Selamat Datang

Khamis, 29 Julai 2010

32 anggota polis KL terlibat dadah




KUALA LUMPUR – Seramai 32 anggota polis di bawah pengawasan Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur terlibat dalam penyalahgunaan dadah sejak Januari tahun ini.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Wira Muhammad Sabtu Osman berkata, mereka didapati terlibat apabila gagal dalam ujian air kencing yang dijalankan termasuk di pusat hiburan.

Berikutan terlibat dalam gejala tidak sihat itu, enam daripada mereka ditamatkan perkhidmatan manakala selebihnya masih dalam siasatan.

Muhammad Sabtu berkata, perkara ini tidak sepatutnya berlaku kerana anggota polis tidak dibenarkan terlibat dadah serta dilarang memasuki pusat hiburan kecuali bertujas membuat tinjauan.

Menurutnya, ujian saringan terhadap semua anggota polis sering dilakukan.

“Kadangkala dilakukan secara rambang bagi mengesan jika ada anggota yang terlibat," katanya.

Muhammad Sabtu berkata, beliau tidak akan bertolak-ansur dengan pegawai dan anggota yang terlibat menggunakan dadah.

Beliau turut mengingatkan anggota polis supaya peka terhadap penjagaan kesihatan kerana sepanjang tahun ini sahaja 14 anggota dilaporkan meninggal dunia ekoran menghidap pelbagai jenis penyakit

Prof Aziz: Benar guru aktif berpolitik langkah silap Umno-BN



Oleh G. Manimaran
July 28, 2010
KUALA LUMPUR, 28 Julai — Keputusan membenarkan pegawai pendidikan perkhidmatan siswazah Gred DG41 hingga DG48 melibatkan diri dalam politik mulai 1 Ogos ini, yang diumumkan semalam adalah satu langkah “terdesak Umno-BN” yang silap, kata penganalisis politik Prof Aziz Bari.

Sehubungan itu kata beliau, kerajaan seharusnya memansuhkan terus Peraturan 21 Peraturan-Peraturan Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib) 1993 yang mengehendaki kakitangan awam memperoleh kebenaran bertulis daripada ketua perkhidmatan awam jika mahu terlibat dalam politik.

“Ia satu langkah yang silap. Dari sudut parti politik Umno, keputusan itu adalah langkah terdesak mereka, mereka cuba untuk menggunakan selok-belok undang-undang dan peraturan (untuk kepentingan Umno-BN) untuk memperdayakan rakyat,” kata Aziz (gambar) ketika ditemui selepas Diskusi KAMI Ketiga yang membincangkan Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984 di sini hari ini.

“Langkah ini memang tidak logik. Pengumuman Ketua Setiausaha Negara menjadi bahan ketawa,” katanya Aziz lagi.

Aziz memberitahu langkah membenarkan guru-guru kumpulan itu terlibat aktif dalam politik akan menjejaskan aspek keberkecualian guru dalam perkhidmatan awam.

“Kita mahukan satu perkhidmatan awam yang berkecuali, kita berkompromi dengan aspek keberkecualian dengan mengeluarkan perintah baru ini,” kata beliau lagi.

Keputusan terbaru ini diumumkan oleh Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Mohd Sidek Hassan semalam.

Menurut Mohd Sidek, langkah itu berlandaskan hakikat bahawa guru suatu masa dahulu memain peranan penting dalam memimpin masyarakat dalam senario politik negara.

“Masanya sudah tiba mereka dibenar aktif semula dalam politik,” katanya.

Bagi tujuan itu, beliau berkata pindaan Peraturan 21 Peraturan-Peraturan Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib) 1993 telah diperkenan oleh Yang di-Pertuan Agong Tuanku Mizan Zainal Abidin.

Tindakan sedang diambil untuk mewartakawan pindaan peraturan tersebut, tambah beliau lagi.

Sebelum ini, Peraturan 21(2) peraturan tersebut menetapkan hanya pegawai dalam Kumpulan Sokongan boleh bertanding atau memegang jawatan atau dilantik ke dalam apa-apa jawatan dalam suatu parti politik dengan syarat terlebih dahulu mendapat kelulusan bertulis Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam atau Ketua Setiausaha kementerian berkenaan.

Di bawah peraturan baru ini, pegawai pendidikan, selain pengetua atau guru besar di institusi pendidikan dan pegawai yang memegang apa-apa jawatan pentadbiran dalam mana-mana agensi kerajaan, perlu mendapat kebenaran bertulis daripada Ketua Setiausaha Kementerian Pelajaran terlebih dahulu.

Mengulas lanjut mengenai aspek keberkecualian, Aziz tidak menolak kemungkinan elemen salah guna kuasa dengan memihak kepada parti-parti politik tertentu akan wujud dalam jangka panjang jika langkah baru ini dilaksanakan.

“Kini pun masalah ini sudah wujud, misalnya di universiti-universiti awam yang mengguna pakai AUKU (Akta Universiti dan Kolej Universiti), sangat jelas kewujudan salah guna kuasa di mana naib-naib canselor boleh menentukan siapa yang boleh mengambil bahagian dalam politik atau tidak.

“Jangan beritahu saya yang naib canselor tidak boleh menentukan sama ada permohonan seseorang untuk menyertai aktif dalam PKR, PAS diluluskan atau tidak, sudah pasti Umno,” kata beliau dengan menambah, persekitaran politik semasa jauh berbeza ketika negara merdeka.

“Sekarang kita ada jumlah yang ramai, yang berminat untuk aktif berpolitik,” kata beliau dengan merujuk bilangan yang berpendidikan cukup tinggi berbanding lima dekad lalu di mana negara bergantung kepada golongan pendidik semata-mata.

Sehubungan itu tegas beliau, golongan pendidik yang berminat untuk aktif berpolitik seharusnya berhenti dari perkhidmatan perguruan.

“Saya tidak tahu apa kajian yang dibuat dan apa alasan yang digunakan dalam mengambil keputusan ini, tetapi (Menteri Pelajaran) Tan Sri Muhyiddin Yassin perlu menjawab perkara ini,” katanya.

“Ini satu perkara yang nampak tidak betul, keputusan ini membawa mesej bahawa ia akan memburukkan perkhidmatan awam,” kata Aziz yang turut menekankan bahawa beliau hairan dengan makluman Ketua Setiausaha Negara yang gagal menangani isu Pegawai Kemajuan Negeri (SDO) Pulau Pinang Nik Ali Mat Yunus.

Katanya lagi, pengumuman yang dibuat oleh Mohd Sidek, yang sudah pasti dibuat atas keputusan Kabinet, telah menghakis prinsip keberkecualian dalam perkhidmatan awam.

“Mutu perkhidmatan awam patut diperkasakan, bukannya dihakis,” katanya lagi.

Ketika ditanya bukannya langkah terbaru ini akan menguntungkan kesemua parti politik negara ini, Aziz berkata, “atas kertas mungkin betul”.

Bagaimanapun tegas Aziz, beliau melihat kerajaan pusat mengambil tindakan ini kerana kemungkinan berhadapan dengan masalah ketandusan pemimpin yang berkualiti

Presiden PAS: ‘Mufti Perak hanya orang kecil, saya tak mahu layan’



Oleh Syed Mu’az Syed Putra
July 29, 2010
Hadi (kanan) menyifatkan Harussani sebagai “orang kecil” yang ingin “mengusik PAS”. — gambar fail

KUALA LUMPUR, 29 Julai — Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang menyifatkan Mufti Perak Tan Sri Harussani Zakaria sebagai “orang kecil” yang mahu “mengusik” parti Islam itu supaya menerima idea kerjasama perpaduan dengan Umno.

“Biarlah (Harussani) hendak cakap apa pun, beliau hanya nak usik PAS sahaja.

“Lagipun beliau hanya orang kecil, saya tidak mahu layan beliau,” kata Hadi.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Marang membayangkan PAS tetap dengan pendirian bersama Pakatan Rakyat, sebagaimana telah pun diputuskan pada muktmar-muktamar lalu.

“PAS tetap tiada apa-apa, jadi biarkan sahaja.

“Saya tidak mahu komen lagi pasal perkara ini,” kata beliau kepada The Malaysian Insider mengulas pendedahan terbaru Harussani bahawa adanya pemimpin-pemimpin PAS selain Pesuruhjaya PAS Selangor Datuk Dr Hasan Ali yang menemuinya bagi membincangkan soal perpaduan orang Melayu dan Islam.

Harussani bagaimanapun enggan mendedahkan identiti pemimpin tersebut bagi mengelakkan keadaan bertambah buruk.

Sementara itu, Naib Presiden PAS Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man pula menegaskan PAS tetap tidak akan bekerjasama dengan Umno sampai bila-bila masa.

“Kita tetap tidak akan mengadakan sebarang perbincangan mengenai kerjasama dengan Umno. Jadi Umno perlu faham, tidak perlu nak terus ajak PAS.

“Selain itu, kita juga tidak pernah memberikan mandat kepada sesiapa pun untuk bincang soal kerjasama itu dengan Harussani.

“Mungkin pemimpin PAS yang dikatakan Harussani berjumpa dengannya atas tiket diri sendiri bukan parti,” tegas Pesuruhjaya PAS Selangor ini.

Sebelum ini, Mursyidul Am PAS Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat tetap dengan pendiriannya menolak sebarang perbincangan atau kerjasama dengan Umno kerana menganggap parti itu telah menyimpang daripada perjuangan Islam.

Malah Nik Aziz mengulangi bahawa Umno terus menunjukkan minat mahu membincangkan kerjasama dengan PAS selepas menyedari kedudukannya menjadi lemah pada pilihan raya umum ke-12 dua tahun lalu.

Pendirian Nik Aziz itu turut ditekankan menerusi satu kenyataan semalam.

Selain itu, dua naib presiden PAS Datuk Mahfuz Omar dan Salahuddin Ayub menegaskan, pihaknya tidak pernah memutuskan untuk meminta Harussani agar menguruskan pertemuan Umno-PAS bagi membincangkan penyatuan orang Melayu dan Islam.

Anwar dikagumi tegas pertahan prinsip – Nik Aziz



M Faqih

KOTA BHARU, 28 Julai: Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat menyifatkan Datuk Seri Anwar Ibrahim seorang yang tegas mempertahankan prinsip perjuangan.

Katanya, ketegasan itu sama seperti pernah ditunjukkan Nabi Muhammad saw semasa berhadapan dengan pelbagai fitnah pembesar Quraisy.

“Kerana ketegasan mempertahankan kebenaran perjuanganlah maka Nabi saw sanggup meninggalkan Kota Mekah menuju ke Madinah. Baginda tidak pernah bertolak ansur dengan pelbagai tawaran pembesar Quraisy.

“Anwar seorang yang mendokong prinsip ketegasan di atas kebenaran yang diperjuangkan selama ini,” katanya dalam satu kenyataan di sini.

Ketua Pembangkang tersebut dalam satu wawancara dengan sebuah akhbar hari ini menyebut kerjasama Umno dan PAS tidak akan menjadi realiti meski pun tanpa kehadiran Menteri Besar Kelantan.

Anwar dipetik sebagai berkata, Umno merasakan sekiranya mereka boleh tawan Nik Aziz, mereka boleh tawan PAS.

Mursyidul Am itu merakam ucapan tahniah sepenuh hati kepada Anwar di atas ketegasan beliau dalam perjuangan.

Menurutnya ketegasan itu merupakan sifat istiqomah yang ada pada pemimpin memperjuangkan kebenaran dan hak hakiki.

“Istiqomah bukanlah suatu nilai kedegilan, tetapi suatu kebenaran yang dituntut oleh agama.

"Prinsip mempertahankan kebenaran secara istiqomah sudah pasti akan menyemarakkan lagi perjuangan Pakatan Rakyat bagi menghadapi pilihan raya umum akan datang,” ujarnya

Air: BN tidak bela penduduk miskin



Harakahdaily

SHAH ALAM, 28 Julai: Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim (gambar) mengingatkan pemimpin Barisan Nasional (BN) bahawa keputusan kerajaan terdahulu berkenaan perkhidmatan air tidak pernah menyebelahi penduduk miskin di Selangor.

Beliau menyatakan demikian ekoran pemimpin Umno BN yang sering mengkritik pemberian air percuma kerajaan negeri Pakatan Rakyat di negeri ini.

Ianya termasuklah polisi perbezaan tarif mengikut jenis meter yang telah dibenarkan ketika kerajaan BN memerintah sebelum ini.

"Saya ulang di sini bahawa Kerajaan Selangor telah melaksanakan pemberian air percuma kepada penghuni rumah kos rendah yang menggunakan meter pukal dengan pengenalan sistem kupon," katanya.

Beliau juga turut memberi jaminan program air percuma tersebut akan diperluaskan ke seluruh negeri itu dalam waktu terdekat ini.

Berikutan itu, Kerajaan Selangor meminta Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn Bhd (Syabas) menyelaraskan tarif air bagi meter individu dan meter pukal untuk membolehkan pengguna di negeri ini menikmati pemberian air percuma bagi setiap 20 meter padu pertama setiap bulan dengan kadar yang sama.

Beliau berkata, perbezaan tarif air mengikut jenis meter tidak patut berlaku dan pihaknya akan mengadakan rudingan bersama pihak Syabas agar tarif perkhidmatan air diselaraskan untuk semua.

Ketika ini, Syabas mengenakan tarif yang berbeza mengikut jenis meter.

Bagi meter individu, 20 meter padu dikenakan RM11.40, RM16.00 untuk pengguna meter pukal bagi pangsapuri kos rendah dan RM27.00 bagi pangsapuri bukan kos rendah.

"Perbezaan tarif mengikut jenis meter ini diketahui ketika kerajaan negeri sedang memperluaskan pemberian air percuma 20 meter padu setiap bulan kepada penghuni rumah kos rendah yang menggunakan meter pukal.

"Jelas, pemberian air percuma oleh kerajaan negeri yang dilancarkan di bawah agenda Merakyatkan Ekonomi Selangor (MES) bukan sahaja dapat menolong rakyat dari bebanan ekonomi tetapi juga telah dapat menolong menyeralaskan tarif dan caj perkhidmatan air," katanya

Rabu, 28 Julai 2010

Dr M: Kenapa bayar RM1 juta untuk pembohong?

Jimadie Shah Othman
Jul 28, 10
1:43pm

Bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad menyuarakan kehairannya terhadap akhbar negara ini yang didakwa menggelapkan isu penting, antaranya berhubung isu antarabangsa.

Katanya, ia termasuklah tindakan kerajaan Britain mengheret bekas perdana menterinya Tony Blair ke inkuiri kerana didakwa terlibat dalam sejarah perang di Iraq suatu masa dahulu.

"Ia bukan lagi perang antara tentera dengan tentera, tetapi bagaimana tentera membunuh orang awam...

"Tetapi tidak ada sepatah perkataan pun tentang perkara ini dalam media tempatan kita.

"Tidak ada laporan langsung tentang pembohongan Blair," kata Dr Mahathir (kiri).

Sebaliknya, dakwa Dr Mahathir, Blair malah dibayar sebanyak sebanyak RM1 juta untuk memberikan ucapan di negara ini semata-mata untuk "menceritakan pembohongannya".

Pada 24 April lalu, lebih 200 anggota pelbagai NGO serta rakyat Iraq di negara ini berhimpun membantah kedatangan Blair bagi berceramah di Pusat Konvensyen Sunway Pyramid, anjuran sebuah syarikat yang beribu pejabat di Singapura, Success Resources Company.

Nazir bela Najib tentang FDI?



Dr. Dzulkefly Ahmad
Saya ditanya oleh pihak media mengapalah pelaburan langsung asing (FDI) begitu penting sangat untuk Malaysia dalam situasi kini, sejurus selepas penglibatan saya dalam Forum Ekonomi Negeri Selangor sempena Majlis Dialog Bejt 2011. Saya cuba rumuskan di sini jawapan tersebut untuk pengetahuan umum.

Benar, mengikut Laporan Pelaburan Dunia (WIR, 2009), yang diterbitkan baru baru ini oleh Perdagangan dan Pelaburan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (UNCTAD) telah menegsahkana bahawa FDI Malaysia merosot 81 peratus kepada US$1.38 bilion (RM4.43 bilion) pada 2009 daripada US$7.32 bilion (RM23.47 bilion) pada 2008.

Meskipun negara-negara ASEAN juga mengalami penurunan kemasukan FDI, ternyata tidaklah separah Malaysia. Thailand mendapat pelaburan sebanyak US$4.44 atau RM14.24 bilion sementara Indonesia sebanyak US$2.60 billion atau RM8.32 billion sekaligus meletakkan Malasyia, antara negara tercorot sebagai negara pilihan pelaburan pelabur asing langsung bersama dengan Cambodia, Brunei dan Timor-Leste. Vietnam juga mendahului kita sekarang ini.

Trend kemerosotoan FDI ini telah dikesani beberapa tahun dalam dekad mutakhir ini. Keadaan menjadi lebih buruk lagi tatkala diperhatikan bahawa bukan sahaja kemasukan FDI menjunam, pengaliran keluar dana tempatan adalah juga yang terbesar berbanding semua negara ASEAN sebanyak RM25.77 bilion.

Apakah makna semua ini? Mengapa FDI faktor penting dalam ekonomi negara?

Jawapannya mudah. Ketika negara tidak mampu lagi melakukan perbelanjaan besar (G-factor, termasuk mengepam ekonomi atau pump-priming) kerana telah terbeban dengan hutang awam (kerajaan) sehingga ke paras 52.6% dari KDNK (RM362 bilion), maka pertumbuhan negara mesti dipacu oleh pelaburan pihak swasta. Ini tidak termasuk hutang GLCs atau pihak swasta.

Pihak pelaburan swasta ada dua komponen. Satu pelaburan tempatan dan kedua pihak luar. Kini apa yang kita tahu ialah bukan sahaja dari luar kurang masuk (FDI) dari dalam pun banyak yang keluar. Antara lain ini bermaksud, keyakinan terhadap negara sebagai destinasi pelaburan yang baik, belum pulih.

Apabila ini berlaku ia membawa dua kesan besar. Satu, kesan pada pertumbuhan. Kerana kekurangan dana untuk memacu kegiatan ekonomi dan pelaburan dalam pelbagai bidang khsususnya pembuatan dan perkhidmatan, maka pertumbuhan 6% yang disasar tidak dapat akan dapat dipacu. Keadaan akan menjadu lebih buruk apabila permintaan global dan serantau merosot kerana akan menjejaskan faktor eksport dalam KDNK.

Lebih parah lagi kalau sentimen pengguna juga turut terjejas. Terkini laporan MIER (Malaysian Institute of Economic Reserach) turut menunjukkan bahawa indeks sentimen pengguna merosot. Faktor Penggunaan (Consumption) akan turut memberi kesan negatif terhadap pertumbuhan. Penarikan subsidi terkini bahkan pengenalan GST nanti, tentunya akan memburukkan faktor Perbelanjaan khususnya ketika tercetusnya inflasi.

Apabila sasaran 6% pertumbuhan gagal dicapai, ini meninggalkan kesan langsung secara negatif kepada usaha untuk menjana pendapatan per kapita yang tinggi seperti yang diharapkan PM. Situasi ini jelas adalah tidak selesa sama-sekali untuk Najib bahkan ini mencemaskan dan berpotensi menyebabkan kesemua ’target-makro’ dalam RMK-10 tersasar.

Oleh kerana Malaysia adalah sebuah model ekonomi terbuka yang kecil (KDNK sebanyak ~RM700 bilion) serta bergantung kepada kegiatan ekspot maka menghasilkan barangan ekspot yang bernilai-tambah tinggi adalah penting untuk mengekalkan dayasaing negara.

Lain kiranya kalau kita mampu memacu pertumbuhan secara permintaan dan dana domestik seperti negara negara Scandinavia yang punya ekonomi kecil seperti Denmark, Norway atau Sweden yang mampu memacu pertumbuhan ekonomi dengan permintaan domestik.

Untuk memenuhi matlamat pertumbuhan negara, dana untuk pelaburan adalah cukup kritikal. Dana itu datang dari luar(FDI) atau dari pelabur tempatan. Kedua-dua ini mengikut laporan UNCTAD jelas merosot.

Itulah sebabnya pimipinan Najib dan BN mesti melihat apakah faktor-faktor yang menyebabkan situasi ini berlaku ataukah kita akan kekal dalam penafian seperti yang ditanggapi umum oleh kenyataan adik Najib, DS Nazir Razak, boss atau CEO CIMB itu, sebuah Investment Bank yang terulung di negara ini yang banyak mendapat habuan besar dari kegiatan kewangan korporat seperti M&A, IPO, terbitan Bon dan Sukuk dsbnya.

Sementara saya memahami apa yang beliau maksudkan dengan quality investment’dan timingnya, namun komentarnya itu tidak dapat menyangkal bahawa Malaysia, sebagai destinasi pelaburan, sudah tidak lagi berada dalam ‘radar pelabur’ asing dan juga tempatan. Ada dua bentuk pelaburan asing; satu FDI dan kedua pelaburan ‘Portfolio’ dalam Bursa Malaysia.

Kedua-dua penting. Yang lebih penting ialah FDI melalui Syarikat Multi-Nasional (MNCs) kerana ianya bersifat jangka-jauh dan terkadangkali membawa perpindahan teknologi disamping menjana pekerjaan. Namun portfolio atau ‘hot-money’ juga penting dalam Pasaran Saham.

Ia berperanan mengagihkan dana untuk syarikat-syarikat tersenarai (PLCs) untuk membuat pengembangan bisnes dan juga R&D&C dengan suntikan dana yang dilabur oleh poengurus dana ini. Malangnya aliran masuk dana ke paaran Saham juga muram dan akhirnya pelabur institusi tempatan juga yang melabur seperti KWSP, Tabung Haji, KWAP, LTAT dsbnya.

Tidak dapat dielakkan komentar Nazir semacam mahu membela abangnya. Ia agak semacam tak kena atau misplaced, dengan izin.

Benarkan semua pegawai kerajaan berpolitik



Harakahdaily

KUALA LUMPUR, 28 Julai: Dewan Pemuda PAS Wilayah Persekutuan (DPPWP) berpandangan sepatutnya semua pegawai kerajaan dibenarkan aktif berpolitik tanpa kawalan yang ketat.

Justeru, ketua penerangannya, Fadhil Osman berpendapat kebenaran kerajaan terhadap pegawai pendidikan perkhidmatan siswazah Gred DG41 hingga DG48 untuk terlibat politik adalah permulaan yang baik namun ia belum memadai.

Katanya, kenyataan Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Sidek Hassan semalam bahawa kerajaan membenarkan pegawai siswazah untuk aktif dalam politik sebenarnya adalah tindakan yang agak lambat bagi sebuah negara membangun seperti Malaysia.

Sepatutnya, kata beliau pegawai kerajaan telah lama diberi kebenaran untuk aktif berpolitik dan memegang mana-mana jawatan politik sebagaimana yang diamalkan oleh negara-negara maju.

“Hak mengundi dan memilih parti politik mana yang mereka sukai adalah hak individu sejak mereka berusia 21 tahun. Ini adalah hak rakyat Malaysia yang kerajaan tidak boleh nafikan,” ujarnya dalam satu kenyataan kepada Harakahdaily

Beliau menambah, berpolitik bukanlah suatu jenayah dan ia tidak menyekat keharmonian dan perpaduan kaum di Malaysia.

Menurutnya, menyertai parti-parti politik adalah amalan biasa bagi negara yang mengamalkan demokrasi sihat seperti Malaysia.

Baginya, berpolitik boleh menyuburkan sifat kepemimpinan, sensitif serta peka terhadap isu dan meningkatkan semangat berorganisasi dikalangan pekerja-pekerja.

“Menyertai parti politik tidak akan menjejaskan prestasi kerja dan menimbulkan sikap ekstrem terhadap masyarakat Malaysia,” ujarnya lagi.

Katanya, DPPWP merasakan tindakan untuk meminta kebenaran bertulis daripada Ketua Setiausaha Kementerian Pelajaran terlebih dahulu adalah suatu tindakan yang tidak wajar.

“Kebenaran ini seolah-olah menyukarkan pegawai kerajaan kerana harus melalui pelbagai peringkat birokrasi,” katanya.

Beliau mempersoalkan bagaimana sekiranya surat permohonan kebenaran pegawai-pegawai kerajaan untuk berpolitik tidak diluluskan.

“Apakah jaminan kerajaan sekiranya permohonan ini ramainya yang datang dari pegawai yang menyokong Pakatan Rakyat?” soalnya.

Justeru, katanya kerajaan tidak perlu meletakkan apa-apa prasyarat pegawai kerajaan menyertai parti politik.

Tambahnya, tindakan boleh diambil sekiranya pegawai tersebut mengabaikan tugasnya namun bukan menyekat rakyat dari menyertai mana-mana parti politik.

Usahawan China sertai ekspo Cheng Ho di Kelantan



Mohd Nor Yahya


KOTA BHARU, 28 Julai: Nama Laksamana Cheng Ho, seorang pelayar Cina Muslim dari China yang berjaya mengeliling dunia akan diabadikan sempena ekspo hub halal yang akan diadakan di sini pada Oktober depan.

Pameran Cheng Ho akan diadakan di perkarangan Stadium Sultan Muhammad ke IV selama lima hari bermula 5 Oktober.

Anggota Exco kerajaan negeri, Datuk Husam Musa berkata, program itu diadakan sempena ulangtahun ke-20 pentadbiran kerajaan PAS Kelantan.

”Pelbagai lapisan masyarakat termasuk pedagang dari China akan memberi sokongan menjadikan Kelantan sebagai hub halal.

"Kita menggunakan nama Laksamana Cheng Ho sebagai nama ekspo tersebut kerana Cheng Ho merupakan seorang laksamana yang menjadi ikon bagi rakyat China.

”Pahlawan itu berjaya merapatkan hubungan persaudaraan antara dua negara Malaysia - China," kata beliau selepas meraikan wakil-wakil pedagang dan kerajaan Wilayah Harbin China di sebuah restoran di sini, baru-baru ini.

Hadir sama Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Desa dan Bioteknologi, Che Abdullah Mat Nawi dan Adun Pulai Chondong, Zulkifli Mamat.

Husam yang juga Pengerusi Jawatankuasa Perancangan Ekonomi, Kewangan dan Kebajikan berkata, ekspo tersebut akan disertai pelbagai sektor yang akan dibawa khas dari China.

Selain itu ekspo terbabit juga turut disertai pengusaha-pengusaha tempatan.

Husam juga berkata, hasil kunjungan beliau dan rombongan Kelantan ke China baru-baru ini berjaya merapatkan lagi hubungan kerajaan negeri dan beberapa wilayah di China.

Rombongan pedagang dari Harbin tersebut diketuai Timbalan Presidennya, Wang Bin Sha serta beberapa usahawan termasuk dari syarikat Harbin Haixun Science & Technology Co.Ltd, Madam Gua Yuhong.

Turut serta wakil Beijing Duolud Machienery Equeptment Manufacturing Co. Ltd dan Beijing Glorius Land Technology. Mereka mengunjungi Kelantan dalam usaha mengenal pasti peluang pelaburan di negeri ini.

Baru-baru ini ketika lawatan ke Aceh, Indonesia anggota Exco terbabit turut menjemput Gabenor wilayah berkenaan menghadiri ekspo Cheng Ho dan pelancaran Dinar Dirham Kelantan pada bulan depan.

'Bantah Pembaziran, Selamatkan Rakyat' dilancar 9 Ogos



Hazayani Zakaria

KUALA LUMPUR, 28 Julai: Gabungan Memprotes Kenaikan Harga Minyak (Protes) hari ini mengumumkan enam langkah yang akan diambil bagi membantah kenaikan harga barangan keperluan asas yang diumumkan kerajaan baru-baru ini.

Bantahan tersebut dibuat ekoran tindakan kerajaan menaikkan harga petrol, diesel, gula dan gas petroleum cecair (LPG) yang didakwa boleh dielakkan jika kerajaan tidak membazir, tidak rasuah dan mengelak ketirisan dalam penggunaan wang negara.

Demikian diumumkan penyelaras Protes, Dr. Hatta Ramli selepas mempengerusikan mesyuarat penyelarasan program bantahan terhadap kenaikan itu di Dewan Perhimpunan Cina Kuala Lumpur-Selangor(KLSCAH),dekat sini hari ini.

"Pada hari ini seperti yang diwarwarkan kita membincangkan respon rakyat terhadap kenaikan harga barang yang di pihak kerajaan tiada kenaikan.semuanya turun. Kita percaya ini merupakan langkah awal kerajaan. Kita tidak boleh diam sahaja, nanti satu persatu harga barang dinaikkan," katanya.

Dengan slogan 'Bantah Pembaziran, Selamatkan Rakyat', pelancarannya akan diadakan pada 9 Ogos ini di Kampung Kerinchi jam 6 petang.

Kampung Kerinchi dipilih untuk pelancaran kempen berkenaan kerana majoriti penduduk di kawasan itu terdiri daripada penduduk berpendapatan rendah dan sederhana, yang begitu terjejas dengan kenaikan harga barang.

Gabungan terdiri daripada parti-parti politik dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) itu juga akan menyediakan sebanyak mungkin bahan makluman dan bacaan dalam bentuk risalah dan buku kecil untuk diedarkan kepada rakyat sepanjang tempoh kempen, sehingga kerajaan menurunkan kembali harga barang.

Selain itu juga, Protes akan mengadakan beberapa siri protes di peringkat negeri di seluruh negara.

"Kita akan selaraskan dan masa, tempat, aktiviti kita akan umumkan dari semasa ke semasa di seluruh negara," katanya.

Protes juga memutuskan untuk mengadakan jelajah ke negeri-negri dalam bulan Syawal ini dengan menaiki bas.

Pimpinan parti politik diajak bersama dalam siri jelajah itu bagi turun bertemu rakyat melalui aktiviti himpunan ringkas dan ceramah.

Protes juga jelasnya akan menyerahkan memorandum bantahan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak di Parlimen pada 14 Oktober bersempena persidangan Dewan Rakyat.

Sekiranya kesemua langkah ini tidak dipedulikan kerajaan, Dr. Hatta menegaskan, Protes tidak teragak-agak untuk mengadakan satu lagi demonstrasi besar-besaran.

Beliau yang juag bendahari PAS bagaimanapun berkata, demonstrasi merupakan jalan terakhir setelah ruang yang panjang diberikan kepada kerajaan untuk mengubah tindakan mereka.

"Dan yang terakhir, setelah usaha-usaha ini dilakukan, tapi tidak jalan juga, barulah kita buat demonstrasi yang besar. Jadi sangat bergantung kepada respon kerajaan terhadap tuntutan kita.

"Kalau mereka masih tidak mahu mendengar suara rakyat, kita akan berdemo. Tapi kita tunggu sehingga hari akhir sidang Parlimen. Kalau mereka masih berdiam diri, kita akan umumkan masa dan tempat untuk kita berdemo dalam bula Disember ini," tegasnya.

Protes dalam sidang media sama turut menyenaraikan lima tuntutan mereka kepada kerajaan iaitu mahu kerajaan menghapuskan pembaziran dan ketirisan dalam projek-projek pembangunan, melakukan penstrukturan semula subsidi sebelum menurunkannya dan mendesak kerajaan melaksanakan akta gaji minima.

Selain itu, Protes menuntut kerajaan mengembalikan harga barangan yang dinaikkan ke harga asal dan yang terakhir menggesa kerajaan memberikan penjelasan mengenai subsidi RM4.6 bilion yang didakwa berjaya diselamatkan apabila harga bahan bakar diturukan pada Februari 2006.

"Dikatakan wang ini akan digunakan untuk menaik taraf pengangkutan awam di negara ini tapi sekarang apa yang dilakukan dan ke mana wang itu?" soalnya.

Turut bersama pada sidang media berkenaan ahli Parlimen Lembah Pantai mewakili PKR, Nurul Izzah Anwar, pengerusi lajnah penerangan Dewan Muslimat PAS, Aiman Athirah Al Jundi, setiausaha Parti Sosialis Malaysia (PSM) S. Arutchelvan, bendahari Jemaah Islah Malaysia, Naha Mohd Nor, serta wakil-wakil dari Gabungan Persatuan Islam Malaysia (Gamis), Kelab Mahasiswa Independent (KAMI) dan Solidariti Mahasiswa Malaysia

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails