Selamat Datang

Isnin, 22 Mac 2010

AL-QURAN


Menghafal Al quran merupakan di antara amalan dan pekerjaan yang sangat mulia di sisi Allah, begitu juga penghafalnya sehingga junjungan Baginda Rasulullah SAW ada menyatakan bahawa "semulia-mulia ummatku ialah penghafal Al-quran" dan juga sabdanya " Sebaik-baik kamu ialah mereka yg mempelajari Al quran dan mengajarkannya".

Al-Quran ialah Kitabullah yang terakhir yang diturunkan kepada Nabi Muhammad s.a.w. Al-Quran merupakan senjata yang paling mujarab yang melimpah ruah, mata air yang tidak mungkin kering, di dalamnya penuh dengan nur hidayah rahmat dan zikir.

Al-Quran diturunkan untuk mengajar manusia tentang pengesaannya kepada Allah (tauhid). Konsep ibadat yang jelas dan menyeluruh agar manusia sentiasa mendapat bekalan yang baru dan segar. Mengajak manusia berfikir tentang ciptaan, pengawasan dan penjagaan yang ditadbirkan oleh yang Maha Agong agar dapat mengenal sifat-sifatNya yang Unggul.

Di dalam Al-Quran dipaparkan juga contoh tauladan dan juga kisah-kisah yang benar berlaku sebelum turunnya Al-Quran dan pada masa penurunan Al-Quran. Dengan itu manusia mendapat pengajaran dan panduan dalam mengharungi kehidupan sebagai muslim yang sejati dan benar dalam semua bidang kehidupan.

Al-Quran menjelaskan juga persoalan tentang akhir kehidupan manusia, situasi terakhir yang akan dirasai oleh manusia sebelum bumi ini dihancurkan oleh Allah untuk bermulanya hari qiamat dan nasib tiap-tiap insan sama ada ke syurga atau ke neraka.

Sebelum Al-Quran diturunkan ada banyak kitab suci dan suhuf yang diturunkan oleh Allah S.W.T kepada nabi-nabi dan rasul-rasulNya. Antara yang termasyhur ialah kitab Zabur yang diturunkan kepada nabi Daud a.s, kitab Taurat yang diturunkan kepada nabi Musa a.s, dan kitab Injil yang diturunkan kepada nabi Isa a.s tetapi tidak syak lagi bahawa Al-Quran adalah kitab yang paling utama dan termulia di sisi Allah S.W.T.

Dalam sebuah hadis, Rasulullah s.a.w telah bersabda yang berbunyi:

Dari Aisyah r.a telah bersabda Rasulullah s.a.w:
Sesungguhnya tiap-tiap sesuatu itu mempunyai kemegahan yang mana manusia berbangga dengannya dan menjadi kemegahan kebanggaan umatku ialah Al-Quran yang mulia.

Al-Quran terpelihara dan susunannya tidak berubah-ubah dan tidak boleh dipinda atau dihapuskan. Walaupun banyak usaha dilakukan oleh musuh-musuh Islam untuk mengubah dan meminda isi kandungan Al-Quran atau memutar belit ayat-ayat dan surah-surah, setiap kali usaha itu dibuat ia tetap dapat diketahui termasuk juga usaha golongan-golongan kuffar.

Al-Quran adalah satu perlembagaan yang lengkap bagi semua aspek kehidupan, mengandungi semua yang dihajati oleh manusia walaupun sebahagian daripada huraiannya tidak terperinci. Tujuannya Allah menyuruh manusia menggunakan fikiran yang sihat dan sempurna untuk mencari dan mengkaji berpandukan saranan yang diberi oleh Allah S.W.T.

Dalam Al-Quran Allah S.W.T berfirman:

Sesungguhnya telah datang kepada kau cahaya kebenaran (Nabi Muhammad s.a.w) dari Allah dan sebuah Kitab (Al-Quran) yang jelas nyata kebenarannya dengan itu Allah menunjukkan jalan keselamatan serta kesejahteraan kepada sesiapa yang mengikut keredhaanNya dan denganya Tuhan keluarkan mereka dari kegelapan (kufur) kepada cahaya (iman) yang terang benderang dengan izinNya dan dengannya juga Tuhan menunjukkan mereka ke jalan yang betul dan harus.
(Surah Al-Maidah: 14 &15)

Firman Allah S.W.T lagi:

Kitab Al-Quran ini tidak ada sebarang syak padanya dan ianya menjadi petunjuk bagi orang yang bertaqwa.
(Surah Al-Baqarah: 2)

Sebuah hadis dari Rasulullah s.a.w berbunyi:

Abu Zar r.a berkata bahawa beliau meminta Rasulullah s.a.w memberi satu pesanan yang berpanjangan. Rasulullah s.a.w bersabda:
“Semaikanlah perasaan taqwa kepada Allah kerana ia adalah sumber bagi segala amalan-amalan baik. Aku meminta supaya baginda menambah lagi. Tetapkanlah membaca Al-Quran kerana ia adalah nur untuk kehdupan ini dan bekalan untuk hari akhirat.”

Kita dikehendaki membaca, mendalami dan menghayati isi kandungan Al-Quran kerana ia diturunkan bukan untuk dijadikan perhiasan sahaja, dengan itu kita mendapat faedah yang besar bukan sahaja pahala da keredhaan Allah tetapi juga kegunaan lain dalam kehidupan sehari-hari.

Membaca Al-Quran dikira sebagai berzikir dan zikir membaca Al-Quran lebih afdal dan utama daripada zikir-zikir yang lain. Oleh itu membaca Al-Quran adalah sebagai ibadat tetapi tidaklah melebihi daripada ibadat-ibadat yang wajib.

Dalam sebuah hadis Rasulullah bersabda:

Semulia-mulia ibadat umatku ialah membaca Al-Quranul Karim ( ibadat yang bukan wajib).

Membaca Al-Quran disifatkan sebagai santapan rohani kepada tiap-tiap orang Islam.



Rasulullah s.a.w bersabda dalam sebuah hadis berbunyi:

Sesungguhnya Al-Quran ini ialah hidangan Allah S.W.T maka hendaklah kamu terima hidangan Allah sebanyak mana yang kamu boleh.

Al-Quran juga merupakan senjata yang paling berkesan untuk membersihkan jiwa dan menyinarkannya.

Dalam sebuah hadis Rasulullah s.a.w bersabda:

Daripada Ibnu Umar r.a berkata:
“Rasulullah s.a.w telah bersabda, hati manusia akan berkarat seperti besi yang dikaratkan oleh air. Apakah cara untuk menjadikan hati bersinar semula. Katanya dengan banyak mengingati mati dan membaca Al-Quran.”




PAHALA MEMBACA AL-QURAN

Allah S.W.T. Yang Maha Pemurah memberi pahala yang amat besar kepada orang yang membaca Al-Quran, tiap-tiap satu huruf ada pahalanya dan tiap-tiap satu ayat pun ada ditentukan pahalanya yang tidak sama antara satu dengan yang lain.

Pahala tiap-tiap huruf Al-Quran dijelaskan dalam sebuah Hadis dari Ibnu Masud r.a dari Rasulullah s.a.w:

Daripada Ibnu Masud r.a telah berkata bahawa Rasulullah s.a.w telah bersabda/;
Barangsiapa membaca satu huruf daripada Kitabullah maka baginya satu kebajikan dan setiap kebajikan sepuluh kali gandanya. Aku tidak mengatakan Alif Laam Miim satu huruf tetapi Alif satu huruf, Lam satu huruf dan Mim satu huruf.

Mengenai pahala tiap-tiap ayat telah disebut dalam beberapa hadis antaranya yang diriwayatkan daripada Abi Hurairah r.a telah bersabda Rasulullah s.a.w:

Sesiapa yang membaca Al-Quran sepuluh ayat dalam satu malam tidak dimasukkan ke dalam golongan yang lalai.


Sesiapa yang memelihara sembahyang fardu tidak termasuk dalam golongan yang lalai dan sesiapa yang membaca 100 ayat pada satu malam dimasukkan ke dalam golongan yang taat.


Barangsiapa yang mendengarkan satu ayat daripada Al-Quran ditulis baginya satu kebajikan yang berlipat kali ganda dan barang siapa yang membacanya adalah baginya cahaya pada hari Qiamat.

Adapun pahala membaca surah-surah banyak diriwayatkan dalam hadis-hadis Rasulullah s.a.w antaranya:

Sesiapa yang mambaca surah Yasin dipermulaan hari, segala hajatnya bagi hari itu dipenuhi.


Sesiapa yang membaca surah al-Waqiah pada tiap-tiap malam kebuluran/kepapaan tidak akan menima dirinya.

Selain daripada pahala yang disebut sebelum ini, pahala membaca dalam solat dan pahala membaca dengan berwuduk lebihbesar ganjarannya daripada tidak berwuduk. Berpandukan Hadis Rasulullah s.a.w yang panjang dapat disimpulkan seperti berikut:

1. Pahala membaca Al-Quran dalam solat bagi tiap-tiap satu huruf seratus kebajikan.
2. Pahala membaca dengan berwuduk di luar solat bagi tiap-tiap satu huruf sepuluh kebajikan.


Jumaat, 19 Mac 2010

AL-HADIS

يَا مَعْشَرَ الْمُهَاجِرِينَ خَمْسٌ إِذَا ابْتُلِيتُمْ بِهِنَّ وَأَعُوذُ بِاللَّهِ أَنْ تُدْرِكُوهُنَّ لَمْ تَظْهَرِ الْفَاحِشَةُ فِى قَوْمٍ قَطُّ حَتَّى يُعْلِنُوا بِهَا إِلاَّ فَشَا فِيهِمُ الطَّاعُونُ وَالأَوْجَاعُ الَّتِى لَمْ تَكُنْ مَضَتْ فِى أَسْلاَفِهِمُ الَّذِينَ مَضَوْا. وَلَمْ يَنْقُصُوا الْمِكْيَالَ وَالْمِيزَانَ إِلاَّ أُخِذُوا بِالسِّنِينَ وَشِدَّةِ الْمَؤُنَةِ وَجَوْرِ السُّلْطَانِ عَلَيْهِمْ. وَلَمْ يَمْنَعُوا زَكَاةَ أَمْوَالِهِمْ إِلاَّ مُنِعُوا الْقَطْرَ مِنَ السَّمَاءِ وَلَوْلاَ الْبَهَائِمُ لَمْ يُمْطَرُوا وَلَمْ يَنْقُضُوا عَهْدَ اللَّهِ وَعَهْدَ رَسُولِهِ إِلاَّ سَلَّطَ اللَّهُ عَلَيْهِمْ عَدُوًّا مِنْ غَيْرِهِمْ فَأَخَذُوا بَعْضَ مَا فِى أَيْدِيهِمْ. وَمَا لَمْ تَحْكُمْ أَئِمَّتُهُمْ بِكِتَابِ اللَّهِ وَيَتَخَيَّرُوا مِمَّا أَنْزَلَ اللَّهُ إِلاَّ جَعَلَ اللَّهُ بَأْسَهُمْ بَيْنَهُمْ

Maksudnya:

Wahai golongan Muhajirin, ada lima perkara jika terjadi kepada kamu, maka aku berlindung dari Allah daripada terjadi kepada kamu –
1. Apabila sesuatu kaum melakukan penzinaan secara terang-terangan maka mereka akan diserang dengan penyakit taun dan kelaparan yang belum pernah dialami oleh nenek moyang mereka.
2. Apabila mereka mengurangi timbangan dan ukuran, mereka akan dihukum dengan kepapaan dan kemiskinan serta kezaliman pihak penguasa.
3. Apabila mereka enggan membayar zakat, hujan tidak akan turun dari langit. Kalaulah tidak kerana adanya haiwan dan binatang ternak tidaklah akan diturunkan hujan.
4. Apabila mereka yang melanggar janji Allah dan Rasul-Nya, maka mereka akan dijajah oleh musuh daripada bangsa lain, yang akan merampas sebahagian daripada harta mereka.
5. Apabila para pemimpin tidak menjalankan hukum-hukum yang terdapat dalam kitabullah, maka sengketa akan berlaku sesama mereka.

Hadis Riwayat Ibn Majah. (SUMBER)


KELEBIHAN WANITA


a. Kelebihan wanita daripada Lelaki
1. Doa wanita lebih makbul daripada lelaki kerana sifat penyayang yang lebih kuat daripada lelaki. Ketika ditanya kepada Rasulullah S.A.W akan hal tersebut,jawab baginda:

"Ibu lebih penyayang daripada bapa dan doa orang yang penyayang tidak akan sia-sia."

2. Wanita yang solehah itu lebih baik daripada 1,000 orang lelaki yang soleh.

b. Anak Perempuan lebih istimewa
3. Barang siapa yang menggembirakan anak perempuannya, darjatnya seumpama orang yang sentiasa menangis kerana takutkan Allah S.W.T dan orang yang takutkan Allah S.W.T akan diharamkan api neraka ke atas tubuhnya.

4. Barang siapa yang membawa hadiah (barang makanan ke rumah) lalu diberikan kepada keluarganya, maka pahalanya seperti bersedekah. Hendaklah mendahulukan anak perempuan daripada anak lelaki. Maka barang siapa yang menyukakan anak perempuan seolah-olah dia memerdekakan anak Nabi Ismail A.S

5. Wanita yang tinggal bersama anak-anaknya akan tinggal bersama aku (Rasulullah S.A.W) di dalam syurga.

6. Barang siapa mempunyai tiga anak perempuan atau tiga saudara perempuan atau dua anak perempuan atau dua saudara perempuan, lalu dia bersikap ihsan dalam pergaulan dengan mereka dan mendidik mereka dengan penuh rasa takwa serta bertanggungjawab, maka baginya adalah syurga.

7. Daripada Aisyah r.a. "Barang siapa yang diuji dengan sesuatu daripada anak-anak perempuannya, lalu dia berbuat baik kepada mereka, maka mereka akan menjadi penghalang baginya daripada api neraka.


c. Kelebihan Ibu
8. Syurga itu di bawah telapak kaki ibu.

9. Apabila memanggil akan engkau dua orang ibubapamu, maka jawablah panggilan ibumu dahulu.

d. Kelebihan Taat Kepada Suami
10. Wanita yang taat berkhidmat kepada suaminya akan tertutup pintu-pintu neraka dan terbuka pintu-pintu syurga. Masuklah dari mana-mana pintu yang dia kehendaki dengan tidak dihisab.

11. Wanita yang taat akan suaminya, semua ikan-ikan di laut, burung di udara, malaikat di langit, matahari dan bulan, semuanya beristighfar baginya selama mana dia taat kepada suaminya dan direkannya(walinya) (serta menjaga sembahyang dan puasanya).

12. Aisyah r.a berkata "Aku bertanya kepada Rasulullah S.A.W, siapakah yang lebih besar haknya terhadap wanita? Jawab baginda, "Suaminya." "Siapa pula berhak terhadap lelaki?" Jawab Rasulullah S.A.W, "Ibunya."


e. Ibadah Wanita;
13. Wanita apabila sembahyang lima waktu, puasa sebulan Ramadan, memelihara kehormatannya serta taat akan suaminya, masuklah dia dari pintu syurga mana sahaja yang dia kehendaki.

14. Setiap wanita yang menolong suaminya dalam urusan agama, maka Allah S.W.T memasukkan dia ke dalam syurga lebih dahulu daripada suaminya (10,000 tahun).

f. Keistimewaan wanita Dalam melahirkan dan menjaga Anak .


15. Apabila seseorang wanita mengandung janin dalam rahimnya, maka beristighfarlah para malaikat untuknya. Allah S.W.T mencatatkan baginya setiap hari dengan 1,000 kebaikan dan menghapuskan darinya 1,000 kejahatan.

16. Apabila seseorang wanita mulai sakit hendak bersalin, maka Allah S.W.T mencatatkan baginya pahala orang yang berjihad pada jalan Allah S.W.T

17. Apabila seseorang wanita melahirkan anak, keluarlah dia daripada dosa-dosa seperti keadaan ibunya melahirkannya.

18. Apabila telah lahir seorang anak lalu disusui, maka bagi ibu itu setiap satu tegukan daripada susunya diberi satu kebajikan.

19. Apabila semalaman seorang ibu tidak tidur dan menjaga anaknya yang sakit, maka Allah S.W.T memberinya pahala seperti memerdekakan 70 orang hamba dengan ikhlas untuk membela agama Allah S.W.T (sumber)

Khamis, 18 Mac 2010

PERKARA YANG MEMBATALKAN SYAHADATAIN


7. Benci atau menentang satu-satu perkara yang berhubung dengan Islam atau membenci agama Islam seluruhnya.

Firman Allah yang bermaksud,

' Dan oroang-orang yang kafir, maka kecelakaanlah bagi mereka dan Allah menyesatkan amal-amal mereka. Yang demikian itu adalah kerana sesungguhnya mereka membenci kepada apa yang diturunkan Allah (Al-Quran) lalu Allah menghapuskan (pahala-pahala) amal-amal mereka. (Muhammad: 8-9)

Dalam hadis, Sabda Rasulullah yang bermaksud,

'Tidak beriman sesaorang daripada kamu sehingga ia telah meletakkan hawa nafsunya mengikuti apa yang aku bawa dengannya.'

Termasuk juga yang meruntuhkan syahadatain ialah membenci atau tidak setuju dengan salah satu daripada hukum Islam seperti undang-undang atau hukum ibadat, iktisad,muamalat, siasah atau politik, undang-undang di masa damai atau undang-undang di masa perang, akhlak, peraturan dalam masyarakat, dalam bidang ilmu dan sebagainya.

Apa saja corak kebencian atau pertentangan terhadap apa-apa yang terkandung dalam ayat Al-Quran atau Hadis atau menentang konsep atau pengertian penyeluruhan sunnah yang dibawa oleh Rasulullah samada kata-kata, perbuatan, pengakuan atau sifat-sifatnya, maka ia terkeluar daripada islam dan hancur musnah syahadatainnya.

8. Mencintai kehidupan dunia mengatasi kecintaan kepada akhirat dan menjadikan dunia ini sebagai matlamat utama yang unggul dalam hidupnya.

Firman Allah yang bermaksud,

'Dan kecelakaanlah bagi orang-orang kafir kerana siksaan yang sangat pedih, (iaitu) orang yang lebih menyukai kehidupan dunia dari kehidupan akhirat dan menghalang-halangi manusia dari jalan Allah dan menginginkan agar jalan Allah itu bengkok. Mereka itu berada dalam kesesatan yang jauh,'

' Barangsiapa yang menghendaki kehidupan dunia dan perhiasannya, nescaya kami berikan kepada mereka balasan pekerjaan mereka di dunia dengan sempurna dan mereka di dunia itu tidak akan dirugikan. Itulah orang-orang yang tidak memperoleh akhirat kecuali neraka dan lenyaplah di akhirat itu apa yang mereka usahakan di dunia dan sia-sialah apa yang telah mereka kerjakan.'(Hud: 15-16).

Firman Allah yang bermaksud,

'Barangsiapa yang menghendaki keuntungan di akhirat akan kami tambah keuntungan itu baginya dan barangsiapa yang menghendaki keuntungan di dunia kami berikan kepadanya sebahagian keuntungan dunia dan tidak ada baginya suatu bahagianpun di akhirat.'(AsySyuura:20)

'Katakanlah; Jika bapa-bapa,anak-anak, saudara-saudara, isteri-isteri kaum keluargamu, harta kekayaan yang kamu usahakan, perniagaan yang kamu kuatiri kerugiannya dan rumah-rumah tempat tinggal yang kamu sukai, adalah lebih kamu cintai daripada Allah dan Rasulnya dan dari berjihad di jalannya, maka tunggulah sampai Allah mendatangkan keputusannya. Dan Allah tidak memberi petunjuk kepada orang-orang fasiq.'(At-Taubah:24)



Rabu, 17 Mac 2010

KELEBIHAN ILMU


“Bacalah dengan (menyebut) nama Tuhanmu yang menciptakan. Dia telah menciptakan manusia dari segumpal darah. Bacalah! Dan Tuhanmu Yang Paling Pemurah. Yang telah mengajar (manusia) dengankalam. Dia yang mengajarkan kepada manusia apa yang tidak diketahuinya”. (Al-‘Alaq : 1-5)

Perintah pertama yang Allah turunkan kepada nabi Muhammad ialah membaca. Membaca ialah sumber ilmu. Begitulah kepentingan ilmu kepada umat manusia. Mengapakah ilmu begitu penting? Ini kerana ilmu adalah alat dalam penerimaan ibadat. Syariat yang disampaikan oleh Allah adalah satu ilmu. Dan untuk melaksanakan syariat kita mestilah berilmu.
Sabda Rasulullah S.a.w: “ Menuntut ilmu adalah kewajipan bagi setiap muslim dan muslimat”.

Ilmu di dalam bahasa arab bermaksud mengetahui atau perbuatan yang bertujuan untuk mengetahui sesuatu perkara sebenar. Ilmu juga boleh didefinisikan sebagai petunjuk; makrifat; ilmu adalah ingatan, imaginasi, imej pandangan atau pendapat; dan ilmu juga adalah proses mengetahui , orang yang mengetahui dan apa yang diketahui; dan ilmu juga adalah sifat yang membolehkan seseorang itu mengetahui.

Firman Allah:
“(Petunjuk itu) sebagaimana kami telah mengutus seorang Rasul dari golonganmu yang membacakan ayat-ayat Kami kepadamu, membersihkan kamu (dari sifat syirik dan lain-lain kelakuan jahat), mengajarkan kepadamu (isi) kitab (Al-Quranul Karim) dan hikmah, serta mengajarkan kepadamu hal-hal yang belum kamu ketahui” (Al-Baqarah: 151)

Bagaimanakah kita memperolehi ilmu? Sumber ilmu adalah akal, pancaindera dan ilham. Sumber-sumber ini hendaklah dijaga dengan baik agar kita dapat menggunakan manfaatnya semaksima yang mungkin bagi memperolehi ilmu yang berfaedah, berkat dan diredhai Allah. Janganlah pula sumber-sumber ini digunakan untuk mencari ilmu yang jahat, tidak berfaedah dan menyusahkan orang lain. Bertanya juga ialah anak kunci kepada ilmu.

Daripada Ali bin Abi Talib r.a berkata : Rasulullah S.a.w bersabda: “ Ilmu itu seperti gudang, dan kuncinya adalah bertanya. Maka hendaklah kamu sering bertanya semoga kamu diberi rahmat oleh Allah Ta’ala. Maka sesungguhnya dari pertanyaan itu diberi pahala akan empat orang. Pertama orang yang bertanya. Kedua guru yang menjawab. Ketiga orang yang mendengar jawapan itu. Keempat orang yang cinta kepada mereka”.

Sesungguhnya orang yang berilmu mempunyai banyak kelebihan. Diantaranya ialah pahala yang berterusan. Daripada Abu Hurairah r.a. beliau berkata, bahawa Rasulullah S.a.w bersabda : “Apabila mati seorang anak adam maka terputuslah segala amalannya kecuali tiga perkara: Pertama sedekah jariah. Kedua ilmu yang memberi mnfaat. Ketiga doa anak yang soleh yang mendoakan baginya”. (Hadith riwayat Muslim)
Allah juga berfirman:
“Allah memberikan hikmah (ilmu yang bermanfaat) kepada sesiapa yang dikehendakiNya. Siapa yang memperoleh hikmah itu, sesungguhnya telah memperolehi kebajikan yang banyak. Dan hanya orang-orang yang berakallah yang mengendahkan peringatan”. (Al-Baqarah : 269)

Apabila kita memperolehi ilmu, kita hendaklah mengajarkannya pula kepada orang lain. Ini kerana mengajar itu sedekah yang paling baik.
Daripada Abu Hurairah r.a. berkata, sesungguhnya Rasulullah S.a.w telah bersabda: “Sebaik-baik sedekah itu ialah seorang Muslim belajar sesuatu ilmu, kemudian dia mengajarkannya kepada muslim yang lain”. (Hadith riwayat Ibnu Majah)

Abdullah bin Mas’ud r.a berkata: Rasulullah saw. bersabda: “Tidak ada hasad (iri) yang dibenarkan kecuali terhadap dua orang, yaitu terhadap orang yang Allah berikan harta, ia menghabiskannya dalam kebaikan dan terhadap orang yang Allah berikan ilmu, ia memutuskan dengan ilmu itu dan mengajarkannya kepada orang lain”. (Sahih Muslim)

Banyak kelebihan bagi orang yang menuntut ilmu. Daripada Wasilah bin Asqoq r.a. berkata: bersabda Rasulullah S.a.w: “Barangsiapa mencari ilmu lalu ia mendapatkanya maka baginya dua pahala. Dan barangsiapa mencari ilmu tetapi tidak mendapatkannya maka baginya dapat satu pahala”. (Hadith riwayat Al-Darami)

Orang yang berilmu juga mempunyai banyak kelebihan dan kehebatan. Sabda Rasulullah S.a.w: “ Seseorang yang alim itu lebih kuat pengaruhnya atas syaitan daripada seribu abid (yang tidak alim)”. (Hadith riwayat At-Tarmizi, ibn Majah)

Orang yang alim juga hidupnya berkat. Dia sentiasa mencari pengetahuan dan mengajarkannya pula kepada orang lain. Sebagaimana sabda Rasulullah S.a.w:
“Orang yang paling baik itu ialah orang yang alim. Jika ia diperlukan maka ia akan memberi manfaat kepada orang lain. Dan jikalau ia tidak diperlukan maka ia mencukupkan dirinya sendiri (tidak menyusahkan orang lain)”.

Rasulullah S.a.w bersabda: “Sampaikanlah apa yang kamu dengar daripadaku walaupun sepotong ayat”. Segala ilmu berfaedah yang diperolehi hendaklah disampaikan kepada orang lain, agar kita sama-sama mendapat keberkatan dan rahmatnya.

Namun begitu, kita juga hendaklah berhati-hati ketika menyampaikan sesuatu ilmu. Kita dituntut menyampaikan ilmu yang berfaedah dan orang lain dapat memanfaatkan ilmu itu dengan sebaiknya. Janganlah pula kita menyampaikan ilmu yang boleh menghancurkan dan memusnahkan orang lain.

Daripada Abu Hurairah r.a. berkata: “Aku telah ingat daripada Rasulullah S.a.w. dua jenis ilmu. Adapun yang pertama telah aku sebarkan kepada kamu semua (para Tabi’in. adapun yang satu lagi seandainya aku sampaikan kepada kamu nescaya akan dipotong leherku ini”Bagaimanakah kita hendak memelihara ilmu? Peliharalah ilmu dengan menulisnya. Ini kerana apabila kita menulis, kita dapat membacanya, dan orang lain juga memperoleh faedah daripada tulisan itu.

Daripada Abu Hurairah r.a. berkata: seorang lelaki dari kalangan orang Ansar telah datang mengadukan hal kepada RAsulullah S.a.w. Dia berkata: wahai Rasulullah! Aku sesungguhnya telah mendengar perkataanmu dan aku sangat kagum dan hairan dengan keindahannya, tetapi aku tidak dapat menghafaznya. Maka apa yang perlu aku lakukan? Maka sabda Nabi S.a.w : “Hendaklah engkau menggunakan tangan kananmu”. Sambil mengisyaratkan hendaklah dia menulis apa yang dia dengarkan.
Lebih banyak kita menulis, lebih luas ilmu yang kita dapat. Daripada Abu Hurairah r.a. berkata : “Tidak ada dari keseluruhan sahabat Rasulullah S.a.w yang paling banyak meriwayatkan hadith lebih daripada aku, kecuali Abdullah bin Umar, maka dia lebih banyak daripada aku, kerana dia menulis dan aku tidak menulis”.

Daripada Anas Bin Malik, katanya, Rasulullah bersabda yang bermaksud: “Sesiapa yang menghadiri majlis ilmu pada Ramadan, Allah mencatat setiap langkahnya menyamai ibadat setahun dan dia bersamaku (Rasulullah) di bawah Arasy”. Sesungguhnya setiap kali kita menuntut ilmu, kita akan mendapat berkat. Kita digalakkan menuntut ilmu tanpa mengira usia. Biasakanlah diri kita menghadiri kuliah ilmu samada secara formal atau tidak formal.

Begitulah banyaknya kelebihan ilmu. Oleh itu kita dituntut untuk mencari ilmu sebagai keperluan di dunia dan menjamin kita di akhirat. Janganlah pula kita mencari ilmu yang boleh menyusahkan orang lain.

Perlu diingatkan, sebaik-baik adab mencari ilmu, kita hendaklah berguru. Guru tesebut mestilah alim dan mursyid. Janganlah kita mencari guru yang salah tafsiranya terhadap ilmu tersebut. Dan guru tersebut hendaklah berpegang kepada Al-Quran dan As-Sunnah. Rasulullah bersabda:"Aku tinggalkan kepada kamu dua perkara yang jika kamu berpegang padanya tidaklah kamu akan sesat selamanya iaitu kitab Allah (Al-Quran) dan sunnah rasulNya".

Syaikh Muhammad bin Shalih Al-Utsaimin pernah ditanya tentang perkara tersebut. Beliau menjawab:"Tidak diragui lagi bahawa ilmu boleh diperolehi dengan mempelajarinya daripada para ulama dan daripada kitab. Ini kerana, kitab seorang ulama adalah ulama itu sendiri, dia berbicara kepadamu tentang isi kitab itu. Jika tidak dapat menuntut ilmu daripada ahli ilmu maka dia boleh mencari ilmu daripada kitab. Akan tetapi memperolehi ilmu melalui ulama lebih dekat (mudah) daripada memperolehi ilmu melalui kitab, ini kerana orang yang memperolehi ilmu melalui kitab akan banyak menemui kesulitan dan memerlukan kesungguhan yang besar, dan akan banyak perkara yang akan dia fahami secara samar sebagaimana terdapat di dalam kaedah syar’iyyah dan batasan yang ditetapkan oleh para ulama. Maka dia hendaklah mempunyai tempat rujukan di kalangan ahli ilmu semampu mungkin.

Renung-renungkanlah…
Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud:”Sesiapa yang berkehendakkan dunia maka hendaklah ia berilmu, sesiapa yang berkehendakkan akhirat maka hendaklah ia berilmu dan sesiapa yang berkehendakkan kedua-duanya maka hendaklah ia berilmu.”
-Riwayat at-Tirmidzi- (sumber)


AL-HADIS


(يأتي على الناس زمان لا يبقى فيما يبقى من الإسلام إلا اسمه, ولا من القرآن إلا رسمه, مساجدهم عامرة وهي خرابٌ من الهدى, علماؤهم شر من تحت أديم السماء, من عندهم تخرج الفتنة وفيهم تعود)

Hadith di atas sangat popular menyatakan akhir zaman. Maknanya :

“Akan datang manusia di akhir zaman, tiadalah Islam kecuali tinggal nama, ALQuran pula hanya tinggal tulisan, masjid tersergam indah tetapi sunyi dari hidayah, ulama mereka sangat jahat, dan dari mulut mereka menaburkan fitnah kemudian kembali kepada diri mereka”.

Walaubagaimanapun, Syeikh Abdul Aziz Ibn Baz menyebut ianya hanya riwayat dari Saidini Ali RA dan tidak diketahui sahihnya. Tetapi yang pastinya maknanya sahih.
Muhasabah diri :

1- Islam tinggal nama. Pelaksanaannya tidak ada.

2- AlQuran tinggal tulisan. Tidak dibaca, hanya dipamerkan di premis-premis perniagaan dan rumah sebagai hiasan.

3- Masjid tersergam tetapi tiada jemaah. Orang ramai sembahyang dirumah masing-masing. Lebih malang yang tidak melakukan solat langsung!

4- Sebahagian ulama menyebarkan fitnah dan akhirnya kembali kepada diri mereka.
Adakah anda tidak melaksanakan islam secara total? Adakah anda tidak membaca AlQuran sedangkan beria-ia anda menyatakan ia kitab hidayah? Mengapa anda tidak hadirkan diri ke rumah-rumah Allah sedangkan anda suka sangat mengaku ianya tempat yang mulia dan tenang? Adakah anda terasa hebat lalu suka menyebarkan fitnah?

Mudah-mudahan Allah selamatkan diri kita dan masukkan dalam golongan orang-orang bertaqwa kepadaNya.. Amin..(SUMBER)

Isnin, 15 Mac 2010

AL-HADITH

Sabda Rasulullah saw,

"Mahukah kamu, saya beritahukan sesuatu tentang yang apabila kamu kerjakan kamu akan saling menyayangi? Budayakanlah ucapan salam diantara kamu"
(Muslim)

Sabtu, 13 Mac 2010

Perkara Yang membatalkan Syahadahtain

6. Menjalankan hukum yang lain daripada hukum Allah atau tidak merujuk kepada hukum Allah dalam sesuatu perkara.

Firman Allah yang bermaksud,

Barangsiapa yang tidak memutuskan menurut apa yang diturunkan Allah, maka mereka itu adalah orang-orang kafir. (Al-Maidah:44)

Firman Allah lagi yang bermaksud'

'Apakah kamu tidak memperhatikan orang-orang yang mengaku dirinya telah beriman kepada apa yang diturunkan kepada kamu dan kepada apa yang diturunkan sebelum kamu? Mereka hendak berhakimkan kepada thaghut pada hal mereka telah diperintahkan mengingkari thaghut itu. dan syaitan bermaksud menyesatkan mereka (dengan) penyesatan yang sejauh-jauhnya. Apabila dikatakan kepada mereka, Marilah kamu (tunduk) kepada hukum yang Allah turunkan dan kepada hukum Rasul, nescaya kamu lihat orang-orang munafiq menghalangi (manusia) dengan sekuat-kuatnya dari kamu'. (An-Nisa: 60-61)

Firman Allah lagi yang bermaksud'

'Dan hendaklah kamu memutuskan perkara di antara mereka menurut apa yang diturunkan Allah, dan janganlah kamu mengikut hawa nafsu mereka. Dan berhati-hatilah kamu terhadap mereka supaya mereka tidak memalingkan kamu dari sebahagian apa yang telah diturunkan Allah kepada kamu. Jika mereka berpaling (dari apa yang diturunkan Allah) maka ketahuilah bahawa sesungguhnya Allah menghendaki akan menimpa musibah kepada mereka disebabkansebahagian dosa mereka. Dan sesungguhnya kebanyakkan manusia adalah orang-orang yang fasiq. (Al-Maidah:49)

HUJAN TURUN SEBAIK NIK AZIZ KETUAI SOLAT SUNAT ISTISQA


KOTA BARU, 12 Mac – Solat sunat Istisqa’ yang diadakan memohon hujan pagi ini bukan sahaja menakjubkan 2,000 jemaah yang hadir bahkan rakyat negeri ini apabila kerahmatannya langsung terbukti sebaik sahaja solat dimulakan,

Hujan pun mula turun ketika bacaan surah al-Fatihah.

Solat yang dimulakan pada pukul 8.30 pagi ini itu diimamkan oleh Mursyidul Am PAS, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat.

Ia diadakan di Padang Perdana bersebelahan jalan berhadapan dengan Stadium Sultan Mohamad IV, dekat sini.

Hadir sama seluruh kepimpinan kerajaan negeri termasuk exco, Adun dan Ahli Parlimen dari parti Pakatan Rakyat.

Nik Aziz yang ditemui selepas solat sunat tersebut melahirkan rasa syukur tidak terhingganya kerana menganggap doa rakyat Kelantan minta diturunkan hujan itu segera dimakbulkan Allah SWT.

“Syukur, kita sembahyang Istisqa’ hari ini mendapat sambutan baik dan di tengah-tengah sembahyang itu turun hujan.

“Saya sendiri telah didedah oleh Allah dengan air hujan yang pertama semasa sembahyang hari ini sangat-sangat besarlah harapan, mudah-mudahan Allah beri pada kita bahagia di dunia dan akhirat.

“Tiada erti kita bahagia di dunia tetapi akhirat kelak kita masuk neraka. Dengan sebab itu saya berusaha supaya rakyat Kelantan faham bahawa kesusahan yang berlaku atas dunia ini adalah berpunca daripada dosa.

“Ayat-ayat Quran banyak menyebut bala yang menimpa manusia ini adalah berpunca daripada dosa.

“Oleh yang demikian kita kena pakat-pakat (sama-sama) tegur, nasihat, tak kiralah dalam apa jua pun keadaan termasuk politik, ekonomi kerana ini cara Islam, bukan cara demokrasi, bukan cara komunis dan juga sosialis, tapi cara Islam” katanya.

Menjawab soalan sama ada solat hajat dan solat istisqa yang diadakan pagi ini sebagai tradisi negeri Kelantan, beliau berkata “wallahualam. Yang pastinya nabi Muhammad SAW sendiri sembahyang istisqa’ setiap kali berlakunya kemarau”.(sumber)

Khamis, 11 Mac 2010

Antara Aqidah Dan Pilihanraya


“Pilihanraya tiada kaitan dengan persoalan di akhirat. Allah SWT tidak akan menyoal kita tentang siapakah yang kita pilih, siapakah yang kita undi kerana semua ini hanyalah perkara keduniaan semata-mata. Allah SWT hanya akan menyoal kita di akhirat tentang aqidah (dan amalan) kita. Apakah ini benar atau tidak? Allah akan soal tentang sembahyang kita, adakah ditunaikan atau tidak? Zakat kita, dikeluarkan atau tidak? Puasa kita, dilaksanakan atau tidak? Soal mengundi tidak akan ditanya di akhirat!”.

Kefahaman inilah yang mendorong saya untuk menulis artikel ringkas ini.

Pandangan sedemikian sebenarnya adalah sangat bahaya, kerana ia bercanggah dengan aqidah. Ini kerana, sebenarnya setiap perkara yang dilakukan oleh kita akan ditulis oleh para malaikat, dan kita akan disoal dan dipertanggung jawabkan di atas semua perbuatan kita. Tidak ada satu pun daripada perbuatan kita, melainkan pasti akan ditulis oleh para malaikat. Dan kita pasti akan melihatnya di akhirat, samada buruk atau baik. Firman Allah SWT:

فَمَن يَعْمَلْ مِثْقَالَ ذَرَّةٍ خَيْرًا يَرَهُ {7} وَمَن يَعْمَلْ مِثْقَالَ ذَرَّةٍ شَرًّا يَرَهُ {8}

Ertinya: “Sesiapa yang mengerjakan kebaikan seberat zarrah sekalipun, nescaya dia akan melihat (balasan)nya. Dan sesiapa yang mengerjakan kejahatan sebesar zarrah sekalipun, nescaya dia akan melihat (balasan)nya pula”. Surah az-Zalzalah: 7-8.

Ayat suci di atas menunjukkan bahawa setiap perbuatan kita, pasti ada balasannya, sekalipun sebesar zarrah yang kecil. Hal pilihanraya yang melibatkan seluruh Negara, dari pimpinan atasan sehinggga rakyat bawahan dan memakan masa berhari-hari merupakan satu perkara yang besar, dan bukannya kecil. Firman Allah SWT:

وَوُضِعَ الْكِتَابُ فَتَرَى الْمُجْرِمِينَ مُشْفِقِينَ مِمَّا فِيهِ وَيَقُولُونَ يَا وَيْلَتَنَا مَالِ هَذَا الْكِتَابِ لَا يُغَادِرُ صَغِيرَةً وَلَا كَبِيرَةً إِلَّا أَحْصَاهَا وَوَجَدُوا مَا عَمِلُوا حَاضِرًا وَلَا يَظْلِمُ رَبُّكَ أَحَدًا {49}

Ertinya: “Dan bila diletakkanlah kitab (catatan amalan), kamu akan melihat orang-orang bersalah ketakutan terhadap apa yang (tertulis) di dalamnya, dan mereka berkata: "Aduhai celaka kami, kitab apakah ini yang tidak meninggalkan yang kecil dan tidak (pula) yang besar, melainkan ia mencatat semuanya? Dan mereka dapati apa yang telah mereka kerjakan ada (tertulis), dan Tuhanmu tidak menganiaya seorang juapun”. Surah al-Kahfi: 49.

Dalam pilihanraya, kita akan lihat betapa bersungguhnya calon-calon dan para penyokong parti-parti yang bertanding berkempen. Mereka akan menyatakan hala tuju dan tujuan masing-masing. Semua yang mereka katakan dalam kempen tersebut pasti akan dicatat dan mereka akan dipersoalkan mengenainya di akhirat. Firman Allah SWT:

مَا يَلْفِظُ مِن قَوْلٍ إِلَّا لَدَيْهِ رَقِيبٌ عَتِيدٌ {18}

Ertinya: “Tiada suatu ucapanpun yang diucapkannya melainkan ada di dekatnya malaikat pengawas yang sentiasa hadir (ada bersama)”. Surah Qaf: 18.

Kalaulah kita mengatakan bahawa urusan pilihanraya tidak akan disoal di akhirat, ini bererti kita menganggap bahawa malaikat tidak akan menulis segala perkataan dan perbuatan semasa berkempen, semenjak hari penamaan calon, atau sebelumnya lagi, sehinggalah hari pilihanraya. Maka ini jelas bertentangan dengan aqidah yang menunjukkan bahawa segala amalan kita akan dicatat oleh malaikat dan kita akan disoal mengenainya di akhirat. Allah SWT berfirman:

وَلاَ تَقْفُ مَا لَيْسَ لَكَ بِهِ عِلْمٌ إِنَّ السَّمْعَ وَالْبَصَرَ وَالْفُؤَادَ كُلُّ أُولـئِكَ كَانَ عَنْهُ مَسْؤُولاً {36}

Ertinya: “Dan janganlah kamu mengikuti apa yang kamu tidak mempunyai pengetahuan tentangnya. Sesungguhnya pendengaran, penglihatan dan hati, semuanya itu akan disoal (diminta pertanggung jawabannya di akhirat)”. Surah al-Isra’: 36.

Dan apa yang lebih menyedihkan saya ialah, berbanding fahaman tadi, jawapan seorang makcik (Mak Nik) semasa hari penamaaan calon 24 Febuari lepas ketika ditanya: Mak Nik tak pergi ke tempat orang berhimpun ke? Dia menjawab: Tempat berhimpun apa? Si penanya: Tempat orang laungkan “Allahuakbar, Allahuakbar” (dia maksudkan tempat penamaan calon). Mak Nik menjawab: “kalau “Allahuakbar, Allahuakbar” Mak Nik tak sir (tak nak), tapi kalau “Hidup Pak Lah”, Mak Nik nak.

Lihatlah betapa dia (disebabkan kejahilannya, dan tanpa dia sedari) telah jauh lari daripada aqidah yang sebenar, sehingga dia telah tertukar antara Allah dan makhluk. Tidakkah semua yang hidup ini bergantung kepada Allah? Walau siapa dia sekalipun? Allah SWT sahaja yang layak disembah, dan Dia sahaja tempat pergantungan yang sebenar.

Kalaulah urusan pilihanraya juga akan dipersoalkan di akhirat, maka gunakanlah ia untuk kebaikan Islam. Kalaulah kita ingin berkempen, maka berkempenlah dengan bersungguh-sungguh untuk parti yang membawa kita kepada ajaran Allah, iaitu Islam. Firman Allah SWT:

وَمَنْ أَحْسَنُ قَوْلًا مِّمَّن دَعَا إِلَى اللَّهِ وَعَمِلَ صَالِحًا وَقَالَ إِنَّنِي مِنَ الْمُسْلِمِينَ {33}

Ertinya: “Siapakah yang lebih baik perkataannya daripada orang yang menyeru kepada Allah, dan dia mengerjakan amal soleh, dan berkata: "Sesungguhnya aku adalah di kalangan orang-orang Islam (yang menyerah diri kepada Allah)”? Surah Fussilat: 33.

Kalaulah urusan pilihanraya juga akan disoal di akhirat, maka janganlah sistem demokrasi ini digunakan untuk menafikan Islam, dan menafikan ajaran Allah dan RasulNya. (Sebagai contoh, pada tahun lepas, berpuluh-puluh ribu rakyat Turki mengadakan tunjuk persaaan meyatakan kebimbangan sistem sekular yang diamalkan akan ditukar kepada sistem Islam jika berlaku perubahan pucuk pimpinan) Gunakanlah untuk kemenangan Islam, dan janganlah digunakan untuk memilih calon daripada parti-parti yang akan menafikan hukum hakam Allah dalam sistem perundangan, pendidikan dan sebagainya. Renungkanlah firman Allah SWT yang berbunyi:

الَّذِينَ آمَنُواْ يُقَاتِلُونَ فِي سَبِيلِ اللّهِ وَالَّذِينَ كَفَرُواْ يُقَاتِلُونَ فِي سَبِيلِ الطَّاغُوتِ فَقَاتِلُواْ أَوْلِيَاء الشَّيْطَانِ إِنَّ كَيْدَ الشَّيْطَانِ كَانَ ضَعِيفًا {76{

Ertinya: “Orang-orang yang beriman berperang di jalan Allah, dan orang-orang yang kafir (pula) berperang di jalan Thaghut. Kerana itu perangilah kawan-kawan syaitan itu, kerana sesungguhnya tipu daya syaitan itu adalah lemah”. Surah an-Nisa’: 76.

Dan bagi pejuang-pejuang Islam, yang sanggup berpenat lelah kerana Islam, maka sebenarnya Allah bersamamu, dan Dia sekali-kali tidak akan bersama musuhmu. Senyumlah kerana itu, kerana sinar yang cerah bergemerlapan berada di hadapanmu. Allah SWT berfirman:

وَلاَ تَهِنُواْ فِي ابْتِغَاء الْقَوْمِ إِن تَكُونُواْ تَأْلَمُونَ فَإِنَّهُمْ يَأْلَمُونَ كَمَا تَأْلَمونَ وَتَرْجُونَ مِنَ اللّهِ مَا لاَ يَرْجُونَ وَكَانَ اللّهُ عَلِيمًا حَكِيمًا {104}

Ertinya: “Janganlah kamu berhati lemah dalam mengejar mereka (musuhmu). Jika kamu menderita kesakitan, maka sesungguhnya mereka juga menderita kesakitan, sebagaimana kamu menderita, sedangkan kamu mengharap dari pada Allah apa yang tidak mereka harapkan. Dan adalah Allah Maha mengetahui lagi Maha Bijaksana”. Surah an-Nisa’: 104. (Sumber)

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails