Selamat Datang

Selasa, 23 Mac 2010

Biadabnya akhbar Sweden siar lakaran tubuh Nabi umpama anjing


Umat Islam pada ketika ini sedang diuji dengan beberapa isu yang mencabar maruah dan kesucian agama. Sekali lagi sensitiviti umat Islam telah diusik dengan tindakan tiga buah akhbar Sweden yang menyiarkan kartun menghina Nabi Muhammad s.a.w.

Kebiadapan akhbar Dagens Nyheter, Expressen dan Sydsvenska Dagbladet yang menyiarkan lakaran tubuh rasul seperti seekor anjing dibuat tanpa segan silu atas nama kebebasan bersuara.

Ini memberikan gambaran bahawa mereka tidak mengambil iktibar daripada bantahan umat Islam terhadap akhbar Denmark, Jyllands-Posten lima tahun yang lalu.

PAS memandang serius penghinaan yang dibuat ini kerana ia merupakan kesilapan yang berulang dan menunjukkan sikap media di negara-negara Barat yang tidak pernah serik mengundang kemarahan umat Islam. Tindakan menghina Nabi Muhammad merupakan satu penghinaan kepada agama Islam itu sendiri serta para penganutnya.

Dalam perkembangan yang lain, pada ketika ini perhatian umat Islam juga diseret untuk melihat isu yang sedang berlaku di bumi Palestin. Di mana pihak pemerintah Zionis telah mengisytiharkan pembukaan sebuah kuil yang terletak berhampiran dengan Masjid Al-Aqsa di sebelah barat.

Perasmian kuil yang dinamakan Al-Kharab itu adalah satu tindakan yang mencabar umat Islam agar lebih serius untuk mempertahankan kesucian kota al-Quds dan Masjid al-Aqsa. Lebih-lebih lagi setelah pasukan bersenjata Zionis Israel bertindak melampui batas dengan menceroboh Masjid al-Aqsa dan menyerang orang awam di kawasan suci tersebut baru-baru ini.

Perlu diketahui bahawa pembinaan kuil Al-Kharab itu adalah sebagai permulaan kerja-kerja pihak musuh untuk meluaskan tempat-tempat ibadat dan syiar agama mereka di sekitar Baitulmaqdis.

Bahkan mereka tanpa berselindung telah menyatakan bahawa pembinaan kuil Al-Kharab adalah isyarat awal untuk membina kuil utama iaitu Haikal Sulaiman setelah diruntuhkan Masjid al-Aqsa.

Umat Islam mesti menyuarakan penentangan dan bantahan terhadap kedua-dua isu yang mencabar maruah agama ini.

Kerana itu, PAS menyatakan sokongan yang padu kepada inisiatif Pemuda PAS Pusat untuk menyuarakan bantahan pada Jumaat ini (26 Mac 2010) terhadap akhbar-akhbar Sweden yang melakukan penghinaan terhadap Nabi Muhammad s.a.w dan kebiadapan regim Zionis yang mencerobohi kesucian bumi Baitulmaqdis.

Saya juga menyeru agar umat Islam di negara ini turut serta menyatakan sokongan dan bantahan dalam demonstrasi aman tersebut bagi mempertahankan maruah dan kehormatan Islam.

Oleh TUAN GURU ABDUL HADI AWANG, Presiden PAS

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

PIHAK KAMI TIDAK BERTANGGUNGJAWAP DENGAN KOMEN YANG MENYALAHI UNDANG-UNDANG MALAYSIA

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails