Selamat Datang

Ahad, 18 April 2010

PESANAN TUAN GURU MURSIDUL AM



Ketika keberadaan Mursyidul Am PAS selaku Menteri Besar Kelantan, Tuan Guru
Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat sedang beribadat di depan Kaabah, dan dengan lapang dada yang disegari iman sejati, atas sifat seorang pejuang agama Allah, beliau juga mengambil kesempatan menelefon saya (siang tadi, Sabtu 3 Jamadilawal/17 April)bagi menyatakan kebenaran Islam. Tuan Guru Nik Aziz sempat mengemukakan pandangan kudus bersaksikan kiblat umat Islam bertujuan mengingatkan kita semua betapa besarnya amanah menyampaikan kebenaran Islam walau di mana kita berada.

Lebih-lebih lagi, natijah kenyataan itu adalah untuk menerangkan tentang bahayanya pemikiran Umno yang menguasai tampuk politik Negara hari ini.

Ikutilah curahan ilmu Menteri Besar Kelantan, Tuan Guru Nik Abdul Aziz yang telah menggapai tempoh 20 tahun memacu negeri dan rakyat Kelantan, Membangun Bersama Islam berpandukan ajaran Islam yang syumul.

Tolaklah perjuangan Umno, terimalah kebenaran Islam

Firman Allah SWT (al-An’am 6:162) bermaksud, “Katakanlah: Sesungguhnya sembahyangku dan ibadatku, hidupku dan matiku, hanyalah untuk Allah Tuhan yang memelihara dan mentadbirkan sekalian alam.”

Perkara pertama kita kena tahu, betapa Umno telah menghancurkan simbol Bulan Bintang yang dipakai oleh PAS pada tahun 1971. Sedangkan pada PAS, Bulan Bintang itu mempunyai makna yang besar dari segi mendidik rakyat kepada Islam. Pertama, Bulan Bintang itu dipakai di atas menara masjid-masjid – rumah Allah. Kedua, Bulan Bintang adalah simbol bagi PAS untuk menghidup dan menghayati serta melaksanakan falsafah hidup muslim sejati berteraskan doa iftitah yang selalu dibaca ketika permulaan sembahyang. Doa yang dimaksudkan ialah “sesungguhnya sembahyang ku, ibadat ku, hidup ku dan mati ku adalah kerana Alllah Tuhan yang memelihara dan mentadbir sekalian alam (LilLahi Rabbi ‘alami).” Oleh sebab itu, melalui simbol Bulan Bintang apabila dilihatnya, maknanya seseorang diajak untuk mengingati tanggungjawab sembahyang dan beribadat, serta memikirkan soal hidup dan mati. Dengan cara itu, harapan PAS supaya rakyat sentiasa berada di dalam kehidupan beragama.

Akibat daripada larangan penggunaan simbol Bulan Bintang itulah dapat dilihat hari ini, bila mana rakyat hari ini begitu bercelaru amalan hidupnya – terbabit dengan segala amalan maksiat dan kerosakan akhlak serta berlaku amalan hidup yang berlawanan dengan apa yang ucapkan di dalam solat.

Perkara kedua yang dibuat oleh Umno adalah menghapuskan penggunaan tulisan jawi. Tulisan jawi pun dihapuskan dalam pendidikan di sekolah. Ia berlaku zaman Almarhum Khir Johari telah menghapuskan pengajaran dan penggunaan tulisan jawi. Kesannya ramai orang Melayu, khususnya generasi sekarang tidak pandai membaca dan menulis jawi. Sedangkan jawi adalah tulisan dan bahasa al-Quran. Maka, ia bukan sekadar menghapuskan budaya ilmu yang menjadi medium pendidikan utama orang Melayu, malah orang Melayu kini amat dangkal dengan pengetahuan al-Quran kerana mereka sudah tidak pandai membaca al-Quran. Inilah bahananya dasar Umno. Rakyat kena persoalkan, kemana Umno nak bawa rakyat. Nak kata Umno nak bawa ke jalan agama, jelas Umno sudah buat banyak perkara yang bercanggah dengan kehendak Islam seperti melarang guna Bulan Bintang dan tulisan jawi!

Pekara ketiga, layak juga dipersoalkan kepada pemimpin Umno, apakah tujuan sebenar Umno lawan sangat PAS ini? Sedangkan PAS sudah diakui sebagai parti yang berjuang untuk Islam, demi untuk melaksanakan pentadbiran dan mengamalkan sistem masyarakat islam di Negara ini. Boleh jadi, Umno lawan PAS atas dasar demokrasi.

Jika begitu, kaedah demokrasi sebenarnya mengajar kita supaya berlaku adil kepada semua pihak. Apabila bertanding dalam pilihan raya, hendaklah mengamalkan pilihan raya yang adil dan bersih, tiada ugut-mengugut dan sogok-menyogok. Jika PAS menang, kena terima itu mandat rakyat dan perlu dihormati. Persoalannya, apa pasal pula Umno begitu gah kononnya berjuang ikut demokrasi, tetapi prinsip demokrasi tidak sedikit pun dipatuhi?

Tengok saja atas isu wang royalti petroleum. Sekian lama negeri Terengganu di bawah kuasa BN, royalti minyak dibayar kepada kerajaan negeri . Tetapi bila saja PAS menang di Terengganu tahun 1999, setahun selepas itu royalti sudah ditarik dan ditukar pula kepada wang ihsan. Itupun sudah tidak diberi kepada kerajaan negeri. Ia disalur terus kepada Umno bahagian. Semuanya adalah bukti Umno sendiri tidak hormat, malah melakukan perkara yang bercanggah dengan prinsip demokrasi.

Benarlah Umno yang mendakwa berpegang dengan prinsip demokrasi, hakikatnya Umno tidak mematuhi prinsip demokrasi.

Cuba kita renungkan sedikit, bagaimana Islam pula mengajar umatnya berjuang. Sesungguhnya Islam adalah lebih bertamadun berbanding demokrasi, kerana demokrasi tidak mengajar soal dunia dan akhirat. Namun, Islam dikatakan lebih bertamadun kerana mengajar kita dengan prinsip bahawa ‘apa saja yang kita perjuangkan, semuanya akan disoal oleh Allah SWT di akhirat.’ Prinsip seumpama ini adalah selari dengan prinsip ‘sembahyang ku, ibadat ku, hidup ku dan mati ku, semuanya kerana Allah Tuhan yang memelihara dan mentadbir sekalian alam.’ Barang ini (prinsip ini) tidak ada dalam perjuangan Umno.

Sebab itulah kita berani katakan bahawa perjuangan Umno adalah perjuangan sekular. Lebih-lebih lagi, Umno dilihat lebih mengutamakan pembangunan berteraskan kebendaan semata-mata. Maka, tidak ada bezanya perjuangan Umno itu dengan perjuangan parti politik di Barat yang mementingkan pembangunan dan kemajuan semata-mata. Sebab itulah, perjuangan Umno mengasingkan prinsip agama dengan politik. Maka jadilah Umno sebagai parti sekular, iaitu sebuah parti yang mengamalkan politik suku, agama suku. Ia memberi makna, semacam kerja politik sudah tidak berdosa lagi. Sebab itulah ada pemimpin Umno berani melakukan segala amalan politik yang bercanggah dengan ajaran agama. Mereka mengamalkan politik wang, politik ugut dan politik paksa. Sedangkan kesemuanya itu bercanggah dengan ajaran Islam dan dilarang keras oleh Nabi Muhammad SAW.

(Akhirnya), perkara keempat mengenai perjuangan Umno ialah amalan salah Umno yang sentiasa mengasing-asingkan rakyat dengan membeza-bezakan rakyat mengikut kaum-kaum. Akibat amalan salah Umno itu, akhirnya orang Melayu dibeza-bezakan dengan bukan Melayu dan paling salah membeza-bezakan antara Melayu yang sokong Umno sebagai Melayu-Umno dan yang sokong PAS sebagai Melayu-PAS.

Kemudian berlaku pula pengasingan antara hak melayu dengan hak bikan-Melayu, dikuti pula hak Melayu-Umno dengan hak Melayu-PAS. Paling teruk juga, orang Melayu-PAS telah dibeza-bezakan dari segi jawatan dan kenaikan pangkat, subsidi dan bantuan, dan hak-hak antara negeri diperintah Umno dengan negeri diperintah PAS. Seperti juga berlaku pada akhir-akhir ini, bila mana persoalan wang royalti petroleum untuk Kelantan sendiri tidak diberikan kepada kerajaan negeri, sedangkan kepada kerajan negeri Sabah dan Sarawak terus diberi. Apa yang berlaku, ‘royalti’ ditukar kepada ‘ihsan’ dan pemberian ihsan pula adalah kepada Umno bahagian.

Demikianlah, buruknya amalan membeza-bezakan itu. Ia telah mendera rakyat Kelantan, kerana kerajaan negeri Kelantan hari ini adalah dipilih atas hak dan kehendak rakyat. Amalan Umno sebegitu telah menepikan langsung nilai keadilan yang diajar oleh Islam. Sekaligus bertentangan dengan ajaran Tauhid Islam. Mengikut ajaran Tauhid, bukan hanyaTuhan itu Satu, tetapi satu segala-galanya. Hatta manusia yang berbagai-bagai bangsa itupun adalah disatukan di bawah satu keturunan iaitu keturunan Adam AS.

Oleh itu kembalilah kita kepada ajaran Islam, sesunguhnya sistem Islam adalah benar dan adil untuk semua. Ingatlah, firman Allah (surah Ali-Imran 3:102-103) bermaksud, “wahai orang-orang yang beriman! Bertakwalah kamu kepada Allah dengan sebenar-benar takwa dan jangan sekali-kali kamu mati melainkan dalam keadaan Islam. Dan berpegang teguhlah kamu sekalian kepada tali Allah (agama Islam) dan janganlah kamu bercerai-berai .”

Sebenanrya Allah SWT tidak menerima segala amalan kita, melainkan kita beramal dengan ajaran Islam yang syumul. Menolak perjuangan Umno sudah pasti membebaskan diri kita daripada segala-gala amalan salah.

Penghujung catatan

Demikianlah, catatan yang sempat saya olah untuk bacaan dan cedukan demi mengukuhkan keyakinan kita semua kepada perjuangan Islam.

Bersesuaian pula dengan musim kempen pilihan raya kecil Hulu Selangor, kerana di sananya pengaruh pemikiran Umno dikatakan begitu pekat. Disokong lagi dengan sekian lama pengundi di sana dipengaruhi kuasa kerajaan Umno, maka sewajarnya pengundi Hulu Selangor dapat memahami isi kandungan ilmu Tuan Guru Nik Aziz, lantas mengambil iktibar atas ilmunya itu. Semoga pengundi yang bakal mengundi 25 April nanti tidak terus terbelenggu dengan kempen kotor pihak Umno dan kuncu-kuncunya.

Dicatat oleh:

Wan Nik Wan Yussof

Setiausaha Politik Menteri Besar Kelantan.

Sabtu, 3 Jamadilawal 1431/17 April 2010.

2 ulasan:

  1. Assalamualaikum Azhabrar

    salam ziarah

    Alhamdulillah
    terima kasih

    Wassalam

    BalasPadam
  2. Saya x pon menyokong UMNO sepenuhnya tp x de lah saya menidakkan jasa mereka selama ini. Cuma saya hairan perinsip berubah-rubah (x konsisten) itu yg membuat sata ragu2 pada segelintir pemimpin yg ada enda tersendiri....

    BalasPadam

PIHAK KAMI TIDAK BERTANGGUNGJAWAP DENGAN KOMEN YANG MENYALAHI UNDANG-UNDANG MALAYSIA

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails