Ahmad Danial |
BUKIT KATIL, 18 Dis: Umno jelas biadap dan tidak beretika apabila terus menggunakan masjid sebagai medan untuk mencari pengaruh. Selasa lalu, Umno tanpa segan silu memasang bendera Umno dan BN di pagar Masjid Saidina Ali, Bukit Katil untuk menyambut kedatangan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak yang hadir untuk merasmikan masjid tersebut. Setiausaha Dewan Muslimat PAS Negeri Melaka, Hajjah Kintan Man (gambar) berkata sikap Umno ini memang biadap dan tidak sepatutnya berlaku kerana Umno sering kali menuduh PAS mempolitik masjid tetapi pada hakikatnya merekalah yang berbuat demikian. “PAS tidak pernah menggantung atau memasang bendera atau kain pemidang di pagar masjid, jauh sekali dari menjalankan program parti di masjid, namun apa yang berlaku Umnolah yang melakukan perkara tersebut. “Apa hak Umno untuk berbuat demikian, kenapa Umno boleh gantung kalau betul mereka mahu masjid bebas dari politik, terbukti mereka mahu menggunakan institusi masjid untuk mencari pengaruh dan mengabui mata rakyat kononnya merekalah pembela Islam” ujar Kintan yang juga merupakan Ahli Jawatankuasa Dewan Muslimat PAS Pusat. Kintan berkata Umno sering menuduh PAS menggunakan masjid untuk mencari pengaruh tetapi tuduhan itu tidak pernah dibuktikan, namun begitu Umno sering kali menggunakan masjid untuk menganjurkan program-program parti mereka. “Tindakan Umno ini umpama menepuk air di dulang terpercik ke muka sendiri,” ujarnya lagi. Sehubungan itu, Dewan Muslimat PAS Melaka menggesa Umno Melaka menghentikan tindakan mereka menggunakan masjid untuk mencari pengaruh. “Kita bimbang kesucian masjid tercemar dengan perangai dan program anjuran Umno yang kebanyakan bertentangan dengan Islam,” katanya. Tambahnya, ramai di kalangan wanita Umno dan Puteri Umno tidak menutup aurat dengan sempurna, program mereka pula biasanya melibatkan percampuran lelaki dan wanita yang sudah tentu mencemarkan kesucian masjid. “Jadi kita harap Umno menghentikan sikap buruk mereka ini serta merta, jangan ulangi lagi kerana ianya jelas mencemarkan Rumah Allah,” ujar Kintan. |
Selamat Datang
Sabtu, 18 Disember 2010
Umno guna masjid cari pengaruh
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
PIHAK KAMI TIDAK BERTANGGUNGJAWAP DENGAN KOMEN YANG MENYALAHI UNDANG-UNDANG MALAYSIA