Selamat Datang

Memaparkan catatan dengan label prk kerdau. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label prk kerdau. Papar semua catatan

Ahad, 27 Februari 2011

Penduduk tegur MB agih biasiswa macam angpau


Khairil Abdul Rahim

TEMERLOH, 27 Feb: Seorang penduduk kampung melahirkan rasa hairan bagaimana wang biasiswa yang sepatutnya dipohon mengikut prosedur tertentu, boleh diagihkan seperti angpau oleh Menteri Besar Pahang Datuk Seri Adnan Yaakub kepada penduduk dalam Dewan Undangan Negeri (Dun) Kerdau.

Abdul Aziz Ismail, 55, dari Desa Baru Purun dekat sini berkata, majlis penyampaian berkenaan diadakan di Sekolah Kebangsaan Teluk Sentang kelmarin melibatkan pelajar-pelajar dalam daripada Dun berkenaan.

Tambahnya, wang bernilai RM250 yang dikatakan biasiswa Yayasan Pahang itu diberi dalam sampul surat bersama borang dan baki RM250 lagi akan dibayar beberapa bulan lagi.

“Orang kampung jadi pelik bila MB agih duit biasiswa macam bagi ang pau sebab selama ini penduduk nak minta bantuan tersebut bukan main ketat lagi prosedurnya.

“Tapi kelmarin saya percaya seluruh pelajar dalam Dun Kerdau semuanya dapat duit biasiswa tanpa perlu mengisi borang dan tanda tangan wakil rakyat seperti selalunya.

“Walaupun wang itu memang hak rakyat yang layak menerimanya, tetapi saya percaya akan menyebabkan penduduk yang bukan dalam Dun Kerdau tidak puas hati sebab anak mereka juga layak dapat biasiswa,” jelasnya.

Kelmarin Adnan mengagihkan wang Yayasan Pahang di Sekolah Kebangsaan Telok Sentang kepada pelajar-pelajar anak penduduk kampung tradisional dan penempatan Orang Asli dalam Dun Kerdau.

Selain Teluk Sentang, pelajar-pelajar daripada pusat mengundi Kerai dan Batu Sawar turut dipunggah ke situ. Selain daripada itu, penduduk di tiga kawasan Felda iaitu Jengka 22, Jengka 23 dan Jengka 25 juga turut menerima biasiswa daripada Adnan.

Abdul Aziz berkata, selain Adnan beberapa menteri lain juga turut melawat kawasan termasuk Datuk Seri Shapie Apdal yang menyerahkan kunci perumahan Risda, sedangkan rumah tersebut sudah lama diduduki.

“Saya diberitahu Najib dan Muhyiddin juga sudah diatur programnya bagi menemui penduduk di kawasan kami dan saya yakin mereka juga akan mengagihkan wang kepada orang tua, orang kurang upaya (OKU) dan orang miskin.

“Mungkin turun sekali seumur hidup itu baik bagi penduduk untuk bertemu dan menadapat wang daripada pemimpin, tapi apa yang saya bimbang ialah pada masa depan jika rakyat berada dalam kesusahan atau ada masalah, mereka akan mengharapkan wakil rakyat mereka mati.

“Sebab apabila berlaku PRK, segala yang diminta biasanya akan segera makbul,” ujarnya.

Tiada air sudah cukup untuk tolak BN


Harakahdaily

TEMERLOH, 27 Feb: Masalah ketiadaan bekalan air bersih sejak negara mencapai kemerdekaan lebih 53 tahun sudah cukup bagi penduduk Kampung Pulau Mandi Angin untuk menolak Umno BN.

Timbalan Presiden PAS, Ustaz Nasharudin Mat Isa berkata, lebih malang lagi bagi penduduk di kampung berkenaan tidak mendapat bekalan air sekalipun hanya berjarak empat kilometer dari loji air Batu Sawar.

Beliau yang meninjau masalah penduduk di kampung hari ini menambah, para penduduk di situ semacam dipinggirkan oleh kerajaan BN untuk mendapat kemudahan asas walaupun dua orang Perdana Menteri adalah dari negeri Pahang.

Katanya, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak hanya sekadar melaungkan slogan ‘rakyat diutamakan’ tetapi nasib rakyat di negeri sendiri terabai untuk menikmati bekalan air bersih.

Baginya, masalah utama mendapatkan bekalan air itu tidak sewajarnya berlaku kepada penduduk berkenaan kerana kerajaan BN hari ini sering mendakwa prihatin terhadap masalah yang dihadapi rakyat.

“Saya difahamkan masalah bekalan air yang dihadapi penduduk itu akan diatasi malam tadi kerana mungkin disebabkan berlaku pilihan raya kecil di kawasan ini,” ujarnya.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Bachok berkata, rakyat seharusnya tidak termakan dengan janji Umno BN yang hanya berusaha untuk menyelesaikan masalah rakyat apabila tiba pilihan raya termasuk pilihan raya kecil.

Katanya, jika benar Umno BN mahu menyediakan kemudahan kepada rakyat seperti bekalan air, para penduduk di kampung berkenaan sudah lama memperolehinya, bukan sekadar dijanjikan pada kempen pilihan raya kecil ini sahaja.

Calon PAS, media tinjau kedhaifan pekan Kerdau


Harakahdaily

TEMERLOH, 27 Feb: Calon PAS bagi pilihan raya kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri Kerdau, Hassanuddin Salim membawa wakil media yang berkampung membuat liputan pilihan raya di sini meninjau sekitar Pekan Kerdau untuk melihat kedhaifan pembangunan di situ.

Kata penyelaras lawatan tersebut, Hashim Abdullah di kesempatan PRK ini, beliau mahu pihak media sendiri menjadi saksi bagaimana tahap pembangunan di kawasan Kerdau yang kononnya dikatakan maju dan tidak ada masalah.

(Gambar: Hassanuddin menyantuni penduduk di sebuah kedai kopi di pekan Kerdau.)

"Saya harap media melaporkannya untuk membuka mata pihak terbabit. Selama ini sudah lama orang Kerdau menagih pembangunan, tetapi tidak langsung di hiraukan," katanya.

Pekan Kerdau merupakan Pekan lama yang terletak kira-kira 15 kilometer dari bandar Temerloh atau 6 kilometer dari susur keluar Lebuhraya Pantai Timur (LPT).

Pekan yang terletak di antara laluan utama Temerloh-Jerantut ini pernah menjadi penting semenjak tahun 1930-an sehingga 1970-an.

Waktu itu keretapi merupakan perhubungan keperluan utama penduduk berurusan ketika itu.

Bagaimanapun apabila menyaksikan sendiri, pekan ini tidak ubah seperti pekan zaman 40-an, walaupun sudah lebih 50 tahun negara merdeka.

Salah satu lokasi dilawati oleh wakil media bersama calon PAS ialah stesen keretapi Kerdau yang semakin tidak berfungsi dan dhaif.

Sedangkan pernah satu ketika, stesen keretapi Kerdau merupakan antara yang penting kepada masyarakat setempat.

Kewujudan stesen keretapi yang terletak di laluan yang menghubungkan Singapura ke Gemas menuju ke Tumpat hingga ke Hatyai ini pada asalnya menjadi pemangkin kemajuan Pekan Kerdau kerana pekan ini menjadi salah satu tempat persinggahan keretapi untuk mengambil dan menurunkan penumpang.

(Gambar: Hassanuddin dan wakil media meninjau stesen keretapi di pekan Kerdau.)

Malah, sejarah juga mencatatkan apabila Jepun menyerang Malaya melalui Kota Bharu pada 8 Disember 1941, menuju ke Singapura, Kerdau menjadi laluan dan persinggahan mereka.

Namun apa yang dilihat hari ini, stesen keretapi Kerdau sudah tidak lagi berfungsi sebagai perhentian utama.

Tiada kuanter jualan tiket di sini, yang ada hanyalah sebuah bangunan seperti pondok menunggu bas dan tandas awam yang tidak lagi boleh digunakan.

Manakala bangunan asal stesen keretapi ini hanya tinggal tapak yang dinaiki semak samun dan kelihatan sebuah rumah kayu terbiar yang dikatakan pernah menjadi kuarters para pekerja keretapi.

Menurut penduduk di situ, tidak ada usaha untuk memulihara stesen tersebut sama ada untuk tujuan memajukannya atau untuk mengekalkan kesan-kesan sejarah di situ.

Wakil media juga dibawa menyelusuri Pekan Kerdau yang sebahagian besarnya deretan bangunan kayu dua tingkat yang amat usang.

Jelas pekan ini amat ketinggalan, malah melihat aktiviti ekonomi melibatkan penduduk sekitar dan peniaga di situ tidak keterlaluan mengatakan pekan Kerdau tersisih dari arus pembangunan yang diwar-warkan oleh kerajaan kononnya sedang rancak di laksanakan ketika ini.

Walaupun Kerdau hanyalah sebuah mukim dan Dewan Undangan Negeri (Dun), namun dari segi sejarahnya bandar ini pernah menjadi tumpuan utama dan penting kepada penduduk di sini dengan dihuni oleh pelbagai bangsa.

Buktinya di Kerdau pernah diadakan pilihan raya majlis tempatan pada tahun 1959 bagi pentadbiran perbandaran.

Dari segi pendidikan pula, sekolah rendah yang sudah pun dibina oleh pemerintah Inggeris sejak 1906 di situ, menunjukkan masyarakat Kerdau sudah pun dianggap berpelajaran sejak dulu lagi.

Melengkapkan lagi pembelajaran warga tempatan, di situ juga ada pusat pengajian pondok Tuan Guru Haji Ibrahim Mohd Arif (meninggal dunia pada 1978). Beliau merupakan anak murid dan juga menantu saudara Tok Kenali.

Menurut penduduk di situ, pekan Kerdau sebelum ini lebih hidup dan aktiviti ekonominya sangat berkembang.

Antaranya Pekan Kerdau dikatakan pernah menjadi tumpuan orang-orang Kampar yang datang dari Sumatera pada tahun-tahun 1920-an, mereka dikatakan telah membuka gedung-gedung perniagaan.

Selain itu, peniaga-peniaga Cina juga ramai datang menyewa tanah milik orang Melayu tempatan dengan mendirikan deretan kedai.

Pekan Kerdau juga menjadi makin maju selepas Jepun menyerah kalah pada 3 September 1945.

Di deretan kedai itu sudah menempatkan kedai barang keperluan, kedai kopi, tukang emas, tukang besi, tukang zink, tukang jahit mesin padi dan panggung wayang.

Di situ juga terdapat pekan sehari setiap hari Isnin di mana penduduk tempatan dan sekitarnya datang berjual beli dan bertukar barangan.

Bagaimanapun realiti hari ini, Kerdau tidak menunjukkan pernah wujud sebagai sebuah lokasi tumpuan dan maju satu ketika dahulu.

Kebanyakan penghuni di situ hanyalah orang-orang tua, yang banyak meluangkan masa di kedai-kedai kopi.

'Kerdau ini bandar orang pencen, budak-budak semua cari kerja di luar," kata seorang penduduk veteran yang ditemui di pekan itu.

Wakil media juga di bawa meninjau satu-satunya pusat kesihatan yang ada Kerdau.

Bukan sahaja kecil dan usang, sukar bagi sesiapapun untuk memikirkan bagaimana sebuah bangunan kayu yang menjadi tempat operasi pusat kesihatan ini masih di kekalkan untuk menampung hampir lima ribu penduduk di Kerdau.

Selain itu, tiada sebuah pun klinik swasta beroperasi di sini dan juga di seluruh Kerdau.

Kata Hashim, selain daripada pusat kesihatan ini, penduduk terpaksa pergi ke Temerloh untuk mendapatkan sama ada hospital ataupun pusat perubatan swasta di situ.

Di Pekan Kerdau juga, wakil media dibawa ke lokasi pembinaan kuarters anggota polis yang terletak bersebelahan dengan sekolah Cina.

Kuarters polis ini sebenarnya sebuah projek gajah putih di Kerdau, projek untuk membina tiga blok bangunan setinggi empat tingkat itu sebenarnya telah terbengkalai sejak 10 tahun lalu.

Lebih ironis lagi, para penduduk di situ selama ini telah mempersoalkan pembinaan kuarters yang begitu besar di Pekan Kerdau sedangkan anggota polis yang bertugas di situ hanyalah sekitar 13 orang.

Mengulas perkembangan di Kerdau, Pengarah Pilihan Raya PAS PRK Kerdau, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata masih terlalu banyak masalah rakyat setempat yang perlu dibangkitkan kepada kerajaan.

Malah beliau turut membidas sikap sombong Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Adnan Yaakob yang menyatakan tiada isu perlu dibangkitkan di negeri ini.

"Kami akan memberi maklumat ini (masalah-masalah rakyat) kepada Adnan untuk beliau jawab," tegasnya.

Tuan Ibrahim juga mengharapkan di kesempatan ini, rakyat Kerdau membuat pilihan bijak dengan memilih wakil PAS untuk mewakili mereka dalam Dun Pahang.

"Saya percaya Hassanuddin berkeupayaan untuk membawa suara rakyat Kerdau dalam Dun dan beliau akan menjadi suara pengimbang yang berkesan kepada kerajaan.

"Saya yakin beliau akan memikul tangungjawab untuk menegur serta membetulkan kepincangan yang berlaku dalam urusan pentadbiran negeri supaya kerajaan sentiasa berada dalam landasan yang betul," ujar Tuan Ibrahim.

Jumaat, 25 Februari 2011

Hasutan melampau warnai Kerdau


Harakahdaily

TEMERLOH, 25 Feb: PAS menyifatkan penerbitan dan penyebaran risalah bertajuk Kalau Program 100 Hari Pakatan Rakyat Dilaksanakan oleh pihak tertentu merupakan hasutan melampau terdapat PAS dan Pakatan Rakyat pada pilihan raya kecil (PRK) Dun Kerdau.

Pengarah Pilihan Raya PAS PRK Kerdau, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, penyebaran risalah itu jelas menunjukkan bahawa pihak lawan amat takut dengan program 100 Hari Pakatan Rakyat melalui Buku Jingga.

“PAS hari ini menerima satu risalah yang berbau hasutan dan melahirkan dukacita terhadap penyebaran,” ujarnya pada sidang media di Markas Induk PAS PRK Kerdau, dekat sini, pagi ini.

(Gambar: Tuan Ibrahim menunjukkan sebahagian kandungan risalah berkenaan.)

Turut serta pada sidang media itu ialah Setiausaha dan Pegawai Media PAS Pahang, Roslan Zainal dan Hashim Abdullah.

Katanya, risalah yang diedarkan kepada para pengundi itu menggambarkan satu hasutan yang melampau, seolah-olah akan berlaku satu suasana huru hara dan kekejaman yang disertai gambar potong kepala.

“Risalah ini diletakkan logo Pakatan Rakyat yang saya fikir sebagai satu pencabulan atau hasutan kepada rakyat.

“Kita akan membuat satu laporan polis pada hari ini berhubung dengan penyebaran risalah yang berbau hasutan ini,” ujarnya yang juga Naib Presiden PAS.

Tambahnya, risalah itu telah diedarkan kepada para pengundi di kawasan Dun Kedau dan PAS menafikan ia adalah daripada Pakatan Rakyat.

Tegasnya, risalah yang mengandungi lapan halaman itu merupakan satu tuduhan dan tohmahan bagi menjawab isu 100 Hari janji Pakatan Rakyat.

Beliau yang juga Pesuruhjaya PAS Pahang memberitahu sedangkan Buku Jingga akan diedar dan dilancarkan pada sebelah malam 26 Februari ini.

“Belumpun Buku Jingga dilancarkan, serangan terhadapnya telah dibuat,” ujarnya.

Ini, katanya menggambarkan ketakutan Barisan Nasional terhadap Buku Jingga.

Selasa, 22 Februari 2011

PAS gesa SPR halang BN perguna agensi kerajaan


Khairil Abdul Rahim

TEMERLOH, 22 Feb: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) digesa bertindak segera menghalang tindakan parti kerajaan menggunakan agensi kerajaan dengan memberi wang kepada pengundi dalam waktu pilihan raya.

Ketua Penerangan PAS Pahang Hassanuddin Salim berkata tindakan itu penting sebelum keyakinan rakyat hilang terhadap demokrasi dan pilihan raya di negara ini.

Menurut Hassanuddin, sehari dua ini menjelang Pilihan Raya Kecil (PRK) Dun Kerdau, pemimpin kerajaan telah memasuki kawasan berkenaan menyampaikan sumbangan wang atau janji projek.

“Semalam Timbalan Menteri Datuk Ahmad Maslan telah masuk ke Felda Jengka 23 dengan menyerahkan wang peruntukan sukan dan jalan selain ebrjanji membina dewan bernilai RM900,000.

“Menteri Besar Pahang (Datuk Seri Adnan Yaakob) pula masuk ke kawasan Orang Asli Paya Sendayan dan akan menyampaikan sumbangan wang Yayasan Pahang kepada anak pengundi Dun Kerdau di Sekolah Menengah Teluk Sentang esok.

“Kita lihat bendera-bendera Umno dan BN juga sudah dipasang di premis awam seperti balai raya dan dewan serba guna sedangkan perbuatan ini tidak dibenarkan sebelum tarikh penamaan calon,” hujahnya.

Tambah Hassanuddin, lebih menghairankan perbuatan pemimpin kerajaan yang dianggap melanggar tata susila demokrasi itu dilakukan tanpa rasa bersalah malah disiarkan terus menerus melalui media arus perdana.

Katanya, perkara ini buaknnya baru tetapi berterusan sedangkan ia memberi contoh dan gambaran yang sangat tidak baik kerana pihak berkuasa dibenarkan melanggar undang-undang.

“Sebab itu kita desak SPR yang sepatutnya berkuasa penuh mengawal demokrasi bertindak segera sebelum rakyat sendiri tidak percaya dengan demokrasi dan pilihan raya.

“Lebih membimbangkan kita, rakyat akan memilih cara lain untuk menuntut keadilan seperti di negara-negara yang sedang bergolak jika sistem demokrasi dikhianati sendiri oleh pemerintah,” ujarnya.

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails