Selamat Datang

Memaparkan catatan dengan label presiden pas. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label presiden pas. Papar semua catatan

Rabu, 2 Februari 2011

PAS seru Cina buat perubahan, tukar kerajaan


Harakahdaily

KUALA LUMPUR, 2 Feb: Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang menyeru kepada seluruh masyarakat Cina di negara ini, semoga terus melakukan perubahan untuk menukar pemerintah yang ada kepada Pakatan Rakyat.

Ini, katanya bagi mencuba alternatif yang baru untuk menyelesaikan kemelut ekonomi negara.

“Semoga dengan sambutan Tahun Baru Cina ini akan meningkatkan lagi hubungan kekeluargaan dan hubungan antara kaum di negara ini dan seterusnya berjaya membina masyarakat dan negara yang lebih sejahtera,” ujarnya dalam perutusan sempena Tahun Baru Cina yang akan disambut esok.

Berikut perutusan penuh beliau.

Parti Islam Se-Malaysia (PAS) ingin mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan selamat Tahun Baru Cina kepada seluruh rakyat Malaysia berbangsa Cina. Masyarakat Cina di Malaysia yang merupakan komuniti kedua terbesar di negara ini, merupakan juga penyumbang besar kepada pembinaan negara Malaysia.

Tahun Baru Cina yang biasanya dimulakan dengan semangat kekeluargaan dengan majlis makan besar setiap anggota keluarga merupakan sesuatu yang sangat baik ke arah membina masyarakat yang sejahtera. Di tengah kemelut masyarakat Malaysia yang berhadapan dengan keruntuhan moral dan jenayah yang parah, yang antaranya juga berpunca daripada keruntuhan institusi keluarga, masyarakat Cina tampil membawa budaya baik iaitu ‘makan besar’ yang merapatkan semangat kekeluargaan.

Kita juga berhadapan dengan kemelut ekonomi yang menyebabkan rakyat berhadapan dengan tekanan hidup akibat kenaikkan harga barang keperluan. Masyarakat Cina juga tidak terlepas menyambut Tahun Baru Cina dalam situasi tersebut. Keadaan ekonomi yang parah ini juga dibayangi oleh pengumuman-pengumuman manis pemerintah yang menjanjikan persekitaran ekonomi yang lebih baik, namun dalam masa yang sama keperluan rakyat terus terhimpit akibat salah guna kuasa dan penyelewengan yang berlaku.

Saya menyeru kepada seluruh masyarakat Cina di negara ini, semoga terus melakukan perubahan untuk menukar pemerintah yang ada kepada Pakatan Rakyat, bagi mencuba alternatif yang baru untuk menyelesaikan kemelut ekonomi negara. Semoga dengan sambutan Tahun Baru Cina ini akan meningkatkan lagi hubungan kekeluargaan dan hubungan antara kaum di negara ini dan seterusnya berjaya membina masyarakat dan negara yang lebih sejahtera.

Selamat Tahun Baru Cina.

Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang

Presiden PAS

Selasa, 7 Disember 2010

Hijrah: Tegak negara, daulat syariat


Monday, 30 Dzulhijjah 1431

Perutusan Hijratur Rasul 1432 Hijrah

Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang

Bagi pihak Parti Islam Se-Malaysia (PAS), saya ingin mengucapkan selamat melalui Hijratur Rasul 1432 dengan bermulanya 1 Muharam yang bersamaan dengan 7 Disember 2010 Masehi.

Permulaan tahun hijriah ini adalah merupakan suatu titik tolak yang sangat penting dengan berlakunya peristiwa hijrah Rasulullah s.a.w. dari Makkah ke Madinah yang diingati setiap tahun oleh umat Islam.

Pentingnya peristiwa hijrah ini adalah kerana ianya berkaitan dengan kewajipan besar dalam Islam yang menjadi sebahagian tugas manusia, iaitu tugas khilafah atau dengan makna politik, iaitu mendirikan sebuah negara yang mendaulatkan syariat Allah SWT.

Natijah daripada peristiwa hijrah ini ialah bagaimana Rasulullah s.a.w. telah berjaya membina sebuah negara masyarakat majmuk yang terdiri daripada berbilang bangsa, agama dan budaya yang bernaung di bawah keadilan Islam yang mutlak. Ia juga menjadi asas kepada amalan politik yang wajib dihayati oleh seluruh umat Islam.

Hijrah juga merupakan satu konsep yang telah membawa umat Islam kepada kepimpinan dunia yang bertujuan untuk menyelamatkan seluruh alam dari kezaliman selama tempoh berabad-abad lamanya ini.

Umat Islam berjaya menjadi kuasa besar tunggal yang dihormati kawan dan lawan di zaman yang tidak mempunyai kemudahan seperti yang kita nikmati pada hari ini. Islam juga telah berjaya memerintah dengan penuh sifat keadilan yang menaungi wilayah kekuasaan yang luas.

Sehingga hari ini belum ada kuasa besar yang dapat memenuhi apa yang dilaksanakan oleh Islam. Islam yang sebenar inilah yang perlu difahami dan dilaksanakan oleh seluruh umat Islam untuk mencapai keredhaan Allah SWT.

Oleh yang demikian, bersempena dengan tahun baru hijrah 1432, umat Islam berkewajipan besar untuk melaksanakan tugas siyasah ini. Perlu sama-sama kita ingat bahawa sambutan Hijratur Rasul ini tidak disuruh oleh Nabi s.a.w. tetapi apa yang lebih penting ialah meneruskan amalan-amalan Nabi s.a.w. dan berpegang teguh kepada ajaran Allah SWT dengan penuh keimanan dan ketakwaan.

Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang,

Presiden Parti Islam Se-Malaysia (PAS)

1 Muharam 1432 bersamaan 7 Disember 2010

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails