Selamat Datang

Isnin, 17 Jun 2013

Buang sentimen parti: Presiden PAS sokong titah sultan

Hazayani Zakaria, 17 Jun 2013
KUALA TERENGGANU: Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang menyambut baik titah Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin yang mahu semua pihak membuang sentimen kepartian dalam memberikan bantuan kepada rakyat.

Tuanku Sultan menyeru semua pihak bekerjasama tanpa mengira fahaman politik sewaktu bertitah sempena perasmian penggal pertama sidang Dewan Undangan Negeri (Dun) kali Ke-13 di Wisma Darul Iman hari ini.


Abdul Hadi yang juga Adun Rhu Rendang berkata, titah tuanku itu harus diberi perhatian kerana selepas Pilihan Raya Umum Ke-3 (PRU13) Mei lalu, wujud diskriminasi terhadap rakyat kerana faktor politik.

"Antara yang menarik dalam titah Tuanku Sultan adalah selepas pilihan raya dihapuskan sentimen fanatik politik masing-masing.

"Jadi kita minta Jawatankuasa Kemajuan kampung (JKK) supaya mudah tandatangan borang (permohonan bantuan) rakyat kerana selepas pilihan raya ini saya menerima banyak aduan rakyat yang JKK tak mahu tandatangan borang.

"Jadi perlu diselesaikan di peringkat akar umbi. Kalau akar umbi boleh selesai (pihak) atas mudah selesai," kata Ustaz Hadi (gambar) ketika ditemui pemberita di lobi dewan Wisma Darul Iman hari ini.


Sebelum ini, Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Ahmad said berkata, pihak kerajaan negeri tidak akan membuat rumah mampu milik di kawasan yang dimenangi Pakatan Rakyat dalam pilihan raya lalu.

Ahmad berkata, rakyat di kawasan berkenaan perlu meminta bantuan dari wakil rakyat yang mereka pilih dalam pilihan raya lepas.

Menurut Ustaz Abdul Hadi juga, PAS di Terengganu akan terus menegur kerajaan negeri sekiranya mereka bersikap boros dan tidak mengutamakan keperluan rakyat.

Namun katanya, PAS bersedia memberikan kerjasama yang terbaik kepada kerajaan negeri bagi memastikan kelancaran pentadbiran negeri.

"Ada perkara yang boleh kerjasama, ada perkara yang kita kena tegur kerajaan. Tuanku ada sebut tadi mengenai projek-projek yang tidak menguntungkan rakyat. (Projek) itu masih ada lagi.

Sultan Mizan dalam titah baginda menyeru kerajaan negeri mengambil langkah berjimat cermat dalam perbelanjaan termasuk dalam aspek pelaksanaan projek dann program.

"Projek-projek yang kurang efektif dan tida memberi manfaat kepada rakyat secara menyeluruh perlulah dielakkan.

"Kerajaan perlu mengawal perbelanjaan dengan mengekalkan konsep berhemah," titah baginda

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

PIHAK KAMI TIDAK BERTANGGUNGJAWAP DENGAN KOMEN YANG MENYALAHI UNDANG-UNDANG MALAYSIA

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails