|
Ahmad Lutfi Othman,
|
06 Feb 2012
|
Ketika saya tiba di rumah Ustaz Azizan Abd Razak, di Sungai Limau, Yan,
seawal jam 9 pagi Tahun Baru Cina, 23 Januari lalu, sudah ada tiga
aktivis PAS tempatan bersembang santai dengan Menteri Besar Kedah itu.
Suasana ceria. Sekali imbas umpama murid dengan tok guru, juga bagai
rakan dengan sahabat lama.
Sesekali perbualan mereka, yang banyak menyentuh cerita-cerita lama,
disulami gelak-ketawa yang menyenangkan. Saya tumpang seronok mencuri
dengar kisah lama Ustaz Azizan. Wajahnya jelas terpancar kelegaan
meskipun banyak isu-isu panas Kedah diperdebatkan di peringkat nasional.
Setiausaha Akhbarnya, Helmi Khalid membisikkan, "beginilah keadaan
Ustaz jika bercuti di rumahnya". Sambil mempelawa saya duduk di ruang
tamu yang agak sempit, hanya dihiasi rak-rak buku dan sofa lusuh, Ustaz
Azizan yang berkain pelikat berbaju pagoda putih, terus menjemput kami
menjamah sarapan.
Saya bersama Helmi dan Azamin Amin, wartawan Harakah Kedah,
sebenarnya telah mengalas perut di pekan kecil tidak jauh dari rumah
Ustaz Azizan, di tepi Jalan Alor Setar - Sungai Petani itu. "Ustaz macam
terkilan kerana tidak dapat lagi bersama rakyat di pasar dan kedai
makan seperti ini kerana kekangan masa," kata Helmi, semasa kami
menikmati nasi berlaukkan ikan keli sambil menunggu roti canai serta
kari kepala ikan dibungkus untuk 'bosnya'.