Selamat Datang

Rabu, 5 Januari 2011

Harga naik: Pembohongan 'Umno dahulukan rakyat'


Hazayani Zakaria

KUALA LUMPUR, 5 Jan: Adun Titi Serong, Drs. Khalil idham Lim menyifatkan tindakan kerajaan BN menaikkan harga petrol RON97 dan minyak tanah secara serentak tengah malam tadi ini sebagai tidak keruan dan menipu rakyat.

Katanya, tindakan itu juga menjelaskan kepada rakyat bahawa slogan 'Umno dahulukan rakyat' yang mahu diperkasakan pada tahun ini hanya pembohongan semata-mata.

Beliau yang juga ketua penerangan PAS Perak berkata, keadaan rakyat kini semakin terhimpit setelah berulangkali berlaku kenaikan harga barangan keperluan utama .

“Pakatan Rakyat ingin mengingatkan kepada rakyat bahawa undi BN bermaksud menempa kesengsaraan yang akan membawa kepada kesukaran dalam menjalani kehidupan seharian kelak,” katanya yang juga pengerusi sekretariat Pakatan Rakyat Perak.

Sementara itu Dewan Pemuda PAS Pusat (DPPP) mendakwa kenaikkan terbaru itu merupakan tindakan terdesak kerajaan untuk mengisi tabung Barisan Nasional bagi menghadapi pilihan raya kecil Dun Tenang.

Setiausahanya, Khairul Faizi Ahmad Kamil berkata, tindakan tersebut juga menunjukkan BN sudah kekurangan wang dan transformasi ekonomi yang dilaungkan Perdana Menteri, Datuk Seri najib Razak menemui kegagalan.

"Umum mengetahui bahawa Barisan Nasional akan terpaksa memperuntukkan sejumlah besar wang bagi membiayai pilihan raya kecil mereka dan sumber yang menjadi mangsa mereka sudah tentulah poket Kerajaan Persekutuan sendiri," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

DPPP juga katanya,berpandangan kenaikan harga minyak dan bahan mentah di pasaran bukan ditentukan oleh harga pasaran minyak dunia, kedudukan ekonomi negara, kemampuan serta keperluan rakyat, tetapi sebenarnya banyak ditentukan oleh pilihan raya dan keperluan Barisan Nasional.

"Di kala mereka mempersenda janji Pakatan Rakyat yang cuba membantu dan mengutamakan rakyat, kerajaan BN terus mencekik dan menambah beban yang terpaksa ditanggung oleh rakyat," katanya.

Sehubungan itu, DPPP menyeru rakyat khususnya golongan muda menolak BN dalam pilihan raya kecil Dun Tenang dan pilihan raya umum akan datang.

"Pilihan raya DUN Tenang, peluang rakyat memberikan amaran kepada Kerajaan yang zalim ini agar tidak terus menerus menzalimi dan menindas kehidupan rakyat dengan memberikan undi dan sokongan kepada PAS dan Pakatan Rakyat," katanya.

Harga petrol RON97 naik sebanyak 10 sen menjadikannya kepada RM2.40 seliter manakala minyak tanah kepada RM2.50 seliter berkuat kuasa hari ini.

Kali terakhir harga RON97 yang diapungkan mengikut pasaran minyak dunia semasa, naik sebanyak 15 sen pada 1 Dis lalu, menjadikan RM2.30 seliter.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

PIHAK KAMI TIDAK BERTANGGUNGJAWAP DENGAN KOMEN YANG MENYALAHI UNDANG-UNDANG MALAYSIA

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails