Selamat Datang

Memaparkan catatan dengan label felcra. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label felcra. Papar semua catatan

Isnin, 2 Ogos 2010

Mazlan: NGO khusus ditubuh bela nasib peserta Felcra



August 02, 2010

KUALA LUMPUR, 2 Ogos — Himpunan Felcra yang julung kali diadakan di Pasir Salak, Perak semalam memutuskan untuk menubuhkan sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) khusus untuk membela 90,000 peserta Felcra.

Usaha menubuhkan pertubuhan itu yang belum diberikan nama akan dilancarkan selepas sambutan Aidilfitri.

Ia antara beberapa ketetapan yang dicapai pada perhimpunan dihadiri kira-kira 300 peserta Felcra dari seluruh negara di Felcra Bandar Seberang, semalam.

Ahli jawatankuasa kerja PAS pusat Mazlan Aliman berkata, NGO itu mirip Persatuan Anak Peneroka Felda Kebangsaan (Anak) yang ditubuhkan khusus untuk peneroka Felda sebelum ini.

“Kami memutuskan bahawa perlu ada satu NGO khususnya untuk peserta Felcra, agar nasib mereka dapat dibela dengan baik dan secara tersusun... kami akan melancarkan penubuhan NGO ini selepas Aidilfitri nanti,” kata beliau ketika dihubungi The Malaysian Insider.

Katanya, pertubuhan itu akan didaftarkan untuk bergerak secara formal.

Mazlan yang juga Pengerusi Anak berkata, peserta yang menghadiri himpunan semalam merasakan peserta-peserta Felcra telah dinafikan hak mereka selama ini.

“Mereka beranggapan bahawa usaha mengadakan perhimpunan ini oleh PAS adalah langkah yang baik bagi membela nasib mereka, tetapi merasakan perlu ada satu badan khusus untuk membawa isu mereka,” kata Mazlan.

Mazlan mengakui bilangan 300 peserta yang hadir adalah rendah daripada dijangkakan, antara lain disebabkan oleh tekanan dan halangan agar peserta-peserta Felcra tidak menyokong usaha itu.

“Bagaimanapun kami melihat perhimpunan ini telah mencapai matlamat disasarkan walaupun bilangan yang hadir tidak ramai, ramai yang takut untuk hadir... walaupun kuantiti tidak ramai, tetapi matlamat yang dicapai berkualiti,” kata Mazlan lagi.

Selain itu menurut Mazlan, beliau akan menghimpunkan masalah-masalah yang dialami oleh peserta Felcra untuk dikemukakan kepada Suhakam dan agensi-agensi pihak berkuasa yang lain untuk diambil tindakan.

Ia termasuklah penafian hak dan elemen-elemen salah guna kuasa, katanya.

“Kami juga menjangkakan akan mengemukakan satu memorandum meminta campur tangan Suhakam dalam menyelesaikan isu yang dihadapi oleh peserta Felcra,” katanya.

Himpunan Felcra itu dilihat sebagai kempen besar-besaran PAS susulan usaha mengetengahkan masalah berkaitan dengan pengurusan Felda.

Sebelum ini Mazlan yang juga ketua lajnah tanah dan pembangunan wilayah PAS mendakwa Felcra tidak memberi layanan yang baik sebagaimana dialami peneroka Felda.

Kini dianggarkan ada 90,000 peserta Felcra dengan kebanyakannya berada di Perak.

“Ini satu lagi pendekatan mendampingi pengundi Melayu,” kata Mazlan.

Felcra ditubuhkan pada 1966 dengan fokus untuk membangunkan tanah-tanah persendirian dalam usaha memperbaiki taraf orang Melayu di kawasan luar bandar.

Malah agensi ini juga membuka kawasan penempatan dan perladangan baru bagi mereka yang tiada tanah.

Ia dinaikkan taraf sebagai Felcra Berhad, syarikat milik kerajaan pada 1997.

30 ditangkap, kawasan himpunan dikepung



Harakahdaily

PASIR SALAK, 1 Ogos: Seramai 30 orang termasuk 10 anggota Unit Amal telah ditahan polis sehingga lewat petang ini yang dimulai kira-kira jam 4.00 petang ini sementara seluruh kawasan Himpunan Warga Felda Kebangsaan di Changkat Lada, di sini dikepung.

Tangkapan turut dilakukan terhadap mereka yang memakai pakaian beridentitikan penganjur program.

Semua yang ditangkap dibawa ke Balai Polis Kampung Gajah.

Tangkapan rambang di luar kawasan itu dibuat sewaktu peguam Wan Rohaimi Wan Daud membentangkan kertasnya sebagaimana yang dijadualkan.

Wan Rohaimi adalah peguam yang memenangkan kes saman Felda oleh para peneroka Kemahang 3.

(Gambar: Pelancaran risalah Felda bankrap? pada Himpunan Warga Felcra Kebangsaan pagi tadi.)

Pihak polis mengetatkan kawalan sekitar kawasan itu termasuk mengadakan sekatan jalan raya sekitar jam 3.00 petang bagi menghalang orang ramai daripada memasuki tapak himpunan.

Dua buah trak Black Maria turut kelihatan berada di situ.

Anggota Unit Simpanan Persekutuan (FRU) juga sudah berada berhampiran kawasan himpunan itu.

Para hadirin termasuk mereka yang keluar pada waktu rehat sebelum ini juga tidak dapat memasuki kawasan itu khususnya bagi mengikuti majlis penutup yang dijangka dirasmikan oleh Ahli Jawatankuasa PAS Pusat, Mohamad Sabu petang ini.

Ekoran situasi itu, Mohamad Sabu juga terhalang daripada merasmikan majlis penutup itu.

Sementara itu, Pengerusi Persatuan Anak-anak Peneroka Kebangsaan (Anak), Mazlan Aliman menyifatkan himpunan kali pertama itu mencapai matlamat melalui pembentangan dua kertas kerja termasuk oleh aktivis Felcra Lubok Sireh, Razi Mustafa serta ucaptama oleh Datuk Seri Ir Mohammad Nizar Jamaluddin dan ulasan isu oleh bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri yang juga Penyelaras Pakatan Rakyat, Datuk Zaid Ibrahim.

Beliau berkata, ekoran tindakan pihak keselamatan yang mengepung kawasan himpunan, suasana yang tidak mengizinkan, 30 orang telah ditangkap, nasib orang awam dan para peniaga membimbangkan, maka majlis ceramah perdana pada malam ini yang melibatkan Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang, Naib Presiden PKR, Mustaffa Kamil Ayu dan Mohamad Sabu dibatalkan.

Sabtu, 31 Julai 2010

FRU kawal jalan masuk ke Himpunan Warga Felcra



Harakahdaily

PASIR SALAK, 31 Julai: Anggota pasukan Unit Simpanan Persekutuan (FRU) dan anggota polis berpakaian biasa mulai mengawal jalan masuk ke tapak Himpunan Warga Felcra Peringkat Kebangsaan di Changkat Lada, sejak kira-kira jam 8.30 malam ini.

Tiga trak FRU dengan 15 anggota di samping sekitar 20 anggota polis berpakaian biasa berada di kawasan berkenaan yang menyulitkan penduduk setempat dan pengunjung ke tapak himpunan itu.

Pada malam ini, beberapa pemimpin PAS, antaranya AJK PAS Pusat, Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin dan Mazlan Aliman (gambar kiri) dijangka akan menyampaikan ceramah di situ.

Sementara itu Mazlan ketika ditemui berkata, penempatan anggota polis dan FRU tersebut sebagai usaha menakut-nakutkan orang ramai ke program tersebut.

"Saya tak nampak program kita ini mengganggu, kita buat jauh dari kediaman orang dan atas tanah persendirian.

"Pada saya ini kesan ketakutan Umno BN," katanya.

Bagaimanapun beliau masih menaruh harapan kepada pihak keselamatan untuk tidak mengganggu ceramah malam ini.

Pada malam ini juga pengurusan Felcra menganjurkan majlis Tilawah al-Quran di Dewan Besar Felcra kira-kira 500 meter dari himpunan warga Felcra yang dianjur Pakatan Rakyat.

Majlis Tilawah itu bagaimanapun menurut Mazlan, usaha Felcra bagi mengganggu himpunan yang diadakan.

Himpunan Felcra tetap diteruskan



Nazri Abdullah
PASIR SALAK, 31 Julai: Himpunan Warga Felcra Peringkat Kebangsaan di Felcra Bandar Seberang Perak tetap diadakan biarpun beberapa berita pembatalan program mula disebarkan pihak-pihak tertentu.

Pengerusi Persatuan Anak-Anak Peneroka Felda Kebangsaan (Anak), Mazlan Aliman berkata, berita pembatalan yang disebarkan melalui khidmat pesanan ringkas SMS hari ini adalah tidak benar sama sekali.

"Program tetap diteruskan dan kita tak pernah membatalkannya.

"SMS yang tersebar itu adalah tidak benar dan cubaan pihak tertentu menghalang rakyat dari hadir ke program kita," katanya yang juga Ahli Jawatankuasa PAS Pusat.

Menurutnya, selain SMS, berita pembatalan juga disiarkan melalui stesen radio RTM negeri hari ini.

Pihak polis juga jelasnya telah mengeluarkan arahan supaya rakyat tidak menghadiri himpunan tersebut kerana didakwa tiada permit.

Mazlan bagaimanapun bertegas program tersebut tidak menyalahi undang-undang kerana dibuat ditanah persendirian milik seorang ahli PAS di kawasan tersebut.

Penganjur juga sebelum ini telah dua kali memohon permit dari pihak polis namun ditolak.

Himpunan tersebut bermula malam ini bertempat di Felcra Bandar Seberang Perak (Changkat Lada) dianjurkan oleh Lajnah Tanah dan Pembangunan Wilayah PAS Pusat.

Sebelum ini penganjur himpunan tersebut telah menerima pelbagai ugutan agar membatalkan program tersebut.

Peserta Felcra pula diberi amaran agar tidak menghadiri program tersebut.

Semalam, Felcra menggunakan masjid di sekitar Pasir Salak memberi amaran kepada peneroka bahawa mereka akan ditangkap jika terlibat dengan himpunan tersebut.

Semalam juga Pengerusi Felcra, Datuk Tajuddin Abdul Rahman memberi amaran mengeluarkan kenyataan mahu menyaman penganjur jika program ini memfitnah Felcra.

Ekoran amaran terbaru itu juga, Anak menjemput Tajudin untuk bersama dalam himpunan tersebut

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails