Selamat Datang

Jumaat, 30 Julai 2010

Kenapa Tajuddin takut Himpunan Warga Felcra



Nazri Abdullah

KUALA LUMPUR, 30 Julai: Pengerusi Felcra, Datuk Tajuddin Abdul Rahman tidak perlu takut dengan Himpunan Warga Felcra Peringkat Kebangsaan yang akan berlangsung malam esok dan lusa, jika beliau yakin tidak berlaku salah guna kuasa dalam pengurusan agensi itu.

Pengerusi Persatuan Anak-Anak Peneroka Felda Kebangsaan (Anak), Mazlan Aliman (gambar) berkata, tindakan Tajuddin hari ini mengeluarkan kenyataan mahu menyaman penganjur jika memfitnah, menampakkan kegusaran seperti ada yang tidak kena.

"Belum pun himpunan bermula, dia dah panik, seperti ada sesuatu yang menggusarkannya.

"Kalau dia melatah, dia emosional bukan rasional," katanya kepada Harakahdaily.

Biarpun menerima pelbagai ugutan dan amaran, pihak penganjur, ujar Mazlan tetap akan meneruskan himpunan tersebut.

"Saya tidak bimbang langsung, kita fikir apa yang kita buat ini adalah benar," katanya.

Bagaimanapun, penganjur akan membuat laporan polis hari ini ekoran kenyataan Tajuddin tersebut dan beberapa halangan terbaru yang diterima mereka.

Beliau memaklumkan, Felcra sempena solat Jumaat siang tadi menggunakan masjid di sekitar Pasir Salak untuk memberi amaran kepada peneroka agar tidak hadir ke himpunan malam esok.

"Mereka memberi amaran, sesiapa peserta Felcra yang hadir, akan ditangkap oleh pihak polis," jelasnya lagi.

Himpunan malam esok bertempat di Felcra Bandar Seberang Perak (Changkat Lada) dianjurkan oleh Lajnah Tanah dan Pembangunan Wilayah PAS Pusat.

Ianya juga dibuat ditanah persendirian milik seorang ahli PAS di kawasan tersebut.

Ekoran amaran terbaru itu juga, Anak menjemput Tajuddin untuk bersama dalam himpunan tersebut supaya beliau dapat melihat sendiri dan menyertai dialog dengan peserta.

"Saya pelawa dia datang dan kita akan bagi dia ruang untuk bercakap," katanya.

Mahasiswa mati jatuh bangunan



Harakahdaily
KUALA LUMPUR, 30 Julai: Seorang Mahasiswa Pusat Asasi Sains Universiti Malaya (Pasum) hari ini meninggal dunia setelah jatuh dari tingkat 5 bangunan Kolej Kediaman Dr Nazrin Shah (Kolej Kediaman Ke-12) di sini.

Kejadian berlaku selepas solat Jumaat kira-kira jam 2.35 petang tadi.

Menurut sumber, mangsa Zulkhairi Azmi bin Md Bukhari, 19 tahun, jatuh ketika ingin menyeberang tingkap ke bilik rakannya di bilik bersebelahan dengan meniti beranda.

Akibat jatuhan itu, mangsa yang berasal dari Mersing, Johor itu mati di tempat kejadian.

Beberapa pegawai keselamatan berkata, mereka dimaklumkan oleh beberapa pelajar setelah bunyi jatuhan seperti bungkusan samapah.

Setelah begegas ke tempat kejadian, seorang mahasiswa sedang terbaring di lantai.

Dalam pada itu pihak pentadbiran universiti mengambil keputusan menghantar jenazah Allahyarham ke kampung halaman petang ini.

Kabinet dua kali kena tipu, malangnya rakyat Malaysia


http://gemasuara.blogspot.com/

Tun Ling Liong Sik bekas Menteri Pengangkutan dan bekas Presiden MCA telah didakwa di mahkamah sesyen kerana didapati melakukan dua kali penipuan terhadap Jemaah Menteri(Kabinet)dalam isu pembelian tanah untuk mega distribution di Pelabuhan Klang bagi tujuan perojek PKFZ.Dua kali penipuan tersebut dilakukan olih Tun Ling Liong Sik pada 25 Sept 2002 dan 6 Nov 2002 di pejabat Perdana Menteri di dalam mesyuarat kabinet kerajaan BN.

Penipuan tersebut telah mengakibatkan kerugian yang sangat besar kepada negara dan rakyat.Isu ini sangat memalukan kerana dalam tempoh tak sampai dua bulan jemaah menteri(kabinet)bolih kena tipu olih seorang anggota kabinet.

Ini menunjukkan dalam kabinet kerajaan BN ada penipu dan ada yang kena tipu.Yang tipu sudah tentu jahat dan bijak.Yang kena tipu pula sudah tentu lemah dan bodoh bangang.Yang tipu tak beramanah yang kena tipu pun sama tak beramanah dan pak angguk dalam mesyuarat jemaah menteri.

Persoalannya ialah bagaimana sebahagian yang kena tipu masih kekal dalam jemaah menteri hingga sekarang dan menjawat jawatan yang lebih besar iaitu Perdana Menteri dan Timbalan Perdana Menteri dan ramai lagi anggota Jemaah menteri pada 2002 yang turut kena tipu dengan Tun Ling Liong Sik turut kekal dalam kabinet kerajaan Umno/BN.

Penipuan tersebut menunjukan anggota kebinet yang ditipu sebanyak dua kali dalam tempoh tak sampai dua bulan hilang kelayakkan sebagai anggota jemaah menteri termasuk PM dan TPM.

Apalah malang rakyat Malaysia diperentah oleh kerajaan Umno/Bn yang anggota jemaah menterinya orang yang bodoh bangang dan mudah ditipu sebanyak dua kali dalam tempoh tak sampai dua bulan.

Malaysia tak akan maju jika jemaah menteri dari kalangan penipu dan menteri yang mudah ditipu dan ketirisan wang rakyat terus berlaku akibat dari jemaah menteri penipu dan ditipu yang melambangkan bodoh bangang kabinet kerajaan Umno/Bn.

Yang jelas semua mereka ini adalah penipu rakyat Malaysia.Bohong Negara(BN)."SELAMATKAN MALAYSIA DARI PENIPU NEGARA."

Datuk Mahfuz Omar,
Naib Presiden PAS.

PKFZ: Pendakwaan bukti desakan PR berasas



Harakahdaily

KUALA LUMPUR, 30 Julai: PAS melihat pendakwaan terhadap Tun Dr Ling Liong Sik membuktikan bahawa sememangnya wujud penyelewengan dalam skandal Zon Perdagangan Bebas Pelabuhan Klang (PKFZ) seperti didakwa Pakatan Rakyat sejak sekian lama.

berkata pendakwaan ke atas bekas Presiden MCA merangkap menteri kanan di zaman pemerintahan Tun Dr. Mahathir itu juga membuktikan memang wujud penyelewengan dalam pentadbiran kerajaan BN.

"Bukan setakat itu sahaja, pendakwaan bekas Presiden MCA merangkap menteri kanan di zaman pemerintahan Tun Dr. Mahathir itu juga mengesahkan desakan Pakatan Rakyat yang mahu skandal PKFZ ini dibongkar selama ini adalah sangat berasas dan bukan tuduhan kosong," kata ketua Penerangan PAS Pusat, Idris Ahmad .

Selain itu, PAS katanya yakin pendakwaan ke atas Liong Sik hanya sebagai kambing hitam dan 'lakonan' kejujuran BN dalam menutup isu tersebut.

Menurutnya lagi, Liong Sik yang juga mantan Menteri Pengangkutan, bertanggungjawab bagi mempengaruhi keputusan Kerajaan bagi pembelian tanah seluas 999.5 ekar bernilai RM1,088,456,000.00 di Pulau Indah.

"PAS yakin bahawa ramai lagi pihak yang terlibat dalam penyelewengan ini dan Liong Sik hanyalah kambing hitam bagi menunjukan lakonan 'kejujuran' Kerajaan BN hari ini bagi menutup kes PKFZ," katanya.

PAS juga jelasnya curiga dengan kenyataan Menteri Pengangkutan yang baru, Datuk Seri Kong Cho Ha yang mengatakan bahawa siasatan ke atas skandal PKFZ adalah “mencukupi” dan tidak perlu bagi isu itu disemak semula.

Malah kenyataan Cho Ha yang membenarkan pembayaran semula bon bernilai RM228 juta itu juga katanya bercanggah dengan keadaan semasa di mana kes penyelewengan PKFZ masih dalam perbicaraan mahkamah.

"Kerajaan akan melakukan kesilapan kedua jika melunaskan bayaran bon itu kerana syarikat Kuala Dimensi Sdn Bhd (KDSB) yang merupakan kontraktor utama PKFZ, yang mengeluarkan bon tersebut telah diheret ke mahkamah oleh Pihak Berkuasa Zon Bebas (PKA) kerana membuat tuntutan berlebihan dan tidak menyiapkan kerja mereka seperti yang dijanjikan," katanya.

Kegagalan KDSB yang dimiliki oleh jutawan Datuk Tiong King Sing yang juga ahli parlimen BN jelasnya menambahkan lagi kekusutan skandal PKFZ kerana ia sekaligus menyambung siri penyelewengan ke atas projek berkenaan.

"Ini menunjukan PKFZ merupakan sebuah projek khas bagi menyara pemimpin BN dan kroni mereka bermula dengan menipu untuk membeli tapak, kemudian menipu dalam proses perancangan dan penyediaan pelan serta menipu dalam proses pembinaan.

"Bayangkanlah kerugian besar wang rakyat dalam projek ini yang pada asalnya dilaporkan hanya berjumlah RM RM1.957 bilion tetapi akhirnya didakwa meningkat kepada RM4.947 bilion, lebih dari dua kali ganda," katanya lagi.

Sehubungan itu, PAS mengesa agar kes ini terus dibuka untuk siasatan dan kerajaan tidak perlu membuat apa-apa bayaran lagi kepada mana-mana pihak yang terlibat selagi kes ini tidak diselesaikan di Mahkamah.

Menteri Pengangkutan yang baru pula diharap tidak cuba untuk menutup kes ini begitu sahaja melainkan jika beliau juga mempunyai kepentingan atau mahu menyelamatkan maruah BN.

"PAS berharap rakyat membuka mata kerana pemimpin BN akan terus melakukan penipuan sebegini. Apa sahaja projek mega yang diumumkan mereka pasti ada ketirisan wang rakyat.

"Kes yang sama tidak mustahil akan berlaku termasuklah dalam kes pembangunan semula kampung Baru, Kuala Lumpur yang diwar-warkan kerajaan akhir-akhir ini," jelasnya gusar perkara sama boleh berulang.

Dr Ahmad Yunus dapat gantirugi RM55,000


Harakahdaily

KLANG, 30 Julai: Mahkamah Sesyen Klang hari ini merekodkan persetujuan Datuk Fatah Iskandar, akhbar Berita Harian dan kumpulan NSTP Press membayar gantirugi RM55,000 tanpa pengakuan liabiliti kepada Adun Sijangkang, Dr Ahmad Yunus ekoran berita yang disiarkan akhbar itu tahun 2004 lalu.

Persetujuan itu direkodkan oleh pihak yang terlibat iaitu Dr Ahmad Yunus (gambar) sebagai plaintif melalui peguamnya Mohamed Hanipa Maidin dan para defendan.

Defendan adalah Datuk Fatah yang membuat kenyataan itu dengan diwakili oleh firma Datuk Salahuddin Saidin serta Berita Harian yang menyiarkan berita itu dan Datuk Kalimullah Hassan yang mewakili NSTP Press.

Selepas pilihan raya umum 2004 lalu, akhbar Berita Harian menyiarkan satu berita yang bertajuk "Tikam dari belakang - calon PAS".

Ekoran itu, Dr Ahmad Yunus yang kini timbalan Exco Pendidikan, Pendidikan Tinggi dan Modal Insan Selangor memfailkan saman kepada pihak-pihak berkenaan menuntut gantirugi itu.

Pada 29 Julai 2004, Dr Ahmad Yunus Khairi telah memfailkan saman ke atas Datuk Abdul Fatah Haji Iskandar, Kalimullah Hassan dan The News Straits Times Press ( Malaysia ) Berhad di atas berita yang disiarkan oleh akhbar Berita Harian pada 20 Mac 2004 bertajuk “ Fatah ‘ditikam dari belakang’ calon PAS” di mana antara lain berita tersebut menyatakan:

“Ahmad Yunus rapat dengan saya, dia ikut hampir setiap ceramah dan majlis yang saya hadiri. ..Sebelum penamaan calon, saya ada terdengar nama dia akan dicalonkan. Saya tanya dia berkali-kali sama ada dia hendak bertanding, tapi dia nafikan akan melawan saya.’.. Abdul fatah menyifatkan tindakan Dr. Ahmad Yunus sebagai “menikamnya dari belakang” kerana persahabatan mereka begitu rapat. Saya yakin pengundi tahu memilih yang mana calon yang boleh membawa pembangunan dan yang mana calon yang hanya berjuang berdasarkan emosi.” Katanya. .. Abdul Fatah menyifatkan perkembangan Pas menampilkan Dr Ahmad Yunus menjadi calon sebagai parti yang terdesak kerana mereka tidak mempunyai calon yang cukup.”

Di dalam samannya Dr Yunus yang ketika itu adalah calon PAS bagi Dun Sijangkang mendakwa kata-kata tersebut adalah satu fitnah yang amat jahat ke atas beliau kerana dalam maknanya yang asal dan biasa kata-kata tersebut antara lain bermaksud bahawa beliau adalah seorang yang tidak boleh dipercayai, seorang penipu dan tidak mempunyai integriti.

Kata-kata fitnah tersebut dakwa Dr Yunus juga bermaksud bahawa beliau adalah calon tangkap muat dan beliau adalah calon yang berjuang berdasarkan emosi.

Kata-kata yang didakwa fitnah itu disiarkan sehari sebelum pilihan raya umum 2004 yang mengakibatkan Dr Yunus tidak berupaya menjawab tuduhan tersebut di akhbar.

Saman Dr Yunus telah ditetapkan untuk bicara hari ini di Mahkamah Sesyen Klang dan mahkamah telah merekodkan penghakiman persetujuan di mana defendan-defendan telah bersetuju dengan tanpa pengakuan liabiliti membayar gantirugi sebanyak RM 55,000-00 kepada Dr Yunus.

Dr Yunus diwakili oleh Mohamed Hanipa Maidin manakala Dato Abdul Fatah Iskandar diwakili oleh firma Tetuan Salehuddin Saidin dan akhbar Berita Harian diwakili oleh peguam Josephen dari Tetuan Sharizat & Lee

Apa tujuan bajet tambahan RM80 juta?



Harakahdaily
IPOH, 30 Julai: Pakatan Rakyat Perak hari ini mahu kerajaan BN negeri di bawah BN menjelaskan kepada rakyat berhubung tujuan membawa usul untuk meluluskan bajet tambahan RM80 juta pada persidangan Dewan Undangan Negeri (Dun) 3 Ogos ini.

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Pantai Remis, Nga Kor Ming berkata, bajet tambahan tersebut juga menunjukkan kerajaan BN gagal dalam mengurus perbelanjaan negeri itu.

Jika RM80 juta diluluskan, bermakna BN telah mencatat sejarah tersediri apabila membawa negeri itu defisit paling tinggi dengan nilai RM104 juta.

"Rakyat berhak tahu apa tujuan tambahan bajet RM80 juta.

"Jika dewan meluluskan belanjawan ini, maka ini adalah belanjawan yang paling tinggi yang defisit," katanya pada sidang media di sini hari ini.

Hadir sama dalam sidang media itu ialah Speaker Pakatan Rakyat, V. Sivakumar, Adun Lubok Merbau Mohd Zainuddin, Leong Mei Ming (Jalong), Tai Sing Eng (Kuala Sepetang), Drs. Khalil Idham Lim (Titi Serong), Hussin Din (Selingsing), Sum Chiok Ling (Bercam) dan Wong Kar Woh (Canning).

Semasa 10 bulan Pakatan Rakyat memerintah negeri itu, mereka telah berjaya membawa masuk hasil pendapatan kepada kerajaan sebanyak RM103 juta.

Selepas Pilihan Raya Umum 2008, bajet defisit yang diusulkan Pakatan Rakyat pada tahun itu hanyalah sebanyak RM40 juta.

Bagaimanapun mereka berjaya menambah keuntungan atau hasil kerajaan tanpa perlu menaikkan kadar cukai ke atas rakyat yang akhirnya membawa masuk hasil sejumlah RM63 juta ke dalam perbendaharaan kerajaan negeri ketika itu.

Namun dalam tempoh yang sama, selepas ramapasan kuasa oleh BN, Perak menghadapi sejarah defisit tertinggi dalam sejarah negeri tersebut dengan mencatatkan rekod defisit sebanyak RM104 juta.

Menurutnya lagi, jika bajet tambahan itu diluluskan, defisit Perak akan meningkat sebanyak 14.2 peratus iaitu tiga kali ganda lebih besar daripada bajet defisit kerajaan pusat 5.6 peratus.

Ianya juga 4.3 kali ganda lebih teruk daripada jumlah 3.3 peratus tanda aras yang diletakkan oleh Kesatuan Eropah untuk pembangunan ekonomi mapan.

Sehubungan itu, Menteri Besar BN, Datuk Seri Dr. Zambry Abdul Kadir diminta menjelaskan kepada kerajan punca dan bagaimana pengurusan kewangan dibuat sehingga berlaku defisit ke tahap itu.

Nga Kor Meng juga turut mempersoal keberkesan siri lawatan Zambry ke Korea, London, Timur Tengah dan China yang sebelum ini didakwa menteri besar itu bertujuan menarik pelabur asing.

Semalam, Adun Sitiawan, Datuk Ngeh Ko Ham juga mendakwa penciptaan beberapa jawatan baru di dalam pentadbiran negeri seperti perlantikan tiga penasihat kerajaan dan seorang pegawai penerangannya sebagai membazir.

Ianya kerana kerajaan negeri terpaksa memperuntukkan gaji dan faedah-faedah lain kepada mereka.

Selain itu, tindakan Zambry meletakkan poster dan iklan mempromosi diri beliau sendiri di seluruh negeri juga kata Ngeh, adalah pembaziran wang rakyat.

Zambry juga sebelum ini menggunakan wang kerajaan dengan menyumbang sebanyak RM50,000 kepada bahagian-bahagian MCA di Perak.

Menurut Ngeh, beliau juga yakin imbuhan sama turut diberikan kepada Umno di negeri itu secara rahsia

Kempen 10 juta tandatangan bantah saman ekor



Hazayani Zakaria

KUALA LUMPUR, 30 Julai: Dewan Pemuda PAS Pusat (DPPP) akan menggerakkan satu kempen memungut sepuluh juta tandatangan rakyat bagi membantah tindakan kerajaan meneruskan saman ekor terhadap pengguna jalan raya.

Menurut ketuanya, Nasruddin Hassan at-Tantawi, semua jentera pemuda seluruh negaraa akan dikerah bagi memastikan kempen tersebut sampai ke semua lapisan masyarakat.

"DPPP akan menggunakan seluruh keupayaan jentera kita di semua peringkat untuk mendapatkan sepuluh juta tandatangan rakyat yang tidak bersetuju dengan saman ekor," katanya ketika dihubungi Harakahdaily hari ini.

Mengulas lanjut, beliau berkata, tandatangan yang berjaya dikumpul akan dilampirkan bersama memorandum yang akan diserahkan kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan Kementerian Pengangkutan Malaysia.

"Kita akan lampirkan tandatangan yang dikumpul ini dengan memorandum yang akan kita serahkan kepada kerajaan atau kementerian terbabit," katanya lagi.

Beliau juga berkata, beberapa kain rentang akan dipasang di kawasan-kawasan yang menjadi tumpuan umum dan rakyat boleh menurunkan tandatangan mereka di situ.

DPPP juga akan bermesyuarat bagi menyelaraskan kempen berkenaan.

Sehubungan itu, beliau menyeru seluruh pemuda agar mengambil perhatian dan bersiap sedia untuk menggerakkan kempen berkenaan.

"Mari sertai kempen ini dan saya harap semua pemuda di semua peringkat mengambil perhatian untuk tugas besar ini," katanya.

Beliau sebelum ini menyifatkan saman ekor sebagai ‘ISA Kedua' kerana ianya menyebabkan penerima notis saman terpaksa membayar saman tersebut tanpa mereka diberi peluang melalui proses pengadilan di mahkamah.

Adun Galas stabil

Hafiz Irwan

KOTA BHARU, 30 Julai: Adun Galas, Che Hashim Sulaima, 47, yang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Pakar Perdana di sini akibat barah usus berada dalam keadaan stabil.

Beliau yang ditemani isterinya, Che Busu Junuh dimasukkan ke hospital tersebut petang Isnin lalu.

"Keadaannya (Che Hashim) stabil. Cuma keletihan sikit," kata Che Busu ditemui di hospital berkenaan petang ini.

Che Hashim dimasukkan ke hospital tersebut selepas tiga hari pulang dari membuat rawatan kimoterapi selama 10 hari di China.

Beliau disahkan menghidap penyakit tersebut sejak Mei tahun lalu apabila batuk mengeluarkan darah.

Susulan itu beliau menjalani pembedahan di The First People's Hospital Fu San, Beijing selepas menerima rawatan di salah sebuah hospital di Kuala Lumpur selama tiga bulan.

Che Hashim dipilih sebagai Adun Galas pada pilihan raya umum 2008 apabila berjaya menewaskan calon Barisan Nasional (BN), Saufi Deraman dengan kelebihan 646 undi.

Galas merupakan Dun yang terletak di dalam kawasan Parlimen Gua Musang

Menteri penipu, kabinet ditipu?



Abdul Aziz Mustafa

KUALA LUMPUR, 30 Julai: Jika benar Tun Dr Ling Liong Sik menipu kerajaan Malaysia seperti tuduhan ke atasnya di Mahkamah Sesyen Putrajaya semalam, bagaimanakah mereka yang ditipu masih kekal dalam jemaah menteri hingga sekarang.

Ketika mempersoalkan perkara itu, Naib Presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar berkata, jika benar penipuan itu berlaku, mereka yang ditipu sehingga dua kali dalam tempoh tidak sampai dua bulan hilang kelayakan sebagai anggota jemaah menteri termasuk Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dan timbalannya, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Ling yang juga bekas Menteri Pengangkutan menghadapi tuduhan menipu kerajaan sekitar 25 September 2002 dan 6 November 2002 dengan memperdayakan jemaah menteri untuk memberikan persetujuan pembelian tanah di Pulau Indah untuk projek Mega Distribution Hub di Pelabuhan Klang.

Perdana Menteri, timbalannya dan sebahagian anggota kabinet kini adalah anggota kabinet pada masa penipuan itu didakwa berlaku.

"Persoalannya ialah bagaimana sebahagian yang kena tipu masih kekal dalam jemaah menteri hingga sekarang dan menjawat jawatan yang lebih besar iaitu Perdana Menteri dan Timbalan Perdana Menteri dan ramai lagi anggota jemaah menteri pada 2002 yang turut kena tipu masih kekal dalam kabinet kerajaan Umno Barisan Nasional (BN)," kata Ahli Parlimen Pokok Sena itu.

Jika tuduhan ke atas Ling benar, Mahfuz menyifatkan perkara itu sangat memalukan kerana perkara itu menunjukkan dalam kabinet kerajaan BN ada penipu dan ada yang kena tipu sehingga mengakibatkan kerugian yang sangat besar kepada negara dan rakyat.

"Yang menipu sudah tentu jahat dan bijak. Yang kena tipu pula sudah tentu lemah dan bangang.

“Yang tipu tak beramanah sementara yang kena tipu pun sama tak beramanah dan pak angguk dalam mesyuarat jemaah menteri.

"Apalah malang rakyat Malaysia diperintah oleh kerajaan Umno BN yang anggota jemaah menterinya orang yang bodoh bangang dan mudah ditipu sebanyak dua kali dalam tempoh tak sampai dua bulan," kata Mahfuz.

Malaysia, katanya, tidak akan maju jika jemaah menteri dari kalangan penipu dan menteri yang mudah ditipu terus berkuasa.

Sambil menyatakan BN boleh dibaca sebagai "Bohong Negara," Mahfuz menyeru rakyat supaya "menyelamatkan Malaysia daripada penipu negara".

Seorang lagi Naib Presiden PAS, Salahuddin Ayub berharap semua anggota kabinet yang didakwa telah ditipu oleh Liong Sik turut sama dipertanggungjawabkan atas apa yang berlaku itu.

Menurut Ahli Parlimen Kubang Kerian itu, anggota kabinet bukan anggota pasukan bola sepak amatur.

Jika pasukan bola sepak amatur ditipu, katanya, ia masih boleh dimaafkan.

Tetapi, kata Salahuddin, anggota kabinet memegang jawatan berprofil tinggi yang memberikan kesan amat besar kepada kepentingan dan harta negara.

"Apabila mereka ditipu sehingga dua kali dalam tempoh tidak sampai dua bulan, ia merupakan condict unbecoming kerana mereka sebenarnya melakukan act of negligence yang didefinisikan sebagai the failure to use ordinary care.

"Sebab itulah kesemua anggota kabinet yang didakwa telah ditipu itu mesti bertanggungjawab dan dipertanggungjawabkan kerana kerugian yang telah ditanggung oleh negara berhubung perkara itu ternyata amat besar," katanya.

Beliau juga tidak mahu menolak spekulasi yang mendakwa tuduhan terhadap Ling itu sebenarnya adalah sindiran pentadbiran Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak terhadap Tun Dr Mahathir Mohamad.

Dr Mahathir Perdana Menteri ketika penipuan itu didakwa berlaku.

"Beberapa pihak telah mula mendakwa dan membuat spekulasi bahawa apa yang berlaku itu sebenarnya ialah 'dakwa Ling, sindir Mahathir'.

"Susah juga untuk terus menolak spekulasi itu," katanya

Khamis, 29 Julai 2010

Liwat II: 'Hubungan romantis' jadi tumpuan



Jul 29, 10 10:31am
Pejabat Peguam Negara menerusi laman sesawangnya mengeluarkan kenyataan bahawa Farah Azlina Latif dari Bahagian Pendakwaan
Jabatan Peguam Negara telah dipindahkan ke Bahagian Penyemakan dan Pembaharuan Undang-Undang berkuatkuasa semalam.

Sehubungan dengan pemindahan itu, jawatannya sebagai Timbalan Pendakwa Raya ditukar sebagai Peguam Kanan Persekutuan.

Namun menurut laman itu, jawatan baru berkenaan bukan dengan “tujuan naik pangkat” dan Farah Azlina masih menyandang Gred L48 yang dipangkunya sebelum ini.

Sebelum ini, Malaysiakini difahamkan Farah Azlina yang dikaitkan mempunyai 'hubungan romantis' dengan saksi utama, Mohd Saiful Bukhari Azlan dalam kes liwat membabitkan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim, pernah ditukarkan beberapa kali dalam tempoh beberapa bulan kebelakangan ini.

Menurut sumber, beberapa bulan lalu, Farah pernah dipindahkan dari Bahagian Rayuan dan Perbicaraan kepada Unit Jenayah Komersial di bawah Bahagian Pendakwaan setelah dinaikkan pangkat, Februari lalu.

Selain Bahagian Pendakwaan, Rayuan dan Perbicaraan, terdapat lapan lagi bahagian, termasuk Hubungan Antarabangsa, Penggubalan, Penasihat, Kajian, Semakan dan Pembaharuan Undang-undang, Sivil dan Pengurusan.

Dua hari lalu, Peguam Negara, Tan Sri Abdul Gani Patail, pada sidang akhbranya, mengesahkan Farah Azlina telah digugurkan daripada pasukan pendakwaan yang mengendalikan kes liwat Anwar.

Sidang akhbar berkenaan diadakan bagi menjelaskan perkembangan terkini sekaligus menjawab persoalan mengenai hubungan Farah Azlina dan Mohd Saiful seperti yang disiarkan oleh laman web Malaysia Today baru-baru ini.

Abdul Gani berkata, Farah Azlina terpaksa digugurkan bukan kerana beliau didapati bersalah tetapi bagi mengelakkan sebarang persepsi negatif daripada orang ramai terhadap pasukan pendakwa.

"Jabatan Peguam Negara tidak boleh berkompromi dengan sebarang isu yang boleh menjejaskan nama baik atau kredibiliti jabatan dan kami sangat memandang serius perkara seumpama ini.

"Ini boleh menjadi sangat sukar bagi kita, tetapi sebarang perkara peribadi sekiranya boleh memberikan kesan dalam apa juga bentuk terhadap jabatan ini akan ditangani dengan amat serius," katanya.

Tindakan itu diambil untuk memastikan kelancaran kes tidak terganggu, katanya.

Pertunangan dibatalkan

Sebelum kejadian itu, Farah Azlina dilaporkan akan melangsungkan perkahwinan tetapi membatalkannya seminggu sebelum tarikh yang dijadualkan itu. Sebab pembatalan itu juga tidak diketahui.

Sesetengah pihak juga dikatakan tidak senang dengan tindakan Abdul Gani yang memindahkan Farah Azlina dari Bahagian Pendakwaan sebelum siasatan terperinci dijalankan.

Adalah dipercayai Mohd Saiful yang dikatakan telah bertunang dengan seorang personaliti media mungkin mengeluarkan kenyataan berhubung perkara berkenaan apabila “kena pada waktunya.”

Farah Azlina pada mulanya bukan sebahagian daripada pasukan asal pendakwaan dalam kes perbicaraan Anwar tetapi dibawa kemudiannya selepas seorang daripada timbalan pendakwa raya yang ditugaskan mengambil nota perbicaraan meletakkan jawatan.

Beliau mengambil alih tugas itu tetapi tidak terlibat dengan pendakwaan, kata Abdul Gani.

Perbicaraan kes liwat membabitkan Anwar bersambung Isnin ini dan isu 'hubungan romantis' Farah Azlina dengan Mohd Saiful dijangka akan menjadi tumpuan.

Ini berikutan surat dari peguam Anwar kepada Abdul Gani dan Peguam Cara II Negara, Datuk I Mohd Yusof Zainal Abiden, yang juga adalah ketua pendakwa -- menuntut penjelasan berhubung 'hubungan romantis' itu

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails