Selamat Datang

Ahad, 16 Jun 2013

Tilawah al-Quran di Kelantan: Catatan saya

Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat, 15 Jun 2013
Apabila Majlis Tilawah al-Quran Peringkat Kebangsaan dicadangkan untuk diadakan di Kelantan beberapa bulan lepas, saya menyambut dengan baik. Alhamdulillah, akhirnya Kelantan terpilih juga selaku tuan rumah buat julung-julung kalinya. Ekoran pilihanraya umum yang diadakan Mei lepas, tilawah ini ditangguhkan dan akhirnya berjaya dilaksanakan di Kelantan dan berakhir malam semalam.

Saya rakamkan tahniah kepada kerajaan Kelantan di bawah kepimpinan Ustaz Dato Ahmad Yakob dan juga terima kasih kepada kerajaan pusat di atas kesediaan memberikan peluang kepada Kelantan. Sewajarnya sudah lama program sebegini diadakan di Kelantan, ini kerana di negeri inilah syariat al-Quran diberikan pertimbangan serius oleh kerajaan negeri untuk dilaksanakan.


Masyarakat Kelantan sejak dahulu lagi meminati al-Quran. Lihat sahaja siaran langsung di televisyen sepanjang majlis ini berlangsung, kehadiran melimpah ruah sehingga ada yang sanggup berdiri. Bukan sahaja pada malam perasmian bahkan malam-malam berikutnya. Malam semalam ketika keputusan diumumkan pula saya dimaklumkan kehadiran sehingga melimpah ke luar dewan. Paling menggembirakan ialah kehadiran terdiri daripada golongan muda yang datang memegang mushaf al-Quran menyemak bacaan qari dan qariah. Alhamdulillah, sambutan ini menunjukkan betapa minatnya golongan muda di Kelantan terhadap al-Quran. Inilah pembangunan rohani yang lebih mahal daripada pembangunan fizikal.

Saya juga menonton pengumuman keputusan pertandingan semalam dan sekalipun Kelantan tidak mendapat sebarang tempat sama ada dalam kategori Qari mahupun Qariah, saya yakin proses penghakiman dilaksanakan dengan telus dan jujur. Bahkan saya yakin, kebanyakan peminat majlis tilawah juga bersama-sama dengan saya meyakini proses penghakiman ini.

Banyak faktor yang menyebabkan rakyat yakin dengan penghakiman ini. Antaranya, tidak adanya blackout semasa proses pengiraan markah, para hakim pula tidaklah mengeluarkan kenyataan yang berbelit-belit dan boleh dibaca memihak kepada peserta tertentu yang bertanding. Peraturan dan pemarkahan pula jelas dan tidak bertukar-tukar di saat akhir dan paling penting, semua peserta mempunyai peluang yang sama untuk mempersembahkan bacaan. Tidak berlaku sesetengah peserta diberikan masa 20 minit manakala peserta yang lain hanya lima minit!

Alangkah baiknya jika semua pertandingan di Malaysia diadili setelus pertandingan tilawah peringkat kebangsaan ini. Sayangnya, ada juga pertandingan yang pada namanya sahaja sebuah pertandingan, tetapi diadili dengan penuh tipu muslihat yang menyebabkan hilangnya keyakinan umum kepada para pengadil.
Hari ini, setelah berlalunya peringkat membaca al-Quran, perlulah lebih serius untuk ke peringkat melaksanakan ajaran al-Quran. Pelaksanaan ajaran al-Quran inilah sewajarnya menjadi agenda utama kerajaan pada masa kini. Sayangnya, agenda ini tiada dalam ideologi selain Islam. Kepercayaan kepada hari kiamat, syurga dan neraka serta pahala dan dosa ini perlu dipupuk semula agar ia dapat menghindari rakyat dari melakukan jenayah.

Lihatlah bagaimana Rasulullah SAW mendidik seorang pemuda yang datang memohon izin daripadanya untuk berzina. Sewaktu semua orang terkejut dan memarahi pemuda tersebut, Rasulullah SAW menggunakan pendekatan psikologi dengan bertanya adakah dia suka jika ibunya, kakaknya dan adik perempuannya dizinai oleh orang lain? Justeru, pemuda tersebut membatalkan niatnya ekoran pertanyaan yang dilontarkan oleh Rasulullah SAW. Hadis ini diriwayatkan oleh Imam Ahmad RA di dalam Musnadnya.

Akidah inilah yang perlu dipupuk. Ketakutan kepada Allah SWT melalui pemantapan syariat al-Quran di tengah masyarakat perlu ditekankan dengan lebih serius. Saya yakin, jika kita mampu untuk melaksanakan majlis tilawah berpuluh-puluh tahun lamanya, kita juga mampu untuk bergerak ke depan untuk mendaulatkan isi kandungannya.

Jika tidak, senario masyarakat tidak akan sampai ke mana. Justeru, betulkan pemikiran kita agar dengan itu akan betullah kehidupan masyarakat. Bayang-bayang yang betul lurus hanya akan terhasil melalui objek yang lurus!

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

PIHAK KAMI TIDAK BERTANGGUNGJAWAP DENGAN KOMEN YANG MENYALAHI UNDANG-UNDANG MALAYSIA

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails