Selamat Datang

Sabtu, 31 Julai 2010

Umno perlu direhatkan



Mohd Sabri Said

KEPALA BATAS, 31 Julai: Ahli Jawatankuasa PAS Pusat, Datuk Husam Musa (gambar) menyeru rakyat merehatkan Umno dan Barisan Nasional (BN) daripada bergelumang dengan politik tanahair kerana banyak kesalahan telah dilakukan sehingga ekonomi, keselamatan, kehakiman dan politik negara tidak lagi stabil.

Umpamanya, kata beliau, apabila pemain bola sepak mendapat kad merah kerana melakukan kesalahan yang berulang, dia terpaksa dikeluarkan atau direhatkan untuk beberapa kali perlawanan.

Begitu juga, ujarnya dengan Umno dan BN perlu dihukum sebab terlalu banyak melakukan penyelewengan, pembohongan dan campur tangan tangan sehingga menyulitkan sesuatu keputusan diadili dengan adil.

"Umno dan BN kena direhatkan. Rakyat perlu buat begitu jika tidak mahu melihat negara menuju kehancuran," tegasnya ketika berceramah di Dewan Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP), Kepala Batas malam tadi.

Ekoran itu, kata Exco Kerajaan Kelantan itu banyak pelabur tidak menanam modal di Malaysia sebaliknya mencari lokasi lain yang lebih selamat.

Tambahnya, apabila terjadi begitu, ekonomi negara merudum teruk ditambah lagi dengan wang negara diboroskan dengan projek mega yang tidak memberi manfaat kepada rakyat.

"Habislah jika keadaan negara macam ni. Jadi, lebih baik rehatkan Umno dan kuncunya pada pilihan raya umum depan. Bila parti sempit dan perkauman tidak ada, maka senanglah nakhoda melayari bahtera memajukan negara," ujar beliau.

Kepimpinan negara, katanya apabila harga gula dinaikkan terus mengeluarkan kenyataan santai kononnya untuk mendidik rakyat supaya tidak terkena penyakit kencing manis manakala membanding harga dengan negara jiran apabila menaikkan harga petroleum.

Menurutnya, itulah alasan Kerajaan BN sejak dulu sampai sekarang, tidak pun menunjukkan rasa serik atau kesal apabila menindas rakyat malahan rasa bangga bila rakyat tidak menunjukkan protes.

"Mereka sudah menjahanamkan negara, kenapa rakyat masih biarkan mereka memerintah termasuk cadangan terbaru membeli 274 kereta perisai yang harganya sebuah RM31 juta pada hal seluruh dunia tahu harga kereta perisai termahal dari Amerika Syarikat hanya bernilai RM9 juta sebuah," katanya.

Beri peluang PAS sejahterakan rakyat



Ali Hashim



KEPALA BATAS, 31 Julai: Umno disaran supaya memberikan peluang kepada PAS untuk memimpin negara bagi memberi kesejahteraan dan keadilan kepada rakyat negara ini.

Demikian dinyatakan oleh Ahli Jawatankuasa PAS Pusat, Dato' Husam Musa semasa menyampaikan ceramah anjuran Lajnah Pekerja dan Peneroka Bandar PAS Pulau Pinang dan Kelab Amanah Rakan Industri Bersatu (KARIB) di Kompleks Sukan Bertam, Kepala Batas, Seberang Perai Utara, semalam.

Dengan pelbagai masalah wang rakyat yang disalahgunakan serta kerugian yang dialami oleh pelbagai agensi milik kerajaan adalah wajar bagi PAS menjadi peneraju bagi menggantikan Umno untuk membela nasib rakyat.

"Dibawah pemerintahan Umno dan BN isu yang melibatkan kerugian banyak belaku. Antara Pos Malaysia, Sime Darby, Felda dan begitu juga dalam isu PKFZ. Ia adalah suatu perkara yang memalukan kerana ketidakcekapan urus selia oleh kerajaan yang berkuasa kini.

"Sekiranya mereka diberi peluang untuk terus menerajui negara maka adalah dikhuatiri wang rakyat akan terus hilang," kata Husam yang juga Exco kerajaan negeri Kelantan.

Katanya, Umno dan BN sekarang sudah berada dalam keadaan sakit disemua peringkat dalam banyak aspek yang menyentuh pentadbiran mereka.

Oleh kerana itu, adalah lebih baik mereka menyatupadukan sesama mereka terlebih dahulu terutama di kalangan pimpinan dan ahli Umno sendiri.

"Di Terengganu sendiri kita lihat bagaimana puak Menteri Besar, Datuk Ahmad Said dan puak Datuk Seri Idris Jusoh tidak sehaluan. Perpecahan dalam Umno bukan saja di sini. Seluruh peringkat dan pelusuk,"katanya.

Bagi beliau, dalam isu penyatuan orang Melayu, formula penyatuan harus betul.

"PAS mahukan Islam untuk menyatukan semua kaum dan bangsa yang ada dalam negara ini. Dengan Islam kita dapat menyatukan orang Melayu, Cina dan India. Dengan Islam juga kita dapat menyatukan semua puak dan mereka yang bermasalah.

"Justeru itu sekiranya penyatuan dilakukan atas dasar Islam maka ia akan dapat memanfaatkan semua golongan masyarakat. Tetapi sekiranya dibuat atas nama suku dan bangsa, ia belum pasti boleh mendatangkan manfaat kecuali ia berpaksikan kepada agama Islam,"tambahnya lagi.

Manakala Ahli Parlimen Jerai, Mohd Firdaus Jaafar setuju agar Islam dijadikan asas untuk menyatukan kesemua kumpulan masyarakat termasuk Umno dan PAS.

"Sekiranya Umno sanggup untuk meletakkan Islam itu diatas dalam dasar perjuangan mereka, saya yakin ia adalah satu tindakan yang mampu untuk diberi komitmen kerana ia memperjuangkan semua golongan tanpa menjadikan assabiyah itu sebagai satu kemestian

"Namun begitu sekiranya bangsa dijadikan dasar dan asas dalam perjuangan, Islam itu belum pasti akan dapat dinobatkan. Oleh kerana itu maka PAS berkeyakinan hanya Islam saja yang mampu untuk dimartabatkan untuk semua kaum dan manusia yang ada dibumi ini," katanya.

Turut hadir dalam majlis tersebut ialah Ahli Parlimen Balik Pulau, Yusmadi Yusoff, Timbalan Pesuruhjaya PAS II Pulau Pinang, Ustaz Rosidi Hussain dan kepimpinan PR tempatan.

Pengerusi PAC: Pusat wajar contohi Selangor



Abdul Aziz Mustafa

KUALA LUMPUR, 31 Julai: Ahli Jawatankuasa PAS Pusat, Mohamad Sabu berharap kerajaan pusat dan negeri-negeri mencontohi kerajaan Pakatan Rakyat (PR) Selangor melantik Pengerusi Jawatankuasa Kira-kira Awam (PAC) dari kalangan pembangkang.

Dalam sidang Dewan Undangan Negeri (Dun) Selangor baru-baru ini, kerajaan Selangor mengemukakan usul melantik Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Sungai Burong dari Barisan Nasional (BN) sebagai Pengerusi Jawatankuasa Kira-kira Awam (PAC) negeri.

"Ia satu rekod dan patut dicontohi untuk membantu pentadbiran kerajaan berjalan dengan telus, lebih berakauntabiliti dan bertanggungjawab," katanya.

Mohamad melihat tindakan itu sangat penting untuk memastikan perbelanjaan wang rakyat dapat dilakukan dengan pengawasan yang lebih realistik serta disegani.

"Kalau kita melihat di peringkat pusat misalnya, perlantikan 'kawan sendiri' dari Umno dan BN sebagai Pengerusi Jawatankuasa Kira-kira Awam (PAC)hampir-hampir tidak membantu pengawasan yang disegani ke atas perbelanjaan wang rakyat.

"Rakyat semakin sakit hati melihat wang mereka dibelanjakan sesuka hati secara tidak bertanggungjawab, contohnya juak-juak parti yang memerintah keluar negeri beramai-ramai sehingga empat lima puluh orang tanpa sebab yang munasabah.

"Tindakan itu sama sekali tidak pro-rakyat," katanya.

Beliau melihat tindakan-tindakan yang hampir tidak bermanfaat untuk kepentingan rakyat itu hanya membazirkan wang mereka.

"Kalau pergi dengan duit sendiri, itu mereka punya fasal. Tetapi rombongan seperti itu diadakan dengan menggasak wang rakyat," katanya.

Mohamad juga berharap tindakan kerajaan Selangor itu dapat membantu pentadbiran yang lebih adil.

"Katakanlah Menteri Besar Selangor, Tan Sri Khalid Ibrahim menerima akibat dari tindakan melantik pengerusi PAC dari kalangan pembangkang itu.

"Bagi saya secara peribadi, tidak mengapa Khalid terkorban kerana mempertahankan keadilan.

"Mempertahankan keadilan adalah jauh lebih baik dari semata-mata mempertahankan pemerintahan," katanya.

Tidak ada gunanya mempertahankan pemerintahan yang tidak ada keadilan, tegas beliau lagi.

"Jika kita mengkaji sejarah, Khalifah Umar Abdul Aziz memerintah dalam tempoh tak sampai tiga tahun.

"Tetapi, pencapaian dalam pemerintahannya menjadi sebutan, ikutan malah diratapi sehingga ke hari ini," kata Mohamad

Himpunan Felcra tetap diteruskan



Nazri Abdullah
PASIR SALAK, 31 Julai: Himpunan Warga Felcra Peringkat Kebangsaan di Felcra Bandar Seberang Perak tetap diadakan biarpun beberapa berita pembatalan program mula disebarkan pihak-pihak tertentu.

Pengerusi Persatuan Anak-Anak Peneroka Felda Kebangsaan (Anak), Mazlan Aliman berkata, berita pembatalan yang disebarkan melalui khidmat pesanan ringkas SMS hari ini adalah tidak benar sama sekali.

"Program tetap diteruskan dan kita tak pernah membatalkannya.

"SMS yang tersebar itu adalah tidak benar dan cubaan pihak tertentu menghalang rakyat dari hadir ke program kita," katanya yang juga Ahli Jawatankuasa PAS Pusat.

Menurutnya, selain SMS, berita pembatalan juga disiarkan melalui stesen radio RTM negeri hari ini.

Pihak polis juga jelasnya telah mengeluarkan arahan supaya rakyat tidak menghadiri himpunan tersebut kerana didakwa tiada permit.

Mazlan bagaimanapun bertegas program tersebut tidak menyalahi undang-undang kerana dibuat ditanah persendirian milik seorang ahli PAS di kawasan tersebut.

Penganjur juga sebelum ini telah dua kali memohon permit dari pihak polis namun ditolak.

Himpunan tersebut bermula malam ini bertempat di Felcra Bandar Seberang Perak (Changkat Lada) dianjurkan oleh Lajnah Tanah dan Pembangunan Wilayah PAS Pusat.

Sebelum ini penganjur himpunan tersebut telah menerima pelbagai ugutan agar membatalkan program tersebut.

Peserta Felcra pula diberi amaran agar tidak menghadiri program tersebut.

Semalam, Felcra menggunakan masjid di sekitar Pasir Salak memberi amaran kepada peneroka bahawa mereka akan ditangkap jika terlibat dengan himpunan tersebut.

Semalam juga Pengerusi Felcra, Datuk Tajuddin Abdul Rahman memberi amaran mengeluarkan kenyataan mahu menyaman penganjur jika program ini memfitnah Felcra.

Ekoran amaran terbaru itu juga, Anak menjemput Tajudin untuk bersama dalam himpunan tersebut

MB Selangor: Pakatan tidak akan ikut BN panggil PRU



Oleh Debra Chong
July 30, 2010

KUALA LUMPUR, 30 Julai — Menteri Besar Selangor Tan Sri Khalid Ibrahim mengesahkan kerajaan negeri Pakatan Rakyat (PR) tidak akan mengadakan pilihan raya negeri lebih awal jikapun Barisan Nasional (BN) mahu membubarkan Parlimen untuk pilihan raya umum tergempar.

“Sikap kami adalah jika ia sesuai dengan kami, kami akan lakukan. Jika tidak, kami tidak akan berbuat demikian,” kata beliau kepada pemberita selepas di sini petang ini.

Khalid (gambar) menjelaskan, pentadbirannya berminat untuk memutuskan soal tarikh pilihan raya umum negeri apabila melangkah ke tahun kelima mandat.

“Setiap orang dalam Pakatan lebih memihak untuk menghabiskan tempoh mandat empat tahun sebelum memutuskan (tarikh memanggil pilihan raya),” kata beliau sambil menekankan, ia tempoh empat tahun adalah masa yang cukup untuk membuktikan kepada rakyat apa yang boleh dilakukan oleh PR Selangor.

Mandat semasa kerajaan negeri akan berakhir Mei 2013.

Bagaimanapun Khalid yang juga Ahli Parlimen Bandar Tun Razak berkata PR Selangor belum memutuskan sama ada mahu memberikan notis awal jika mahu memanggil pilihan raya umum negeri.

“Kami belum membincangkan perkara itu lagi,” kata beliau mengulas laporan awal The Malaysian Insider bahawa PR Selangor bercadang untuk memberi notis awal pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN).

Ketua Penerangan PAS Selangor Roslan Shahir Mohd Shahir dipetik berkata PR Selangor dijangka akan menggunakan pendekatan memberi notis memanggil pilihan raya umum negeri - amalan julung kali digunakan jika menjadi kenyataan.

Kedua-dua perkara itu dikatakan diputuskan pada mesyuarat pimpinan PR Selangor pada 19 Julai lalu.

Malah pada mesyuarat itu PR juga telah memutuskan untuk tidak membubarkan DUN jikapun BN memanggil pilihan raya umum tergempar di peringkat pusat dalam waktu terdekat.

Roslan memberitahu, pihaknya mahu mengamalkan pendekatan baru ini bagi menyuburkan prinsip demokrasi di Selangor dengan memaklumkan semua pihak bahawa pilihan raya umum akan diadakan dalam tempoh tertentu.

Bagaimanapun Pengerusi DAP Ean Yong Hian Wah berkata, keputusan membubarkan DUN adalah prerogatif Sultan atas permintaan Menteri Besar dan bukannya keputusan kepimpinan Selangor semata-mata.

Selain itu kata beliau keputusan untuk membubarkan DUN Selangor perlu diperakui oleh kepimpinan kebangsaan PR dan bukannya ditentukan oleh kepimpinan Selangor sahaja.

“Saya ingin menjelaskan bahawa Roslan bercakap atas kapasiti peribadi dan bukannya bagi pihak Pakatan Selangor,” kata beliau

Jumaat, 30 Julai 2010

ADUN dakwa 1/2juta untuk pelabat 'bersepah' SDO



Susan Loone
Jul 30, 10
6:49pm

Di balik gambaran tenang dan aman, bekas pejabat pembangungan negeri (SDO) Pulau Pinang sebenarnya menyembunyikan sebuah tempat yang ditinggilakan, kotor dan bersepah.

Sampah- sarap yang tidak dikutip, plaster syiling dan dinding pecah, wayar berjuntai dan perabut tinggal bagai menyempurnakan gambaran suram itu.

ADUN Komtar Ng Wei Aik mendakwa pejabat tersebut yang pernah digunakan oleh pegawai SDO Nik Ali Mat Yunus kini seperti tong sampah walaupun RM450,000 telah dibelanjakan untuk tujuan pengubahsuian.

Nik Ali sebelum ini mempunyai hubungan yang keroh dengan Ketua Menteri Lim Guan Eng apabila mereka berdua saling menggelar satu sama lain sebagai "biadap" dan "Napoleon kecil".

Dalam satu sidang media di tempat tersebut hari ini, Ng menuntut penjelasan apa yang hendak dilakukan oleh Nik Adli dengan tempat itu setelah berpindah ke pejabat baru.

Mengapa lambang dacing




KANGAR - Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sanglang, Hashim Jasin mengakui malu dan takut-takut membawa pulang kampit beras dengan lambang dacing yang dihadiahkan Kerajaan Negeri suatu masa dahulu.

Menurutnya, beliau menghadiri majlis pada bulan Ramadan yang ketika itu di bawah pentadbiran Datuk Seri Shahidan Kassim.

“Saya terima beras yang diberikan kepada semua wakil rakyat tetapi sedikit masalah apabila saya tengok ada lambang dacing (Barisan Nasional - BN) pada kampitnya.

“Saya takut-takut masa nak bawa balik ke rumah. Manalah tahu kalau ada orang Pas nampak saya pegang kampit beras dengan lambang dacing. Apa mereka akan kata kepada saya sebab tidak tahu kedudukan sebenar,” katanya.

Hashim bangun mencelah dan menjelaskan sindiran ADUN Tambun Tulang, Datuk Seri Shahidan Kassim yang menyifatkan orang Pas begitu taksub dengan parti apabila mendapat tahu pemimpinnya melarang mereka bekerja dengan orang UMNO.

Shahidan berkata, ADUN Pas itu mempunyai prasangka buruk kepadanya apabila enggan menikmati jamuan yang disediakan selepas majlis itu dengan alasan tertentu.

“Jangan takutlah. Kami tak bubuh ubat atau racun dalam makanan. Jangan ada persepsi negatif kerana kita tidak pernah buat macam tu.

“Kita orang UMNO boleh berkawan dengan semua orang dan tidak pernah membuat apa-apa tanggapan buruk kepada orang Pas,” katanya.

Hashim berkata, beliau menghargai niat baik Kerajaan Negeri ketika itu dan jika benar-benar ikhlas, mereka sepatutnya menggunakan kampit biasa.

“Kalau betul ikhlas, janganlah guna kampit yang ada lambang dacing. Susah saya untuk menepis kalau timbul salah faham dengan ahli Pas.”

Menurutnya, beliau boleh berkawan dengan semua orang dan kadang-kadang orang UMNO yang menjauhkan diri daripadanya.

“Sebagai contoh, dahulu ketika kami ada tiga orang dalam Dewan ini dan waktu rehat masa minum, tiada seorang pun wakil rakyat UMNO yang berani datang atau bersembang dengan saya walaupun tempat duduk lapang.

“Sebaliknya mereka lebih suka duduk berhimpit-himpit di hujung sana sesama UMNO,” katanya.

Sehubungan itu, beliau mencadangkan agar wakil Pas diberi peluang agar sama-mama mempunyai peranan untuk membangunkan negeri ini dengan mengenepikan fahaman politik.

“Kerajaan wajar memberi peluang kepada semua anak Perlis membangunkan negeri, tanpa mengira parti” katanya.

Felcra akan saman pembangkang jika fitnah

July 30, 2010

KAMPUNG GAJAH, 30 Julai — Felcra Berhad (Felcra) akan mengambil tindakan saman terhadap mana-mana pemimpin pembangkang yang menabur fitnah atau memanipulasikan fakta mengenai pengurusan agensi itu.

Pengerusinya Datuk Tajuddin Abdul Rahman berkata amaran itu diberikan kerana parti pembangkang telah mula menganjurkan pelbagai ceramah dengan menimbulkan isu remeh temeh dan memperlekehkan pengurusan Felcra bagi menghasut rakyat supaya membenci kerajaan Barisan Nasional (BN).

“Pihak pembangkang didapati cuba memanipulasikan fakta kononnya agensi itu turut menghadapi masalah pengurusan dan kewangan, sama seperti tuduhan bangkrap yang dilemparkan terhadap Felda,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan gotong royong perdana di Felcra Seberang Perak di sini hari ini.

Felda sebelum ini telah memfailkan saman terhadap Suara Keadilan, akhbar Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan beberapa pemimpin pembangkang berhubung dakwaan Felda telah bankrap.

Tajuddin berkata Felcra mempunyai kedudukan kewangan yang kukuh kerana telah berjaya memberi dividen bernilai RM3.6 billion kepada 94,000 peserta setakat ini.

“Sepanjang tahun lalu, Felcra mengeluarkan dividen sebanyak RM480 juta dan RM790 juta pada tahun 2008 dan pada tahun ini akan memberi RM500 juta dividen kepada peserta.

“Sebagai Pengerusi, saya tahu segala fakta yang membabitkan pentadbiran Felcra yang merupakan institusi yang berjaya mengubah kehidupan rakyat dalam pembangunan sosial dan ekonomi,” jelasnya.

Katanya, Felcra juga tidak mengabaikan pembangunan di negeri yang dikuasai pembangkang.

Beliau berkata Felcra telah memberi tanah yang telah ditanam kelapa sawit seluas 4,046 hektar bernilai RM300 juta kepada kerajaan negeri Kelantan atas permintaan Menteri Besarnya Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat.

Tajuddin meminta peserta Felcra terus mempertahankan institusi itu dan tidak terpedaya dengan tohmahan pembangkang yang semata-mata bermotifkan agenda politik. — Bernama

Nik Aziz saran Bazar Ramadan dikenali Bazar Iftar



July 30, 2010

Nik Aziz bertanya apa salahnya jika nama dan konsep bazaar Ramadan diubah. — gambar fail
KOTA BARU, 30 Julai — Menteri Besar Kelantan Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat hari ini menyarankan nama dan konsep bazar Ramadan ditukar kepada Bazar Iftar (berbuka puasa) bagi mencerminkan penghayatan terhadap ibadah berpuasa itu.

Beliau berkata Pihak Berkuasa Tempatan dan media boleh memainkan peranan untuk menukar nama dan konsep bazar Ramadan itu yang sentiasa mendapat sambutan ramai setiap kali bulan puasa.

“Saya baca dalam akhbar, rasa kagum betapa ramai peniaga terdiri daripada umat Islam sampai berebut-rebut untuk mendapat borang berniaga di bazar Ramadan.

“Apa salahnya kalau nama dan konsep bazar Ramadan itu ditukar kepada bazar Iftar bagi memberi penghayatan kepada umat Islam bahawa ada dua ketika nikmat bagi orang berpuasa iaitu ketika berbuka dan menyambut Idilfitri,” katanya ketika menyampaikan kuliah mingguan di Dataran Ilmu di sini, hari ini.

Ketika ditemui pemberita selepas itu, Nik Aziz berkata beliau telah melawat Anggota Dewan Undangan Negeri Galas Che Hashim Sulaima, yang kini dirawat di Unit rawatan Rapi (ICU) Hospital Pakar Perdana di sini kerana kanser usus.

Beliau meminta semua pihak mendoakan agar kesihatan wakil rakyat itu kembali pulih.

Che Hashim, yang disahkan menghidap barah usus kira-kira setahun lepas, pernah menjalani rawatan susulan di sebuah Hospital di Guangzhou, China pada 2009. — Bernama

Umno salah tidak benar guru berpolitik


Muhammad Yusri Amin

KOTA BHARU, 30 Julai: Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat menganggap tindakan tidak membenarkan guru bergiat dalam politik sebelum ini adalah tindakan yang salah, bahkan sebagai pengamal ilmu salah.

Ini, katanya kerana golongan guru adalah mereka yang mempunyai ilmu dan mengerti dalam banyak perkara.

“Jadi, macam mana orang yang mengerti tidak dibenarkan berpolitik? Itu satu kerja yang salah Umno.

“Mana boleh, seorang cikgu yang berilmu kita (kerajaan) tidak benarkan mereka berpolitik. Ini kerja salah, kerja orang yang mengamalkan ilmu salah,” katanya kepada media selepas menyampaikan kuliah mingguannya di Medan Ilmu di sini pagi tadi.

Beliau mengulas langkah terbaru pihak Kerajaan Persekutuan yang bercadang membenarkan pegawai pendidikan perkhidmatan siswazah Gred DG41 hingga DG48 melibatkan diri dalam politik bagi memastikan golongan tersebut diberi kebebasan sepenuhnya tanpa sekatan tertentu.

Kerajaan Persekutuan bercadang meminda Peraturan 21(2) Peraturan-Peraturan Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib) 1993 bagi membolehkan Pegawai Perkhidmatan Pendidikan Siswazah Gred DG41 hingga DG48 untuk bertanding, dilantik atau memegang jawatan dalam mana-mana parti politik berkuat kuasa 1 Ogos ini sebagaimana diumumkan Ketua Setiausaha Negara (KSN), Tan Sri Mohd Sidek Hassan baru-baru ini.

“Kenapa disekat cikgu, disekat tok guru daripada berpolitik? (Adakah kerajaan) takut diketahui keburukan mereka?

“Doh mu buat buruk (maka) diketahui oranglah,” katanya sambil mengulangi penegasannya bahawa golongan guru sepatutnya dibenarkan bergiat dalam politik sejak awal-awal lagi.

Baginya, akta mengenai sekatan itu tidak ada di atas dunia ini.

“Ini kerana ‘politik’ adalah menyentuh segala perkara termasuk bidang akidah, ibadat, ekonomi dan rumah tangga.

“Adalah menjadi satu perkara pelik apabila Umno buat terhadap sama ada pegawai kanan guru atau tidak selama ini dengan tidak membenarkan mereka berpolitik,” katanya.

Beliau yang juga Menteri Besar Kelantan menyifatkan bergiat dalam bidang politik diberi ganjaran pahala oleh Allah swt selain mendapat dosa sekiranya dilakukan tidak selaras dengan ajaran Islam.

“Nabi Muhammad s.a.w. sendiri adalah ‘orang politik’ yang paling terkemuka, Baginda menjaga orang (umatnya) dari dunia sampai ke akhirat, bukan menjaga mereka setakat di kubur saja,” katanya.

Mengulas sama ada kebebasan berpolitik di kalangan guru boleh menjejaskan prestasi mereka di sekolah, Mursyidul Am PAS itu berkata itu terserahlah kerapa sikap guru berkenaan.

“Saya adalah orang politik, sejak dahulu saya mengajar agama. Di samping bertugas mengajar, tidak ada apa pun gangguan.

“Saya mengajar sokmo-sokmo, sejak daripada hari pertama saya balik (dari belajar di luar negara) ke Malaysia pada 1962, saya terus mengajar termasuk mengajar di sekolah, dan sehinggalah ke pagi ini, saya terus mengajar,” katanya.

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails