Selamat Datang

Sabtu, 10 Julai 2010

Ahli PBT: PAS Selangor lakar sejarah, ‘denda jika khianat’


Oleh G. Manimaran
July 10, 2010

KUALA LUMPUR, 10 Julai — Susulan pelancaran Dewan Himpunan Penyokong PAS akhir Mei lalu, PAS Selangor mengumumkan satu lagi kelainan malam tadi.

Lazimnya, parti-parti politik hanya akan memberi keutamaan kepada ahli masing-masing dalam pelantikan jawatan politik. Bagaimanapun PAS Selangor mengambil pendekatan berbeza.

Daripada 67 kerusi ahli majlis yang diperuntukkan kepada parti komponen Pakatan Rakyat itu di Selangor, PAS memilih empat ahli kalangan bukan Islam.

Daripada empat nama itu, tiga orang India dan seorang Cina.

Mereka terdiri daripada K. Deepakaran yang dilantik sebagai ahli Majlis Perbandaran Klang, S. Arun (Hulu Selangor), S. Lakshmanan (Kuala Selangor) dan Low Hock Khieng (Selayang).

Di sebalik pelantikan bersejarah itu, bakal ahli-ahli majlis PBT ini mempunyai tugas dan tanggungjawab besar - mereka mengangkat sumpah di hadapan kepimpinan PAS bahawa akan meletakkan jawatan serta-merta dan membayar ‘ganti rugi’ jika wujud situasi tidak lagi kekal dalam PAS.

Sebahagian besar daripada 67 wakil itu menerima watikah lantikan sebagai ahli majlis daripada Pesuruhjaya PAS Selangor Datuk Dr Hasan Ali di sini malam tadi.

Ketika ditemui wartawan, Hasan yang juga Exco Kerajaan Negeri mengakui, “saya percaya ini kali pertama PAS” melantik kalangan bukan Islam sebagai ahli majlis.

Yang pasti, ia memang satu rekod lebih-lebih lagi selepas pelancaran Dewan Himpunan Penyokong PAS, hasil dinaik taraf daripada Kelab Penyokong PAS berusia enam tahun.

Ekroan langkah dinaik taraf, dewan itu telah menghantar wakil mereka sebagai pemerhati khas untuk berucap pada Muktamar Tahunan PAS Ke-56 di Kota Baru bulan lalu.

“Saya percaya ini kali pertama PAS berbuat demikian... kami hendak mengiktiraf peranan penyokong-penyokong bukan Islam yang menyokong kami selama ini,” katanya.

“Memang semasa kami mengemukakan nama kepada kerajaan negeri ada yang terkejut apabila calon bukan Islam dikemukakan... tetapi ini cara kami mengiktiraf peranan mereka dalam PAS,” katanya.

Ini kali ketiga kerajaan negeri Selangor membuat pelantikan ahli majlis sejak Pakatan Rakyat memerintah negeri itu bermula Mac 2008.

Memandangkan ini kali pertama PAS khususnya PAS Selangor membuat pelantikan ahli majlis kalangan bukan Islam, sesi angkat sumpah taat setia kepada parti menjadi tumpuan mereka yang menghadiri majlis malam tadi.

Ahli-ahli majlis beragama Islam membacakan bai’ah manakala bukan Islam pula ikrar aku janji.

Malam tadi, mereka juga menandatangani surat letak jawatan sebagai langkah berjaga-jaga jika melompat ke parti lain ataupun tidak lagi menjadi ahli PAS.

Di bawah bai’ah mana-mana ahli PAS yang keluar parti atau menyertai parti dikehendaki meletakkan jawatan dan segala pendapatan wakil itu dan anggota keluarganya akan dianggap “haram”.

PAS lazimnya mengamalkan bai’ah semasa pemilihan calon pilihan raya.

Ahli-ahli bukan Islam pula dikehendaki meletakkan jawatan dan membayar balik segala pendapatan dan elaun yang diperolehi ketika memegang jawatan sebagai ahli majlis.

“Bayar balik elaun atau pendapatan ini hanya melibatkan mereka bukan Islam kerana ahli beragama Islam pendapatan mereka terima dianggap haram di bawah bai’ah... mereka mengambil taat setia bai’ah,” kata Ketua Penerangan PAS Selangor Roslan Shahir Mohd Shahir kepada The Malaysian Insider.

Ketika ditanya apakah pelantikan ini petanda PAS Selangor akan memberikan kerusi untuk bukan Islam dari Dewan Perhimpunan Penyokong PAS bertanding di negeri itu, Hasan berkata, kemungkinan itu boleh dipertimbangkan.

“Selagi saya menjadi Pesuruhjaya PAS Selangor saya akan memberikan pertimbangan jika ada calon yang sesuai dan kerusi yang sesuai.

“Lagipun perkara ini sudah diputuskan ketika muktamar bulan lalu,” katanya.

1 ulasan:

  1. Pas risau bnyk sngt ahli lompat parti, sbb tu bt mcm ni. Mungkin baik utk pas, entahlah..

    BalasPadam

PIHAK KAMI TIDAK BERTANGGUNGJAWAP DENGAN KOMEN YANG MENYALAHI UNDANG-UNDANG MALAYSIA

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails