institusi kedua yang tidak memainkan peranannya ialah institusi masyarakat. Kebanyakkan masyarakat pada hari ini juga tidak menghiraukan apa yang berlaku di sekelilingnya. Jiran sesama jiran di sesebuah kampung, taman dan sebagainya sudah tidak ambil peduli lagi. Masing-masing dengan hal sendiri dan keluarga sendiri. Tidak seperti zaman dulu jika ada anak dara di kampung itu dibawa oleh teman lelaki bermotor, seluruh penduduk kampung itu akan menegur ibu-bapanya. Mereka tidak mahu ada penduduk yang menjatuhkan maruah mereka di kampung itu. Rasa malu akan menyelubungi seluruh kampung tersebut jika keadaan itu berlaku. Bukan sahaja Ketua kampung dan jawatankuasanya yang akan berasa malu bahkan semuanya sekali. Hari ini berlaku sebaliknya dimana lelaki dan perempuan yang menaiki motor tersebut boleh pula memberi salam kepada tuan imam ketika berselisihnya dengannya tanpa rasa malu dengan perbuatan mereka itu. Lebih malang lagi Tok Imam pula yang tersipu-sipu melihat perbuatan itu dan tidak pula membuat teguran. Inilah keadaan akhir zaman.
Satu lagi institusi yang tidak berperanan ialah pihak yang berkuasa atau pemerintah. Tidak ada suasana atau biah yang baik dalam negara. Apa yang ada adalah galakan kepada berlakunya perkara-perkara maksiat dengan hiburan yang melalaikan. Berbagai bentuk hiburan didedahkan kepada orang ramai. Generasi muda disajikan dengan berbagai program di kaca televisyen yang menjadikan artis sebagai idola mereka. Konsert-konsert sempena menyambut hari-hari perayaan menggalakan muda-mudi dan remaja keluar berpasang-pasangan. Kesannya berlakulah perbuatan terkutuk seperti yang didedahkan oleh media masa pada malam menyambut Tahun Baru dan sebagainya.
Kewajiban sebagai pemerintah ialah membina umat Islam dengan aqidah yang sohih, melaksanakan syariat Islam dan membina akhlak yang mulia dalam negara. Semua rakyat hendaklah dipastikan mempunyai aqidah yang mantap.Untuk itu berbagai program agama hendaklah dibuat secara bersungguh-sungguh disamping menghentikan semua program yang melalaikan rakyat. Begitu juga hendaklah melaksanakan syariat Allah termasuklah melaksanakan hukum-hukum Allah dalan semua aspek kehidupan. Dengan melaksanakan hukum Allah ini akan mendapat bantuan Allah untuk menghapuskan gejala sosial ini. Demikian juga wajib memastikan akhlak Islam diamalkan oleh seluruh umat Islam.
Labels:
gejala sosial
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
PIHAK KAMI TIDAK BERTANGGUNGJAWAP DENGAN KOMEN YANG MENYALAHI UNDANG-UNDANG MALAYSIA