Abdul Aziz Mustafa,
|
13 Okt 2012
|
KUALA LUMPUR:
Jika wang RM40 juta yang cuba diseludup ke Malaysia untuk Umno Sabah
dibuat dengan cara yang betul, mengapa Perdana Menteri Datuk Seri Najib
Razak takut mendedahkan siapa penyumbangnya, kata Naib Presiden PAS,
Datuk Mahfuz Omar.
Ketika ditanya dalam sidang media selepas
mempengerusikan mesyuarat Majlis Tertinggi Barisan Nasional (BN) malam
tadi, Najib mengelak dari mendedahkan siapa penyumbang wang RM40 juta
itu.
Bagi Mahfuz, antara persoalan utama berhubung sumbangan RM40
juta itu bukan sahaja siapa penyumbangnya tetapi mengapa ia
disumbangkan.
"Tidak ada siapa percaya si penyumbang memberikan sumbangan kepada parti pemerintah dengan percuma begitu sahaja.
"Kalau
penyumbangnya orang berniaga, semua tindakan perniagaan dibuat
berdasarkan untung dan rugi sebab ia bukan badan kebajikan," kata Ahli
Parlimen Pokok Sena itu sambil mempersoalkan keuntungan apa yang
diharapkan oleh si peniaga tersebut dalam memberiikan sumbangan sebesar
itu.
Sebab itulah, kata Mahfuz, isu utama berhubung sumbangan
RM40 juta itu ialah kedudukan pihak yang menerima sumbangan dan pihak
yang memberikan sumbangan.
"Yang menerima sumbangan ialah parti
pemerintah dan tidak ada siapa pun yang percaya ia diberikan tanpa
sebarang kepentingan," kata beliau.
Apa yang berlaku itu juga
membuktikan penguatkuasaaan undang-undang di negara ini dibuat secara
double standard dan berpilih-pilih, kata Mahfuz.
"Kalau pihak
yang kerajaan Umno BN tidak suka, sudah pasti dibongkar dan diburu
habis-habisan seperti yang berlaku kepada Suaram sekarang.
"Umno
bukan sahaja terima wang dari luar negara malah RM40 juta itu
diseludup, tetapi menteri kata dalam Parlimen kononnya tidak ada unsur
rasuah," katanya.
Dalam jawapannya kepada soalan Ahli Parlimen
Batu Tian Chua, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Nazri
Aziz berkata, "tidak ada unsur rasuah dibuktikan" di dalam kes itu.