Selamat Datang

Selasa, 15 Mac 2011

Bekas OCPD diarah bayar RM200 ribu


Harakahdaily

KUANTAN, 15 Mac: Mahkamah hari ini memerintahkan bekas Ketua Polis Rompin, Hanafi Daud membayar kepada Dr Hatta Ramli dan dua pimpinan PAS Pahang, Mazlan Yassin dan Nazri Ahmad sebanyak RM200,000 sebagai ganti rugi dan kos akibat daripada penangkapan dan penahanan yang tidak sah ke atas mereka bertiga di Markas PAS Rompin di Muadzam, Pahang pada 10 Mei 2004 lalu.

Timbalan Pendaftar Mahkamah Tinggi Kuantan, Puan Sazlina Safie membuat keputusan tersebut hari ini setelah Peguam Kanan Persekutuan yang mewakili defendan menyatakan kepada mahkamah bahawa anak guam beliau bersetuju membayar plaintif-plaintif RM200 ribu.

Kes hari ini ditetapkan untuk perbicaraan taksiran gantirugi.

Pada 26 Ogos 2009, Hakim Datuk Mariana Yahya telah memutuskan bahawa defendan telah menyalahgunakan kuasanya apabila membuat serbuan ke atas markas PAS dan menangkap serta menahan Dr Hatta, Mazlan dan Nazri.

Hakim juga memutuskan bahawa ceramah PAS yang diadakan di dalam kawasan markas tersebut adalah satu perhimpunan yang sah dan tidak memerlukan permit polis kerana ia bukan tempat awam.

Mahkamah juga memutuskan bahawa defendan juga telah melanggar Artikel 5 (3) Perlembagaan Persekutuan kerana gagal memberitahu plantif-plaintif atas alasan apa mereka ditangkap.

Setakat ini, inilah kali pertama pihak OCPD disaman oleh pimpinan PAS di atas gangguan yang dilakukan oleh pihak polis ke atas ceramah PAS, hatta hakim sendiri menemplak defendan kerana mengganggu ceramah PAStersebut sedangkan ia berjalan secara aman dan telah banyak kali dijalankan di markas tersebut.

Dr Hatta yang juga Bendahari PAS Pusat dan ahli Parlimen Kuala Krai, Mazlan dan Nazri diwakili oleh Mohamed Hanipa Maidin manakala Hanapi Daud diwakili oleh Kamal Azira Hassan.

Isnin, 14 Mac 2011

Selangor mahu Umno Selangor, Yayasan Kelana Ehsan disiasat


Harakahdaily
SHAH ALAM, 13 Mac: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) digesa menyiasat Umno Selangor dan Yayasan Kelana Ehsan (YKE) yang menyumbang lebih setengah juta dalam misi menghantar pelajar Malaysia kembali ke Mesir.

Setiausaha Politik kepada Menteri Besar Selangor, Faekah Husin berkata, tindakan itu sangat menghairankan kerana Umno Bahagian Shah Alam masih mempunyai hutang tertunggak melebihi RM236,000 dengan Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) sejak lebih setahun lalu.

"Jika Umno Selangor berkobar-kobar membelanjakan lebih setengah juta untuk sumbangan itu, mengapa tidak pula bersungguh-sungguh untuk melunaskan hutang dengan MBSA.

"Kerajaan Selangor akan meminta semua Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) untuk menyenaraikan semua hutang UMNO kepada PBT dan melakukan tuntutan dalam tempoh dua minggu," katanya.

Beliau mengulas tindakan kedua-duanya yang didakwa menyumbang wang tunai RM500 kepada pelajar yang dihantar kembali ke Mesir oleh Kerajaan Negeri Selangor.

Kerajaan Pakatan Rakyat negeri itu menghantar 1,200 pelajar dari negeri ini termasuk membelanjakan lebih RM2 juta untuk membiayai kos menghantar pulang mereka menggunakan pesawat yang ditempah khas.

Ujarnya lagi, kes ini juga turut menuntut tindakan SPRM untuk menunjukkan amalan telus dan kebertanggungjawaban mereka agar tidak lagi dilihat 'double standard'.

Apatah lagi katanya, SPRM begitu bersemangat menyiasat laporan Umno yang menuduh Kerajaan Negeri Selangor menerusi Pemerbadanan Menteri Besar (MBI) membelanjakan wang meraikan tetamu-tetamu Kerajaan Negeri dari Sabah dan Sarawak sebelum ini.

"Kita mahu bertanyakan isu yang sama kepada Umno Selangor, dari manakah mereka dan YKE memperoleh begitu banyak dana untuk membiayai sumbangan ini?

"Apakah aset dan perniagaan yang dijalankan oleh YKE sehingga mampu untuk bekerjasama dengan Umno Selangor menghulurkan sumbangan?, "soal Faekah.

Ahad, 13 Mac 2011

Pemuda bertanggungjawab gerak perubahan rakyat


Khairul Izwan

ALOR SETAR, 13 Mac: Menteri Besar, Datuk Seri Azizan Abdul Razak (gambar) berkata, pemuda mempunyai tanggungjawab dalam menggerakkan perubahan terhadap rakyat.

Beliau mengambil contoh golongan pemuda di Mesir yang berjaya menggerakkan kebangkitan rakyat sehingga menumbangkan Hosni Mubarak yang berkuasa lebih 30 tahun.

“Saya bukan nak suruh tuan-tuan tunjuk perasaan macam tu, tapi nak cerita tanggungjawab pemuda dalam menggerakkan perubahan terhadap rakyat,” katanya lagi.

Bagaimanapun, beliau bersyukur kerana belia di Kedah masih di tahap terkawal yang dibuktikan dengan penurunan indeks jenayah dalam masa tiga tahun terakhir ini.

Beliau yang hadir merasmikan Majlis Belia Sejahtera yang diadakan sempena sambutan Kedah Sejahtera memaklumkan kerajaan negeri telah memperuntukkan RM3.6 juta untuk membina Kem Belia Sejahtera.

Ia, katanya bertujuan melahirkan belia yang bertanggungjawab terhadap diri, keluarga dan masyarakat serta belia yang mengelakkan gejala tidak sihat.

Beliau mengumumkan demikian dalam perasmian Majlis Belia Sejahtera di Stadium Darul Aman petang semalam.

“Kita akan bina Kem Belia Sejahtera untuk semua kaum.

“Bila saya pimpin kerajaan (Kedah), saya mahu belia di beri perhatian istimewa, bukan sahaja soal bola sepak dan bina gelanggang badminton saja, tetapi soal membentuk belia bertanggungjawab,” katanya.

Sambutan Kedah Sejahtera yang menggunakan tema ‘Perkasakan Kedah Sejahtera’ berlangsung selama 5 hari bermula 10 Mac hingga 14 Mac bertempat di Stadium Darul Aman.

Pelbagai acara diadakan untuk mengeratkan hubungan antara kaum dan budaya di Kedah serta program- program untuk remaja juga diadakan.

Setakat hari ketiga, Sambutan Kedah Sejahtera dikunjungi ramai.

Sabtu, 12 Mac 2011

Saman Ekor: Fahami isu sebenar


Zulhazmi Shariff

Saya ingin merujuk kepada siaran akhbar Berita Harian bertarikh 11/3/2011 yang memetik ulasan seorang Pakar Perlembagaan Profesor Dr Rohimi Shapiee. Saya amat dukacita dengan perkembangan dan ulasan tersebut yang melabelkan pihak-pihak yang tidak menggalakkan rakyat membayar saman sebagai sebagai nakal dan menggalakkan pemandu supaya terus melanggar undang-undang.

Saya ingin tegaskan pendirian kami di Jawatankuasa Kempen Anti saman Ekor (KASE) bahawa kami tidak sekali-kali bersetuju dan menggalakkan pemandu-pemandu kenderaan memandu tidak mengikut peraturan. Setiap pemandu mestilah memandu dengan berhemah kerana jalanraya bukan harta persendirian tetapi hak bersama. Kami juga tidak bersetuju dengan penguatkuasaan yang tidak mengikut peraturan sedia ada. Atas hujah dan pendirian ini, kami melancarkan Kempen Anti Saman Ekor (KASE) iaitu bertujuan memberikan penerangan tentang hak rakyat yang dijamin oleh Perlembagaan, prinsip keadilan dan pematuhan peraturan serta prosedur tindakan undang-undang.

Tidak pernah pada bila-bila masa dan ketika, Kami menyatakan bahawa Saman Ekor yang dikeluarkan oleh PDRM adalah bertentangan dengan Perlembagaan dan Akta. Jika ada, saya merasakan kenyataan dan pendirian kami telah disalah tafsir. Saya ingin memperbetulkan pemahaman dan persepsi sesiapa sahaja termasuk Pakar Perlembagaan tersebut supaya sebelum membuat sebarang ulasan atau komen, FAHAMI dahulu apa isu yang dibawa dan ditimbulkan.

Saya ingin menegaskan bahawa Saman Ekor yang dikatakan saman itu sebenarnya bukan saman tetapi hanya sekadar notis meminta maklumat pemandu daripada pemilik kenderaan yang dikeluarkan mengikut Seksyen 115 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. Notis ini disebut sebagai Pol 170A. Fakta ini tidak pernah disangkal malah diakui oleh Kementerian Dalam Negeri, PDRM malah Timbalan Menteri Pengangkutan di dalam Dewan Rakyat. Saya mohon kerjasama pihak-pihak yang ingin membuat ulasan supaya lebih rajin membaca daripada membuat ulasan dan komen berasaskan lojik akal fikiran. Pernahkah pihak-pihak yang membuat ulasan ini meneliti setiap patah perkataan yang terkandung di dalam notis Pol 170A tersebut sebelum membuat komen? Baca dan fahami kandungannya dahulu kemudian nyatakan komen dan ulasan.

Mengikut Seksyen 115 (1) APJ 1987 setiap pemilik kenderaan apabila diberikan notis Pol 170A ini hendaklah memberikan maklumat pemandu yang disyaki telah melakukan kesalahan yang dinyatakan di dalam notis tersebut dalam tempoh tujuh (7) hari dari tarikh notis diterima. Kegagalan memberikan maklumat boleh dianggap melakukan kesalahan melainkan pemilik memuaskan hati mahkamah bahawa beliau tidak tahu siapa yang memandu. Maksud memuaskan hati mahkamah tersebut ialah seseorang pemilik jika ingkar menjawab notis tersebut maka pihak berkuasa iaitu PDRM yang mengeluarkan notis ini hendaklah mengeluarkan suatu notis (Saman) di bawah Seksyen 53(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Persoalannya adakah semua prosedur ini diikuti oleh pihak berkuasa iaitu PDRM yang mengeluarkan notis ini?

Bersama Notis Pol 170A ini juga dikepilkan Notis Pol 171 iaitu menawarkan kompaun kepada pemilik kenderaan jika pemilik mengakui kesalahan dan ingin menerima tawaran kompaun, pemilik boleh menjelaskannya. Perlu diambil perhatian bahawa tawaran kompaun ini diberikan melalui Seksyen 120 (1) APJ 1987. Kompaun ini hanyalah semata-mata tawaran. Bukan suatu bentuk hukuman atau denda. Kompaun ini juga mempunyai tempoh sah laku kerana di dalam Notis Pol 171 di perenggan 4 dinyatakan begini “Tawaran ini berkuatkuasa sehingga (tarikh). Sekiranya tiada jawapan selepas tarikh ini, tindakan saman akan diambil”. Ini dengan jelas menunjukkan bahawa kompaun tersebut hanyalah suatu tawaran, dan jika pemilik atau yang disyaki melakukan kesalahan tidak menerima tawaran kompaun tersebut dan enggan membayar, maka mereka hendaklah disaman supaya hadir di Mahkamah menjawap pertuduhan ke atas mereka. Saman ini dikeluarkan mengikut Seksyen 53(1) APJ 1987 yang disebut sebelum ini.

Persoalannya, adakah prosedur ini juga diikuti oleh pihak berkuasa?

Perkembangan yang berlaku sekarang ialah pihak berkuasa iaitu Kementerian dalam Negeri melalui PDRM telah menghukum orang yang disyaki melakukan kesalahan lalu lintas sedangkan mereka tidak pernah dibuktikan melakukan kesalahan. Mereka dihukum dengan alasan tidak membayar kompaun sedangkan kompaun hanyalah tawaran. PDRM pula mengambil kesempatan di atas kurangnya pemahaman rakyat tentang undang-undang dan peraturan telah menghukum dengan meminta JPJ menyenarai hitam kenderaan bertujuan memaksa mereka membayar kompaun. INILAH TINDAKAN YANG BERTENTANGAN DENGAN PERLEMBAGAAN!

Kenapa ia bertentangan dengan Perlembagaan?

a) Kesalahan yang dikatakan telah dilakukan tersebut belum dibuktikan.

Rujuk kembali kepada ulasan asal di atas. Jika Pemilik kenderaan ingkar notis, sepatutnya mereka dihadapkan ke Mahkamah untuk dibuktikan mereka ingkar notis tersebut. Pelbagai persoalan akan timbul di sini. Adakah notis tersebut telah dikeluarkan? Adakah notis tersebut telah diserahkan dengan sempurna?

Notis boleh diserahkan kepada pemilik kenderaan mengikut Seksyen 118 APJ 1987 iaitu dengan pos berdaftar. Jadi pihak berkuasa perlu membuktikan terlebih dahulu notis itu telah dikeluarkan. Kemudian buktikan notis itu telah diserahkan iaitu dengan bukti pengeposan daripada pejabat pos berkaitan. Jika ada bukti tersebut barulah pemilik perlu buktikan kenapa beliau ingkar. Jika beliau telah memuaskan hati mahkamah dengan alasan-alasannya maka kemungkinan akan dilepaskan. Jika tidak dapat memuaskan hati Mahkamah, kemungkinan akan dijatuhkan hukuman kerana ingkar notis. Belum lagi soal memandu melebihi hadlaju. Adakah ini dilakukan dalam situasi sekarang ini? Jawapannya tidak kerana Timbalan Menteri Pengangkutan sendiri mengakui di Dewan Rakyat pada 8/3/2011 bahawa jika seseorang ingkar Notis Pol 170A ini maka mereka secara automatik dianggap melakukan kesalahan. Ini suatu anggapan yang salah di sisi undang-undang.

Jika pemilik atau pemandu disyaki memandu melebihi hadlaju, mereka sepatutnya disaman hadir ke Mahkamah untuk dibuktikan mereka telah melakukan kesalahan tersebut. Adakah ini dilakukan? Tidak! Mereka terus disenarai hitam kerana tidak membayar kompaun. Sepatutnya PDRM membawa mereka ini ke Mahkamah, buktikan mereka memandu melebihi hadlaju. PDRM sentiasa mengatakan mereka mempunyai bukti, jadi buktikan di Mahkamah. Bukan dengan bekerjasama dengan JPJ untuk menyenarai hitam supaya pemilik kenderaan membayar kompaun. Ini salah! Kenapa PDRM tidak membawa mereka ini ke Mahkamah untuk dibuktikan kesalahan? Mungkin PDRM tahu bahawa mereka tidak dapat membuktikan kesalahan tersebut.

Perlu diambil perhatian bahawa APJ 1987 tidak memperuntukkan sebarang penggunaan imej yang dirakam untuk diterima pakai sebagai bukti di Mahkamah. Setelah APJ 1987 dipinda pada 22/12/2010 dan mula berkuatkuasa pada 1/2/2011 barulah imej yang dirakam diterima sebagai bukti di Mahkamah. Ini disebut di dalam seksyen 117 (11) Akta Pengangkutan Jalan (Pindaan) 2010 seperti berikut : Dalam mana-mana prosiding di mana-mana mahkamah, apa-apa imej yang dirakamkan yang dikemukakan oleh pihak pendakwaan bagi apa-apa kesalahan di bawah Akta ini hendaklah diterima sebagai keterangan, dan hendaklah menjadi bukti prima facie bagi fakta yang dinyatakan di dalamnya.

Akan ada pula pihak yang akan mengatakan bahawa gambar boleh diterima sebagai keterangan di Mahkamah mengikut peruntukkan Akta Keterangan 1950. Betul, tetapi gambar bagaimana, bagaimana gambar diambil. Jika boleh digunakan peruntukkan Akta Keterangan 1950, kenapa kerajaan bersusah payah meminda Akta Pengangkutan Jalan 1987 untuk memasukkan penggunaan gambar (imej) sebagai bukti yang boleh diterima?

Apa yang menyedihkan lagi, sudahlah gambar tidak boleh diterima sebagai bukti, para pemandu dan pemilik telah dikenakan bayaran RM10 untuk melihat dan mendapatkan salinan gambar tersebut oleh PDRM. Sudah lah tidak dibuktikan lagi mereka bersalah, mereka dikenakan bayaran untuk membuktikan mereka tidak bersalah. Sistem keadilan apa yang kita guna???

b) Seseorang itu tidak bersalah sehingga dibuktikan bersalah.

Ada dua (2) isu di sini :

a) Pembuktian bersalah; dan

b) Siapa yang boleh menghukum seseorang itu bersalah.

Pembuktian salah.

Seperti yang diulas sebelum ini, adakah semua yang dituduh dan dikeluarkan Saman Ekor ini telah dibuktikan melakukan kesalahan oleh PDRM dan JPJ? Di Mahkamah mana mereka ini dibuktikan bersalah? Jika tidak pernah dibuktikan bersalah, kenapa menghukum?

Siapa yang boleh menghukum seseorang itu bersalah?

Kuasa untuk menghukum ini adalah kuasa Mahkamah. Inilah tujuannya diwujudkan tiga (3) cabang dalam kerajaan iaitu Eksekutif, Perundangan dan Kehakiman. Polis tiada kuasa menghukum. JPJ tiada kuasa menghukum malah kerajaan tiada kuasa menghukum. Hanya Mahkamah sahaja mempunyai kuasa ini. Justeru tindakan menyenarai hitam pemilik kenderaan ini adalah suatu hukuman. Siapa yang menyenarai hitam? Bukan Mahkamah tetapi JPJ. Adakah JPJ telah mendapat perintah Mahkamah untuk menyenarai hitam pemilik kenderaan?

JPJ akan menyatakan mereka mempunyai kuasa di bawah Seksyen 17(1)(d) APJ 1987 untuk menghalang transaksi. Bagaimana kuasa tersebut perlu dibuat? Peruntukkannya menyebut bahawa Pengarah JPJ hendaklah berpuashati bahawa seseorang itu tidak mempunyai “perkara yang belum selesai”. Bagaimana JPJ hendak berpuashati? Mestilah membuat suatu siasatan seperti memberikan peluang membuat representasi kepada pemilik. Ini disebut di dalam Seksyen 17(2) APJ 1987. Adakah ini dibuat? Tanyalah JPJ.

Senario sekarang ini adalah hukum dahulu buktikan kesalahan kemudian. Ini jelas bertentangan dengan prinsip keadilan.

c) Menyenarai hitam bermaksud menghalang rakyat menggunakan harta.

Perkara ini diulas dengan terperinci di dalam kes Leonard Lim Yaw Chiang lwn Director of Jabatan Pengangkutan Jalan Negeri Sarawak & Anor [2009] 6 CLJ 280.

Yang Arif Hakim Mahkamah Tinggi Kuching tersebut telah memutuskan bahawa “perkara yang belum selesai” yang dimaksudkan di dalam Seksyen 17(1)(d) APJ 1987 ialah perkara yang telah dibawa ke mahkamah di mana yang dituduh tidak membela diri.

Mahkamah juga memutuskan bahawa tindakan JPJ Negeri Sarawak menyenarai hitam di bawah Seksyen 17(1)(d) APJ 1987 di atas suatu kesalahan yang belum dibuktikan adalah salah dan bertentangan dengan undang-undang. Malah tindakan tersebut juga dianggap bertentangan dengan Perkara 13 Perlembagaan Persekutuan yang menjamin hak setiap rakyat menggunakan harta mereka.

Akhirnya Mahkamah Tinggi telah membenarkan tuntutan gantirugi terhadap JPJ kerana telah menyebabkan kerugian kepada pemohon di dalam kes itu akibat kehilangan penggunaan harta beliau iaitu kereta yang disenarai hitam.

Justeru saya ingin mengambil peluang ini untuk memperbetulkan persepsi dan pemahaman sesetengah pihak supaya apa yang diperjuangkan dan dibahaskan ini adalah isu penyalahgunaan proses keadilan. FAHAMI ISU SEBENAR! ANDA MAMPU MENGUBAHNYA!


ZULHAZMI SHARIFF

Penasihat Undang-Undang

Jawatankuasa Kempen Anti Saman Ekor (KASE)

11/3/2011

PAS dakwa polis, tentera diberi MyKad semasa PRK

Aziz Muda
KUALA LUMPUR, 11 Mac: PAS mempersoalkan tindakan kerajaan BN yang memberikan MyKad kepada polis dan tentera semasa PRK Merlimau dan Kerdau 6 Mac lalu, memandangkan mereka sudah mempunyai kad polis dan tentera masing-masing.

Tindakan tersebut menimbulkan pelbagai tanda tanya kepada pelbagai pihak, memandangkan setiap anggota tentera terutamanya tidak dibenarkan memegang MyKad masing-masing sepanjang mereka masih berada dalam perkhidmatan Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat, Datuk Seri Ir Mohammad Nizar Jamaluddin ketika mempersoalkan perkara itu menegaskan, walaupun MyKad-MyKad itu sememangnya kepunyaan anggota polis dan tentera itu sendiri, tetapi tindakan tersebut jelas di luar kebiasaan dan menyalahi undang-undang.

Menurut beliau, setiap anggota polis dan tentera sepatutnya tidak lagi dibenarkan menyimpan MyKad masing-masing, sebaliknya dipegang oleh unit tertentu sepanjang mereka berada dalam perkhidmatan, disebabkan mereka telah mempunyai kad polis dan tentera yang lengkap dengan nombor masing-masing.

"Tetapi semasa pilihanraya kecil (PRK) Merlimau dan Kerdau 6 Mac lalu, polis dan tentera turut diberikan MyKad masing-masing. Ini menjadikan mereka mempunyai dua kad pengenalan diri dalam suatu masa.

"Kenapa Kerajaan BN bertindak begitu? Apakah tujuannya? Inilah yang menjadi tanda tanya kepada kita dan perlu dijelaskan oleh Kerajaan BN," katanya pada sidang akhbar di Pejabat Agung PAS, Jalan Raja Laut, di sini, semalam.

Setiap anggota tentera terutamanya, menurut beliau, lazimnya mengundi secara pos, tetapi dengan memberikan MyKad kepada mereka yang terbabit, mereka juga boleh mengundi seperti orang awam.

Jadi dengan tindakan itu, anggota polis dan tentera terbabit sememangnya berpeluang mengundi dua kali. Satunya dengan mengundi secara pos (undi pos) dengan menggunakan kad polis dan tentera masing-masing dan satu lagi mengundi seperti orang ramai dengan menggunakan MyKad masing-masing.

Sehubungan itu, beliau mendesak kerajaan BN menjelaskan matlamat sebenar penyerahan MyKad-Mykad tersebut kepada anggota polis dan tentera terbabit kerana ia amat menghairankan pelbagai pihak.

Beliau juga mendesak SPR memberikan jawapan yang benar sama ada pegawai-pegawai dan anggota-anggota polis dan tentera terbabit sememangnya mengundi dua kali pada PRK Dun Merlimau dan Kerdau 6 Mac lalu.

Terdahulu dari itu, beliau menyuarakan rasa kesalnya dengan tindakan pihak polis dan SPR yang membenarkan ceramah dari pihak Umno BN dan PAS diadakan di tempat berhampiran, semasa kempen kedua-dua PRK itu.

"Semua itu jelas mengganggu program Pakatan Rakyat dan ia tidak sepatutnya berlaku," ujar beliau yang juga Ahli Parlimen Bukit Gantang.

Rabu, 9 Mac 2011

Kerajaan tak tahu beza notis dengan saman


Hazayani Zakaria

KUALA LUMPUR, 8 Mac: Kegagalan pihak kerajaan khususnya Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) membezakan di antara notis dan saman dianggap sebagai memalukan.

Ahli Parlimen Pokok Sena, Datuk Mahfuz Omar berkata, kerajaan juga gagal mematuhi tafsiran yang dibuat oleh Mahkamah Tinggi Kuching berhubung Akta Undang-undang Pengangkutan Jalan Seksyen 17 (1) (D).

"Kita agak terkejut bagaimana pihak kerajaan sendiri khususnya Jabatan Pengangkutan Jalan tidak boleh memahami persoalan pokok yang terdapat dalam Akta Pengangkutan Jalan itu sendiri dan mereka tidak boleh membezakan antara saman dengan notis.

"Kalau kerajaan tidak boleh membezakan antara notis dan saman satu perkara yang sangat memalukan apabila dia menganggap notis itu sebagai saman.

"Kerajaan sendiri tak boleh akur kepada tafsiran yang telah dibuat oleh Mahkamah Tinggi Kuching berhubung Akta Undang-undang Pengangkutan Jalan Seksyen 17 (1) (D)," kata beliau pada sidang media di lobi Parlimen hari ini.

Mahkamah Tinggi Kuching mentafsirkan Akta Undang-Undang Pengangkutan Jalan Seksyen 17 (1)(D) merupakan perkara yang dianggap perkara belum selesai, merujuk kepada perkara yang belum diselesaikan di peringkat mahkamah.

Mahfuz yang juga Pengerusi Jawatankuasa Anti Saman Ekor (Kase) sebelum itu mengemukakan soalan tambahan pada sesi soal jawab lisan di Dewan Rakyat.

Sebelum itu, Datuk Seri Tiong King Sing (BN-Bintulu) meminta Menteri Pengangkutan menyatakan adakah pihak Jabatan Pengangkutan Jalan Malaysia mempunyai kaedah tertentu atau mencari jalan penyelesaian secara pantas semasa berurusan di kaunter Pembaharuan Cukai Jalan dan Pembaharuan Lesen Memandu dalam kes-kes saman Polis atau JPJ di mana berlakunya pemalsuan nombor kenderaan tanpa pengetahuan pemilik kenderaan - kesalahan di bawah Seksyen 115 Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Sementara itu, Penasihat Undang- Undang Kase, Zulhilmi Shariff dalam sidang media sama berkata, rakyat perlu faham kuasa menghukum semua pesalah tertakluk pada mahkamah dan bukannya pihak kerajaan.

"Persoalan yang paling besar ditimbulkan dalam isu saman ekor ini, Ketua Trafik Bukit Aman atau Timbalan Menteri menyebut, kita beri peluang untuk rakyat membayar saman sehingga 10 Mac. Persoalannya di sini, siapa yang suruh bayar? Itu yang paling penting," katanya.

Saman ekor dera bukan didik rakyat - Abdul Hadi


Harakahdaily

KUALA LUMPUR, 8 Mac: Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang meminta kerajaan mencari pendekatan lain yang lebih sesuai berbanding saman ekor kerana ia lebih mendera rakyat bukannya mendidik.

"Sepatutnya kerajaan mendidik rakyat supaya mematuhi peraturan jalan raya bukannya mendera rakyat sebagaimana berlaku dalam kes saman ekor ini," kata beliau.

Sekurang-kurangnya dua kali beliau membangkitkan perkara ini dalam dua program berbeza. Pertama ketika bercakap kepada wartawan di Kerdau Selasa lepas dan sekali lagi ketika bercakap dengan kakitangan editorial Harakah Rabu lepas.

Beliau mengulas kesusahan yang dihadapi oleh beribu-ribu rakyat negara ini yang terpaksa beratur di balai-balai polis untuk membayar saman bagi mengelakkan kenderaan mereka di senarai hitamkan.

"Ini mendera rakyat bukan mendidik rakyat," kata Abdul Hadi yang juga anggota Parlimen Marang sambil menyokong tindakan yang diambil oleh Naib Presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar menganjurkan Kempen Anti Saman Ekor (Kase).

Baru-baru ini, Kase menyeru Kementerian Pengangkutan bersedia mengadakan pertemuan dengan pihak-pihak berkepentingan termasuk Kase bagi membincangkan dan menjelaskan beberapa isu yang ditimbulkan seperti penswastaan penguatkuasaan peraturan lalu lintas dan kos-kos terlibat.

"Ini bagi memastikan wang rakyat digunakan untuk kepentingan rakyat sendiri, bukan syarikat-syarikat kroni," katanya.

Beliau berkata demikian sebagai merujuk kepada sistem penguatkuasaan automatik (AES) iaitu penggunaan kamera statik dan bergerak untuk mengambil gambar kesalahan memandu melebihi had laju, melanggar arahan lampu isyarat dan memandu di lorong bas bagi kenderaan selain bas.

Sistem ini dikendalikan dua syarikat swasta iaitu Beta Tegap Sdn Bhd dan Commercial Circle (M) Sdn Bhd yang mendapat pulangan 35 peratus daripada setiap enam juta saman yang dikeluarkan manakala kerajaan mendapat 65 peratus pulangan.

"Apa maksudnya ini? Ini bermaksud proses penguatkuasaan peraturan lalu lintas di bawah akta ini telah diswastakan. Apa rasionalnya peraturan lalu lintas diswastakan oleh Kerajaan?" soalnya yang juga ahli Parlimen Pokok Sena.

Pengunaan AES ini mula berkuatkuasa hari ini di seluruh negara.

Selasa, 8 Mac 2011

Barang naik: PAS pastikan rakyat tidak terbeban


Hazayani Zakaria

KUALA LUMPUR, 7 Mac: PAS akan memastikan rakyat tidak akan terus terbeban dengan kenaikan harga barang dengan mencadangkan perkara yang boleh memperkemaskan subsidi kerajaan dan akan membasmi amalan rasuah dan penyelewengan wang rakyat.

Ahli Jawatankuasa PAS Pusat, Datuk Kamarudin Jaffar (gambar) berkata demikian sebagai mengulas titah Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Mizan Zainal Abidin yang mengingatkan rakyat agar bersedia menghadapi situasi harga barang.

"Tuanku telah menyatakan kebimbangan terhadap kenaikan harga barang dan sebagainya. PAS akan berperanan memastikan apa yang dititahkan terutamanya mengenai subsidi kita perkemaskan lagi dan cuba hapuskan unsur-unsur penyelewengan dan rasuah dalam projek kerajaan selama ini," kata beliau ketika ditemui di lobi Parlimen hari ini.

Ahli Parlimen Tumpat itu juga berkata, PAS sebagai parti yang telah lama bertapak di negara ini diberi peluang yang sewajarnya untuk mengutarakan pandangan dan cadangan dalam usaha memajukan negara.

"PAS sebagai parti yang konstruktif menyambut baik titah Tuanku dan kita akan mengutarakan cadangan perbahasan yang berkesan.

"Saya harap ahli Parlimen PAS akan dapat peluang yang sepenuhnya untuk memberi input yang berkesan dalam perbahasan demi masa depan negara," katanya.

Semasa merasmikan mesyuarat pertama penggal keempat Parlimen hari ini, Tuanku Mizan menyeru rakyat agar menjadi pengguna yang bijak dan berjimat cermat dalam berbelanja.

"Sejak akhir-akhir ini telah berlaku situasi kenaikan harga bahan-bahan makanan di seluruh dunia yang disebabkan oleh pemanasan global, bencana alam, perubahan polisi negara pengeluar dan peningkatan penduduk dunia sebanyak empat peratus setahun berbanding pengeluaran makanan dunia sebanyak satu hingga dua peratus.

"Ia adalah krisi makanan global. Sebagai negara pengimport makanan, Malaysia terdedah kepada kenaikan harga barang dan ini sememangnya di luar kawalan kerajaan.

"Dalam keadaan ini, Beta menyeru rakyat supaya lebij bersedia untuk menghadapi fenomena ini, jadilah pengguna yang bijak, amalkan perbelanjaan secara berhemat dan berusaha melindungi kepentingan sendiri dengan tidak terlalu bergantung kepada erlindungan kerajaan," titah Tuanku Mizan.

TG Nik Aziz mahu bertemu Harussani


Nazri Abdullah
KUALA LUMPUR, 8 Mac: Menteri Besar Kelantan, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat telah menghantar surat rasmi menyatakan hasrat mahu bertemu dengan Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria.

Surat yang dihantar pagi tadi itu antara lain mahu mufti Perak itu menjelaskan kenyataannya sebelum ini yang mendakwa Mursyidul Am PAS itu pernah berkata 'undi PAS masuk syurga'.

Tulisan mufti itu disiarkan akhbar Mingguan Malaysia 6 Mac lalu, iaitu hari pengundian bagi PRK Kerdau dan Merlimau.

"Hari ini saya telah menghantar surat rasmi kepada sohibus samahah Tan Sri Harussani, mufti Perak memohon penjelasan di atas tulisan beliau di dalam Mingguan Malaysia 6 Mac 2011.

"Saya memohon supaya beliau menjelaskan bilakah saya menyatakan bahawa undi PAS masuk syurga," katanya melalui Facebook pagi ini.

Jika benar, pertemuan kedua-dua tokoh yang sering bercanggah pendapat melalui media ini adalah kali pertama berlaku.

"Semoga beliau memberikan respon,"tambah Tuan Guru lagi.

Semalam juga Dewan Pemuda PAS Negeri Perak telah menghantar surat jemputan kepada Harussani berhubung paerkara sama.

Mereka menawarkan diri untuk menjadi orang tengah bagi merialisasikan pertemuan tersebut.

Menurut mereka, sudah tiba masanya untuk kedua-dua tokoh itu bersemuka dengan cara yang lebih terhormat dan beradab bagi menjernihkan keadaan dan menyelesaikan kemelut yang hanya merugikan umat Islam.

Mereka berpendapat, dengan menghormati ilmu Harussani, pihaknya merasakan kaedah itu adalah yang terbaik bagi menidakkan semua pandangan yang telah dikemukakan secara terbuka.

Pemuda PAS Perak juga sebelum ini antara yang tidak senang dengan beberapa pandangan mufti itu khususnya dalam isu ancak membabitkan Menteri Besar Perak, Datuk Seri Zambry Abd Kadir.

Belakangkan demokrasi umpama bom jangka


Rizal Tahir

KOTA BHARU, 7 Mac: Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat mengingatkan pemimpin Umno dan BN, tindakan mereka membelakangkan demokrasi bakal menjadi bom jangka yang akan meletup bila-bila masa.

“Ia bakal menjadi bom jangka yang dilemparkan oleh golongan ini kemudian hari nanti, jadi beringat-ingatlah, jangan berbuat sesuka hati,”ujarnya.

Sambungnya, sekiranya Hosni Mubarak seorang yang berkuasa besar akhirnya digulingkan oleh rakyat sendiri, apa lagi di Malaysia, ia juga boleh berlaku.

Sehubungan itu, beliau yang juga Menteri Besar Kelantan mengingatkan pemimpin tertinggi Umno tidak perlu bermegah dengan kemenangan calon mereka di dua pilihanraya kecil, Merlimau dan Kerdau, kerana perlawanan itu tidak berlandaskan demokrasi.

Menurutnya, PAS bukan menentang calon Umno sebaliknya parti kerajaan yang disokong oleh segala gentera kerajaan negeri dan Persekutuan.

Beliau berkata demikian kepada media ketika diminta mengulas keputusan dua pilihanraya kecil di Dun Merlimau dan Kerdau, selepas mesyuarat Ecer tengahari tadi.

Beliau berkata, di Malaysia walaupun mengamalkan demokrasi, namun hakikatnya ‘dia mahu kerasi’ sehingga pilihanraya sebenar sudah tidak wujud di Negara ini.

Menurutnya, PAS sebagai sebuah parti telah menentang calon kerajaan pemerintah dan bukannya menentang calon parti Umno atau BN.

“Ini amat tidak adil, ia berdosa dunia akhirat. Kerana itu golongan muda sekarang semakin memahami masaalah demokrasi semakin tiada di negara ini sehingga mereka menjadi ‘pendendam’ akibat membelangkan demokrasi yang mereka pelajari.

Menurutnya, beliau sebagai anggota PAS sekali-kali tidak meredhai dunia akhirat pada mana-mana pemimpin negara terhadap pengkhianatan demokrasi dalam apa juga perkara terutama dalam pilihanraya.

Walaupun akur dengan keputusan pilihanraya terbabit, namun hakikatnya keputusan sebenar tidak sedemikian.

“Tengok semalam sebagai contohnya, bagaimana seorang penyokong Umno yang telah menyertai PAS tiba-tiba mengisytiharkan semula menyertai Umno.

“Kenapa perkara ini berlaku sekiranya tiada tekanan demi tekanan, ini bukan demokrasi,”ujarnya.

Langkah ini dianggap sama dengan kes seorang bekas pegawai polis yang membuat kenyataan hemat diri mempertikaikan Perdana Menteri dalam kes Altantuya Shaariibuu tetapi tiba-tiba keesokannya menukar balik kenyataannya itu.

Ketika ditanya adakah pengundi Melayu turut menolak PAS pada pilihanraya kecil baru-baru ini di peti undi tertentu apabila didapati kurang sokongan, beliau berkata apa yang dipertikaikannya sekarang ialah soal demokrasi.

Beliau turut mendakwa rakyat masih disogok dengan pembangunan walaupun ianya dibuat apabila tiba waktu pilihanraya sahaja.

“Pembangunan akan muncul hanya bila ada pilihanraya, khususnya pilihanraya kecil,”ujarnya.

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails