Selamat Datang

Isnin, 24 Januari 2011

Najib tidak ziarah jenazah SU Umno Tenang - Utusan


Harakahdaily


LABIS, 24 Jan: Lidah rasmi Umno, Utusan Malaysia mengaku bahawa Presiden Umno, Datuk Seri Najib Razak tidak menziarahi jenazah Setiausaha Umno Cawangan Felda Tenang yang meninggal dunia ketika lawatan beliau ke situ kerana tidak mengetahuinya.

Pengerusi Biro Khairat Kematian Masjid An-Nur, Hamzah Manaf, 77, dan beberapa pemimpin setempat berkata, tindakan Najib tidak melawat jenazah Setiausaha Umno Cawangan Kolam Air Felda Tenang, Allahyarham Abdul Latif Subhi Mohd. Din, 61, bukannya suatu isu kerana Perdana Menteri memang langsung tidak mengetahui mengenai kematian Allahyarham kerana tidak dimaklumkan mengenainya, lapor Utusan hari ini.

Abdul Latif meninggal dunia selepas diserang sakit jantung dan darah tinggi yang melampau selepas menguruskan kedatangan PM ke Felda itu.

Namun, sehingga jenazah beliau selamat dikebumikan, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak tidak sempat menjenguk jenazah beliau walaupun masjid yang menempatkan jenazah itu hanya 50 meter dari padang tempat acara untuk Perdana Menteri diadakan.

Rombongan beliau juga lalu di hadapan masjid yang menempatkan jenazah Allahyarham sejak jam 10 pagi ketika beliau menuju ke Felda Chempelak pada sebelah paginya.

Di samping tidak diziarahi, imam masjid juga terpaksa ke majlis PM menyebabkan tidak ada siapa yang mengurus dan mengimamkan solat jenazahnya.

Hasilnya, Ustaz Che' Zuha, Setiausaha Dewan Ulamak PAS Pahang mengimamkan jenazah pada jam 2 petang iaitu selepas solat Zohor kerana kedua-dua imam tidak kedapatan di masjid ketika itu.

Namun hari ini, Utusan berkata, mereka sengaja meminta keluarga simati untuk mengimamkannya.

Padahal, kedua-dua imam tiada di masjid hatta untuk mengimamkan solat fardhu Zuhur kerana imam diarahkan oleh Umno cawangan supaya menghadiri majlis sambutan kedatangan Najib.

Calon PAS, Cikgu Normala Sudirman (ketika belum sah sebagai calon lagi) bersama para petugas PAS dan anggota Unit Amal yang berada di situ segera menziarahi jenazah dan mengucapkan takziah kepada keluarga Allahyarham.

Mereka juga bersama ahli qaryah menguruskan jenazah dari awal sehingga ke proses gali kubur dan pengkebumian.

SIAPA FITNAH SIAPA

"Siapa fitnah siapa ni? Kita (Cikgu Mala, petugas PAS dan Unit Amal) hadir menziarahi dan menguruskan jenazah dengan ikhlas dan secara sukarela tanpa disuruh oleh sesiapa. Mereka memanipulasi berita dan menuduh kita yang bukan-bukan.

"Mari tanyalah saya kalau nak tahu. Siapa yang memfitnah siapa sebenarnya?" kata Md. Razi Jamaludin (gambar), 39 tahun, salah seorang anggota Unit Amal yang bertugas hari itu. Turut serta adalah rakan beliau, Wasilah Gothol, 48 tahun.

"Saya terlibat sepenuhnya menguruskan jenazah dari awal sehingga pengkebumian. Allahyarham sememangnya orang kuat Umno di sini. Saya difahamkan beliau telah bekerja keras malam sebelum pemergian beliau ke rahmatullah untuk urusan sambutan kedatangan Najib.

"Namun, apa yang berlaku ialah, kematian beliau tidak dihiraukan langsung oleh UMNO hatta Ketua UMNO sendiri. Yang meninggal itu S/U nya sendiri, bukan orang lain!"

"Tidak patut bagi seorang pemimpin tidak menghiraukan org bawahannya apatah lagi ini melibatkan kematian," katanya lagi.

Bagi beliau, kerja ziarah orang mati, bertahlil untuk ahli qariah, gotong royong, memang sudah menjadi kerja rutin orang PAS.

"Jika bukan pilihanraya kecil pun, memang itulah kerja kita. Mengapa sebelum ini Umno tidak timbulkan sebarang isu? Bahkan jika ada majlis-majlis seperti itu, orang Umno juga yang jemput kita sebelum daripada ini untuk tolong uruskan dan menggerakkan. Jadi dalam hal ini, siapa mempolitikkan siapa sebenarnya?" tanya beliau kesal.

Sabtu, 22 Januari 2011

Langsung Proses Penamaan Calon PRK Tenang


Nazri Abdullah, Hazayani Zakaria

10.55 am: Ketua Pembangkang Dun Johor Dr Boo Cheng Hau, dari DAP berkata "Kami tunggu kehadiran Cikgu Mala bersama kami di Dun Johor".

10.40 am:
Timbalan Presiden PKR, Azmin Ali berkata, PKR akan menghantar sekurang-kurangnya 1,000 petugas bantu kempen calon PAS.

10.10 am:
Calon PAS Normala Sudirman menyerahkan borang pencalonan pada jam 9.10 pagi. Beliau dicadang oleh Mahat Jamin dan disokong Rosiah Ahmad.

Calon BN, Mohd Azahar Ibrahim menyerahkan borang pencalonan jam 9.02 pagi. Beliau dicadang oleh Ma Chong Pah dan disokong Jayaraman Chinasamie.

10.05 am:
Hanya dua borang pencalonan dipamer iaitu masing-masing dari calon PAS dan calon BN.

10.00 am: Pegawai pengurus pilihan raya mengumumkan waktu penyerahan borang pencalonan ditutup dan kini dipamer dan dibuka untuk bantahan sehingga jam 11 pagi.

9.50 am:
Presiden PAS ketika ditemui berkata, beliau optimis PAS mampu memenangi PRK Tenang berdasarkan kepada beberapa faktor.

Ianya termasuk perubahan pengundi muda terutama generasi kedua Felda, calon PAS yang yang dekat dengan masyarakat dan sokongan rakyat pada PRU 2008 yang menyaksikan PAS menang di dua Dun Johor.

Adapun Felda katanya, bukan lagi talian hayat Umno kerana masyarakat Felda sudah mula berubah.

Sekurang-kurangnya PAS akan mengurangkan majoriti BN dalam pilihan raya kecil kali ini.

9.12 am:
Petugas mengawal keadaan penyokong PR yang semakin ramai dengan mengarahkan mereka bergerak ke tepi padang.

9.07 am: Calon PAS masuk ke dewan penamaan calon bersama pencadang dan penyokong.

Calon BN sudah masuk ke dewan penamaan jam 9 pagi tadi.

9.05 am: SPR mengumumkan masa menghantar borang penamaan dibuka jam 9 pagi tadi.

9.02 am:
Calon PAS, Normala Sudirman kini masuk ke pusat penamaan, kini sedang berada di khemah calon PAS yg disediakan SPR.

Mengiringi calon ke dewan penamaan calon, Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang, Presiden PKR, MB Selangor, Ketua Muslimat PAS, Datuk Chua Jui Meng dan lain-lain.



8.55 am: Penyokong PR kini mencecah 20 ribu orang berada di hadapan pusat penamaan. Sementara pimpinan PAS sedang berbincang dengan pihak keselamatan.

8.54 am:
Perarakan kini berada tiba di sekatan polis dihadapan pintu masuk pusat penamaan.

8.50 am: Presiden PKR, Datuk Seri Wan Azizah, MB Selangor, Tan Sri Khalid Ibrahim yang menunggu di tepi jalan kini menyertai perarakan.

Peserta perarakan kini mencecah 15 ribu orang.

8.47 am:
Perarakan kini berada hampir 500 meter dari sekatan polis dihadapan pintu masuk pusat penamaan.

8.45 am: Peserta perarakan kini mencecah 13 ribu orang.





8.40 am:
Antara pimpinan utama yg hadir, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi, Ustaz Nasharudin Mat Isa, Datuk Mahfuz Omar, Salahudin Ayub, Azmin Ali, dan Tan Seng Giaw.


8.30 am: Pimpinan dan calon PAS kini tenggelam dalam lautan penyokong yang berarak. Jumlah penyokong kini mencecah 8000 orang.

8.28 am:
Penyokong semakin ramai apabila mula bercantum dengan kumpulan kecil di sepanjang jalan.

8.23 am:
Perarakan dimulakan. Lebih 5000 mengikuti perarakan, ribuan lagi sedang menunggu di sepanjang jalan ke pusat penamaan.







8.20 am:
Pihak polis menutup jalan 2 km dari kedua-dua arah menuju ke pusat penamaan sejak malam tadi.

8.15 am:
Jarak ke pusat penamaan calon kira-kira 2 km. Masih menunggu beberapa kepimpinan utama sampai ke tempat himpunan.

8.06 am:
Perarakan akan bermula bila-bila masa bermula di hadapan bilik gerakan utama PAS, bersebelahan dataran wayang pacak, Labis.

8.02 am:
Penyokong dan Pimpinan PAS siap sedia berarak ke pusat penamaan calon di Dewan Majlis Daerah Labis.

Barisan kepimpinan utama PAS dan PR baru sahaja selesai solat hajat.

Wanita Pakatan mahu pastikan Cikgu Mala menang


Hazayani Zakaria

LABIS, 22 Jan: Jentera Pilihan Raya Wanita Pakatan Rakyat di Dewan Undangan Negeri (Dun) Tenang diyakini sudah memahami bidang tugas masing-masing dan mampu melaksanakan tugas mereka bagi memenangkan calon PAS, Normala Sudirman.

Ketua Dewan Muslimat PAS Pusat, Ustazah Nuridah Mohd Salleh berkata, jentera wanita Pakatan Rakyat sudah banyak belajar daripada 13 pilihan raya kecil yang berlangsung sebelum ini.

"Muslimat kita akan sentiasa bertenang, tidak mudah termakan dengan provokasi pihak lawan kerana pilihan raya ini bukan suatu yang baru. Ini pilihan raya yang keempat belas selepas pilihan raya umum lalu.

"Diharapkan daripada pelancaran ini dapat menaikkan semangat petugas-petugas kita.

"Daripada ekspresi wajah wanita-wanita yang hadir tadi, nampak mereka ada keazaman yang kuat untuk bekerja bagi memenangkan calon kita di Dun Tenang ini," katanya ketika ditemui selepas himpunan dan pelancaran jentera wanita Pakatan Rakyat Dun Tenang petang semalam.

Nuridah yang juga Ketua Muslimat PAS Wilayah Persekutuan juga berharap proses penamaan calon hari ini berjalan lancar dan wanita dapat hadir sebagai tanda sokongan kepada calon dan parti.

Diminta mengulas mengenai kenyataan Presiden MCA, Datuk Seri Chua Soi Lek yang mempersendakan peribadi calon PAS, Nuridah berkata amat malang apabila seorang bekas menteri yang rapat dengan Umno masih tidak memahami budaya orang Islam.

"Amat malanglah seorang bekas menteri seperti dia yang sudah-sudah bertahun berhadapan dengan orang Melayu, berkawan dengan Umno tapi masih tak memahami budaya dan amalan orang Islam. Memang patutlah dia tak jadi menteri lagi," katanya.

Sebaliknya kata Nuridah, DAP lebih memahami ajaran Islam dan bersungguh-sungguh membantu PAS memberikan penerangan kepada orang bukan Islam mengenai perkara yang tidak boleh dilakukan dalam Islam.

"Sepanjang saya bersama-sama dengan Cikgu Mala, memang ada di kalangan lelaki bukan Islam nak bersalam dengan beliau.

"Tapi kita memberitahu mereka dengan cara baik dan kita sangat berterima kasih kepada DAP yang bersama-sama kita, mereka terus memberikan penerangan kepada orang bukan Islam.

"Kerjasama daripada DAP sangat bagus. Jadi sebenarnya dia (Soi Lek) tak ada isu nak mainkan, dia mainkan isu ini," katanya.

Soi Lek sebelum ini mempersendakan Normala dengan menyamakan beliau dengan Presiden PKR, Datuk Seri Wan Azizah yang memakai sarung tangan dan tidak bersalam dengan bukan mahram.

Soi Lek turut mengandaikan Normala tidak akan pergi ke rumah ibadat bukan Islam dan bertemu dengan masyarakat bukan Islam.

Sementara itu, ahli jawatankuasa muslimat PAS Pusat, Aiman Athirah Al Jundi berkata, pelancaran jentera wanita itu sebagai momentum untuk mereka bergerak lebih aktif lagi ke setiap unit peti undi bagi memastikan PAS memenangi pilihan raya kecil ini.

"Kita buat pelancaran ini petang ini sebagai momentum kepada jentera bahawa kita sedang menuju semboyan pilihan raya dan esok kita akan bergerak ke seluruh unit peti undi, melakukan tugas kempen," katanya.

Beliau berkata, calon PAS sangat berpotensi untuk menang namun harus dibantu secara bersungguh-sungguh oleh jentera wanita.

"Kita sudah aturkan gerak kerja di setiap uni peti undi tinggal lagi proses pemurnian.

"Kita lihat calon kita sangat berpotensi di kawasan ini sebab itu kita mahukan jentera wanita bergerak dengan seluruh kekuatan yang ada," katanya.

Beliau turut mengajak wanita Umno memberikan sokongan kepada Normala untuk menambah bilangan ahli wanita di Dun Johor.

"Kita hanya ada dua orang wanita di Dun Johor. Jadi kita minta puteri dan wanita Umno menyokong calon muslimat PAS untuk menambah suara wanita di Dun.

"Usahlah terlampau berkira soal perbezaan politik asalkan kita boleh memperbanyak suara wanita," katanya.

Puluhan ribu penyokong Pakatan banjiri Labis


Nazri Abdullah dan Hazayani Zakaria

LABIS, 22 Jan: Berpuluh-puluh ribu penyokong Pakatan Rakyat terutama dari PAS membanjiri pekan Labis untuk mengiringi calon mereka, Cikgu Normala Sudirman ke pusat penamaan calon Pilihan raya Kecil Tenang.

Mereka berkumpul di sana sejak sebelum subuh bagi menyertai majlis solat hajat di tanah lapang yang disewa khas oleh PAS untuk digunakan sepanjang kempen pilihan raya ini.

Mereka dikatakan menerima arahan agar terus ke kawasan yang terletak di perkarangan markas besar PAS itu kerana beberapa masjid yang berdekatan dikatakan dikunci sejak malam tadi.

Perarakan calon bermula seawal jam 8.20 pagi menuju pusat penamaan calon yang terletak di Dewan Majlis Daerah Labis yang terletak kira-kira 2 km dari situ. Ketika itu, kira-kira 5,000 orang menyertainya.

Perarakan itu menjadi semakin besar apabila kumpulan kecil sepanjang jalan menyertai mereka.

Perarakan yang diketuai Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang, timbalannya, Nasharudin Mat Isa, naib-naib Presiden Datuk Mahfuz Omar, Salahudin Ayub turut disertai Timbalan Presiden PKR, Azmin Ali dan Naib Pengerusi DAP, Dr Tan Seng Giaw.

Presiden PKR, Datuk Sri Dr Wan Azizah Ismail dan Menteri Besar Selangor, Tan Sri Khalid Ibrahim yang menunggu di tepi jalan menyertai perarakan itu kira-kira jam 8.50 pagi.

Khamis, 20 Januari 2011

Blogger Umno mula fitnah calon PAS


Harakahdaily

KUALA LUMPUR, 20 Jan: Tarmizi Mohd Jam dengan blognya di sanggahtoksago.blogspot hari ini di dalam satu kenyataan media telah membuat seruan kepada ahli-ahli PAS, dan penyokong Pakatan Rakyat (PR) yang beragama Islam supaya mengadakan solat hajat bagi dijauhkan daripada sebarang fitnah jahat para blogger yang didakwanya sebagai pemfitnah atau pro-Umno/BN yang bergentayangan di alam siber.

KLToday.com melaporkan beliau mendedahkan satu blog pro-BN iaitu Papagomo dikhabarkan sedang ligat memutarkan fitnah yang mendakwa pertemuan blogger bersama Menteri Besar Kelantan, Datuk Abdul Nik Aziz Nik Mat pada Sabtu lalu yang kononnya setiap blogger yang hadir diberikan wang tunai sebanyak RM500, sebuah komputer riba laptop, kemudahan percuma talian broadband dan sebuah telefon mudah alih jenama Blackberry.

Sementara itu juga, seorang pemunya laman Facebook, “Suara Dari Bumi” pula di dalam mesej facebooknya pula membuat fitnah yang mendakwa calon PAS di Tenang, Normala Sudirman (gambar bawah sebelah kanan) meninggalkan suaminya, tohmahan mempunyai skandal luar dan malah menyeru pembacanya jika ingat perkataan zina kenalah ingat PAS.

Taktik-taktik jahat ini didakwa adalah sama dengan yang dilakukan ke atas semua calon dari PR sebelum ini. Contohnya calon PAS di PRK Galas sebelum ini yang didakwa berzina dengan ibunya sendiri dan calon PKR semasa di Hulu Selangor dahulunya, Datuk Zaid Ibrahim dikaitkan dengan isu arak dan judi lumba kuda.

Semua blogger pro-PR adalah diseru melancarkan kempen alam siber mendedahkan laman dan blogger-blogger ’pemfitnah’ pro-Umno secara besar-besaran dan berterusan setiap hari. Tujuannya adalah untuk mengelakkan kekeliruan persepsi dan minda di kalangan pembaca blog dan pengunjung alam siber.

Beliau bagaimanapun, menghormati pandangan yang berbeza dengan para blogger Umno yang tulen, berhujah dengan fakta dan bukti, serta menghormati hak demokrasi di negara ini. Tetapi, blogger-blogger yang memilih cara fitnah yang saban hari mengada-ngadakan cerita patut dibanteras, dihukum dan dinyahkan dari alam siber.

Semua cawangan PAS, dewan-dewan, kawasan diseru menganjurkan solat hajat ini, kerana ia adalah lanjutan Solat Hajat Perdana di Stadium Melawati Shah Alam yang diadakan baru-baru ini agar negara diselamatkan dari kekacauan dan fitnah dahsyat para blogger pemfitnah pro-Umno ini.

Pada 15 Januari lalu, Kerajaan Kelantan telah menganjurkan majlis ramah-mesra dengan para blogger dan facebooker di Kuala Lumpur (gambar atas). Lebih 200 blogger pro-PR dan pro-rakyat hadir dan mereka benar-benar berpuashati dengan keraian yang ditunjukkan oleh kepimpinan kerajaan negeri. Hampir semua Exco hadir termasuklah Timbalan Menteri Besar dan Speaker Dun Kelantan.

Adun Merlimau meninggal dunia


Harakahdaily

KUALA LUMPUR, 20 Jan: Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Merlimau Datuk Mohamad Hidhir Abu Hassan dilaporkan meninggal dunia kira-kira jam 8.10 malam ini.

Beberapa portal berita sejak petang tadi sedang mengikuti rapat perkembangan kesihatan Allahyarham selepas ada laporan mendakwa beliau telah meninggal dunia petang tadi.

Mohamad Hidhir dilaporkan dimasukkan ke hospital itu pada minggu lepas bagi menjalani pembedahan membersihkan arteri yang tersumbat pada 13 Jan lalu.

Beliau pada mulanya ke hospital itu untuk mendapat rawatan mengenai ketidakselesaan perutnya sejak kembali dari Taiwan pada 10 Januari lepas, dan ujian mendapati arterinya tersumbat.

Ekoran itu, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dijangka bermesyuarat bagi menentukan satu lagi Pilihan Raya Kecil dalam masa terdekat.

Pada Pilihan Raya Umum ke-12 Mac 2008, Mohamad Hidhir yang mewakili BN menewaskan calon PAS, Mejar (B) Jasme Tompang dengan Majoriti 2,154 undi.

Mohamad Hidhir mendapat 4,981 manakala Jasme Tompang mendapat 2,827.

Rabu, 5 Januari 2011

Biar Khusrin 'macam cacing kepanasan'


Mohd Rashidi Hasan
Mohd Rashidi Hassan | rashidi@harakahdaily.net

KERAJAAN Negeri Selangor di bawah Pakatan Rakyat, dengan jelas mengambil sikap menolak pelantikan Dato' Mohammed Khusrin Munawi sebagai Setiausaha Kerajaan Negeri yang baru.

Khusrin ditolak kerana, sejak menjadi Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor, beliau memang sengaja mencari pasal untuk menyusahkan PAS, KeADILan dan DAP, dengan pelbagai alasan.

Alasan yang sering disebut-sebut beliau, khususnya dalam soal agama di Selangor, ialah inilah 'titah tuanku' (titah Sultan Selangor). Terlalu banyak larangan yang beliau nyatakan, sama ada secara kenyataan atau bertulis.

Sama ada betul atau tidak ianya titah Sultan, memang susah hendak disahkan. Sama ada ia rasional atau tidak, itu Khusrin tidak peduli asalkan 'hasrat beliau' tercapai.

Sebagai rekod untuk memudahkan pemahaman pembaca Khusrin sebelum ini adalah bekas Setiausaha Sulit kepada Menteri Besar, Tan Sri Mohamad Mohd Taib.

Jika latar belakang sudah menjadi SU Sulit MB dari Umno, dan berdasarkan banyak tindakannya dalam Jais menindas PAS khususnya, bermakna, Khusrin adalah spesies Umno tegar.

Sebab itu Khusrin tidak peduli soal Kerajaan Pakatan Rakyat tidak menerimanya sebagai SUK, kerana tuannya adalah Kerajaan Pusat Umno-BN.

Justeru pelantikannya ke jawatan SUK, tidak dapat ditolak, ianya adalah bermotifkan, bertujuan politik untuk kepentingan Umno-BN.

Maka Pakatan Rakyat yang ditunjangi tiga parti PAS, KeADILan dan DAP, tidak ada pilihan lain. Mereka mesti bekerjasama sepenuhnya bagi menyekat balaci Umno ini dalam kerajaan.

Berdasarkan 'track record', Khusrin bukan sahaja menjadi alat, malah menjadi 'key player' Umno-BN untuk merosakkan imej Kerajaan Negeri Selangor di bawah Pakatan Rakyat.

Soal beliau lompat jawatan dari gred Jusa C, terus naik ke Jusa A dengan mengetepikan penjawat gred Jusa B, biar pegawai kerajaan sendiri menilai ketidakadilan yang dilakukan.

Jelas, kenaikan pangkat secara mendadak Khusrin, dibuat semata-mata untuk kepentingan politik Umno-BN.

Amalan ini bukan baru, dalam soal institusi kehakiman misalnya, banyak hakim-hakim junior dinaiktaraf secara mendadak, akibat kedangkalan politik pemimpin Umno-BN.

Justeru, dalam soal Khusrin ini, biarpun beratus kali beliau menafikan menjadi alat Umno-BN, tetapi jelas pada tindakannya semasa menjadi Pengarah Jais, semuanya dibuat mengikut kehendak politik Umno.

Namun, beberapa persoalan besar sudah terungkai selepas Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim mengadap Sultan Selangor.

Di mana Sultan dilaporkan bertitah, bahawa baginda tidak ada kuasa menerima atau menolak pelantikan seseorang ke jawatan Setiausaha Kerajaan Negeri, kerana kuasa baginda sudah dicabut dalam pindaan Perlembagaan 1993.

Seolah-olahnya ia berbentuk keluhan Sultan, betapa di dalam negeri di bawah naungannya, kuasa baginda terbatas. Keterbatasan itu wujud, akibat kerakusan pemimpin Umno-BN juga.

Oleh itu kenyataan awal Dato' Munir Bani sebelum ini, bahawa Sultan sudah memperkenankan pelantikan Khusrin, ternyata tidak berasas sama sekali.

Ianya mengundang persepsi dan menguatkan hujah bahawa, wujudnya tangan-tangan ghaib dalang Umno-BN, yang membuat onar, semata-mata untuk mensabotaj Pakatan Rakyat.

Persoalan besar yang tercetus berikutan pertemuan MB dengan Sultan ialah, hari ini rakyat Selangor baru tahu, betapa rakusnya ketamakan kuasa Umno-BN, sehingga habis kuasa Sultan dicabut.

Sehingga dalam isu pelantikan SUK ini, berdasarkan pindaan Perlembagaan 1993, bermakna Sultan harus menerima siapa sahaja yang dilantik. Dalam ertikata lain, Sultan terpaksa akur dengan telunjuk Umno.

Hebatnya kuasa Umno sehingga mengatasi kuasa Sultan! Ini baru dalam satu perkara, entah berapa banyak lagi yang rakyat tidak ketahui, betapa besarnya kuasa Umno-BN.

Rakyat sebenarnya tidak sedar, dengan Pindaan Perlembagaan 1993, kuasa sebenar, ada kepada Perdana Menteri dan Menteri-Menteri Besar.

Terma yang digunakan dari sudut perundangan agak lunak. Iaitu, Yang di-Pertuan Agong atau Sultan hendaklah bertindak 'di atas nasihat' PM atau MB. Walhal, hakikat sebenarnya dari sudut Perlembagaan, sama ada Yang di-Pertuan Agong atau Sultan berkenaan atau tidak, ianya tetap akan menjadi peraturan dan ketetapan.

Semua ini berlaku kerana kehendak bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, yang juga Presiden Umno ketika itu, melalui ketetapan Perhimpunan Agung Umno tahun 1993, seterusnya dibawa ke Parlimen.

Oleh kerana itu tiada sebab orang-orang Umno hendak 'memekik melolong' dengan pekikan 'Daulat Tuanku', sedangkan pemimpin mereka, parti mereka yang mereka sokong, mencabut habis kekebalan Raja-Raja Melayu.

Tiada sebab untuk media talibarut Umno-BN untuk menuduh pemimpin Pakatan Rakyat tidak menghormati Raja, sedangkan mereka juga yang 'menelanjangkan kehormatan' Raja-Raja Melayu.

Tidak ada sebab juga pada waktu ini, Umno dan media talibarut, memberikan sepenuh sokongan kepada Khusrin, kononnya mendapat perkenan Raja, kononnya begitu marah terhadap golongan yang tidak menghormati Raja.

Malah mereka sering memainkan agenda ketuanan Melayu, agenda kedaulatan Raja, juga mereka kononnya parti yang mendaulatkan agama Islam di Malaysia.

Umno-BN merosakkan ketuanan Melayu dengan pelbagai dasar rasuah, kronisme dan nepotisme selama lebih 50 tahun, sehingga bilangan kependudukan Melayu menyusut, membiarkan ramai Melayu miskin. Kini mahu mendakwa mereka juara mempertahan hak istimewa Melayu?

Mereka sebenarnya yang 'menelanjangkan' kuasa Raja-Raja Melayu, kini cuba bermain wayang bahawa merekalah 'hulubalang' yang mempertahankan Raja.

Umno-BN sebenarnya yang menghalang perkembangan Islam dalam negara, menempelak dan menghina peraturan Islam di Kelantan dan Terengganu (semasa PAS memerintah), mempergunakan orang seperti Khusrin untuk menyekat pemimpin PAS menyampaikan kuliah di surau dan masjid. Kini mereka hendak mendakwa mereka mempertahankan kesucian Islam?

Si bodoh mana hendak percaya lawak semacam ini? Si bodoh mana yang hendak mempercayai kesucian dan keikhlasan pemimpin Umno dalam soal masa depan orang Melayu, soal kedaulatan Raja dan pemartaban agama Islam?

Ingat pesanan Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat, jika semua keikhlasan ini wujud dalam hati pemimpin Umno, sudah lama PAS dibubar, tidak perlu wujud PAS.

Berbalik kepada soal krisis di Selangor. Pakatan Rakyat mahu Umno-BN berkompromi dalam isu pelantikan SUK. Jangan lantik Khusrin, biar satu panel pemilihan dibuat secara bebas. Tetapi nampaknya Umno-BN berkeras.

Oleh kerana itu Pakatan Rakyat tiada pilihan lain selain meminda Perlembagaan Negeri. Usaha Pakatan Rakyat untuk memanggil sidang khas untuk mengembalikan kuasa pelantikan SUK kepada Sultan dan MB harus disokong semua rakyat.

Pindaan tersebut sudah tentunya akan memerlukan sokongan dua pertiga dari anggota Dewan Undangan Negeri Selangor.

Oleh kerana Pakatan Rakyat tidak mempunyai dua pertiga daripada 56 kerusi Dun Selangor, maka usaha pindaan ini harus mendapat sokongan Adun Umno-BN jika hendak diluluskan.

Maka sekarang ini, rakyat Selangor ternanti-nanti, apakah Adun Umno-BN akan menyokong usaha mengembalikan kuasa Sultan Selangor.

Dalam hal ini Umno-BN Selangor sendiri yang akan tersepit, jika mereka menentang pindaan, bermakna mereka menghina Sultan, jika mereka menyokong, ia bertentangan dengan kehendak Umno-BN Pusat.

Jelas, keengganan Umno-BN menghormati kerajaan pimpinan Khalid Ibrahim, mempertahankan Khusrin dan keengganan mereka berkompromi, merupakan suatu 'back-fire' kepada mereka.

Jangan sesiapa pedulikan Khusrin di pejabat SUK, dia memang jenis 'muka tebal'. Biar dia macam 'cacing kepanasan', biar dia macam 'kupang tembaga', biarpun dia terus tersengih macam 'kerang busuk', Khusrin tidak harus ada tempat dalam kerajaan negeri.

Harga naik: Pembohongan 'Umno dahulukan rakyat'


Hazayani Zakaria

KUALA LUMPUR, 5 Jan: Adun Titi Serong, Drs. Khalil idham Lim menyifatkan tindakan kerajaan BN menaikkan harga petrol RON97 dan minyak tanah secara serentak tengah malam tadi ini sebagai tidak keruan dan menipu rakyat.

Katanya, tindakan itu juga menjelaskan kepada rakyat bahawa slogan 'Umno dahulukan rakyat' yang mahu diperkasakan pada tahun ini hanya pembohongan semata-mata.

Beliau yang juga ketua penerangan PAS Perak berkata, keadaan rakyat kini semakin terhimpit setelah berulangkali berlaku kenaikan harga barangan keperluan utama .

“Pakatan Rakyat ingin mengingatkan kepada rakyat bahawa undi BN bermaksud menempa kesengsaraan yang akan membawa kepada kesukaran dalam menjalani kehidupan seharian kelak,” katanya yang juga pengerusi sekretariat Pakatan Rakyat Perak.

Sementara itu Dewan Pemuda PAS Pusat (DPPP) mendakwa kenaikkan terbaru itu merupakan tindakan terdesak kerajaan untuk mengisi tabung Barisan Nasional bagi menghadapi pilihan raya kecil Dun Tenang.

Setiausahanya, Khairul Faizi Ahmad Kamil berkata, tindakan tersebut juga menunjukkan BN sudah kekurangan wang dan transformasi ekonomi yang dilaungkan Perdana Menteri, Datuk Seri najib Razak menemui kegagalan.

"Umum mengetahui bahawa Barisan Nasional akan terpaksa memperuntukkan sejumlah besar wang bagi membiayai pilihan raya kecil mereka dan sumber yang menjadi mangsa mereka sudah tentulah poket Kerajaan Persekutuan sendiri," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

DPPP juga katanya,berpandangan kenaikan harga minyak dan bahan mentah di pasaran bukan ditentukan oleh harga pasaran minyak dunia, kedudukan ekonomi negara, kemampuan serta keperluan rakyat, tetapi sebenarnya banyak ditentukan oleh pilihan raya dan keperluan Barisan Nasional.

"Di kala mereka mempersenda janji Pakatan Rakyat yang cuba membantu dan mengutamakan rakyat, kerajaan BN terus mencekik dan menambah beban yang terpaksa ditanggung oleh rakyat," katanya.

Sehubungan itu, DPPP menyeru rakyat khususnya golongan muda menolak BN dalam pilihan raya kecil Dun Tenang dan pilihan raya umum akan datang.

"Pilihan raya DUN Tenang, peluang rakyat memberikan amaran kepada Kerajaan yang zalim ini agar tidak terus menerus menzalimi dan menindas kehidupan rakyat dengan memberikan undi dan sokongan kepada PAS dan Pakatan Rakyat," katanya.

Harga petrol RON97 naik sebanyak 10 sen menjadikannya kepada RM2.40 seliter manakala minyak tanah kepada RM2.50 seliter berkuat kuasa hari ini.

Kali terakhir harga RON97 yang diapungkan mengikut pasaran minyak dunia semasa, naik sebanyak 15 sen pada 1 Dis lalu, menjadikan RM2.30 seliter.

Selasa, 4 Januari 2011

Tenang: PAS umum calon 16 Jan

Salmah Mat Husain

KOTA BHARU, 4 Jan: Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang, menegaskan parti itu tetap akan ‘bertarung’ menentang calon Umno pada pilihan raya kecil Dun Tenang.

Menurutnya, walaupun ianya kubu kuat Umno, namun demokrasi dapat merubah segala-galanya.

“Dalam Islam tidak ada yang kekal melainkan Allah dan kita diajar berhubung perkara itu, jadi kita tidak perlu takut dan akan meneruskan perjuangan ini,” ujarnya.

Pada masa yang sama Tuan Guru turut mengesahkan, calon yang bakal bertanding pada pilihan raya kecil Dun Tenang akan diumumkan pada 16 Januari ini.

Bagaimanapun katanya, calon yang bakal bertanding akan diputuskan pada mesyuarat khas 9 Januari ini.

Beliau berkata demikian kepada media ketika diminta mengulas berhubung perkara itu, di JKR 10, di sini tengah hari tadi.

Menurutnya lagi, senarai calon sudah ada bagaimanapun ianya belum diteliti sepenuhnya.

“Tidak kiralah sama ada muslimat ke siapapun, mana yang baik kita akan terima. Lagipun kita telah mempunyai wakil rakyat di peringkat Dun dan Parlimen,” ujarnya lagi.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan tarikh penamaan calon pilihan raya kecil Dun Tenang pada 22 Januari dan hari 30 Januari.

Pilihan raya kecil itu diadakan berikutan kematian Adun Tenang, Datuk Sulaiman Taha pada 17 Disember lepas.

Isnin, 3 Januari 2011

Mahkamah bebas Md Sabu dan 9 yang lain


Harakahdaily

SEBERANG PRAI, 3 Jan: Mahkamah Majistret Jawi hari ini membebaskan ahli jawatankuasa PAS Pusat, Mohamed Sabu dan sembilan yang lain tanpa perlu membela diri dari tuduhan menghalang tugas penjawat awam.

Majistret Mohd Izaham Ali melepaskan mereka selepas ditangkap di susur keluar Bukit Tambun di Lebuhraya Utara Selatan pada 9 Disember 2007.

Menurut majistret, terdapat percanggahan antara kenyataan polis dan juga saksi ketika mereka memberikan keterangan.

(Gambar fail: Mohamad Sabu dan tertuduh ketika dibicarakan sebelum ini di Mahkamah Majistret, Jawi)


Pihak pendakwa, katanya, gagal membukti kes mereka ekoran wujudnya keraguan dalam kes pendakwa.

Antaranya, wujudnya keraguan dalam waran tangkap yang dikemukakan pendakwa di samping pencanggahan keterangan antara saksi pendakwa.

Majistret juga berkata, tiada keterangan yang diberikan berhubung dengan dakwaan saksi pendakwa kononnya mereka mengganggu tugas polis seperti menolak polis atau enggan membuka pintu kenderaan seperti yang didakwa saksi pendakwa.

Menurut kertas pertuduhan, kesemua mereka telah dituduh menghalang anggota polis berpangkat Superitenden Mohd Nasir Salleh daripada menyerahkan waran tangkap yang dikeluarkan oleh Mahkamah Majistret, Jalan Duta, Kuala Lumpur terhadap Mohamad Sabu.

Kesalahan tersebut didakwa telah dilakukan di hadapan Plaza Tol Bukit Tambun, Seberang Perai Selatan, lebuhraya PLUS berhadapan susur keluar lebuhraya dari arah Kuala Lumpur ke Pulau Pinang pada jam 7.45 malam 9 Disember 2007.

Kesemua mereka juga dituduh menurut Seksyen 186 Kanun Keseksaan yang mana membawa humuman penjara sehingga dua tahun atau denda sehingga RM10,000 atau kedua-duanya sekali sekiranya disabit akan kesalahan.

Dalam perbicaraan yang diadakan tadi, kesemua yang dituduh terdiri dari Mohamad Sabu, Fauzi Saharat, Abd Rahim Md Ariff, Zairun Azrul Zainal Abidin, Zamarul Aini Abdul Malek, Mohd Bunyamin Ishak, Md Lazim Osman, Abd Razak Ramli, Mohd Sabri Said dan Mohamed Salleh hadir.

Mohamad Hanipa Maidin bersama-sama dengan Aminuddin Zulikifli dan Yusnita Yusoff mewakili kesemua tertuduh

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails