Selamat Datang

Isnin, 1 Mac 2010

Maulidur-Rasul, Amalkan Setiap Hari Dan Sepanjang Tahun

Firman Allah SWT:

“...dan apa jua perintah yang dibawa oleh Rasulullah (s.a.w) kepada kamu maka terimalah serta amalkan, dan apa jua yang dilarang-Nya kamu melakukannya maka patuhilah larangan-Nya. Dan bertakwalah kamu kepada Allah; sesungguhnya Allah amatlah berat azab seksa-Nya (bagi orang-orang yang melanggar perintah-Nya).”

(Surah al-Hasyr 59:7)

Alhamdulillah, kita bersyukur kepada Allah SWT yang telah memberikan kita kesempatan meneruskan hidup sebagai khalifah-Nya di bumi ini. Seterusnya diberikan pula kesempatan untuk menyambut Maulidur-Rasul bagi tahun 1431H pada kali ini.

Allah SWT mengutus para nabi dengan tujuan untuk mengajak manusia mengabdikan diri kepada-Nya. Para nabi tidak diutus semata-mata untuk mengajar manusia membangunkan bumi ini semata-mata, tetapi apa yang lebih penting ialah bagaimana menyelamatkan diri di akhirat kelak.

Di atas dasar itulah, para nabi termasuklah Nabi Muhammad saw diutus oleh Allah SWT. Lantaran itu, kebangkitan Rasulullah saw adalah untuk memastikan umat manusia hidup di dalam dakapan hidayah berpaksikan kepada keimanan dan ketakwaan.

Sehubungan dengan itu, sambutan Maulidur-Rasul tidak boleh hanya sekadar memperingati tarikh lahir baginda semata-mata, ia tidak boleh terhenti setakat perayaan dan majlis-majlis keramaian sahaja. Lebih jauh lagi, ia perlu diiringi dengan kehendak untuk mematuhi sunnah Rasulullah saw.

Semangat Maulidur-Rasul tidak boleh hanya hidup pada bulan ini sahaja, tetapi ia perlu untuk terus hidup setiap hari dan sepanjang tahun.

Ia tidak boleh disambut dengan perarakan yang besar dan hebat semata-mata dengan menepikan hasrat sebenar dari kebangkitan Rasulullah saw iaitu mengajak manusia beriman dan melaksanakan perintah Allah SWT.

Bagi pihak kerajaan negeri Kelantan, di bawah dasar Membangun Bersama Islam, kami akan terus komited dengan usaha dan hasrat melaksanakan syariat Islam di dalam pentadbiran.

Dalam hal ini, Rasulullah saw yang juga sebagai seorang pemimpin akan dijadikan sebagai model ikutan yang terbaik di dalam mengurus tadbir negeri.

Itulah misi kerajaan negeri Kelantan di dalam mentadbir amanah yang diberikan oleh rakyat dengan izin Allah SWT ini.

Semoga Allah SWT memberikan kita ganjaran di atas segala amalan kebaikan yang kita lakukan. Salam Maulidur-Rasul 1431H.

Jumaat, 26 Februari 2010

Tegak sunah Rasulullah s.a.w. sepanjang hayat


Alhamdulillahi Rabbil ‘Alamiin. Selawat dan salam buat penghulu para pejuang, Rasul tercinta Muhammad s.a.w., para sahabat dan keluarga baginda, serta mereka yang mengikuti jalannya serta mencontohi perilaku baginda hingga ke hari pembalasan.

Sesungguhnya perasaan kita penuh dengan kerinduan kepada Rasulullah s.a.w. Sebagai seorang yang mencintai baginda, tentu sekali kita senantiasa terkenang akan sirah perjuangan dan lakaran pengorbanan Rasulullah s.a.w. sehingga kita semua dapat menerima cahaya keIslaman dan hidayah dari Allah untuk mengecapi nikmat berharga iman dan Islam.

Namun kita sebagai seorang Muslim perlu sentiasa bermuhasabah sejauh manakah kecintaan yang disebut dan diungkapkan ini benar-benar tertanam dengan kukuh di lubuk hati kita? Sejauh manakah kita melakukan apa yang dibawa oleh Rasulullah s.a.w. dalam lakaran perjuangannya, yang kemudiannya disambung tali-menali hingga ke hari ini?

Marilah kita menghayati firman Allah yang bermaksud: “Dan tiadalah Kami mengutusmu (Wahai Muhammad) melainkan untuk umat manusia seluruhnya, sebagai pembawa berita gembira, dan pemberi amaran; akan tetapi kebanyakan manusia tidak mengetahui (hakikat itu)”. (Surah Saba’: 28)

Baginda Rasulullah s.a.w. telah pergi meninggalkan kita, dengan sama sekali tidak mewariskan kepada kita harta pusaka kekayaan, tetapi yang diwariskan adalah ilmu yang menjadi panduan hakiki, akhlak yang terpuji, sebuah perjuangan suci dan sebuah cara hidup yang sempurna.

Marilah kita sama-sama menjadikan sambutan ini menguatkan iltizam kita menegakkan sunnah baginda sepanjang tahun dan sepanjang hayat kita. Tidak cukup kita menunjukkan rasa gembira dengan bercuti, mengadakan perarakan dan berslogan mencintai Rasulullah. Akan tetapi gembirakanlah Rasulullah s.a.w. dengan mengamalkan dan menegakkan segala suruhan baginda, serta meninggalkan dan berusaha menghalang segala yang dibenci baginda.

Rasulullah s.a.w. meninggalkan sebuah perjuangan suci sebagai rahmat ke seluruh alam untuk kita sambung dan teruskan. Segala kezaliman, penyelewengan, rasuah, salah guna kuasa, jenayah, yang berlaku pada hari ini hatta dari seorang yang mengaku Islam, menunjukkan jauhnya si pelakunya dari tinggalan Rasulullah s.a.w. walau dia menyambut kelahiran baginda saban tahun.

Marilah sama-sama kita pasakkan keazaman untuk menyambung perjuangan Rasulullah s.a.w. hingga ke akhir hayat kita. Sebagai seorang individu, marilah pula kita menghayati dan mengamalkan peninggalan Rasulullah s.a.w. Seorang pemimpin meletakkan azam untuk menegakkan sunnah di dalam kepimpinannya. Sebuah kerajaan lebih-lebih lagi berkomited mengamalkan segala suruhan Allah SWT dan Rasul s.a.w. di dalam segala aspek pentadbirannya.

Semoga kita semua bertambah cinta kepada Rasulullah s.a.w. dan beroleh cinta Allah dan Rasul-Nya. Selamat menyambut Maulidur Rasul 1431.

DATUK SERI TUAN GURU ABDUL HADI AWANG
PRESIDEN PAS

Rabu, 24 Februari 2010

USAHA RASULULLAH MENCARI REZEKI YANG HALAL


Apabila Rasulullah saw mula berada di alam keremajaan dan kedewasaan, baginda mula mencari rezeki yang halal dengan bertungkus lumus menyingsing lengan dengan menternak kambing setiap hari. Ini telah diceritakan dalam satu hadis yang bermaksud; 'Dahulu pernah aku menternak kambing penduduk Mekah dengan upahnya beberapa kirat sahaja'.

Pekerjaan Rasulullah saw menternak kambing untuk mencari rezeki yang halal dan mengenai limpahan kurnia allah kepada keluarga Halimah Al Sa'diyah semasa baginda tumpang tinggal bersama-sama mereka telah menunjukkan secara jelas kepada kita tentang kerja-kerja dan usaha-usaha yang diredhai dan dipinta oleh Allah dari hamba-hambanya yang soleh di dunia ini.

Suatu hikmah Ilahi dapat kita lihat iaitu sebaik-baik harta ialah hasil usaha sendiri demi untuk kebaikan masyarakat dan manusia seluruhnya dan seburuk-buruk kesenangan ialah kemewahan yang diperolehi ksesusahan yang langsung dan tidak memberi sebarang sumbangan kepada masyarakat.

Pendakwah yang hidupnya bergantung kepada pemberian dan sedekah selepas berdakwah sebenarnya tidak mencerminkan sesuatu nilai pun.Sebaik-baik jalan kepada pendakwah ialah berdikari dan bergantung kepada sumber-sumber kewangan dan perusahaan sendiri tanpa menadah tangan meminta dari manusia lain.

Selasa, 16 Februari 2010

PERJALANAN PERTAMA RASULULLAH


Dalam usia dua belas tahun, bapa saudara baginda Abu Talib telah membawa baginda bersama-sama ke negeri Syam untuk berniaga. Ketika sampai di satu tempat bernama Basra, mereka telah berjumpa dengan seorang padri yang bernama Buhaira yang bijak dalam hal berkaitan dengan Kitab Injil dan agama Nasrani.

Beliau memerhatikan Nabi Muhammad dan bertanya kepada Abu Talib samada budak itu anaknya. Lalu Abu Talib mengakui anaknya kerana beliau terlalu kasih kepada baginda. Namun Buhaira menafikannya dengan mengatakan bahawa tidak mungkin bapa budak itu masih hidup. Akhirnya Abu Talib mengaku bahawa nabi Muhammad itu adalah anak saudaranya dan menyatakan bahawa bapanya telah meninggal dunia semasa dia masih dalam kandungan ibunya.

Buhaira mengakui kebenaran cerita Abu Talib dan menerangkan bahawa semuanya itu telah dinyatakan di dalam Kitab Injil. Seterusnya beliau menasihatkan agar Abu Talib membawa pulang Rasulullah kerana takut akan dibunuh oleh orang Yahudi yang juga mengetahui tanda-tanda kenabian Nabi Muhammad. Maka Abu Talib pun segera membawa pulang Nabi Muhammad ke Makkah.

Pengajaran yang dapat direnungkan dari kisah di atas ialah kelahiran nabi Muhammad telah diketahui oleh golongan Yahudi dan Nasrani kerana telah dicatatkan dalam Kitab Injil dan Taurat. Malahan mereka mengenal tanda-tanda kenabian pada Rasulullah seperti mereka mengenal anak-anak mereka sendiri sebagimana firman Allah yang maksudnya;

'Orang-orang (Yahudi dan Nasrani) yang telah kami beri Al-Kitab (Injil dan Taurat) mengenal Muhammad seperti mereka mengenal anak-anaknya sendiri. Dan sesungguhnya sebahagian di antara mereka menyembunyikan kebenaran padahal mereka mengetahui.' (al-Baqarah:146),

Isnin, 15 Februari 2010

KEPUTERAAN NABI MUHAMMAD SAW.


Baginda dilahirkan pada tahun gajah iaitu tahun di mana Abrahah Al Asyram telah melanggar masuk ke kota Makkah untuk menawan dan memusnahkan Al-Ka'bah. Namun percubaannya itu menemui kegagalan di mana Allah swt telah mengutuskan sekumpulan burung-burung Ababil yang mencederakan dan memusnahkan angkatan tentera Abrahah. Baginda dilahirkan pada hari Isnin, 12 Rabiul Awwal.

Baginda adalah yatim ketika dilahirkan. Ayahnya wafat ketika baginda baru dua bulan dalam kandungan ibunya. Setelah dilahirkan baginda dipelihara oleh datuknya Abdul Muttalib. Baginda disusukan oleh seorang perempuan dari puak Sa'd bin Bakr yang dkenali sebagai Halimah binti Abi Zuwaib. Penyusuan baginda oleh Halimah merupakan satu adat resam orang-orang Arab ketika itu.

Mengikut sirah, kampung Bani Sa'd ketika itu mengalami kemarau yang teruk. Ketibaan Nabi Muhammad ke rumah Halimah dan menyusu darinya menyebabkan keadaan kampung itu berubah dari kering tandus mulai basah menghijau. Kambing ternakan yang dahulunya kelaparan kini kelihatan ceria dan uncang-uncang susunya penuh berisi. Baginda disusui sehingga berumur lima tahun dan dihantar kembali ke pangkuan ibunya. Semasa di bawah jagaan Halimah juga Nabi Muhammad telah dibedah perutnya dan dibersihkan hatinya bagi pertama kalinya.

Ibunya wafat semasa baginda berusia enam tahun yang membawa keadaanya menjadi yatim piatu. Baginda dipelihara dan didik pula oleh datuknya walaupun tidak lama selepas itu datunya pula wafat ketika baginda berusia lapan tahun. Seterusnya baginda diasuh pula oleh bapa saudaranya yang bernama Abu Talib.

Dari peristiwa di atas beberapa pengajaran dan renungan dapat dibuat iaitu

1. Nabi Muhammad saw dilahirkan dan dibesarkan dalam keadaan yatim piatu dan hanya sempat membesar di bawah jagaan datuknya dalam masa yang singkat menunjukkan bahawa Islam yang dibawa oleh baginda tidak dipengaruhi oleh didikan ibu bapa atau warisan keluarga. Islam yang dibawa adalah terus dari Allah swt.

2. Perubahan di perkampungan Bani Sa'd yang kemarau teruk menjadi basah kehijauan merupakan tanda kedudukan martabat baginda yang tinggi disisi Allah dan kurniaan dan limpahan rahmat kepada kaum Bani Sa'd dengan kehadiran baginda di sana. Lebih jelas lagi Baginda Rasulullah merupakan rahmat Allah untuk manusia sejagat dan alam sekeliannya sebagaimana dinyatakan dalam Al-Quran yang firmannya bermaksud

" Dan tidak kami utuskan engkau melainkan sebagai rahmat untuk sekeliam alam".

3. Peristiwa baginda dibedah dan dibersihkan hatinya oleh Jibril adalah untuk mengisytiharkan kerasulan dan menjadikan baginda ma'sum serta mempersiapkan baginda untuk menerima wahyu dari Allah swt. Pembedahan ini merupakan pembersihan rohani yang dialami oleh baginda oleh Allah swt.

Ahad, 7 Februari 2010

Amal Ibadat Bekalan Hari Akhirat


Fitrah manusia suka kepada hidup dan umur yang panjang. Jika boleh inginkan hidup yang berkekalan. Oleh itu didapati Iblis telah berjaya memperdayakan Nabi Adam dengan menghasutnya supaya memakan sejenis buah yang dilarang oleh Allah sebagaimana dinyatakan dalam Firmannya:
' Maka syaitan menghasutnya. Syaitan berkata: Ya Adam, Tidakkah aku tunjukkan kepada kamu sejenis pohon boleh yang berkekalan dan pemerintahan yang tidak musnah?' (Taha: 120)

Dalam Islam umur yang panjang merupakan satu ni'mat dan hendaklah diisi dengan amal ibadat dan amal kebaikan. Rasulullah pernah ditanya tentang manakah manusia yang paling baik. maka jawab baginda; Siapa yang umurnya panjang dan baik amalnya.

Oleh itu berpeluanglah bagi mereka yang membuat pengisian hidupnya dengan amal ibadat yang dierstui oleh Allah selagi hayat dikandung badan. semakain banyak amal ibadat yang disertakan dengan keikhlasan maka semakin banyaklah pahala disisi Tuhan.

Disamping pahala yang diperolehi dengan amal salehnya, ia juga memberi contoh dan ikutan yang berguna kepada orang lain. Kesan ini akan membawa kepada orang lain turut mendapat petunjuk, terselamat dari kekejian, terlepas dari bencana dan ancaman musuh dalam masyarakat.

Malahan ia menjadi satu amal dakwah yang paling kemuncak kelebihanya disisi Allah melalui berjihad di jalan Allah. Nabi Muhammad pernah bersabda dalam sebuah hadis yang bermaksud;

'Sesiapa yang berdakwah baginya pahala sebanyak pahala-pahala orang ynag mengikuti dakwahnya. Tidak pula kurang pahala-pahala pengikutnya walaupun sedikit.'

Dalam hadis lain diterangkan oleh baginda Rasulullah mengenai kelebihan orang yang berjuang dijalan Allah.
' Sesungguhnya di dalam syurga terdapat seratus darjat yang Allah sediakan kepada para-para mujahidin ke jalan Allah. Tinggi antara darjat ke darjat sejarak langit dan bumi.'

Para pemimpin masyarakat juga turut mendapat keistimewaan ini. Mereka adalah tenaga penggerak yang utama hingga masyarakat mendapat kebaikan. Pemimpinlah yang berjuang untuk menghapuskan penyelewengan dan penindasan. Dalam hadis disebut kelebihan pemimpin yang adil iaitu;
'Sehari pemerintahan dari pemimpin yang adil lebih baik dari enam puluh tahun beramal ibadat'.

Begitulah kehidupan ini perlulah dipenuhi dengan pengisian amal ibadat sebagai bekalan buat kehidupan di hari akhirat.

Sabtu, 16 Januari 2010

Jalan Selamat


Umat Islam pada hari ini hendaklah memilih jalan selamat agar kehidupan di dunia dan akhirat mendapat kebahagiaan. Olehi itu jalan selamat yang mesti diikuti telahpun ditunjukan oleh Rasulullah saw. melalui al-Quran dan As-sunnah. Apabila semua umat Islam menjadikan Al-Quran dan As-sunnah sebagai panduan hidup nescaya akan selamat di dunia dan di akhirat. Malangnya tidak semua umat Islam hari ini berpegang dan mengikut segala ajaran Islam dengan menjadikan al-Quran dan as-Sunnah sebagai panduan kehidupan. Malahan ada diantaranya yang hanya mengambil al-Quran dan As-sunnah apabila ia sesuai dengan kehendak nafsu dan kepentingannya semata-mata tetapi apabila ia tidak selari dan bersesuaian maka ditolaknya.

Mereka yang sebegini sebenarnya tidak mengambil al-Quran dan As-sunnah secara menyeluruh dalam kehidupan mereka. Mereka ini hanya mengmbil sebahagian sahaja dan menolak sebahagian yang lain. Ini adalah satu jalan yang sesat dan tidak akan menyelamatkan mereka di dunia dan di akhirat. Mak jalan selamat adalah mengambil dan menghayati keseluruhan ajaran Islam sebagaimana yang terkandung dalam al-Quran.

Allah swt. telah menyatakan di dalam al-Quran, Firman Allah yang mafhumnya;
'Wahai orang-orang yang beriman, masuklah kamu ke dalam Islam secara menyeluruh dan janganlah kamu mengikuti jejak langkah syaitan.

Selasa, 8 Disember 2009

Perkara Yang membatalkan Syahadahtain


4. Menumpukan segala ketaatan kepada selain daripada Allah dengan cara yang tidak disukainya.

Makna ' Laailahaillallah' ialah tidak ada yang dipatuhi selain kepada Allah. Taat yang disukai atau diiginkan oleh Allah supaya kita lakukan ialah taat kepada Rasulnya kerana apabila kita taat kepada Rasul bererti kita mentaati Allah.

Allah berfirman yang mafhumnya,

'Hai orang-orang yang beriman, taatilah Allah dan taatilah Rasul dan Ulil Amri di antara kamu. Kemudian jika kamu berlainan pendapat tentang sesuatu, maka kembalikanlah ia kepada Allah (Al-Quran) dan Rasul (Sunnah), jika kamu benar-benar beriman kepada Allah dan hari kemudaian.'(An-Nisa: 59)

Taat kepada pemimpin atau kerajaan adalah selagi mereka itu menjalankan Kitab Allah dan Sunnah Rasulnya. Apabila mereka terpesung maka tidak lagi boleh diikuti kerana mengikut perintah pemimpin yang terpesung dari al-kitab dan assunnah adalah maksiat (durhaka) kepada Allah. Taat kepada pemerintah itu disyaratkan ia hendaklah dari golongan orang-orang yang beriman dan orang yang kembali kepada Kitab Allah dan Sunnah Rasul ketika berselisih pendapat.

Dalam hadis ada menerangkan ' Tidak boleh taat kepada makhluk dalam perkara maksiat kepada Pencipta makhluk(Tuhan)' dan dalam hadis lain disebut ' Sesungguhnya taat itu ialah dalam perkara maaruf (yang tidak bercanggah dengan syarak)'.

Di dalam menumpukan ketaatan hendaklah semata-mata kepada Allah sahaja dan tidak kerana kepentingan diri, dorongan syaitan, sifat-sifat kesesatan,kekafiran,fasik, melampau, kelalaian, keturunan dan kempen-kempen ke jalan thaghut.

Firman Allah yang mafhumnya,

'Maka pernahkah kamu melihat orang yang menjadikan hawa nafsunya sebagai Tuhannya' (Al-Jaatsuah:23)

'Dan jika kamu menuruti kebanyakkan orang-orang yang dimuka bumi ini, nescaya mereka akan menyesatkan kamu dari jalan Allah.'(Al-An'aam:116)

'Dan janganlah kamu mentaati perintah orang-orang yang melewati batas, yang membuat kerusakan di muka bumi ini dan tidak mengadakan kebaikan'(As-Syura:151-152)

Sesiapa yang mencurahkan taat setia kepada golongan-go;ongan seperti yang digambarkan di dalam Al-Quran itu sebagai Tuhan yang dipujanya atau diagung-agungkannya maka kafirlah ia.

Firman Allah yang mafhumnya,

' Sesungguhnya orang yang kembali kebelakang (kepada kekafiran) sesudah petunjuk itu jelas bagi mereka, syaitan telah menjadikan mereka mudah (berbuat dosa) dan memanjangkan angan-angan. Yang demikian itu kerana sesungguhnya mereka (orang-orang munafik) itu berkata kepada orang-orang yang benci kepada apa yang diturunkan oleh Allah (orang-orang yahudi): kami akan mematuhi dalam beberapa urusan, sedangkan Allah mengetahui rahsia mereka.'(Muhammad:25-26)

Tanda taatkan Allah ialah taatkan Rasulnya kerana kita tidak mengenal Allah melainkan dengan jalan yang ditunjuki oleh Rasulullah. Maksud taat kepada Rasul ialah menghidupkan sunnahnya. Sesiapa yang menetang sunnahnya maka ia kafir. Sekiranya ia akui benar Sunnah Rasul tetapi ia melanggar perintahnya adalah fasik.

Khamis, 3 Disember 2009

PENYUSUNAN PERJUANGAN


Sistem khilafah Islamiyah yang jatuh pada 1924 telah mengwujudkan satu usaha untuk mengembalikan semula kegemilangan empayar Islam. Usaha-usaha ini perlu dilakukan dengan tersusun dan teratur secara rapi oleh ahli-ahli gerakan Islam. Oleh itu berlakulah penyusunan gerakkerja dengan mewujudkan jemaah Islam dari serata dunia oleh alim ulama. Usaha yang dilakukan dengan menyusun semula kekuatan oleh umat Islam supaya ia menjadi benteng yang dapat mempertahankan kesucian Islam daripada dirobek oleh musuh-musuh.

Maka bagi gerakan Islam, kerja-kerja yang dilakukan hendaklah dibuat dengan bersungguh-sungguh dan diolah dalam semua bentuk persiapan. Allah telah memerintahkan kita untuk mempersiapkan segala kekuatan yang ada dalam menghadapi musuh-musuh Islam.

Firman Allah yang mafhumnya,
'Dan siapkanlah untuk menghadapi mereka dengan kekuatan apa saja yang kamu sanggupi dan dari kuda-kuda yang ditambat untuk berperang (yang dengan persiapan itu) kamu menggentarkan musuh Allah dan musuh kamu dan orang-orang selain mereka yang kamu tidak mengetahuinya; sedang Allah mengetahuinya apa saja yang kmu nafkahkan pada jalan Allah nescaya akan dibalasinya dengan cukup kepada kamu dan kamu tidak akan dianiaya'.(Al-Anfal:8)

Justeru itu, usaha membina kekuatan dan menampakkan kehebatan islam hendaklah dilakukan secara sistematik, terancang dan berterusan. Semua usaha ini hendaklah dilakukan di semua peringkat samada peringkat kepimpinan atau diperingkat akar umbi. Gabungan usaha tersebut yang berstu tenaga akan meninggikan lagi syiar Islam.

Perkara ini pernah disebut oleh seorang tokoh Islam yang ternama iaitu Syeikh Hasan Hudaibi dngan katanya" Tegakkanlah Islam dalam diri kamu nescaya Islam akan tegak di bumi kamu".

Rabu, 2 Disember 2009

Perkara Yang membatalkan Syahadahtain


4. Mengubal undang-undang mengikut kemahuan manusia dan bukannya mengikut ketentuan Allah yang mana perbuatan itu melawan Allah kerana Allah jualah yang mempunyai hak menentukan undang-undang bagi kehidupan manusia-halal haram, perundangan, kehakiman, amar nahi.

Firman Allah swt yang mafhumnya,
' Mereka menjadikan orang-orang alim dan rahib-rahib mereka sebagai Tuhan selain daripada Allah (mematuhi ajaran-ajaran mereka).'(At-taubah: 31).

Termasuklah dalam maksud ini ialah sistem demokrasi kerana dasar undang-undang oleh wakil-wakil rakyat dalam parlimen yang sifatnya sebagai perwakilan daripada rakyat dalam satu-satu negara dan atas dasar kemahuan dan fikiran mereka semata-mata. Manakala keputusan penggubalan undang-undang itu terletak ditangan majoriti ahli parlimen itu. ini bermakna hak membuat undang-undang itu datangnya dari manusia. Itulah sebabnya di katakan syirik.

Adapun kata-kata yang lebih jelas supaya terselamat daripada perangkap syirik dalam penggunaan demokrasi tadi dalam masyarakat Islam ialah kita mesti faham bahawa dalam Islam terdapat Majlis Syura yang bertujuan melaksanakan dan menentukan undang-undang dalam mentadbirkan negara Islam.Dalam penubuhan Majlis Syura itu pemilihan ahli-ahlinya boleh dilakukan melalui pilihanraya dengan syarat kedudukan majlis ahli-ahlinya mengiltizam atau melaksanakan hukum Allah. Mereka dibolehkan berijtihad di dalam menentukan hukum-hukum Allah dengan apa yang berlaku semasa dan jika diketahui nas-nas yang terang dan jelas ia mesti melaksanakan hukum.

Jika sesuatu masalah itu kurang jelas, ia memerlukan kajian berasaskan nas-nas al-Quran dan AS-Sunnah. Al-Quran dan Al-sunnah sebenarnya menjadi perlembagaan negara bagi sebuah negara Islam yang mana ahli-ahli parlimen atau setiap ahli majlis syura tidak boleh menggubal undang-undang lain yang bercanggah dengan perlembagaan yang dibuat oleh Allah. Maka amalan atau sistem ini boleh dianggap berbentuk Islam.

Sekiranya di dalam pentafsiran undang-undang atau pengubalan undang-undang yang bercanggah dengan kehendak-kehendak Al-Quran dan Al-sunnah, maka perbuatan itu telah meletakan kepentingan yang berasingan daripada hukum Allah atau bukan kerana kepentingan syariat Allah. Ini dapat dilihat jika mengutamakan kepentingan-kepentingan lain seperti kepentingan parti,pemimpin, kaum kapitalis,atau sosialis berlindung disebalik perlembagaan yang bercanggah dengan hukum Allah.

Demikian jugalah jika manusia tidak menerima tugasnya untuk melaksanakan hukum-hukumnya di bumi ini yang mana Rasul telah menjelaskannya kepada mereka, tetapi mereka melarikan diri daripada tugas ini.

Firman Allah yang mafhumnya,
'Kemudian kami jadikan kamu berada di atas satu syariat dari urusan agama itu, dan janganlah kamu ikuti hawa nafsu orang-orang yang tidak mengetahui'.(Al-Jaatsiyah: 18).

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails