Selamat Datang

Isnin, 2 Ogos 2010

PERSEDIAAN MENYAMBUT RAMADAN


Hadis daripada Rasulullah s.a.w. yang berbunyi :


"الصَّلَوَاتُ الْخَمْسُ وَالْجُمُعَةُ إِلَى الْجُمُعَةِ وَرَمَضَانُ إِلَى رَمَضَانِ مُكَفِّرَاتٌ مَا بَيْنَهُنَّ إِذَا اجْتَنَبَ الْكَبَائِرَ."


Maksudnya : " Solat lima waktu yang didirikan satu Jumaat ke Jumaat yang berikutnya dan satu Ramadan kepada Ramadan yang berikutnya maka akan menghapuskan dosa-dosa antara keduanya selama mana dijauhi dosa-dosa besar ".

( H.R. Muslim )


"اَلصِّيَامُ جُنَّةٌ مَالَمْ يَخْرِقْهَا بِكَذِبٍ اَوْ بِنَمِيْمَةٍ."

Maksudnya : " Puasa itu adalah perisai selama ia tidak dirosakkan dengan sebab berbohong atau mengumpat ".

Dan dalam Hadis yang lain Nabi s.a.w. bersabda :

"لَيْسَ الصِّيَامُ مِنَ الأَكْلِ وَالشُّرْبِ إِنَّمَا الصِّيَامُ مِنَ اللَّغْوِ وَالرَّفْثِ."

Bermaksud : " Bukanlah berpuasa itu menahan diri daripada makan dan minum sahaja, akan tatapi berpuasa itu juga menahan diri daripada berkata-kata dengan perkataan-perlataan yang kotor dan kata-kata kesat ".



kita berazam melaksanakannya dengan persediaan berikut :

1. Hendaklah menjaga mata daripada memandang perkara-perkara yang dicela oleh agama yang mana akan melalaikan hati serta jauh dari mengingati Allah.

2. Hendaklah memelihara lidah dari berbohong, bercakap dusta, bermusuh-musuhan dan membangga-bangga diri.

3. Hendaklah menjaga telinga dari mendengar perkara-perkara yang tidak baik dan haram, kerana Allah menyamakan mendengar perkara yang haram itu seperti memakan yang haram.

4. Menghindarkan anggota badan yang lain dari berbuat dosa dan perkara-perkara yang dilarang.

5. Jangan makan terlalu banyak ketika berbuka sampai penuh perutnya.

6. Hendaklah hati kita itu merasa goncang antara harap dan cemas setelah selesai berbuka sebab kita tidak tahu apakah puasa kita itu diterima oleh Allah atau ditolak.

Mazlan: NGO khusus ditubuh bela nasib peserta Felcra



August 02, 2010

KUALA LUMPUR, 2 Ogos — Himpunan Felcra yang julung kali diadakan di Pasir Salak, Perak semalam memutuskan untuk menubuhkan sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) khusus untuk membela 90,000 peserta Felcra.

Usaha menubuhkan pertubuhan itu yang belum diberikan nama akan dilancarkan selepas sambutan Aidilfitri.

Ia antara beberapa ketetapan yang dicapai pada perhimpunan dihadiri kira-kira 300 peserta Felcra dari seluruh negara di Felcra Bandar Seberang, semalam.

Ahli jawatankuasa kerja PAS pusat Mazlan Aliman berkata, NGO itu mirip Persatuan Anak Peneroka Felda Kebangsaan (Anak) yang ditubuhkan khusus untuk peneroka Felda sebelum ini.

“Kami memutuskan bahawa perlu ada satu NGO khususnya untuk peserta Felcra, agar nasib mereka dapat dibela dengan baik dan secara tersusun... kami akan melancarkan penubuhan NGO ini selepas Aidilfitri nanti,” kata beliau ketika dihubungi The Malaysian Insider.

Katanya, pertubuhan itu akan didaftarkan untuk bergerak secara formal.

Mazlan yang juga Pengerusi Anak berkata, peserta yang menghadiri himpunan semalam merasakan peserta-peserta Felcra telah dinafikan hak mereka selama ini.

“Mereka beranggapan bahawa usaha mengadakan perhimpunan ini oleh PAS adalah langkah yang baik bagi membela nasib mereka, tetapi merasakan perlu ada satu badan khusus untuk membawa isu mereka,” kata Mazlan.

Mazlan mengakui bilangan 300 peserta yang hadir adalah rendah daripada dijangkakan, antara lain disebabkan oleh tekanan dan halangan agar peserta-peserta Felcra tidak menyokong usaha itu.

“Bagaimanapun kami melihat perhimpunan ini telah mencapai matlamat disasarkan walaupun bilangan yang hadir tidak ramai, ramai yang takut untuk hadir... walaupun kuantiti tidak ramai, tetapi matlamat yang dicapai berkualiti,” kata Mazlan lagi.

Selain itu menurut Mazlan, beliau akan menghimpunkan masalah-masalah yang dialami oleh peserta Felcra untuk dikemukakan kepada Suhakam dan agensi-agensi pihak berkuasa yang lain untuk diambil tindakan.

Ia termasuklah penafian hak dan elemen-elemen salah guna kuasa, katanya.

“Kami juga menjangkakan akan mengemukakan satu memorandum meminta campur tangan Suhakam dalam menyelesaikan isu yang dihadapi oleh peserta Felcra,” katanya.

Himpunan Felcra itu dilihat sebagai kempen besar-besaran PAS susulan usaha mengetengahkan masalah berkaitan dengan pengurusan Felda.

Sebelum ini Mazlan yang juga ketua lajnah tanah dan pembangunan wilayah PAS mendakwa Felcra tidak memberi layanan yang baik sebagaimana dialami peneroka Felda.

Kini dianggarkan ada 90,000 peserta Felcra dengan kebanyakannya berada di Perak.

“Ini satu lagi pendekatan mendampingi pengundi Melayu,” kata Mazlan.

Felcra ditubuhkan pada 1966 dengan fokus untuk membangunkan tanah-tanah persendirian dalam usaha memperbaiki taraf orang Melayu di kawasan luar bandar.

Malah agensi ini juga membuka kawasan penempatan dan perladangan baru bagi mereka yang tiada tanah.

Ia dinaikkan taraf sebagai Felcra Berhad, syarikat milik kerajaan pada 1997.

PAS Wilayah lebar sokongan bukan Islam


Hazayani Zakaria

KUALA LUMPUR, 1 Ogos: Kewujudan Dewan Himpunan Penyokong PAS (DHPP) merupakan satu peluang yang harus digunakan sebaik mungkin oleh PAS Wilayah Persekutuan untuk melebarkan sokongan kepada orang bukan Islam, kata Bendahari PAS Pusat, Dr Mohd Hatta Ramli.

Hatta juga yakin kerterbukaan yang ditunjukkan PAS ketika ini akan turut mendapat sokongan daripada orang Islam terutamanya ahli PAS sendiri.

"Kita menerima bahawa penubuhan Dewan Himpunan Penyokong PAS sebagai satu peluang yang baik kepada pada PAS Wilayah Persekutuan untuk melebarkan tapak sokongan kepada masyarakat bukan Islam dan saya yakin keterbukaan ini pula akan mengundang sokongan daripada umat Islam sendiri, terutamanya ahli," katanya ketika ditemui selepas membentangkan kertas kerja ‘Islam Adil Untuk Semua’ di majlis Munaqasyah Ucapan Presiden, dekat sini, hari ini.

Ahli Parlimen Kuala Krai itu turut berkata, PAS Wilayah harus menggunakan pendekatan yang bersesuaian dengan suasana majmuk di kawasan ini dengan memperbanyak program bersama dua rakan dalam Pakatan Rakyat, Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan DAP.

"Pendekatan PAS Wilayah Persekutuan ini harus disesuaikan dengan kemajmukan keadaan di Kuala Lumpur dan melalui program bersama rakan-rakan dalam Pakatan Rakyat kita akan dapat menembusi halangan-halangan yang selama ini mungkin kita hadapi," katanya lagi.

Sementara itu, beliau juga mengingatkan parti agar memperkasa pengkaderan ahli agar dapat menjadi petugas yang mahir dan berketerampilan.

"Dari segi muhasabah dalaman saya rasa cukup elok untuk memperkemaskan proses pengkaderan ahli supaya menjadi petugas yang mahir dan berketerampilan dan komited dengan kerja-kerja parti," ujarnya.

Selain itu katanya, pengurusan organisasi parti harus diperkemaskan dari semua aspek terutamanya penyampaian maklumat kepada ahli dan rakyat keseluruhannya serta mengekalkan dasar parti sebagai sebuah gerakan Islam yang mengamalkan keterbukaan dan mesra rakyat.

"Semua bersetuju bahawa parti perlu diurus dengan lebih berkesan dari segi organisasi, kesetiausahaan dan penyampaian maklumat dan penerangannya.

"Perlu menggunakan pendekatan yang lebih profesional dalam pengurusan parti dan yang saya nampak juga kita harus mengekalkan dasar parti sebagai sebuah gerakan Islam yang terbuka, lebih mesra rakyat bukan sahaja kepada orang Islam tetapi juga kepada bukan Islam," katanya.

Terdahulu, munaqasyah itu dirasmikan oleh Pesuruhjaya PAS Wilayah Persekutuan, Mohamad Noor Mohamad.

Sebanyak enam kawasan dan keempat-empat dewan iaitu Dewan Ulama, pemuda, muslimat dan himpunan penyokong membahaskan ucapan tersebut.

Antara topik yang mendapat perhatian peserta ialah mendepani masyarakat majmuk yang dibahaskan oleh kawasan Wangsa Maju.

Turut hadir Ahli Jawatankuasa PAS Pusat, Dr. Lo' Lo' Ghazali yang juga ahli Parlimen Titiwangsa dan Pengerusi DHPP Wilayah Persekutuan, Vincent Lee

29 ditahan himpunan Vigil anti ISA PJ



Harakahdaily

PETALING JAYA, 1 Ogos: Seramai 29 orang ditahan, 21 lelaki dan lapan perempuan setelah polis beserta pasukan Unit Simpanan Persekutuan (FRU) bertindak menyerbu upacara menyalakan lilin anti-ISA di Padang Timur berhampiran bangunan Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) di sini.

Pihak peguam sedang membuat urusan di balai polis.

Latheefa Koya memberitahu, mereka yang ditahan diambil keterangan oleh pihak polis.

Sebelum ini, akibat serbuan kira-kira jam 8.30 malam itu, peserta bergegas masuk ke bangunan pusat membeli belah Amcorp Mall bersebelahan.

Bagaimanapun pihak polis didakwa tetap mengejar mereka dan sekurang-kurangnya 12 ditahan.

Mereka termasuk Pengerusi Gerakan Mansuhkan ISA (GMI), Syed Ibrahim Syed Noh dan pemimpin PKR, Badrul Hisham Shaharin, Setiausaha PSM, Arutchelvan dan koordinator Suaram, Nalini Elumalai.

Mereka difahamkan dibawa dengan trak polis ke Ibu Pejabat Polis Daerah Petaling Jaya.

Menurut Pengarah Strategik Parti Keadilan Rakyat (PKR), Tian Chua, polis membuat serbuan tanpa membuat sebarang rundingan dengan pihak GMI selaku penganjur.

Menurut Tian lagi, polis tidak sepatutnya bertindak demikian kerana program tersebut dibuat di tapak milik MBPJ dan telah mendapat kelulusan mereka.

Peserta yang berkumpul di dalam pusat membeli belah tersebut, bagaimanapun terus diburu oleh polis.

Program sama pada malam ini turut diadakan di tujuh lagi tempat di seluruh negara bagi membantah ISA yang kini berusia 50 tahun

30 ditangkap, kawasan himpunan dikepung



Harakahdaily

PASIR SALAK, 1 Ogos: Seramai 30 orang termasuk 10 anggota Unit Amal telah ditahan polis sehingga lewat petang ini yang dimulai kira-kira jam 4.00 petang ini sementara seluruh kawasan Himpunan Warga Felda Kebangsaan di Changkat Lada, di sini dikepung.

Tangkapan turut dilakukan terhadap mereka yang memakai pakaian beridentitikan penganjur program.

Semua yang ditangkap dibawa ke Balai Polis Kampung Gajah.

Tangkapan rambang di luar kawasan itu dibuat sewaktu peguam Wan Rohaimi Wan Daud membentangkan kertasnya sebagaimana yang dijadualkan.

Wan Rohaimi adalah peguam yang memenangkan kes saman Felda oleh para peneroka Kemahang 3.

(Gambar: Pelancaran risalah Felda bankrap? pada Himpunan Warga Felcra Kebangsaan pagi tadi.)

Pihak polis mengetatkan kawalan sekitar kawasan itu termasuk mengadakan sekatan jalan raya sekitar jam 3.00 petang bagi menghalang orang ramai daripada memasuki tapak himpunan.

Dua buah trak Black Maria turut kelihatan berada di situ.

Anggota Unit Simpanan Persekutuan (FRU) juga sudah berada berhampiran kawasan himpunan itu.

Para hadirin termasuk mereka yang keluar pada waktu rehat sebelum ini juga tidak dapat memasuki kawasan itu khususnya bagi mengikuti majlis penutup yang dijangka dirasmikan oleh Ahli Jawatankuasa PAS Pusat, Mohamad Sabu petang ini.

Ekoran situasi itu, Mohamad Sabu juga terhalang daripada merasmikan majlis penutup itu.

Sementara itu, Pengerusi Persatuan Anak-anak Peneroka Kebangsaan (Anak), Mazlan Aliman menyifatkan himpunan kali pertama itu mencapai matlamat melalui pembentangan dua kertas kerja termasuk oleh aktivis Felcra Lubok Sireh, Razi Mustafa serta ucaptama oleh Datuk Seri Ir Mohammad Nizar Jamaluddin dan ulasan isu oleh bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri yang juga Penyelaras Pakatan Rakyat, Datuk Zaid Ibrahim.

Beliau berkata, ekoran tindakan pihak keselamatan yang mengepung kawasan himpunan, suasana yang tidak mengizinkan, 30 orang telah ditangkap, nasib orang awam dan para peniaga membimbangkan, maka majlis ceramah perdana pada malam ini yang melibatkan Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang, Naib Presiden PKR, Mustaffa Kamil Ayu dan Mohamad Sabu dibatalkan.

Semua dibebaskan termasuk wartawan Harakah



Harakahdaily

PETALING JAYA, 2 Ogos: Semua 29 orang yang ditahan kerana menyertai upacara menyalakan lilin anti-ISA di Padang Timur berhampiran bangunan Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) di sini dibebaskan dengan jaminan polis kira-kira jam 3.30 pagi tadi.

Mereka termasuk Pengerusi Gerakan Membantah ISA (GMI), Syed Ibrahim Syed Noh yang sebelum itu dibawa ke Balai Polis Petaling Jaya.

Bagi Syed Ibrahim, itulah pertama kali beliau ditahan sejak GMI mengadakan bantahan terhadap akta yang zalim itu.

Di KOTA BHARU, wartawan Harakah dan Harakahdaily, Salmah Mat Husain dan Rizal Tahir bersama seorang anak mereka berusia 15 tahun serta dua lagi ditahan polis ketika bertugas pada perhimpunan membantah ISA di Dataran Stadium Sultan Mohamad ke-IV, di sini malam tadi.

Mereka dibebaskan kira-kira jam 2.00 pagi tadi selepas dijamin oleh Adun Kelaboran, Mohamad Zaki Ibrahim dan peguam.

Mereka diminta datang ke ibu pejabat kontinjen polis di sini, tengah hari ini.

Polis bertindak keras menghalang perhimpunan yang dimulakan selepas Isyak itu.

Pasukan keselamatan itu memberi amaran akan menangkap sesiapa sahaja yang pergi ke himpunan itu.

Walaupun dalan keadaan hujan, ramai juga yang datang ke perhimpunan tersebut.

"Ditahan kerana menghadiri program dan ada bahan bercetak tentang ISA itulah dalam bag Kak Ma," ujar Salmah ketika dihubungi Harakahdaily pagi tadi.

Bagaimana pun, beliau sekeluarga tidak mengenali dua peribadi lain yang turut ditahan bersama-sama mereka.

Difahamkan, mereka ditahan polis ekoran mereka dianggap menyertai perhimpunan tanpa permit walaupun perhimpunan anjuran Gerakan Mansuh ISA (GMI) dengan kerjasama kerajaan negeri itu berlangsung secara aman.

Yang meragukan, katanya lagi, polis turut menahan anak mereka yang nyata berada di dalam kereta, walaupun anaknya itu tidak menyertai perhimpunan tersebut.

"Dah tahu perhimpunan itu tak ada permit, 9.15 malam memang nak turun keluar dah, tetapi dalam perjalanan nak keluar, dalam lima hingga enam orang anggota polis, antaranya berseragam dan berpangkat pegawai pergi ke kereta dan masa itu anak Kak Ma ada dalam kereta itu.

"Anak memang duduk dalam kereta pun, dia tak turun," beliau menambah.

Ujarnya lagi, mereka yang terbabit kemudiannya dibebaskan sekitar jam 2 pagi hingga 2.50 pagi dengan jaminan polis.

"Kami dibebaskan dengan jaminan polis, tapi urusan dengan polis dilakukan oleh YB Mohd Zaki Ibrahim, Timbalan Speaker (Dun Kelantan) dan seorang peguam bersama empat anak buahnya," ujarnya

Polis perlu jaga keselamatan negara, bukan Umno



Harakahdaily

KUALA LUMPUR, 2 Ogos: PAS berharap polis menjaga keselamatan negara, bukan keselamatan Umno dan bertindaklah secara profesional dengan memberikan keutamaan kepada apa yang patut dilakukan untuk kepentingan rakyat dan negara, bukan untuk kepentingan Umno BN.

Sehubungan itu, Ketua Penerangan PAS Pusat, Idris Ahmad menegaskan pihaknya membantah sikap primitif dan tidak bertamadun polis yang bertindak kasar terhadap ceramah dan himpunan aman yang dilakukan oleh Pakatan Rakyat di negara ini.

Beliau merujuk kepada tangkapan dan gangguan ceramah oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim di Rengit, Batu Pahat pada 31 Julai di mana polis bertindak mengosongkan pentas, merampas pembesar suara dan menghalau penyokong dari tapak ceramah.

Sekurang-kurang-kurangnya sembilan orang ditangkap yang terdiri daripada tujuh lelaki dan dua wanita di mana polis juga didakwa bertindak mengoyakkan backdrop penganjur yang digantung di pentas utama.

Pada Himpunan Warga Felcra Kebangsaan di Changkat Lada, Pasir Salak, seramai 30 orang termasuk 10 anggota Unit Amal telah ditahan polis pada 1 Ogos manakala pada sebelah malamnya, pada himpunan menyalakan lilin anti-ISA di Padang Timur berhampiran bangunan Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) seramai 29 orang ditangkap, 21 lelaki dan 8 perempuan.

Wartawan Harakah dan Harakahdaily di Kota Bharu juga turut ditahan semasa bertugas membuat liputan himpunan membantah ISA di Dataran Stadium Sultan Mohamad ke-IV malam tadi.

“PAS sungguh kecewa terhadap tindakan yang dilakukan oleh polis, ketika kadar jenayah meningkat, buang anak menjadi-jadi. Manakala pihak polis sanggup memerah otak untuk menyekat rakyat mendapat maklumat yang sebenar,” ujar Idris dalam satu kenyataan hari ini.

Katanya, adalah tidak adil ketika media elektronik kerajaan BN memfitnah Kerajaan Pakatan Rakyat, tetapi Pakatan Rakyat tidak dibenarkan menjelaskan cerita yang sebenar.

PAS, ujarnya yakin tindakan itu sebagai satu usaha Umno kerana parti perkauman Melayu itu sudah berada penghujung hayat, lantaran apa yang dikhabarkan oleh Umno, rakyat tidak percaya.

Menurutnya lagi, maka satu jalan sahaja yang ada kepada mereka ialah menggunakan kuasa dengan mengarahkan pihak polis mengganggu ceramah PAS dan Pakatan Rakyat.

“PAS yakin tindakan yang dibuat oleh polis bukan rakyat semakin takut, malahan semakin benci dengan Umno BN, dan yang paling kita bimbang moral dan imej polis akan tercalar di mata rakyat.

“Sekiranya Pakatan Rakyat memerintah di peringkat Pusat, kesemua mereka yang bertindak secara tidak profesional akan dihadapkan ke pengadilan,” tegasnya.

Ahad, 1 Ogos 2010

DAP pecat Tee Boon Hock

Harakahdaily
SHAH ALAM, 1 Ogos: Ekoran dakwaan menyalahgunakan kepala surat Exco untuk sokongan mendapatkan kontrak Majlis Perbandaran Klang (MPK), DAP semalam memecat ahli MPK Tee Boon Hock dari parti itu berkuatkuasa serta merta.

Keputusan itu dibuat selepas Jawatankuasa Disiplin DAP bermesyuarat hari ini.

Naib Presiden DAP, Tan Kok Wai berkata tindakan itu dibuat selaras dengan perinsip parti yang menekankan integriti dan kebolehpercayaan.

"Ini merupakan kali pertama Jawatankuasa Disiplin DAP memulakan penyiasatan berdasarkan laporan media kerana ini melibatkan kepentingan masyarakat awam dan sebagai satu tindakan yang mencerminkan prinsip asas parti DAP yang mementingkan integriti dan kebolehpercayaan," tegas Kok Wai yang juga merupakan Ahli Parlimen Cheras.

Boon Hock sebelum ini didakwa menggunakan kepala surat dan cop rasmi Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Penyelidikan dan Kajian Selangor, Ronnie Liu bagi mengeluarkan surat sokongan untuk kroni dan anggota keluarganya untuk mendapatkan kontrak MPK.

Menurut Kok Wai lagi, walaupun tiada aduan bertulis dibuat oleh mana-mana ahli mahupun pemimpin DAP, namun dakwaan yang dilemparkan berkait dengan kepentingan awam dan memerlukan siasatan terperinci.

Ronnie Liu dan Tee akan dipanggil memberi keterangan kepada jawatankuasa disiplin yang akan memanggil mesyuarat tergempar dalam masa tiga hari.

Menteri Besar, Tan sri Khalid Ibrahim sebelum ini mengumumkan Boon Hock direhatkan sementara jabatan audit dalaman membuat siasatan.

Nizar lalu jalan berlumpur ke tempat ceramah



Nazri Abdullah

PASIR SALAK, 1 Ogos: Seperti suasana pada awal negara menyambut kemerdekaan dahulu, Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaludin terpaksa melalui jalan semak dan berlumpur untuk sampai ke pentas ceramah.

Bukannya jalan yang sedia ada tidak baik, namun setelah negara begitu aman selepas lebih 50 tahun merdeka, beliau terpaksa menghadapinya untuk berceramah di majlis Himpunan Warga Felcra Peringkat Kebangsaan di Changkat Lada, dekat sini malam tadi.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Bukit Gantang, terpaksa berbuat demikian demi keselamatan dan menjayakan program malam tadi setelah polis dan anggota unit simpanan persekutuan (FRU) menyekat laluan masuk ke tempat program.

Akibat melalui jalan tersebut, kasut dan pakaian Nizar basah dan berlumuran lumpur.

"Alhamdulillah, Datuk Seri Nizar dapat bersama kita walaupun terpaksa lalu jalan berselut dan berlumpur," umum pengerusi majlis disambut laungan takbir para hadirin.

Semasa Nizar sedang berucap pula, FRU yang pada asalnya membuat sekatan di jalan masuk, mula bergerak ke pintu depan tapak program untuk masuk ke kawasan ceramah yang dibuat atas tanah persendirian.

Ekoran itu, palang untuk masuk ke tapak program ditutup dan dikunci oleh tuan tanah dan penyokong.

Anngota FRU, bagaimanapun mahu masuk ke kawasan ceramah walaupun tuan tanah meletakkan poster "Hak Milik Persendirian, Dilarang Menceroboh", namun dibenteng lebih 100 penyokong.

Mereka berada di situ sehingga ceramah Nizar selesai kira-kira sejam setengah kemudian.

Terdahulu, Nizar sewaktu memulakan ucapan turut secara sinis membidas tindakan anggota keselamatan itu.

"Malam ini 847 anggota polis, special branch (SB) dan FRU ada bersama kita.

"Selamat datang untuk dengar ceramah dan menjaga keselamatan kami," katanya disambut tepukan oleh lebih 500 hadirin yang hadir.

Himpunan Warga Felcra Peringkat Kebangsaan di sini akan berlangsung sehingga lewat malam ini.

Pagi ini, majlis pelancaran akan disempurnakan Nizar, kemudian beberapa kertas kerja akan dibentang sebelun majlis penutup akan disempurnakan AJK PAS Pusat, Mohamad Sabu petang ini.

Kemuncak program adalah pada malam ini apabila Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang turut berceramah di sini.

Polis serbu ceramah PKR di Rengit



Harakahdaily
BATU PAHAT, 1 Ogos: Sekurang-kurangnya 50 anggota unit simpanan persekutuan (FRU) dan puluhan lagi anggota polis menyerbu pentas Ceramah Pakatan Rakyat di Rengit di sini.

Serbuan dibuat sebelum Ketua Umum Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim dijadual berceramah dipantas itu malam tadi.

Polis bertindak mengosongkan pentas, merampai pembesar suara dan menghalau penyokong dari tapak ceramah.

Akibat sebuan itu sehingga jam 12.30 pagi tadi difahamkan sekurang-kurangnya sembilan ditangkap terdiri dari tujuh lelaki dan dua wanita.

Kesemua yang ditahan kini dibawa ke balai polis Rengit.

Polis juga didakwa bertindak mengoyakkan backdrop penganjur yang digantung di pentas utama.

Turut ada ketika serbuan adalah Timbalan Presiden PKR, Dr Syed Husin Ali dan Ketua Penerangan PKR, Latheefa Koya dan Pengerusi Perhubungan Negeri johor, Datuk Chua Jui Meng.

Sehingga berita ini ditulis, Lathefaa yang juga peguam masih berada di balai polis menguruskan mereka yang ditahan.

Penyokong juga difahamkan mula memenuhi perkarangan balai polis, dan tidak mahu berganjak walaupun diarah bersurai oleh pihak polis

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails