Oleh Abd Shukur Harun
Hanya  beberapa hari saja lagi hari penentu pilihan raya kecil Dun Tenang,  Labis, Johor, semua pihak berdebar menanti hari pengundian Ahad itu, 30  Januari ini.Bandar Labis seolah-olah dikejutkan dari tidurnya dengan  menerima kedatangan beribu-ribu orang luar untuk menyaksikan pilihan  raya tersebut.
Ketika menikmati makan tengah hari bersama  teman-teman dari PAS Kelana Jaya di sebuah restoran, saya merasa terharu  dengan kemajuan PAS Johor yang kelihatannya semakin pesat.
Nyatalah   calon PAS, Cikgu Normala Sudirman menjadi elemen penting kepada  kebangkitan PAS Johor ini dengan tidak menafikan sama sekali jasa dan  pengorbanan pimpinan dan pendukung PAS lain di negeri itu sejak dulu  hingga kini.
Jasa dan pengorbanan tokoh PAS Johor selama ini,  antaranya Dr. Sanusi Daeng Mariok, Dr. Mahfuz Muhamad, Almarhum Tuan  Haji Ismail, Ahmad Anang, Ustaz Abdullah Husein, Khairul Faizi, Aminudin  Ayub, Dr. Muhamad Taslim, Dr. Haji Sheikh Ibrahim, Aminul Huda, Mazlan  Aliman, Suhaizan Kaiat dan ramai lagi yang tidak dapat disebutkan  semuanya.
Dahulu PAS Johor terpinggir, miskin, dipandang ‘sebelah  mata’ saja oleh kebanyakan orang di Johor, banyak kali bertanding dan  ramai hilang wang pertaruhan. Tetapi kini PAS Johor berdiri dengan  gagah, sudah diterima oleh ramai rakyat di Johor, tidak lagi hilang wang  pertaruhan, bahkan mampu memenangi dua Dun – Maharani dan Sungai Abung –  dalam PRU Ke-12 yang lalu.
Sebagai anak kelahiran Pontian,  Johor, saya dapat memahami pahit getir pendukung PAS negeri Johor untuk  mengembangkan parti itu di tengah-tengah keangkuhan Umno yang selama ini  menganggap Johor adalah Umno dan Umno adalah Johor.
Kini PAS  Johor dengan dua Dun dimenanginya – Dun Sungai Abong dan Maharani –  sedang bangkit dan menyerlahkan namanya di peringkat nasional. Pemilihan  terhadap Normala sebagai calon untuk bertanding di Dun tersebut  memberikan kelebihan kepada PAS/Umno dan memberikan erti yang cukup  besar kepada perjuangan parti itu di negeri yang kononnya selama ini  dianggap sebagai kubu kuat Umno.
Pada hal kenyataan yang ada  tidak begitu. Di tengah-tengah kepesatan perkembangan PAS Johor ini,  saya terkenang bagaimana tungkus lumus pendukung PAS Johor mula  menggeragkannya secara aktif di tahun 1978 di Batu Pahat.
Dapat  dibayangkan bagaimana pahit getir PAS Johor waktu itu di mana ceramahnya  tidak mendapat sambutan, hanya beberapa puluh orang saja yang  mendengarnya, sementara ramai orang Johor mencebikkan bibir ketika siapa  saja yang menyebutkan nama PAS.
Polis pula waktu itu mematikan  pembesar suara jika ada pemimpin Umno berceramah berdekatan. Namun PAS  Johor terus bangun hingga kini bahkan semakin gagah.
Pada hari penamaan calon Sabtu lalu, saya ada terdengar perbualan beberapa orang dalam loghat Kedah di sebuah restoran. Mereka
kagum  dengan kebangkitan PAS Johor. Mereka berkata, PAS Johor tidak lagi  terpencil seperti yang kita dengar, bahkan sudah semakin ramai orang  Johor menerima PAS.
Sementara itu bantuan petugas PAS/Pakatan  Rakyat dari luar Johor sudah demikian ramai tiba, di mana muslimat PAS  Johor mengerahkan seluruh tenaga ahlinya memimpin kempen ini dan  mengiringi setiap pergerakan calon PAS itu.
Di beberapa tempat di  kawasan pengundi Cina, kelihatan petugas DAP mengiringi Cikgu Normala  berkempen dan oleh kerana suasana Tahun Baru Cina sudah sangat terasa di  Dun Tenang ini, kunjungan Normala disambut hangat oleh orang Cina  dengan suasana Tahun Baru.
Normala tidak kekok berdepan dengan  situasi begini kerana beliau sudah biasa bergaul dengan orang ramai,  bahkan ada sesetengah ibu bapa yang anak mereka pernah menjadi murid  Normala telah memberikan sambutan hangat terhdapat kedatangan calon ini  bersama rombongannya.
Di kawasan pengundi Melayu, muslimat PAS  Johor juga di depan dengan dibantu oleh petugas PAS dari seluruh negara.  Gerak kerja kempen calon PAS ini berjalan lancar.
Nampaknya PAS  tidak bimbang dengan isu Normala tidak bersalaman dengan lelaki seperti  yang dibangkitkan oleh pemimpin MCA, kerana isu ini dan isu negara  Islam dilihat tidak berkesan.
Bahkan isu bersalaman ini memukul  pemimpin Umno/BN sendiri kerana selama ini tidak meneranghkan peraturan  dan adab Islam kepada rakan mereka dari MCA walaupun sudah bergabung  lebih setengah abad.
Ramai yang bertanya mana pergi tokoh dan  menteri agama di dalam Umno selama ini yang membisu seribu bahasa,  membiarkan pemimpin MCA menghina hukum Islam.
Sementara itu,  sekiranya ada anggapan bahawa golongan generasi lama masih menyokong  Umno/BN maka anggapan itu mungkin separuh benar. Ini kerana ramai juga  orang veteran dalam perbualan mereka, termasuk di pekarangan masjid dan  surau terang-terang menyatakan sokongan kepada PAS dan calonnya.
“Normala  ini guru, pendidik, dia bijak, akhlaknya baik. Calon macam seperti ini  patut kita sokong,” kata seorang warga emas ketika berbual dengan  kawannya di pekarangan sebuah masjid di kawasan Melayu di Labis ketika  menuju ke keretanya selepas menunaikan solat Zohor.
Antara isu  yang mendominasi dan kelihatan berkesan dalam kempen calon PAS/Pakatan  Rakyat ini ialah isu kenaikan harga barang di samping isu lain seperti  gejala sosial, penagihan dadah oleh remaja Melayu dan sebagainya.
Boleh  dirumuskan di sini bahawa antara hikmah pilihan raya kecil Dun Tenang  ini ialah menyerlahnya PAS Johor dengan perkembangannya yang sangat  pesat, berjaya mengenengahkan calon terbaik dari muslimat Johor dan  memperlihatkan kesepaduan gerak kerja seluruh petugas Pakatan Rakyat.
Ternyata PAS negeri Johor begitu harum namanya
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
PIHAK KAMI TIDAK BERTANGGUNGJAWAP DENGAN KOMEN YANG MENYALAHI UNDANG-UNDANG MALAYSIA