Selamat Datang

Memaparkan catatan dengan label nasional. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label nasional. Papar semua catatan

Khamis, 22 Mac 2012

Pencapaian negeri Pakatan menjadi ketakutan Najib

Abdul Aziz Mustafa, 22 Mac 2012
KUALA LUMPUR, 22 Mac: Pencapaian tiga negeri yang diperintah Pakatan membuktikan kepada rakyat bahawa hidup mereka lebih baik tanpa Umno, kata bekas Ketua Penerangan Umno Pekan, Datuk Mohd Ariff Sabri Abdul Aziz (gambar).

"Tiga negeri teratas yang mendapat pelaburan langsung asing (FDI) paling tinggi ialah negeri-negeri yang dipimpin oleh Pakatan.

"Hanya dalam satu penggal, kerajaan-kerajaan Pakatan boleh mencapai perkara-perkara baik itu yang tidak pernah dicapai oleh mana-mana negeri yang dipimpin Barisan Nasional (BN) adalah satu testimoni yang tidak boleh dipertikai bahawa orang-orang Pakatan lebih berbakat.

Rabu, 21 Mac 2012

Kalau negara bankrap, tak guna ubah kerajaan lagi


Abdul Aziz Mustafa, 21 Mac 2012
KUALA LUMPUR, 21 Mac: "Kalau negara sudah bankrap baru rakyat mahu ubah kerajaan, tak boleh buat apa lagi, kata Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu (gambar).

"Sekarang hutang negara berada pada tahap kritikal iaitu hanya dua peratus kurang dari had dibenarkan.

"Kalau nak ubah kerajaan untuk selamatkan negara ini dari bankrap seperti yang menteri kabinet (Perdana Menteri Datuk Seri) Najib (Tun Razak) sendiri jangkakan, ubah sekarang.

Sabtu, 10 Mac 2012

1Care: Fahami kebimbangan rakyat

Harakahdaily, 10 Mac 2012
KUALA LUMPUR, 10 Mac: PKR mengalu-alukan kenyataan terbaru Menteri Kesihatan, Datuk Seri Liow Tiong Lai bahawa kerajaan masih lagi jauh daripada memuktamadkan model bagi sistem 1Care.
Presidennya, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail (gambar) berkata, Liow mesti memahami kebimbangan rakyat memandangkan kepentingan sektor kesihatan dan rekod buruk Barisan Nasional di dalam memperkenalkan reformasi secara telus dan berwibawa.

“Kami berharap Liow dapat menjelaskan proses perundingan berada pada tahap mana,” ujarnya dalam satu kenyataan.

Katanya, kerajaan mestilah mendengar input rakyat, bukan menjadikan proses perundingan itu sebagai satu gimik semata-mata sebagaimana Model Ekonomi Baru yang diwar-warkan Perdana Menteri.

Jumaat, 8 April 2011

Bukan Armaris bayar Perimekar tetapi kerajaan


Harakahdaily

KUALA LUMPUR, 8 April: Laman web Perancis, Rue89 mendedahkan, syarikat Perancis, Armaris tidak pernah membayar Perimekar Sdn Bhd sebanyak RM493 juta sebagaimana didakwa tetapi ia sebenarnya dibayar oleh kerajaan Malaysia sendiri.

Rue89 (gambar) melaporkan perkara itu berdasarkan perbicaraan kes rasuah pembelian kapal selam Scorpean yang sedang berjalan di Perancis sekarang.

Perimekar adalah syarikat yang dikaitkan dengan rakan Perdana Menteri, Abdul Razak Baginda yang terlepas dari kes pembunuhan Altantuya Shaariibuu. Pemegang saham majoriti Perimekar adalah isteri Razak, Mazlinda.

Altantuya Shaariibuu, wanita Monggolia yang menjadi penterjemah antara pihak Malaysia dan Perancis kemudiannya mati dibunuh dan badannya diletupkan dengan peledak C4 di Puncak Alam.

Abdul Razak dan dua anggota polis yang bertugas sebagai pengawal keselamatan di pejabat Perdana Menteri telah didakwa terlibat dengan kes ini.

Namun mahkamah kemudiannya telah membebaskan Abdul Razak dan hanya dua pegawai polis ini sahaja yang didapati bersalah dan kini menunggu hukuman mati.

Altantuya dikatakan datang ke Malaysia untuk menuntut bahagiannya dalam perniagaan antara Malaysia dan Perancis kerana dia adalah penterjemah yang dijanjikan bayaran untuk khidmatnya itu.

Namun ia berakhir dengan cerita yang menyayat hati apabila beliau dibunuh dan badannya dileburkan dengan peledak C4 itu.

Laporan terbaru Rue89 bahawa bukan Armaris yang membuat bayaran kepada Perimekar itu bertentangan bertentangan dengan kenyataan kerajaan yang dibuat di Dewan Rakyat pada tahun 2006 lalu.

Dalam Dewan Rakyat , Timbalan Menteri Pertahanan, Datuk Zainal Abidin Zin berkata, komisyen itu tidak dibayar oleh kerajaan tetapi sebaliknya dibayar oleh sebuah syarikat Perancis.

Ia dibayar secara sukarela untuk kerja-kerja koordinasi dan perkhidmatan sokongan, kata Zainal dalam Dewan Rakyat.

"Kami (kerajaan) tidak membayar komisyen kepada mana-mana pihak sebagaimana yang didakwa Lim (Kit Siang), tetapi dibayar secara sukarela oleh Perancis," kata Zainal Abidin sebagaimana dilaporkan media pada 7 Disember 2006.

Kementerian Pertahanan juga berkata, syarikat tempatan yang dilantik kerajaan hanya untuk kerja-kerja perkhidmatan sokongan dan koordinasi.

Kerajaan telah membayar sebanyak satu bilion Euro kepada Armaris untuk dua buah Scorpean dan sebuah kapal selama Agosta di mana Perimekar menerima 11 peratus komisyen daripada kontraktor Perancis.

Bagaimanapun, Rue89 melaporkan kerajaan Malaysia yang membuat kesemua bayaran komisyen itu dengan satu tujuan iaitu mencegah rasuah dari pegawai awam asing dalam Transaksi Perniagaan Antarabangsa (on combating bribery of foreign public officials in International Business Transactions)

Rabu, 16 Mac 2011

Gagal bangun insan, tak capai matlamat negara membangun


Wednesday, 10 Rabi'ul Akhir 1432

Ucapan Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang semasa membahaskan titah Yang di-Pertuan Agong di Dewan Rakyat pada 14 Mac lepas.

Tuan Yang Dipertua dan Ahli-ahli Yang Berhormat, pertama-tama saya bersama dengan rakan-rakan, Ahli-ahli Parlimen seluruhnya sama ada di pihak kerajaan ataupun Pakatan Rakyat mengucapkan takziah kepada negara Jepun, kerajaan dan rakyat di atas bencana alam tsunami yang menimpa negara tersebut.

Bagi melahirkan simpati kepada mangsa dan negara yang ditimpa bencana itu, adalah baik pihak kerajaan menghantar rombongan kemanusiaan sebagai simbolik simpati kemanusiaan walaupun kita menyedari negara Jepun mempunyai kemajuan dan kemampuan teknologi dan tenaga manusia untuk menangani dan mengatasi bencana yang menimpa mereka. Akan tetapi sifat-sifat kemanusiaan mengatasi perbezaan kaum dan agama perlu diserlahkan dengan cara yang nyata dan terbuka melalui penghantaran rombongan tersebut.

Seterusnya saya ingin menyertai perbahasan Titah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong. Saya hendak memberi penekanan kepada perkara-perkara pokok dan dasar yang diucap dan dititahkan.

Baginda menegaskan supaya semua pihak menjunjung kedaulatan undang-undang dan keluhuran Perlembagaan. Kedaulatan Raja-raja Melayu, kedudukan Islam sebagai agama bagi Persekutuan, kedudukan istimewa orang-orang Melayu serta anak negeri Sabah dan Sarawak serta kepentingan sah kaum-kaum lain, meliputi hal kewarganegaraan dan hak asasi sebagaimana yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.

Hendaklah tidak dipersoalkan bagi mengelak perpecahan. Amaran supaya langkah diambil bagi mengelak perpecahan, menandakan di sana ada tanda-tanda negatif yang tidak sihat, yang boleh menjejaskan kewibawaan negara yang berdaulat yang berasaskan kepada Perlembagaan tersebut.

Kita perlu menyedari betapa Perlembagaan masih lagi mengalami kelemahan-kelemahan yang perlu dibaiki. Berhajat kepada pindaan.

Kita menyedari sejarah Perlembagaan dilahirkan daripada Suruhanjaya Reid. Mereka yang terlibat di dalam menggubal Perlembagaan itu tidak ada seorang pun daripada anak negeri ini.

Oleh kerana itu masih banyak perkara yang perlu dikaji semula, melakukan muhasabah dengan menyedari bahawa di dalam Perlembagaan itu sudah disebut perkara-perkara yang menjadi rukun, tonggak kepada negara yang sangat penting.

(i) Islam agama Persekutuan;

(ii) keluhuran Perlembagaan; dan

(iii) kedaulatan undang-undang, kedaulatan Raja-Raja, hak istimewa Melayu dan bumiputera, hak bangsa lain.

Akan tetapi mengapa masih wujud gejala-gejala yang menyebabkan Baginda telah menyampaikan titah amaran tersebut? Bagi orang Islam dan rakan-rakan yang bukan Islam menyedari kedudukan Melayu, orang Islam di dalam negara ini adalah golongan majoriti yang semua pihak, kaum lain menerima hakikat bahawa Melayu yang beragama Islam adalah majoriti yang berada di dalam tonggak kepimpinan negara. Soalnya sejauh mana Islam dapat menjadi roh kepada perlembagaan. Apa yang berlaku, kefahaman kita terhadap Islam itu sendiri masih lagi terlalu sempit, masih lagi belum merdeka, masih lagi dijajah.

Perlembagaan tiada roh Islam

Kita tidak menjadikan Islam sebagai agama yang menangani cara hidup termasuk kepada negara dan segala amalannya menyebabkan Perlembagaan kita tidak ada roh. Kita perlu menyedari perbezaan amalan negara yang berasaskan kepada Islam dengan negara yang lain.

Ini kerana tidak ada pemisahan di antara perhitungan dosa dan pahala dengan amalan negara. Inilah yang diajar oleh Islam. Inilah yang memelihara keadilan yang dapat menyatupadukan rakyat dan memberi hak kepada semua rakyat yang menjalinkan hubungan yang baik di kalangan mereka. Adakah keluhuran Perlembagaan itu masih wujud?

Di sana masih terdapat percanggahan-percanggahan di antara kuasa negeri dan pusat. Bukan sahaja di dalam urusan pentadbiran yang mencelarukan bahkan kadang-kadang di dalam urusan agama Islam itu sendiri. Walaupun dinyatakan di dalam Perlembagaan bahawa bidang kuasa agama yang disebut Enakmen Pentadbiran Agama adalah di bawah kuasa negeri tetapi negeri tidak boleh melaksanakan kuasa agama Islam yang luas kerana bercanggah dengan kuasa Perlembagaan pusat.

Ini menimbulkan kecelaruan di dalam melaksanakan Islam melalui konsep Perlembagaan itu sendiri. Bahkan terdapat percanggahan undang-undang Syariah di kalangan negeri-negeri itu sendiri padahal semua negeri menganut Mazhab Shafie. Sepatutnya diselaraskan, menandakan masih wujud kelemahan di dalam Perlembagaan itu sendiri yang menyebabkan kelemahan kepada urusan pentadbiran agama Islam di negeri-negeri. Ada pun kedaulatan undang-undang, kita melihat kedaulatan undang-undang agak terjejas dengan tidak adanya pemisahan kuasa di antara penggubal undang-undang mahkamah dan pentadbiran.

Masih wujud kecelaruan dan campur tangan, masih wujud sistem keadilan yang tidak stabil dengan cara yang tepat. Peristiwa-peristiwa yang menyayat hati dan boleh memalukan kita. Contohnya Teoh Beng Hock yang mati dalam siasatan dan kes Dato’ Seri Anwar Ibrahim yang disebarkan melalui media dengan cara yang memalukan.

Mengikut kaedah perundangan Islam dan kaedah perundangan Islam ini diamalkan oleh undang-undang British kerana orang-orang British ketika menjajah negara umat Islam, mereka bukan sahaja mengumpulkan hasil bumi. Mereka juga mengumpulkan hasil ilmu Islam melalui kitab undang-undang yang dikarang oleh ulama’-ulama’ Islam dalam segala mazhab sehingga mereka memakai kaedah orang yang dituduh tidak bersalah selagi tidak disabitkan. Apa yang berlaku hari ini, menunjukkan orang dituduh telah bersalah dan dihukum. Mati dalam tahanan walaupun dia seorang yang bukan Islam. Allah mengajar kita adil kepada semua manusia. Firman Allah SWT yang bermaksud, “Sesungguhnya Allah, menyuruh kamu supaya menyerahkan amanah kepada orang yang adil dapat menunaikannya”. Sama ada amanah politik ataupun amanah kehakiman dan pentadbiran. Apabila melakukan urusan hukuman di kalangan manusia tidak disebut Islam dan bukan Islam juga tidak disebut bangsa yang tertentu di kalangan manusia hendaklah berlaku adil. Apa yang berlaku hari ini, kita tidak boleh menunjukkan contoh kebaikan Islam daripada Islam yang kita jadikan sebagai agama persekutuan. Ini satu hal yang perlu disedari oleh pihak kerajaan sebelum banyak lagi perkara buruk yang berlaku. Insiden-insiden undang-undang yang berlaku dalam negara kita.

Kedaulatan Raja-raja, Raja-raja adalah sebahagian daripada negara kita. Nabi kita Muhammad SAW telah meletakkan garis panduan dalam hal ini yang bermaksud, “Apabila Allah mengehendaki keadaan seseorang raja itu menjadi baik, maka Allah jadikan di sisi raja itu menteri-menteri yang benar dan baik. Sekiranya raja itu lupa diperingatkan. Sekiranya raja itu ingat ditolong raja itu. Sekiranya Allah mengehendaki raja itu dalam keburukan maka Allah jadikan di sisinya menteri yang jahat dan bohong. Sekiranya raja itu lupa, tidak diperingatkan. Sekiranya raja itu ingat tidak ditolongnya”.

Apa yang berlaku dalam negara ini? Melahirkan pengampu-pengampu kepada Raja-Raja kita. Dia bukan menjadi penasihat yang baik apabila kita merasakan kedudukan kita terancam, defend on Perlembagaan. Perlembagaan bukan untuk memperbaiki Institusi Raja-raja tetapi mendapat kuasa laksana kuasa tikus membaiki labu. Ini keadaan yang berlaku.

Hak istimewa orang Melayu

Hak istimewa orang Melayu, Islam, dan bumiputera diakui oleh semua kaum yang ada dalam negara ini kerana mereka menyedari bahawa majoriti rakyat negara ini adalah orang Melayu Islam dan bumiputera. Kerana menyedari bahawa majoriti orang miskin dan ketinggalan dalam hak berekonomi dan hidup dengan selesa adalah orang Melayu dan bumiputera.

Mereka menyedari hakikat ini, dalam masa yang sama sangat baik. Kita telah letak dalam Perlembagaan. Hak kaum lain juga hendaklah dipelihara, dijaga, dan mengikut Islam sama adil dengan puak orang Islam.

Hak untuk hidup dan juga ekonomi. Oleh kerana jumlahnya Melayu bumiputera lebih besar, maka kita letakkan atasnya. Bahkan kami dalam Pakatan Rakyat atau konvensyen telah memutuskan satu resolusi menerima apa yang termaktub dalam Perlembagaan.

Akan tetapi apa yang merisaukan kita ialah hak istimewa ini tidak dijaga dengan cara yang baik dan betul menyebabkan fanatik kepartian berlaku di dalam parti yang memerintah sendiri. Sepatutnya parti yang memerintah hendaklah menjadi contoh kepada seluruh rakyat.

Para ulama’ mengatakan...bermaksud, “Rakyat mengikut langkah pemimpin-pemimpin mereka”.

Apa yang berlaku hari ini, hak bumiputera yang dipentingkan ialah Bank Bumiputera yang menyokong Umno dan parti yang memerintah di Sabah dan Sarawak. Kemudian, ditambah lagi kroni-kroni pemimpin yang tertentu.

Dalam parti yang sama pun dinafikan. Ini merupakan kemalangan yang berlaku dalam apa yang disebut dengan hak istimewa orang Melayu dan bumiputera. Ia tidak dilaksanakan dengan betul.

Saya ingin mengulangi apa yang disebut dalam Dewan ini. Bank Bumiputera yang telah ‘meninggal dunia’. Di mana ada Bank Bumiputera di situ ada pejabat Umno. Mengapa Bank Bumiputera telah ‘meninggal dunia’? Siapa yang mematikan bumiputera atau pun jadi anak angkat kepada bank lain? Ini kerana pengurusan dan cara yang tidak betul. Apabila kita orang Islam Melayu telah diterima sebagai tunggak kepimpinan negara, apa yang penting kita mesti menunjuk satu contoh yang baik. Modul ajaran Islam yang bersih daripada rasuah dan menyalahgunakan kuasa. Apa yang berlaku hari ini, pimpinan utama Umno sendiri Tun Dr. Mahathir Mohamad telah menyebut dalam kenyataan yang terbuka bagaimana parti yang memerintah dihujani oleh penyakit rasuah di dalam pemilihan-pemilihan mereka. Bagaimana kita dapat mewujudkan sebuah kerajaan menjadi model mengikut ajaran Islam daripada orang Melayu yang beragama Islam ini?

Sekiranya dalam pemilihan kepimpinan kita berdasarkan kepada politik wang dan politik wang ini diketahui oleh umum. Ia dilakukan dalam masa pilihan raya sehingga rakyat tidak boleh menjadi hakim yang adil.

Demokrasi

Ini kerana mengikut amalan demokrasi yang sebenar rakyat adalah hakim untuk menghukum parti yang memerintah. Sekiranya parti memerintah dalam keadaan yang baik, rakyat terus menyokong. Sekiranya parti yang memerintah dituduh dengan tuduhan yang tidak betul, dia boleh bela dan membersihkan diri. Apa yang berlaku hari ini? Rakyat tidak boleh menjadi hakim yang betul kerana media yang menjadi saksi kepada rakyat untuk pilihan raya untuk membuat laporan yang tidak sepenuh dan berat sebelah. Demokrasi ialah untuk memilih kerajaan yang sihat dan kuat.

Di Amerika tidak selama-lamanya Republican atau Democrat. Di Britain tidak selamalamanya Conservative, Parti Liberal atau Parti Buruh. Mereka bertukar dan beralih bila satu parti mengalami kelemahan dalam kepimpinan negara. Ia didedahkan oleh media. Pemimpin parti memerintah tidak boleh jawab, rakyat hukum dalam pilihan raya dan kepimpinan parti memerintah itu menerima hakikat dia dihukum oleh rakyat. Dia tunggu pulih diri dia, setelah dia baik barulah dia menang pilihan raya balik. Apa yang berlaku dalam negara kita hari ini? Mahu memerintah sehingga nyanyuk dan kiamat walaupun kita mengalami kelemahan-kelemahan.

Apa yang membimbangkan Tuan Yang di-Pertua ialah gejala perpecahan. Perpecahan di dalam masyarakat kerana titah Baginda menyebut tentang perpecahan di kalangan rakyat.

Islam menganjurkan perpaduan, perpecahan perkara biasa berlaku di kalangan manusia kerana mereka mempunyai pandangan-pandangan yang berbeza, tetapi mereka boleh disatukan dengan semangat dan roh yang ada dalam diri mereka. Islam menganjurkan perpaduan di kalangan orang Islam dan perpaduan di kalangan sesama manusia yang berbagai-bagai agama. Ia menganjurkan perpaduan dari semua kalangan ini. Perpaduan di kalangan orang Islam, Allah menyatakan perpaduan mereka ialah dengan tali Allah. Firman Allah bermaksud, “Berpeganglah kamu semua dengan tali Allah, jangan kamu berpecah belah”. Perpaduan di kalangan manusia Allah menyatakan bermaksud, “Wahai manusia, sesungguhnya Kami telah menciptakan kamu daripada seorang lelaki dan seorang perempuan, berbangsa-bangsa, dan berpuak-puak supaya kamu berkenalan di antara satu sama lain”.

Perpaduan di kalangan manusia lita’arafu, supaya berkenalan di kalangan manusia dan bertukar-tukar kepentingan di antara satu sama lain.

Dalam sejarah Islam pernah berlaku perbezaan pendapat yang mencetuskan pergaduhan. Akan tetapi boleh disatukan, boleh didamaikan dan boleh diselesaikan walaupun melahirkan berbagai-bagai mazhab, mazhab dalam ilmu fiqah, bahkan mazhab di alam politik.

Kalangan Sunni, Syiah dan Khawarij, ini alam mazhab dalam politik yang lahir di kalangan umat Islam. Ada yang betul dan ada yang salah dalam mazhab ini. Timbulnya gejala perpecahan dalam politik setelah wafatnya Nabi SAW. Quran tidak menentukan siapa penggantinya.

Nabi Muhammad SAW tidak menentukan siapa penggantinya menyebabkan timbul berbagai-bagai pandangan dan mereka bermusyawarah.

Ada kalangan yang mengatakan bahawa ketua negara mestilah dari kalangan Ansar, dari kalangan orang Madinah kerana mereka tuan punya tapak kepada negara Islam yang awal itu. Ada yang mengatakan ketua negara mestilah dari kalangan Ahlul-Bait, keluarga Nabi SAW. Ada yang mengatakan kepimpinan negara mestilah dari kalangan seorang pemimpin yang berwibawa, yang paling kuat pengaruhnya di kalangan rakyat. Akhirnya mereka menerima bahawa kepimpinan negara mestilah dari kalangan yang berwibawa di kalangan rakyat yang mempunyai bangsa yang majoriti yang hebat di kalangan kaum yang ada dalam negara itu.

Ini pendapat umum yang diterima oleh para sahabat Radiallah Anhu walaupun pendapat Ansar menjadi pandangan golongan Khuwarij dan pandangan Ahlul-Bait menjadi pandangan golongan Syiah yang ditolak oleh ilmu politik dan fiqah politik Islam. Tidak dinafikan dan kita telah menerima semangat itu.

Bahkan dalam Perlembagaan ini sudah ada kita meletakkan hak keistimewaan orang Melayu kerana menerima hakikat orang Melayu adalah majoriti orang Islam yang wujud dan diakui oleh kaum lain. Akan tetapi, kita mesti ingat bahawa jati diri orang Melayu dan kewibawaan mereka terletak kepada sejauh mana mereka berpegang dengan ajaran Islam itu.

Allah SWT memberi amaran yang bermaksud, “Jika sekiranya kamu yang berbangsa, yang menganut Islam itu berpaling daripada ajaran Islam, maka Allah menukar kaum yang lain daripada kamu.”

Dalam sejarah Islam, yang memimpin pemerintahan bukan sahaja orang Arab, bertukar ke bangsa Kurdish, bertukar ke bangsa Turki dan bangsa-bangsa yang lain apabila bangsa yang telah menganut Islam itu tidak kuat dan kukuh berpegang dengan ajaran Islam. Di sinilah Islam meletakkan kepimpinan, bukan ketuanan.

Ini kerana kita tidak boleh memperhambakan di kalangan rakyat. Kepimpinan boleh beralih. Kepimpinan Melayu hendaklah diwujudkan dengan kita berpegang dengan jati diri yang berlandaskan kepada ajaran Islam. Ini sangat penting. Melayu selamat kalau Islam ditegakkan. Kalau Islam tidak ditegakkan, Melayu akan lebur sebagaimana bangsa lain yang lebur dalam dunia ini.

Allah SWT telah menyebut, bangsa yang mempunyai tamadun yang hebat dalam sejarah manusia, mereka hancur lebur walaupun mempunyai pembangunan yang hebat dengan bangunan-bangunan yang mencakar langit. Firman Allah Taala bermaksud, “Adakah kamu tidak tahu, kamu tidak melihat apa yang telah menimpa kaum ‘Ad yang telah mendirikan bandar Iran dengan bangunan-bangunan pencakar langit? Adakah kamu tidak melihat kaum Tsamud yang telah memahat bukit-bukit batu pejal untuk dijadikan bangunan? Adakah kamu tidak melihat kaum Firaun yang mendirikan Piramid, yang mendirikan bangunan Piramid yang hebat dan bala tentera yang ramai apabila mereka telah melakukan fasad, melakukan kejahatan.”

Kejahatan itu sama ada maksiat ataupun kezaliman dalam pemerintahan. Maksiat ataupun kezaliman. Kemungkaran berlaku, maka Allah memusnahkan kaum itu walaupun mempunyai pembangunan kebendaan yang sangat hebat.

Tanpa dinafikan bahawa peranan manusia di atas muka bumi bukan sahaja mengabdikan diri kepada Allah, dalam masa yang sama manusia ditugaskan untuk membangunkan bumi dengan pembangunan-pembangunan yang menggunakan bahan-bahan yang dikurniakan oleh Allah kepada mereka dia atas muka bumi. Akan tetapi untuk melakukan pembangunan itu, hendaklah dibina insan. Dalam ucapan Seri Paduka Baginda disebut pembangunan insan. Akan tetapi, tidak disebut apakah acuan pembangunan insan itu.

Kemusnahan negara-negara yang maju di abad yang lalu dan yang terkini seperti Soviet Union ialah kerana gagal dalam pembangunan insan walaupun mempunyai muka bumi yang luas, kekayaan yang melimpah ruah, pembangunan kebendaan yang begitu hebat, bangunan yang mencakar langit seperti di Dubai sekarang, bangunan pencakar langit banyak tetapi orang tidak ada.

Pembangunan yang tidak berasaskan kepada pembangunan insan dalam erti kata yang sebenar untuk membangunkan insan bukan sahaja mengilmukan mereka dalam bidang sains dan teknologi yang sangat diberi penekanan. Tidak dinafikan bahawa pengilmuan dalam sains dan teknologi adalah penting. Akan tetapi, manusia yang mengendalikan pembangunan sains dan teknologi itu hendaklah dibina roh dan akal mereka. Kalau roh dan akal mereka tidak dibina dengan tepat, maka sains dan teknologi membawa kemusnahan kepada diri mereka sendiri.

Dengan sebab itu maka Islam menganjurkan bahawa bagi membangun diri manusia hendaklah mengikut acuan fitrah, naluri dan sifat semula jadi manusia yang disebut dengan Maqasid al-Syariah, tujuan hukum syariah diturunkan oleh Allah kepada manusia tepat dengan ciri-ciri dan sifat keperluan yang ada bagi diri manusia. Mereka memerlukan enam perkara yang penting:

(i) agama;

(ii) nyawa;

(iii) akal;

(iv) maruah;

(v) keturunan; dan

(vi) harta.

Ini tiga rukun. Dalam kehidupan manusia, manusia tidak boleh hidup dengan tepat, dengan baik sekiranya tidak memenuhi ketiga-tiga rukun ini. Pertama, agama. Islam meletakkan agama menjadi dasar dan payung kepada pembangunan insan. Meletakkan manusia menjadi hamba kepada Allah. Pimpinan negara adalah menunaikan amanah bukannya tuan yang memperhambakan rakyat dan mana-mana kaum. Ini yang diajarkan oleh Islam.

Segala projek pembangunan yang dilakukan oleh kerajaan memberi kesenangan kepada rakyat hendaklah ditunaikan dengan amanah dan di atas sifat menunaikan amanah, dia tidak boleh berbangga dengan apa yang dia buat dengan hendak menunjuk-nunjuk sahaja ini aku buat, ini aku buat, ini aku buat seolah-olah harta dia, dia yang punya. Apabila merasakan ini dia yang punya, harta dia, maka berlakulah salah guna, berlakulah mengambil kesempatan, berlakulah tidak ada perhitungan dosa dan pahala, berlakulah tidak boleh mengawal tamak dan haloba dalam kegiatan politik dan ekonomi. Pembangunan itu bukan sahaja tidak memberikan kebahagiaan kepada rakyat, bahkan menjadi kemusnahan kepada negara dengan sebab pengurusan ekonomi tidak teratur, perjalanan tidak teratur dengan cara yang baik.

Islam menjadikan agama pengawas kepada kegiatan-kegiatan yang lain. Oleh sebab itu Islam meletakkan perhitungan dosa dan pahala dalam semua tindak-tanduk yang dilakukan oleh manusia. Bukan sahaja di masjid, bukan sahaja atas tikar sembahyang, bukan sahaja di Makkah termasuklah bila dia menjadi ketua negara, menjadi pemimpin negara, di office bergaul dengan rakyat, segala tindak-tanduknya ada kaitan dengan agama. Apa yang berlaku hari ini seolah-olah agama tidak ada kaitan dengan masalah hidup. Kita buat macam-macam, berbagai-bagai langkah, rasuah, menyalah guna kuasa, selepas itu pergi umrah. Selesa dengan itu sahaja, seolah-olah cukup dengan umrah sahaja dengan tidak melakukan muhasabah bahawa semua tindakan adalah dihisab. Bukan umrah itu sahaja.

Ini kerana kita memisahkan agama dengan urusan kehidupan. Kedua menjaga nyawa. Nyawa adalah penggerak kepada anggota yang bertugas bagi diri manusia. Nyawa hendaklah dipelihara dengan cara yang baik. Oleh kerana itu Islam menjadikan hak nyawa bukan sahaja hak Allah Taala termasuk juga hak manusia. Maka Islam meletakkan hukuman qisas dalam memelihara nyawa.

Firman Allah Taala yang bermaksud, “Dan bagi kamu dalam melaksanakan hukuman qisas itu, membawa kehidupan wahai orang-orang yang mempunyai akal fikiran yang betul supaya kamu bertakwa kepada Allah.”

Qisas ini yang berkait dengan kesalahan membunuh, termasuklah kesalahan mencederakan dengan sengaja dan tidak sengaja, semuanya ada dalam Islam termasuklah undang-undang kemalangan jalan raya. Berkait dengan qisas. Di mana undang-undang Islam lebih berkonsepkan mendidik bukan untuk mendera dan memungut hasil.

Saman ekor

Apa yang berlaku hari ini contohnya saman ekor. Saman ekor adalah satu undang-undang di atas nama mengapa tidak saman kepala terus? Saman ekor sahaja. Di atas nama hendak mengawal keselamatan jalan raya tetapi undang-undang ini tidak bersifat mendidik lebih bersifat mendera, lebih bersifat mencari duit. Setelah diumumkan ramai yang beratur hendak bayar saman ekor diberitahu berapa juta dapat minggu ini. Termasuklah undang-undang yang berkait dengan dadah. Ini juga undang-undang yang mendidik. Apa yang berlaku hari ini kita gagal dalam menangani masalah dadah. Ini sangat mendukacitakan. Maka perlu dikaji semula, dibawa undang-undang takzir yang mendidik rakyat supaya menangani masalah dadah.

Kesimpulan Tuan Yang Dipertua, sekiranya kita tidak dapat membangunkan insan mengikut acuannya yang tepat, maka kita gagal mencapai matlamat negara yang membangun, mencapai kebahagiaan dunia dan akhirat, menjadi wawasan kepada umat Islam dan ketamakan manusia seluruhnya. Sekian, terima kasih.

Selasa, 15 Mac 2011

Bekas OCPD diarah bayar RM200 ribu


Harakahdaily

KUANTAN, 15 Mac: Mahkamah hari ini memerintahkan bekas Ketua Polis Rompin, Hanafi Daud membayar kepada Dr Hatta Ramli dan dua pimpinan PAS Pahang, Mazlan Yassin dan Nazri Ahmad sebanyak RM200,000 sebagai ganti rugi dan kos akibat daripada penangkapan dan penahanan yang tidak sah ke atas mereka bertiga di Markas PAS Rompin di Muadzam, Pahang pada 10 Mei 2004 lalu.

Timbalan Pendaftar Mahkamah Tinggi Kuantan, Puan Sazlina Safie membuat keputusan tersebut hari ini setelah Peguam Kanan Persekutuan yang mewakili defendan menyatakan kepada mahkamah bahawa anak guam beliau bersetuju membayar plaintif-plaintif RM200 ribu.

Kes hari ini ditetapkan untuk perbicaraan taksiran gantirugi.

Pada 26 Ogos 2009, Hakim Datuk Mariana Yahya telah memutuskan bahawa defendan telah menyalahgunakan kuasanya apabila membuat serbuan ke atas markas PAS dan menangkap serta menahan Dr Hatta, Mazlan dan Nazri.

Hakim juga memutuskan bahawa ceramah PAS yang diadakan di dalam kawasan markas tersebut adalah satu perhimpunan yang sah dan tidak memerlukan permit polis kerana ia bukan tempat awam.

Mahkamah juga memutuskan bahawa defendan juga telah melanggar Artikel 5 (3) Perlembagaan Persekutuan kerana gagal memberitahu plantif-plaintif atas alasan apa mereka ditangkap.

Setakat ini, inilah kali pertama pihak OCPD disaman oleh pimpinan PAS di atas gangguan yang dilakukan oleh pihak polis ke atas ceramah PAS, hatta hakim sendiri menemplak defendan kerana mengganggu ceramah PAStersebut sedangkan ia berjalan secara aman dan telah banyak kali dijalankan di markas tersebut.

Dr Hatta yang juga Bendahari PAS Pusat dan ahli Parlimen Kuala Krai, Mazlan dan Nazri diwakili oleh Mohamed Hanipa Maidin manakala Hanapi Daud diwakili oleh Kamal Azira Hassan.

Sabtu, 12 Mac 2011

PAS dakwa polis, tentera diberi MyKad semasa PRK

Aziz Muda
KUALA LUMPUR, 11 Mac: PAS mempersoalkan tindakan kerajaan BN yang memberikan MyKad kepada polis dan tentera semasa PRK Merlimau dan Kerdau 6 Mac lalu, memandangkan mereka sudah mempunyai kad polis dan tentera masing-masing.

Tindakan tersebut menimbulkan pelbagai tanda tanya kepada pelbagai pihak, memandangkan setiap anggota tentera terutamanya tidak dibenarkan memegang MyKad masing-masing sepanjang mereka masih berada dalam perkhidmatan Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat, Datuk Seri Ir Mohammad Nizar Jamaluddin ketika mempersoalkan perkara itu menegaskan, walaupun MyKad-MyKad itu sememangnya kepunyaan anggota polis dan tentera itu sendiri, tetapi tindakan tersebut jelas di luar kebiasaan dan menyalahi undang-undang.

Menurut beliau, setiap anggota polis dan tentera sepatutnya tidak lagi dibenarkan menyimpan MyKad masing-masing, sebaliknya dipegang oleh unit tertentu sepanjang mereka berada dalam perkhidmatan, disebabkan mereka telah mempunyai kad polis dan tentera yang lengkap dengan nombor masing-masing.

"Tetapi semasa pilihanraya kecil (PRK) Merlimau dan Kerdau 6 Mac lalu, polis dan tentera turut diberikan MyKad masing-masing. Ini menjadikan mereka mempunyai dua kad pengenalan diri dalam suatu masa.

"Kenapa Kerajaan BN bertindak begitu? Apakah tujuannya? Inilah yang menjadi tanda tanya kepada kita dan perlu dijelaskan oleh Kerajaan BN," katanya pada sidang akhbar di Pejabat Agung PAS, Jalan Raja Laut, di sini, semalam.

Setiap anggota tentera terutamanya, menurut beliau, lazimnya mengundi secara pos, tetapi dengan memberikan MyKad kepada mereka yang terbabit, mereka juga boleh mengundi seperti orang awam.

Jadi dengan tindakan itu, anggota polis dan tentera terbabit sememangnya berpeluang mengundi dua kali. Satunya dengan mengundi secara pos (undi pos) dengan menggunakan kad polis dan tentera masing-masing dan satu lagi mengundi seperti orang ramai dengan menggunakan MyKad masing-masing.

Sehubungan itu, beliau mendesak kerajaan BN menjelaskan matlamat sebenar penyerahan MyKad-Mykad tersebut kepada anggota polis dan tentera terbabit kerana ia amat menghairankan pelbagai pihak.

Beliau juga mendesak SPR memberikan jawapan yang benar sama ada pegawai-pegawai dan anggota-anggota polis dan tentera terbabit sememangnya mengundi dua kali pada PRK Dun Merlimau dan Kerdau 6 Mac lalu.

Terdahulu dari itu, beliau menyuarakan rasa kesalnya dengan tindakan pihak polis dan SPR yang membenarkan ceramah dari pihak Umno BN dan PAS diadakan di tempat berhampiran, semasa kempen kedua-dua PRK itu.

"Semua itu jelas mengganggu program Pakatan Rakyat dan ia tidak sepatutnya berlaku," ujar beliau yang juga Ahli Parlimen Bukit Gantang.

Selasa, 8 Mac 2011

Barang naik: PAS pastikan rakyat tidak terbeban


Hazayani Zakaria

KUALA LUMPUR, 7 Mac: PAS akan memastikan rakyat tidak akan terus terbeban dengan kenaikan harga barang dengan mencadangkan perkara yang boleh memperkemaskan subsidi kerajaan dan akan membasmi amalan rasuah dan penyelewengan wang rakyat.

Ahli Jawatankuasa PAS Pusat, Datuk Kamarudin Jaffar (gambar) berkata demikian sebagai mengulas titah Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Mizan Zainal Abidin yang mengingatkan rakyat agar bersedia menghadapi situasi harga barang.

"Tuanku telah menyatakan kebimbangan terhadap kenaikan harga barang dan sebagainya. PAS akan berperanan memastikan apa yang dititahkan terutamanya mengenai subsidi kita perkemaskan lagi dan cuba hapuskan unsur-unsur penyelewengan dan rasuah dalam projek kerajaan selama ini," kata beliau ketika ditemui di lobi Parlimen hari ini.

Ahli Parlimen Tumpat itu juga berkata, PAS sebagai parti yang telah lama bertapak di negara ini diberi peluang yang sewajarnya untuk mengutarakan pandangan dan cadangan dalam usaha memajukan negara.

"PAS sebagai parti yang konstruktif menyambut baik titah Tuanku dan kita akan mengutarakan cadangan perbahasan yang berkesan.

"Saya harap ahli Parlimen PAS akan dapat peluang yang sepenuhnya untuk memberi input yang berkesan dalam perbahasan demi masa depan negara," katanya.

Semasa merasmikan mesyuarat pertama penggal keempat Parlimen hari ini, Tuanku Mizan menyeru rakyat agar menjadi pengguna yang bijak dan berjimat cermat dalam berbelanja.

"Sejak akhir-akhir ini telah berlaku situasi kenaikan harga bahan-bahan makanan di seluruh dunia yang disebabkan oleh pemanasan global, bencana alam, perubahan polisi negara pengeluar dan peningkatan penduduk dunia sebanyak empat peratus setahun berbanding pengeluaran makanan dunia sebanyak satu hingga dua peratus.

"Ia adalah krisi makanan global. Sebagai negara pengimport makanan, Malaysia terdedah kepada kenaikan harga barang dan ini sememangnya di luar kawalan kerajaan.

"Dalam keadaan ini, Beta menyeru rakyat supaya lebij bersedia untuk menghadapi fenomena ini, jadilah pengguna yang bijak, amalkan perbelanjaan secara berhemat dan berusaha melindungi kepentingan sendiri dengan tidak terlalu bergantung kepada erlindungan kerajaan," titah Tuanku Mizan.

Selasa, 21 Disember 2010

Negara Islam: Nik Aziz ucap tahniah pada Karpal


Harakahdaily

KOTA BHARU, 21 Dis: Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat merakamkan ucapan setinggi-tinggi tahniah kepada pemimpin veteran DAP, Karpal Singh yang terbuka untuk berbincang isu negara Islam.

Beliau yang juga Menteri Besar Kelantan, merakamkan ucapan tahniah itu melalui satu kenyataan di sini hari ini.

“Mudah-mudahan dengan pendirian terbaru itu, YB Tuan Karpal Singh akan mendapat hidayah daripada Allah S.W.T. untuk menerima Islam sebagai satu sistem yang adil untuk semua kaum dan sesuai dipakai dalam politik Malaysia,” katanya.

Karpal yang juga Pengerusi kebangsaan DAP, sewaktu menyampaikan ucapan penggulungan pada Konvensyen kedua Pakatan Rakyat di Kepala Batas kelmarin berkata, beliau mahu isu negara Islam segera dibincang oleh Pakatan Rakyat kerana beliau tidak mahu BN mengeksploitasi isu tersebut dalam pilihan raya umum akan datang.

DAP katanya boleh membincangkan isu tersebut dengan ketua umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim, mursyidul am PAS yang juga menteri besar Kelantan, Datuk Nik Aziz Nik Mat serta presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

Karpal juga meletakkan keyakinan, isu tersebut boleh mencapai konsensus sekira satu perbincangan bersama diadakan.

Tuan Guru Nik Aziz dan Karpal, dua tokoh politik Pakatan Rakyat yang sebelum ini dilihat bertembung dalam isu negara Islam dan dieksploitasi sepenuhnya media pro Umno.

Karpal sebelum ini pernah menyebut kepada PAS agar 'langkah mayat beliau dahulu jika PAS bertegas mahu meneruskan hasrat membina Malaysia sebuah negara Islam.

Manaka Tuan Guru Nik Aziz pula dalam responnya kepada Karpal sebelum ini, mahu ahli parlimen Bukit Gelugor itu menyatakan di mana salahnya dengan Islam itu.

Dengan penegasan terbaru Karpal itu, media pro Umno kini dilihat hilang punca sekaligus menamatkan isu tersebut dari terus dimanipulasi mereka.

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails