Selamat Datang
Rabu, 8 Ogos 2012
Saman trafik RM2,000, K’jaan ambil kesempatan rakyat musim raya
Sabtu, 12 Mac 2011
Saman Ekor: Fahami isu sebenar
| Zulhazmi Shariff |
|
Saya ingin merujuk kepada siaran akhbar Berita Harian bertarikh 11/3/2011 yang memetik ulasan seorang Pakar Perlembagaan Profesor Dr Rohimi Shapiee. Saya amat dukacita dengan perkembangan dan ulasan tersebut yang melabelkan pihak-pihak yang tidak menggalakkan rakyat membayar saman sebagai sebagai nakal dan menggalakkan pemandu supaya terus melanggar undang-undang. Saya ingin tegaskan pendirian kami di Jawatankuasa Kempen Anti saman Ekor (KASE) bahawa kami tidak sekali-kali bersetuju dan menggalakkan pemandu-pemandu kenderaan memandu tidak mengikut peraturan. Setiap pemandu mestilah memandu dengan berhemah kerana jalanraya bukan harta persendirian tetapi hak bersama. Kami juga tidak bersetuju dengan penguatkuasaan yang tidak mengikut peraturan sedia ada. Atas hujah dan pendirian ini, kami melancarkan Kempen Anti Saman Ekor (KASE) iaitu bertujuan memberikan penerangan tentang hak rakyat yang dijamin oleh Perlembagaan, prinsip keadilan dan pematuhan peraturan serta prosedur tindakan undang-undang. Tidak pernah pada bila-bila masa dan ketika, Kami menyatakan bahawa Saman Ekor yang dikeluarkan oleh PDRM adalah bertentangan dengan Perlembagaan dan Akta. Jika ada, saya merasakan kenyataan dan pendirian kami telah disalah tafsir. Saya ingin memperbetulkan pemahaman dan persepsi sesiapa sahaja termasuk Pakar Perlembagaan tersebut supaya sebelum membuat sebarang ulasan atau komen, FAHAMI dahulu apa isu yang dibawa dan ditimbulkan. Saya ingin menegaskan bahawa Saman Ekor yang dikatakan saman itu sebenarnya bukan saman tetapi hanya sekadar notis meminta maklumat pemandu daripada pemilik kenderaan yang dikeluarkan mengikut Seksyen 115 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. Notis ini disebut sebagai Pol 170A. Fakta ini tidak pernah disangkal malah diakui oleh Kementerian Dalam Negeri, PDRM malah Timbalan Menteri Pengangkutan di dalam Dewan Rakyat. Saya mohon kerjasama pihak-pihak yang ingin membuat ulasan supaya lebih rajin membaca daripada membuat ulasan dan komen berasaskan lojik akal fikiran. Pernahkah pihak-pihak yang membuat ulasan ini meneliti setiap patah perkataan yang terkandung di dalam notis Pol 170A tersebut sebelum membuat komen? Baca dan fahami kandungannya dahulu kemudian nyatakan komen dan ulasan. Mengikut Seksyen 115 (1) APJ 1987 setiap pemilik kenderaan apabila diberikan notis Pol 170A ini hendaklah memberikan maklumat pemandu yang disyaki telah melakukan kesalahan yang dinyatakan di dalam notis tersebut dalam tempoh tujuh (7) hari dari tarikh notis diterima. Kegagalan memberikan maklumat boleh dianggap melakukan kesalahan melainkan pemilik memuaskan hati mahkamah bahawa beliau tidak tahu siapa yang memandu. Maksud memuaskan hati mahkamah tersebut ialah seseorang pemilik jika ingkar menjawab notis tersebut maka pihak berkuasa iaitu PDRM yang mengeluarkan notis ini hendaklah mengeluarkan suatu notis (Saman) di bawah Seksyen 53(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. Persoalannya adakah semua prosedur ini diikuti oleh pihak berkuasa iaitu PDRM yang mengeluarkan notis ini? Bersama Notis Pol 170A ini juga dikepilkan Notis Pol 171 iaitu menawarkan kompaun kepada pemilik kenderaan jika pemilik mengakui kesalahan dan ingin menerima tawaran kompaun, pemilik boleh menjelaskannya. Perlu diambil perhatian bahawa tawaran kompaun ini diberikan melalui Seksyen 120 (1) APJ 1987. Kompaun ini hanyalah semata-mata tawaran. Bukan suatu bentuk hukuman atau denda. Kompaun ini juga mempunyai tempoh sah laku kerana di dalam Notis Pol 171 di perenggan 4 dinyatakan begini “Tawaran ini berkuatkuasa sehingga (tarikh). Sekiranya tiada jawapan selepas tarikh ini, tindakan saman akan diambil”. Ini dengan jelas menunjukkan bahawa kompaun tersebut hanyalah suatu tawaran, dan jika pemilik atau yang disyaki melakukan kesalahan tidak menerima tawaran kompaun tersebut dan enggan membayar, maka mereka hendaklah disaman supaya hadir di Mahkamah menjawap pertuduhan ke atas mereka. Saman ini dikeluarkan mengikut Seksyen 53(1) APJ 1987 yang disebut sebelum ini.
Persoalannya, adakah prosedur ini juga diikuti oleh pihak berkuasa? Perkembangan yang berlaku sekarang ialah pihak berkuasa iaitu Kementerian dalam Negeri melalui PDRM telah menghukum orang yang disyaki melakukan kesalahan lalu lintas sedangkan mereka tidak pernah dibuktikan melakukan kesalahan. Mereka dihukum dengan alasan tidak membayar kompaun sedangkan kompaun hanyalah tawaran. PDRM pula mengambil kesempatan di atas kurangnya pemahaman rakyat tentang undang-undang dan peraturan telah menghukum dengan meminta JPJ menyenarai hitam kenderaan bertujuan memaksa mereka membayar kompaun. INILAH TINDAKAN YANG BERTENTANGAN DENGAN PERLEMBAGAAN!
Kenapa ia bertentangan dengan Perlembagaan? a) Kesalahan yang dikatakan telah dilakukan tersebut belum dibuktikan. Rujuk kembali kepada ulasan asal di atas. Jika Pemilik kenderaan ingkar notis, sepatutnya mereka dihadapkan ke Mahkamah untuk dibuktikan mereka ingkar notis tersebut. Pelbagai persoalan akan timbul di sini. Adakah notis tersebut telah dikeluarkan? Adakah notis tersebut telah diserahkan dengan sempurna? Notis boleh diserahkan kepada pemilik kenderaan mengikut Seksyen 118 APJ 1987 iaitu dengan pos berdaftar. Jadi pihak berkuasa perlu membuktikan terlebih dahulu notis itu telah dikeluarkan. Kemudian buktikan notis itu telah diserahkan iaitu dengan bukti pengeposan daripada pejabat pos berkaitan. Jika ada bukti tersebut barulah pemilik perlu buktikan kenapa beliau ingkar. Jika beliau telah memuaskan hati mahkamah dengan alasan-alasannya maka kemungkinan akan dilepaskan. Jika tidak dapat memuaskan hati Mahkamah, kemungkinan akan dijatuhkan hukuman kerana ingkar notis. Belum lagi soal memandu melebihi hadlaju. Adakah ini dilakukan dalam situasi sekarang ini? Jawapannya tidak kerana Timbalan Menteri Pengangkutan sendiri mengakui di Dewan Rakyat pada 8/3/2011 bahawa jika seseorang ingkar Notis Pol 170A ini maka mereka secara automatik dianggap melakukan kesalahan. Ini suatu anggapan yang salah di sisi undang-undang. Jika pemilik atau pemandu disyaki memandu melebihi hadlaju, mereka sepatutnya disaman hadir ke Mahkamah untuk dibuktikan mereka telah melakukan kesalahan tersebut. Adakah ini dilakukan? Tidak! Mereka terus disenarai hitam kerana tidak membayar kompaun. Sepatutnya PDRM membawa mereka ini ke Mahkamah, buktikan mereka memandu melebihi hadlaju. PDRM sentiasa mengatakan mereka mempunyai bukti, jadi buktikan di Mahkamah. Bukan dengan bekerjasama dengan JPJ untuk menyenarai hitam supaya pemilik kenderaan membayar kompaun. Ini salah! Kenapa PDRM tidak membawa mereka ini ke Mahkamah untuk dibuktikan kesalahan? Mungkin PDRM tahu bahawa mereka tidak dapat membuktikan kesalahan tersebut. Perlu diambil perhatian bahawa APJ 1987 tidak memperuntukkan sebarang penggunaan imej yang dirakam untuk diterima pakai sebagai bukti di Mahkamah. Setelah APJ 1987 dipinda pada 22/12/2010 dan mula berkuatkuasa pada 1/2/2011 barulah imej yang dirakam diterima sebagai bukti di Mahkamah. Ini disebut di dalam seksyen 117 (11) Akta Pengangkutan Jalan (Pindaan) 2010 seperti berikut : Dalam mana-mana prosiding di mana-mana mahkamah, apa-apa imej yang dirakamkan yang dikemukakan oleh pihak pendakwaan bagi apa-apa kesalahan di bawah Akta ini hendaklah diterima sebagai keterangan, dan hendaklah menjadi bukti prima facie bagi fakta yang dinyatakan di dalamnya. Akan ada pula pihak yang akan mengatakan bahawa gambar boleh diterima sebagai keterangan di Mahkamah mengikut peruntukkan Akta Keterangan 1950. Betul, tetapi gambar bagaimana, bagaimana gambar diambil. Jika boleh digunakan peruntukkan Akta Keterangan 1950, kenapa kerajaan bersusah payah meminda Akta Pengangkutan Jalan 1987 untuk memasukkan penggunaan gambar (imej) sebagai bukti yang boleh diterima? Apa yang menyedihkan lagi, sudahlah gambar tidak boleh diterima sebagai bukti, para pemandu dan pemilik telah dikenakan bayaran RM10 untuk melihat dan mendapatkan salinan gambar tersebut oleh PDRM. Sudah lah tidak dibuktikan lagi mereka bersalah, mereka dikenakan bayaran untuk membuktikan mereka tidak bersalah. Sistem keadilan apa yang kita guna???
b) Seseorang itu tidak bersalah sehingga dibuktikan bersalah. Ada dua (2) isu di sini : a) Pembuktian bersalah; dan b) Siapa yang boleh menghukum seseorang itu bersalah.
Pembuktian salah. Seperti yang diulas sebelum ini, adakah semua yang dituduh dan dikeluarkan Saman Ekor ini telah dibuktikan melakukan kesalahan oleh PDRM dan JPJ? Di Mahkamah mana mereka ini dibuktikan bersalah? Jika tidak pernah dibuktikan bersalah, kenapa menghukum?
Siapa yang boleh menghukum seseorang itu bersalah? Kuasa untuk menghukum ini adalah kuasa Mahkamah. Inilah tujuannya diwujudkan tiga (3) cabang dalam kerajaan iaitu Eksekutif, Perundangan dan Kehakiman. Polis tiada kuasa menghukum. JPJ tiada kuasa menghukum malah kerajaan tiada kuasa menghukum. Hanya Mahkamah sahaja mempunyai kuasa ini. Justeru tindakan menyenarai hitam pemilik kenderaan ini adalah suatu hukuman. Siapa yang menyenarai hitam? Bukan Mahkamah tetapi JPJ. Adakah JPJ telah mendapat perintah Mahkamah untuk menyenarai hitam pemilik kenderaan? JPJ akan menyatakan mereka mempunyai kuasa di bawah Seksyen 17(1)(d) APJ 1987 untuk menghalang transaksi. Bagaimana kuasa tersebut perlu dibuat? Peruntukkannya menyebut bahawa Pengarah JPJ hendaklah berpuashati bahawa seseorang itu tidak mempunyai “perkara yang belum selesai”. Bagaimana JPJ hendak berpuashati? Mestilah membuat suatu siasatan seperti memberikan peluang membuat representasi kepada pemilik. Ini disebut di dalam Seksyen 17(2) APJ 1987. Adakah ini dibuat? Tanyalah JPJ. Senario sekarang ini adalah hukum dahulu buktikan kesalahan kemudian. Ini jelas bertentangan dengan prinsip keadilan.
c) Menyenarai hitam bermaksud menghalang rakyat menggunakan harta. Perkara ini diulas dengan terperinci di dalam kes Leonard Lim Yaw Chiang lwn Director of Jabatan Pengangkutan Jalan Negeri Sarawak & Anor [2009] 6 CLJ 280. Yang Arif Hakim Mahkamah Tinggi Kuching tersebut telah memutuskan bahawa “perkara yang belum selesai” yang dimaksudkan di dalam Seksyen 17(1)(d) APJ 1987 ialah perkara yang telah dibawa ke mahkamah di mana yang dituduh tidak membela diri. Mahkamah juga memutuskan bahawa tindakan JPJ Negeri Sarawak menyenarai hitam di bawah Seksyen 17(1)(d) APJ 1987 di atas suatu kesalahan yang belum dibuktikan adalah salah dan bertentangan dengan undang-undang. Malah tindakan tersebut juga dianggap bertentangan dengan Perkara 13 Perlembagaan Persekutuan yang menjamin hak setiap rakyat menggunakan harta mereka. Akhirnya Mahkamah Tinggi telah membenarkan tuntutan gantirugi terhadap JPJ kerana telah menyebabkan kerugian kepada pemohon di dalam kes itu akibat kehilangan penggunaan harta beliau iaitu kereta yang disenarai hitam. Justeru saya ingin mengambil peluang ini untuk memperbetulkan persepsi dan pemahaman sesetengah pihak supaya apa yang diperjuangkan dan dibahaskan ini adalah isu penyalahgunaan proses keadilan. FAHAMI ISU SEBENAR! ANDA MAMPU MENGUBAHNYA!
ZULHAZMI SHARIFF Penasihat Undang-Undang Jawatankuasa Kempen Anti Saman Ekor (KASE) 11/3/2011 |
Rabu, 9 Mac 2011
Kerajaan tak tahu beza notis dengan saman
| Hazayani Zakaria |
| KUALA LUMPUR, 8 Mac: Kegagalan pihak kerajaan khususnya Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) membezakan di antara notis dan saman dianggap sebagai memalukan.
"Kita agak terkejut bagaimana pihak kerajaan sendiri khususnya Jabatan Pengangkutan Jalan tidak boleh memahami persoalan pokok yang terdapat dalam Akta Pengangkutan Jalan itu sendiri dan mereka tidak boleh membezakan antara saman dengan notis. "Kalau kerajaan tidak boleh membezakan antara notis dan saman satu perkara yang sangat memalukan apabila dia menganggap notis itu sebagai saman. "Kerajaan sendiri tak boleh akur kepada tafsiran yang telah dibuat oleh Mahkamah Tinggi Kuching berhubung Akta Undang-undang Pengangkutan Jalan Seksyen 17 (1) (D)," kata beliau pada sidang media di lobi Parlimen hari ini. Mahkamah Tinggi Kuching mentafsirkan Akta Undang-Undang Pengangkutan Jalan Seksyen 17 (1)(D) merupakan perkara yang dianggap perkara belum selesai, merujuk kepada perkara yang belum diselesaikan di peringkat mahkamah. Mahfuz yang juga Pengerusi Jawatankuasa Anti Saman Ekor (Kase) sebelum itu mengemukakan soalan tambahan pada sesi soal jawab lisan di Dewan Rakyat. Sebelum itu, Datuk Seri Tiong King Sing (BN-Bintulu) meminta Menteri Pengangkutan menyatakan adakah pihak Jabatan Pengangkutan Jalan Malaysia mempunyai kaedah tertentu atau mencari jalan penyelesaian secara pantas semasa berurusan di kaunter Pembaharuan Cukai Jalan dan Pembaharuan Lesen Memandu dalam kes-kes saman Polis atau JPJ di mana berlakunya pemalsuan nombor kenderaan tanpa pengetahuan pemilik kenderaan - kesalahan di bawah Seksyen 115 Akta Pengangkutan Jalan 1987. Sementara itu, Penasihat Undang- Undang Kase, Zulhilmi Shariff dalam sidang media sama berkata, rakyat perlu faham kuasa menghukum semua pesalah tertakluk pada mahkamah dan bukannya pihak kerajaan. "Persoalan yang paling besar ditimbulkan dalam isu saman ekor ini, Ketua Trafik Bukit Aman atau Timbalan Menteri menyebut, kita beri peluang untuk rakyat membayar saman sehingga 10 Mac. Persoalannya di sini, siapa yang suruh bayar? Itu yang paling penting," katanya. |
Saman ekor dera bukan didik rakyat - Abdul Hadi
| Harakahdaily |
|
|
Rabu, 2 Februari 2011
Gelombang kedua Kase bermula hari ini
| Hazayani Zakaria |
|
Pengerusi Jawatankuasa Anti Saman Ekor (Kase), Datuk Mahfuz Omar berkata, pelancaran itu akan diikuti dengan program jelajah Kase ke seluruh negara bagi bertemu dengan pemilik-pemilik kenderaan yang dikenakan saman ekor dan kenderaan mereka disenarai hitamkan. "Pelancaran ini sebagai pelancaran gelombang kedua Kase dan kita akan menjelajah ke seluruh negara untuk bertemu dengan 15 juta pemilik kenderaan yang disaman melalui saman ekor. "Kita harap gelombang kedua ini boleh jadi gelombang baru untuk rakyat menolak kerajaan BNyang korup," kata beliau ketika ditemui selepas mengedarkan risalah bantah saman ekor di Plaza Tol Sungai Besi, petang tadi. Menurutnya sebanyak 100,000 ribu risalah dicetak untuk diedarkan ke seluruh negara dan bagi kawasan Lembah Klang, edaran bermula hari ini di beberapa plaza tol utama berikutan ramai yang menggunakan lebuh raya untuk pulang menyambut Tahun Baru Cina Khamis ini. "Kita edar risalah hari ini sempena tahun baru cina kerana banyak orang menggunakan lebuh raya. Di Seremban pun ada program yang sama, di sini kita edar di plaza tol Serdang, Gombak dan Sungai Buluh dan akan diteruskan esok dan lusa,“ katanya. Naib Presiden PAS itu sekali lagi mengulangi desakan agar Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan Kementerian Pengangkutan menghapuskan semua saman ekor yang lama yang tidak boleh dikuatkuasakan melalui Akta Pengakutan Jalan 1987 dan memulakan dengan proses penguatkuasaan yang baru melalui Akta Pengangkutan Jalan (Pindaan) 2010 ini. Kase juga tegasnya menyeru Kementerian Pengangkutan bersedia mengadakan pertemuan dengan pihak-pihak berkepentingan termasuk Kase bagi membincangkan dan menjelaskan beberapa isu yang ditimbulkan seperti penswastaan penguatkuasaan peraturan lalu lintas dan kos-kos terlibat. "Ini bagi memastikan wang rakyat digunakan untuk kepentingan rakyat sendiri, bukan syarikat-syarikat kroni," katanya. Beliau berkata demikian sebagai merujuk kepada sistem penguatkuasaan automatik (AES) iaitu penggunaan kamera statik dan bergerak untuk mengambil gambar kesalahan memandu melebihi had laju, melanggar arahan lampu isyarat dan memandu di lorong bas bagi kenderaan selain bas. Sistem ini dikendalikan dua syarikat swasta iaitu Beta Tegap Sdn Bhd dan Commercial Circle (M) Sdn Bhd yang mendapat pulangan 35 peratus daripada setiap enam juta saman yang dikeluarkan manakala kerajaan mendapat 65 peratus pulangan. "Apa maksudnya ini? Ini bermaksud proses penguatkuasaan peraturan lalu lintas di bawah akta ini telah diswastakan. Apa rasionalnya peraturan lalu lintas diswastakan oleh Kerajaan?" soalnya yang juga ahli Parlimen Pokok Sena. Pengunaan AES ini mula berkuatkuasa hari ini di seluruh negara. Tambah Mahfuz lagi, pihaknya kesal dengan keengganan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishamuddin Hussein untuk mengadakan perbincangan dengan Kase berhubung perkara itu. "Malangnya pada 17 haribulan lalu kami minta untuk bertemu dengan Datuk Seri Hishamuddin (Hussein) tapi kami tidak menerima apa-apa respon. Kami berasa sangat kecewa kerana sebagai sebuah kementerian langsung tidak memberi maklum balas samaada bersetuju atau tidak untuk mengadakan pertemuan, diam begitu sahaja. "Sekali lagi kami berharap perbincangan ini harus dibuat khususnya dalam penguatkuasaan AES yang kami anggap penswastaan saman ekor," katanya. Turut bersama beliau ahli jawatankuasa Kase, Mohamad Taufek Abdul Ghani yang juga Adun Paroi. |
Selasa, 10 Ogos 2010
Saman ekor: Protes rakyat beri kesan pada kerajaan

Dzulfikar Mashoor
KUALA LUMPUR, 10 Ogos: Pesuruhjaya Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam), Muhammad Sha'ani Abdullah mengaku bahawa protes rakyat terhadap syor saman ekor memberi kesan pada kerajaan.
"Hari ini, kementerian sendiri ataupun menteri sendiri mengatakan bahawa nilai saman akan dikaji semula.
"Itu adalah kesan daripada suara-suara yang membangkang atau boleh dikatakan menegur cara tindakan kerajaan selama ini," respons beliau pada inkues yang dibuat oleh badan bertindak Kempen Anti Saman Ekor (Kase) di kamar inkuiri awam Suhakam, di sini, hari ini.
Beliau turut mengakui pandangan Pengerusi Kase, Datuk Mahfuz Omar bahawa syor pihak berwajib menyenaraihitamkan serta menghalang pembaharuan cukai jalan serta lesen memandu sebagai mencabul hak asasi manusia untuk kenderaan berdasarkan Perkara 13 (Hak Terhadap Harta), Perlembagaan Persekutuan.
"Bukan kita mencabar atau menentang, tetapi memberikan hujah-hujah dan asas-asas mempertikai pelaksanaan (saman ekor) ini," ujarnya sambil mengulas beberapa inti relevan dari memorandum Kase.
Sehubungan itu, beliau secara peribadi mahu mengambil tanggungjawab supaya isu saman ekor yang didakwa merampas hak asasi rakyat mendapat perhatian Suhakam sebelum diketegahkan pada kementerian berwajib.
"Secepat mungkin setelah kami memperhalusi peraturan dan undang-undang, kami akan mengusul pada kementerian-kementerian berkenaan," ujar beliau.
Sebelum itu, Mahfuz yang juga Lajnah Pengguna PAS Pusat merangkap Ahli Parlimen Pokok Sena mendesak Suhakam mencadangkan 6 tuntutan pokok Kase pada Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein (Menteri Dalam Negeri) dan Datuk Kong Cho Ha (Menteri Pengangkutan).
Pertama, katanya JPJ dan Polis Trafik menghentikan kaedah menyenaraihitamkan dan menyekat pembaharuan lesen memandu serta cukai jalan supaya kembali selaran dengan peruntukan Seksyen 15, Akta Pengangkutan Jalan 1997.
Kedua, katanya, Polis Trafik Pasukan Bukit Aman digesa membatalkan semua notis saman ekoran yang gagal diserahkan pada mereka yang terbabit secara serahan tangan atau dibuktikan bersalah di mahkamah.
Ketiga, katanya lagi, Polis dinasihatkan mengikut prosedur biasa seperti peruntukan Seksyen 53, Akta Pengangkutan Jalan 1987, iaitu hanya mempunyai kuasa memohon pada mahkamah memanggil mereka yang terbabit ke Mahkamah Seksyen untuk dibicarakan, bukan terus menghukum serta memeras kompaun.
Keempat, beliau berkata, JPJ wajar diarahkan supaya menghentikan sekatan mereka yang terbabit untuk memperbaharui cukai jalan dan lesen memandu kenderaan masing-masing walaupun dianggap sebagai pesalah laku trafik melalui perlaksanaan saman ekor.
Kelima, beliau berkata, pihak berwajib seharusnya menarik balik syor menyenaraihitamkan mereka yang terbabit dengan saman ekor sehinggalah dibuktikan bersalah oleh pihak berwajib sendiri di mahkamah.
Keenam dan terakhir, tegasnya, pihak berwajib digesa kembali menghormati keputusan Mahkamah Tinggi Sarawak dalam kes Leonard Lim Yaw Chiang vs Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan Negeri Sarawaka & Anor (2009) yang nyata menunjukkan kaedah saman ekor adalah bertentang dengan prinsip undang-undang sejagat serta Perlembagaan Persekutuan.
"Kalau pentadbiran Perdana Menteri 1Malaysia ini tetap mahu melaksanakan saman ekor ini, mereka bukan saja mencabul hak asasi kita, tetapi menghina hak dan keputusan mahkamah," ujar Mahfuz yang juga Naib Presiden PAS.
Tuntas dari itu, beliau mempelawa seluruh akar umbi Umno BN supaya melancarkan 'protes senyap' dengan menolak kerajaan pusat yang sedia ada sekarang pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13).
Dalam perkembangan berkaitan, Dr. Siri Mariah Mahmud (Ahli Parlimen Kota Raja/PAS), Mohd Taufek Abdul Ghani (Adun Paroi), Hu Pang Chaw (Pengerusi Dewan Himpunan Penyokong PAS) serta Zulhazmi Shariff (peguam Kase) antara yang menyertai inkues bersama-sama Suhakam
Sabtu, 7 Ogos 2010
Saman ekor: Kerajaan kemaruk duit rakyat

Harakahdaily
KUALA LUMPUR, 7 Ogos: PAS berpandangan tindakan saman ekor menampakkan kerajaan begitu kemaruk duit rakyat.
Ketua Penerangan PAS Pusat, Ustaz Idris Ahmad (gambar) berkata, ianya bertentangan dengan konsep 1Malaysia, rakyat didahulukan, realiti yang berlaku adalah saman diutamakan, rakyat dibebankan.
Katanya, PAS bimbang rakyat yang menjadi mangsa saman ekor yang dilonggokkan sejak sekian lama akan tertekan untuk membayar saman.
Justeru, ujarnya jalan mudah untuk membayar saman ialah dengan meminjam daripada along.
“Kalau ini berlaku maka akan bertambah masalah sosial di negara ini,” ujarnya dalam kenyataan kepada Harakahdaily.
Sehubungan itu, tegasnya, PAS mendesak supaya saman ekor dibatalkan, dan mencadangkan supaya dihadapkan mereka ke muka pengadilan, bukan memakai undang-undang rimba.
“Cukuplah rakyat terlalu menderita dengan kenaikan harga barang dan kos hidup melambung dan dibebani pula dengan saman ekor,” katanya lagi.
PAS juga, katanya tidak bersetuju dengan kenyataan Ketua Polis Negara yang mengatakan bahawa pihak polis akan mengurangkan bayaran saman bagi setengah kesalahan jalanraya supaya meringan bebanan kesalahan jalan raya.
Beliau berkata, apa yang dituntut oleh PAS dan rakyat yang menjadi mangsa, saman ekor mesti dihapuskan kerana ia menyalahi prosedur undang-undang.
PAS, tambahnya mempersoalkan kenapa begitu mudah kerajaan menyiksa rakyat dengan menyaman mereka yang belum tentu bersalah.
Beliau mempersoalkan kaedah manakah yang mereka ambil untuk mendenda rakyat tanpa dibawa ke pengadilan.
“Kenapa pihak polis dan JPJ menunggu begitu lama untuk disenarai hitam mereka yang bersalah sejak tahun 2000?
“Apakah ini bukan satu kezaliman terhadap rakyat di negara ini?” soalnya.
Sekarang, katanya sudah ada 1.07 juta orang yang menjadi mangsa.
Apa yang paling malang sekali, tambahnya semua kereta akan disenarai hitam selagi atas nama tertuduh.
“Semua kenderaan tidak dapat cukai jalan. Tindakan ini merugikan negara kerana cukai jalan dan insuran tidak boleh diperbaharui,” ujarnya.